Sunday, 21 July 2013

Mana Hilangnya Duit Ni?

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Pembaca yang dikasihi Allah SWT sekalian, sedar tak sedar hari ini dah masuk Ramadhan Hari ke-12, maknanya kita dalam fasa kedua bulan penuh Rahmat dan Keampunan ini. Pesan saya untuk diri sendiri ialah memperbanyakkan memohon keampunan dariNya; semoga yang lain juga boleh dapat faedahnya Insha Allah.

Sementara menunggu anak bangun dari tidur, saya ambil kesempatan sekejap dengan menulis tentang Mana Perginya Duit Ni? Tuan-tuan dan Puan-puan perasan tak kadang-kadang bila kita mengira duit yang tinggal dan yang telah dibelanjakan, ada sejumlah yang kita tidak dapat kesan entah ke mana perginya? Entah tersalah letak ataupun jatuh sewaktu kalut-kalut di pasar tadi. Sudah bercampurkah duit berniaga dengan duit belanja dapur?

Oleh itu, saya menganjurkan kita mempunyai sebuah buku nota kecil dan pen yang sentiasa ada dengan kita sebagai memudahkan kita membuat catatan dengan pantas tentang duit keluar masuk hatta dua puluh sen pun! Memang dengar seperti payah juga tetapi percayalah ini sangat berguna bila kita hendak membuat buku kira-kira kewangan kita pula nanti. Iyalah, kadang-kadang kita terlupa tentang belian dengan jumlah yang kecil tetapi bila digabung-gabungkan pening juga memikir mana perginya duit kita itu. Tambahan pula bagi yang menjalankan perniagaan tak kiralah berskala jutawan ataupun usahawan kecil-kecilan seperti saya; penting bagi kita untuk ada buku catatan 'comot-comot' ni kata orang utara. Barulah senang melihat berapa duit belanja keluar, berapa duit berniaga masuk, berapa belanja untuk beli barang-barang untuk diniagakan, berapa yang belum dibayar, berapa pelanggan sudah bayar, apa yang belum kita selesaikan. Catat siap dengan tarikh dan potong yang mana sudah kita uruskan. Catatan yang dicatat dalam buku 'basahan' ini tidaklah dicatat dengan professional seperti dalam buku lejer akaun.

Perbelanjaan dapur atau keluarga eloklah diasingkan supaya pengurusan kewangan bertambah licin.
Contoh buku catatan dan yang sentiasa ada dalam beg harian saya. Tak perlu cantik atau mahal sangat, ikut kemampuan masing-masing.


Bagi yang mampu melengkapkan diri dengan gajet yang lebih canggih, gunakanlah sebaiknya dengan mencatat perkara-perkara di atas, supaya tidak kepeningan di kemudian hari. Sebenarnya, pen nan sebatang itu bukan sahaja untuk buat catatan kewangan tetapi sangat berguna bila senantiasa ada dengan kita manalah tahu secara tiba-tiba ada malang yang tidak berbau. Sedang elok-elok menunggu di lampu trafik tiba-tiba ada motosikal menghentam ke kereta, cepat-cepat capai pen dan catat nombor plat motor tersebut. Bila terkejut entah sempat nak 'calit-calit' buka kamera di telefon entah sempat hendak ambil gambar 'mamat' motor yang memang pakar dalam menyelit dan menghilangkan diri.  Nak kejar lampu masih merah sedangkan si pesalah sudah mendesup pergi. Bila sudah ada nombor pendaftaran mudahlah kita hendak buat laporan di balai polis nanti.

Kesimpulannya, bagi sesiapa yang selalu menggaru-garu kepala yang tidak gatal memikirkan dimana tersalah letak duit, cubalah cara ini. Manalah tahu dapat membantu terutama sekali dalam urusan yang melibatkan pihak lain seperti hutang, bayaran, pesanan dan lain-lain lagi. Insha Allah. Biar kita berpeluh sikit sekarang di masa lain kita lapang fikiran.

Sekian sahaja perkongsian dari saya, saya hendak ke pasar mencari ikan bilis dan nenas untuk dibuat jem demi memenuhi tempahan Kerepek Tempe dan Pineapple Nasta dari pelanggan Abdullah FOODS. Anak pun sudah bangun, jadi masa untuk bersiap-siap! Ilal liqa' Ma'as Salamah tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Insha Allah hanya yang segar dari ladang menjadi asas kepercayaan pelanggan di Abdullah FOODS.


Wassalam WBT

Mempelbagaikan Cara Menikmati Buah Kurma

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum W.B.T

Syukur Alhamdulillah, selesai sudah berpuasa hari ke-8, kawan-kawan makan apa untuk berbuka? Harini menu berbuka saya dikurangkan daripada semalam, Alhamdulillah mungkin suami pun ada baca entri saya yang bertajuk Membajak Pahala tu. Apa yang menariknya, hari ini ada kejutan!

Seharian melayan anak dan sambil-sambil mengemas rumah, sambil-sambil juga siapkan tempahan agar-agar kering dan serunding membuatkan saya sedikit keletihan. Suami pun buat juga; saya kemas-beliau jaga anak, saya jaga anak-beliau kemas rumah. Akhirnya selepas berjaya tidurkan anak saya pun terlelap sama. Sedang berbaring rasa seperti mimpi sebab sayup-sayup terdengar bunyi 'blender' sekejap 'ON' sekejap 'OFF'. Adalah dua ke tiga kali punya 'cycle' punyalah banyak nak di'blend'kan tu. Siapa pula yang blender cili kering nak masak sambal ni.

Rupanya Sang Suami yang kerajinan dan penuh belas ihsan tengok Si Isteri tergolek di samping anak kecil;  tengah buat air, agaknya air lah disebabkan jag air yang kelihatan berisi bahan kisar tadi. Lena kami dua beranak dikejutkan dengan kedatangan abang dan kakak ipar menghantar pesanan botol air. Sengaja saya beli untuk suami bawa bekal air putih andaikata waktu bersahur dan waktu berbuka bertembung dengan waktu beliau bertugas. Sebut pasal botol air, ada tak kawan-kawan yang 're-cycle' botol jus? Tak kiralah botol air berkarbonat, botol kordial ataupun botol-botol air mineral untuk simpan stok air masak, ada tak? Jikalau ada, elakkan guna terlalu lama hingga air putih pun terasa seperti plastik kerana ini sangat berbahaya ditambah pula dengan kesan-kesan sampingan kalaupun tak terasa mudaratnya sekarang, mungkin di masa akan datang pelbagai gejala yang timbul mendadak.

Sambung cerita yang 'terbelok kanan' tadi, saya terus ke dapur dan bertanya apa yang dibuat suami sorang-sorang kat dapur menggodek apa agaknya. Rupanya beliau buatkan 'Kurma Smoothies'! Bagus juga ya, kreatif rupanya kaum Adam ni! Tak sabar jadinya nak mencuba berbuka dengan Kurma Smoothies air tangan suami. Sebaik azan, kami segerakan dengan air tadi dan rasanya Masya Allah sedap! Terus saya korek-korek resipi dari suami tapi sukatannya saya terlupa nak tanya; rupanya mudah saja membuatnya kawan-kawan. Di bawah ni saya berikan bahan-bahan Kurma Smoothies Suamiku dan juga Fruit Smoothies dari rancangan "Hello Bro, Tolong Masak!" yang kebetulan bersiaran malam itu juga dan kebetulan lagi menggunakan kurma sebagai bahan utama memandangkan tema rancangan malam itu ialah Makanan Sunnah. Memang terliur melihat chef-chef memasak Goulash Kambing, Salad Tembikai dan Fruit Smoothies yang diinspirasikan daripada makanan kegemaran Rasulullah SAW iaitu kambing, tembikai, timun, madu dan juga kurma. Saya teringat Sabda-sabda Nabi SAW yang mafhumnya antaranya berbunyi begini:

1. “Rumah yang tiada kurma nescaya penghuninya kelaparan.”

2. Daripada Abdullah bin Jaafar r.a katanya: “Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w memakan mentimun Arab dengan buah kurma masak”

3. Abu Hurairah r.a menukilkan sebuah hadis Rasulullah yang menyentuh tentang kambing: “Allah tidak mengutus seorang nabi kecuali dia itu seorang gembala kambing”. Maka para sahabatnya bertanya “Adakah Tuan juga?” Jawab beliau “Ya, aku pernah menggembala kambing dan bertanggungjawab ke atas  beberapa bahagian penduduk Mekah

4. "Perempuan yg hamil yg selalu makan buah tembikai akan melahirkan anak yg baik parasnya dan pekertinya."

5. "Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu, menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya." 

Kita tenung dan renung seketika ya, bila berbicara tentang kambing, kita ditanam dengan fakta bahawa daging kambing tinggi dengan kolestrol dan tidak baik untuk orang yang lelah dan hipertensi tetapi di barat sana, restoran-restoran mewah mahupun tidak menghidangkan daging kambing dan bila chef-chef dari Itali, Greek, Sepanyol, Britain bahkan Amerika Syarikat bercerita tentang juadah berasaskan daging kambing, air liur mereka seolah-olah ingin meleleh sama! Nampak kan betapa Umat Islam sedaya upaya hendak dijauhkan daripada perkara-perkara terbaik di dalam kehidupan dan teringat saya kata-kata ustaz semasa sekolah dulu, lebih kurang begini bunyinya: Umat Islam cuba dihancurkan dari pelbagai sudut namun kurang berjaya, kemudian musuh-musuh Islam terjumpa satu celah yang boleh merosakkan kita iaitu melalui makanan. (Sila rujuk entri saya yang bertajuk Apa Kisahnya dengan Perut? )

Nabi SAW ajar kita makan dengan tangan kanan kita diajar 'bersopan' bila makan hidangan barat dengan pisau di tangan kanan, garfu ditangan kiri. Tak salah menikmati rezeki,  pelbagai juadah dari serata dunia tetapi yang lebih afdal makanlah dengan cara kita sendiri. Pandangan manusia bukanlah yang utama, yang penting apa dan bagaimana makanan itu masuk ke dalam perut yang kemudiannya menjadi darah daging kita. "Elok sekeping 'daging' itu, maka eloklah yang lain-lainnya" Nak elokkan daging itu, peliharalah darah yang mengalir ke sana seawal proses memasukkan makanan ke dalam mulut lagi.

Sebenarnya banyak lagi makanan yang menjadi kegemaran Nabi kita Muhammad SAW iaitu seperti yang boleh dibaca di blog Kumbang Jingga dan lain-lain blog juga yang menyentuh tentang amalan dan cara pemakanan Nabi SAW. Saya rasa bersyukur, lewat kini makin ramai usahawan muncul dengan produk-produk yang berasaskan makanan sunnah antaranya produk berasaskan susu kambing, kurma, delima, madu, cuka dan sebagainya. Alhamdulillah, masyarakat kita sudah boleh menerima pencerahan dan menangkis fahaman dulukala tentang kurangnya manfaat makanan-makanan yang tersenarai dalam makanan sunnah. Pulak tu, senarai makanan yang menjadi kegemaran Kekasih Allah SWT ini boleh kita pelbagaikan dan kita olah mengikut daya kreativiti kita sendiri. Jadi, panjang berceloteh buat saya hampir terlupa, resipinya mana? Ini dia pembaca-pembaca sekalian:


Kurma Smoothies Suamiku

Kurma- buang bijinya
Sirap Ros
Susu UHT/susu sejat
Air batu

(Kisar semua dan jikalau suka boleh letak ais krim vanilla sebelum menghidang, tak sempat menoleh dan siap air canggih! Mesti mak mertua bangga kalau minum air ni)

Inilah hasilnya, kami tak letak aiskrim vanilla sebab tak ada. Gambar bersama jag yang separuh penuh!


Fruit Smoothies (Hello Bro, Tolong Masak!)

Kurma
Timun
Pisang
Susu
Madu

(Kisar dan hidang; boleh juga nak letak aiskrim vanilla, nak cantik-cantik ala chef, sebelum hidang celup bibir gelas dalam gula halus, tuang smoothies dan potong timun memanjang macam straw masukkan menyendeng sikit. Canggih!)

* Taktik Jimat Masa: Rendam kurma dalam cecair seperti susu dahulu sebelum dikisar.

Sekian sahaja dari saya, jumpa lagi kita dalam entri-entri berikutnya, Insha Allah! Pesan saya, hadapi hari ini dan mendatang dengan penuh kerendahan hati, semoga yang tersimpul mudah dirungkai bila kita meletakkan diri di bawah untuk melihat yang di atas.


Wassalam WBT



Wednesday, 17 July 2013

Membajak Pahala

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum W.B.T

Hari ini 8 Ramadhan, pantasnya masa berlalu. Alhamdulillah untuk waktu yang tidak kita sia-siakan dan semoga Allah SWT memberkati dan meredhai masa yang telah kita lalui dan akan kita lalui. Berpuasa di hari kelapan, saya dan suami bersahur awal sedikit kerana makanan sudah ada. Tunggu dipanaskan sahaja. Kalau boleh saya tak mahu membazir makanan langsung di Bulan Rahmat dan Bulan Utama ini. Kalau ada juadah yang berlebihan dari berbuka semalam, saya simpan dalam peti kemudian panaskan semula pagi esoknya.

Sebenarnya kita tak tahu dimana letaknya keberkatan pada rezeki yang kita makan itu. Entah di butir nasi pertama yang kita suap ataupun yang terakhir; tidakpun di pertengahan. Ini kata-kata guru disiplin saya masa sekolah rendah dahulu. Saya masih ingat lagi hingga sekarang. Walaupun saya pernah digelar Majlis Perbandaran  Pulau Pinang kerana makanan yang orang lain tak mampu habiskan saya habiskan, saya tak kisah. Akan tetapi, seorang rakan seperjuangan semasa menuntut di salah sebuah universiti dahulu benar-benar menginsafkan saya kerana beliau lebih lagi hebat.

Beliau sangat merendah diri sehinggakan air kotak yang tidak habis diminum pun akan dihabiskan. Selalunya selesai majlis makan-makan atau jamuan kelas, makanan yang diambil dari hidangan jenis buffet jarang sekali dihabiskan. termasuklah minuman. Rakan saya ini akan berpindah dari meja ke meja untuk menghadap makanan dari satu pinggan ke satu pinggan yang lain hingga tinggal tulang! Orangnya kecil molek namun bukanlah dia kebuluran malah bukan dari kalangan orang susah pun. Keluarganya menetap di salah satu tanah rancangan FELDA di Johor. Orang kaya, silap haribulan anak jutawan! Lama juga masa saya ambil untuk menyedari tabiat beliau. Kenapa begitu sekali? Saya dengar dari mulutnya sendiri, kata ibunya jangan membazir rezeki, orang lain ada yang sampai tak makan berhari-hari. Cari keberkatan yang mungkin ada dalam makanan yang bersisa. Ayat yang mudah tapi begitu dalam penghayatannya.

Hebat kan? Begitu sekali beliau bertawakkal dan rendah hati hingga kami kawan-kawan yang selalu dengannya jadi malu alah. bercakap pasal keberkatan, benar kita tidak layak menilainya namun apa yang saya perhatikan, dalam hal pelajaran, memang beliau tersangatlah makan angin. Siap boleh tidur dalam kelas. Tetapi bila waktu solat tiba, beliau akan tergesa-gesa menggelabah nak pergi bersolat. Namun 'pointer' beliau seingat saya 4.0 dan bila ditanya prestasinya semasa di universiti terdahulu, jawapannya seingat saya tak pernah keluar dari kategori '1st-Class'. Mungkin sifat tawadduk beliau Allah SWT beri ganjaran begitu. Itu yang boleh dilihat; yang tak boleh dilihat, Wallahu 'alamu bissowab. Apa yang perlu, ialah cuba mencontohi sifat yang terpuji yang Tuhan paparkan kepada kita.

Menyentuh perihal solat, ini intipati tazkirah selepas solat sunat tarawikh malam ke-7, kata ustaz, jikalau solat kita tak jaga, perkara lain pun kita tak akan jaga. Sebab Solat 5 waktu itu tiang agama, kalau tiangnya tak ada habis runtuh semuanya, runtuh semua urusan yang lainnya. Jika kita jaga Solat 5 waktu, lebih mudah untuk kita tingkatkan diri dari Nafsu Ammarah kepada Nafsu Lawwamah. Nafsu Ammarah ni nafsu yang bersifat sinonim dengan sifat yang digemari syaitan manakala Nafsu Lawwamah nafsu yang sukakan kebaikan dan bencikan kejahatan, Jadi alang-alang kita sudahpun menjejakkan kaki ke dalam Madrasah Ramadhan yang mulia, marilah kita ambil kesempatan melakukan peningkatan diri bermula dari fasa yang pertama ini. Kata ustaz, masuk sahaja semester pertama dalam Madrasah Ramadhan, pecutan mesti dilakukan agar kita mudah-mudahan berjaya dengan cemerlang hingga ke semester ketiga. Apa itu fasa / semester dalam Madrasah Ramadhan ya?

Begini kawan-kawan, seperti yang Allah SWT janjikan, Permulaan Sepertiga Ramadhan adalah Rahmah, Pertengahan Sepertiga Ramadhan adalah Maghfirah atau Keampunan dan Pengakhiran Sepertiga Ramadhan adalah Bebas Dari Api Neraka. Oleh itu Sijil Madrasah Ramadhan ini penting sebagai bekal untuk menepis Nafsu Ammarah dan mengekalkan Nafsu Lawwamah bagi 11 bulan yang akan datang; sekiranya kita berusaha untuk dapatkan 'sijil' yang cemerlang, Insha Allah yang mendatang juga cemerlang, begitu juga sebaliknya. Disamping itu, tanggungjawab terhadap keluarga dan orang-orang sekeliling kita perlulah kita jagai jangan sampai terbiar. Ibadah ini mudah kata ustaz, niatkan kerana Allah pun sudah jadi ibadah. Tidak semestinya kita keluar rumah hendak membajak pahala. Menolong dan memudahkan urusan pasangan atau ahli keluarga di rumah pun boleh jadi bank pahala yang lumayan!

Sudah banyak saya berceloteh, tiba masa saya hendak menyambung siapkan Serunding Daging untuk dihantar ke kedai-kedai. Serunding ni siapa tak tahu, sambal segera, tahan lama, makan dengan roti boleh, dengan nasi panas-panas lagi lah! Siap menambah lagi. Agak-agak kesuntukan, keluarkan sikit, dah jadi lauk bersahur. Insha Allah, nanti saya kemaskinikan gambar yang dah cantik-cantik dipekkan. Hingga berjumpa lagi dalam Diari Masa yang lain. Mana tahu ada lagi yang ingin saya kongsikan sambil saya buat laporan apa kegiatan saya sehari-harian kepada anda semua. Semua yang baik dariNya yang terkhilaf adalah dari saya yang serba kekurangan.


Sekian,


Wassalam wbt

Ni Kuih Ape Ye Dik?

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Sedar tak sedar sudah seminggu kita berpuasa, kawan-kawan macam mana? Mesti masing-masing ada rencana baik untuk fasa kedua Ramadhan. Bulan-bulan puasa ni, buatkan kita mengenang nasib insan-insan yang kurang bernasib baik dari kita. Marilah kita bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang dan dengan bersyukur kita akan lebih gigih bekerja untuk berjaya dalam apa jua bidang yang kita usahakan. Moga kejayaan kita nanti jadi sumbangan untuk orang-orang yang memerlukan, Insha Allah.

Kawan-kawan, entri kali ini saya terus ke ceritanya saja boleh ya disebabkan kisahnya ringkas sahaja. Selalunya kalau hari panas memang saya akan keluar mengangkut talam-talam berisi agar-agar kering untuk dijemur. Memang makanan tradisi rumit sikit, tapi agar-agar kering ni Insha Allah boleh disiapkan sambil-sambil kita buat kerja lain walaupun ambil masa berhari-hari untuk kering dengan elok. Satu hari tu, kebetulan adik kepada jiran saya ada; sedang belek-belek kereta beliau. Beliau datang jenguk langsung bertanya apa namanya kuih yang saya buat ni (hari sebelumnya saya kirim sebekas suruh anak saudaranya bawa balik, tapi saya tak lekat label pun). Banyak dan berwarna-warni pula katanya.

Ini Agar-agar Kering; atau senang cakap 'Malay Candy' kata saya. Sempat juga beliau merisik-risik harga 'kuih' ini dan bertanya laman Facebook Abdullah FOODS. Adik ni, walaupun beliau panggil saya 'dik' tapi saya tahu beliau lagi muda, biasalah orang beradab memang begitu. Sejuk perut ibunya mengandung, rupa-rupanya lulusan Ijazah Perhutanan, tapi minat berniaga, baguslah muda-muda dah ada kecenderungan yang baik. Orang muda yang berjiwa besar patutlah nampak matang sahaja tapi kami tak bercakap lama memandangkan beliau nak balik kampung di Selatan tanahair.Saya doakan semoga adik tu berjaya dengan cita-cita murni beliau, Amiinn.

Nak tengok rupa 'Malay Candy'? Silakanlah, jangan malu jangan segan;

Inilah rupa Agar-agar Kering tradisi. Warna asasnya putih, kuning, merah, jingga dan hijau manakala rasanya manis.

Zaman berubah, agar-agar kering kemudian dimodenkan sedikit dengan gubahan warna campuran tetapi rasa aslinya masih dikekalkan.
Zaman beransur moden, usahawan makin kreatif, agar-agar kering ditempa dengan acuan. Ada juga yang ditekap dengan rasa dikekalkan atau ditambah perasa berlainan. Di Abdullah FOODS, kami menawarkan sembilan jenis perasa yang berlainan bagi agar-agar kering jenis ini yang diberi nama Flavourita 3D (ditempa) dan Flavourita 2D (ditekap).
Demi menawarkan pilihan yang lebih kontemporari, Abdullah FOODS memperkenalkan Flavourita Fusion; gabungan dua perasa dalam lapisan yang berlainan. Ada tujuh varian perasa dalam jenis ini, semuanya khas untuk anda hanya dari kami! 
Lagi pilihan agar-agar kering istimewa hanya dari Abdullah FOODS; siri PinkBlue Sakura Dreams Ltd. Ed.. Sangat sesuai dijadikan hantaran atau 'door-gift' kepada jemputan. Memang terangkat sebab cantik sangat, nak makan terasa sayang, tapi makan juga akhirnya sebab tak tahan.  

Kami tidak kekeringan idea di Abdullah FOODS kerana banyak kajian telah dilakukan. Maka hasilnya agar-agar kering berperisa buah-buahan iaitu Fruity Crush. Bentuknya lurus bendul tapi padat dengan pengisian buah-buahan. Jadi tak rugi mencubanya!

Baiklah, saya rasa maklumat tentang kuih yang menjadi persoalan pada sesetengah di luar sana telah saya kongsikan. Ramai yang tahu tapi ada juga yang tak tahu sebenarnya; terutama generasi muda di bandar-bandar ataupun bukan bandar. Di Abdullah FOODS, Insha Allah produk-produk akan sentiasa ditambahbaikkan demi kepuasan pelanggan. Jikalau ada yang berminat untuk menjadi pengedar, silalah hubungi saya ya!

Sekian sahaja dari saya, semoga dipanjangkan usia kita untuk kita bersua kembali, Insha Allah.

Wassalam wbt



Tuesday, 16 July 2013

Apa Kisahnya dengan Perut?



Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Apa khabar pembaca sekalian, Alhamdulillah kita sudahpun selesai Solat Tarawikh malam ke-8. Di masjid hadapan rumah saya ni tiap malam memang Insha Allah ada tazkirah tak kiralah bulan puasa atau tak. Tapi istimewa di Bulan Ramadhan Al-Mubarak, usai bertarawikh, imam akan menyampaikan tazkirah. Yang sempat tangkap Insha Allah saya akan catatkan disini. Kalau lupa boleh saya rujuk-rujuk semula sambil-sambil tu kawan-kawan pon boleh baca juga.

Malam ini Pak Imam (Ustaz Zuhdi Al-Hafiz) huraikan kenapa bulan puasa masih ada lagi kejahatan, maksiat dan keburukan yang dilakukan oleh Ummat Islam sedangkan Sabda Nabi SAW yang bermaksud: 

"Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: Apabila datangnya Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai/dibelenggu para syaitan" (Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Berikut huraian Imam Al-Hafiz sebentar tadi; menurut kitab karangan Ibn Al-Jawli (Nama penuh dan nama kitab saya tak sempat tangkap).

Setelah pertemuan Nabi Adam A.S dan Hawa di bumi, pada suatu hari Nabi Adam A.S meninggalkan Hawa seorang diri kerana ada satu urusan. Maka, datanglah Iblis Laknatullah bersama anaknya yang bernama Khannas kepada Hawa kemudian berkata "Aku harus pergi untuk melakukan sesuatu hal yang penting, tolonglah jaga anakku ini hingga aku kembali," Hawa menerima anak itu dan Iblis pun pergi.

Setelah Nabi Adam A.S kembali, nabi terkejut bila melihat Hawa bersama anak Iblis yang bernama Khannas. Nabi Adam sangat marah, namun Hawa membela diri. "Dia adalah anak yang iblis mohon aku menjaganya," jawab Hawa. "Mengapa engkau sudi menolongnya?jawab Adam memarahi Hawa. Dengan sangat marah, anak Iblis itu dibunuhnya, dicincangnya dan setiap cincangan itu digantungkan di dahan pokok. Setelah itu, pergilah Adam. Tak berapa lama kemudian, Iblis pun datang menemui Hawa untuk mengambil anaknya. "Dimanakah anakku?" tanya Iblis kepada Hawa. Hawa menerangkan bahwa telah terjadi sesuatu. "Adam telah mencincang-cincang tubuh anakmu dan setiap potongan anakmu digantungkannya pada dahan pohon," jelas Hawa kepada Iblis. Si Iblis kemudian menyeru nama anaknya dan potongan-potongan tubuh anaknya berkumpul dan Khannas pun hidup kembali seperti sedia kala. "Jagalah dia, karena aku ada urusan lain yang harus aku kerjakan" pinta dan bujuk Iblis kepada Hawa.

Mula-mula Hawa menolak permintaan Iblis, akan tetapi Iblis memujuk-rayu habus-habisan sehingga Hawa bersetuju. Setelah itu, pergilah si Iblis meninggalkan tempat itu. Ketika nabi pulang, terlihatlah olehnya anak Iblis itu. "Apakah ertinya semua ini?" tanya Adam. Hawa kemudian mengisahkan yang telah terjadi, Nabi Adam A.S teramat marah lantas memukul Hawa habis-habisan. "Aku tak tahu apakah rahsia di sebalik semua ini," kata Adam. "Kenapa engkau tidak mematuhi aku dan lebih mematuhi seteru Allah SWT dan terpedaya oleh bujukannya," tanya Adam. Tak berapa lama kemudian, Adam membunuh anak Iblis itu dan mayatnya dibakar. Kemudian sebahagian abunya di buangnya ke dalam air dan sebahagian lagi dibuangnya ke udara dan diterpa angin. Setelah itu, Nabi Adam pergi lagi.

Si Iblis datang menanyakan anaknya. Hawa menceritakan hal yang telah dilakukan Adam kepada anaknya. Si Iblis berteriak memanggil anaknya, dan abu-abu mayat anaknya yang dibakar tadi berkumpul, kemudian Khannas hidup kembali dan bersimpuh di depan ayahnya. Sekali lagi Iblis ingin meminta pertolongan kepada Hawa untuk menjaga anaknya. Namun, Hawa menolak. "Aku tidak mau, pastilah Adam akan membunuhku nanti," jawab Hawa. Iblis pujuk lagi dengan berbagai sumpah sehingga akhirnya Hawa pun sekali lagi menyerah.

Si Iblis pergi dan tak berapa lama kemudian, Nabi Adam pulang ke rumah dan didapatinya Hawa bersama anak itu lagi. "Allahlah yang mengetahui apa yang akan terjadi sekarang ini, engkau lebih menuruti kata-kata Iblis daripada kata-kataku," kata Nabi Adam kepada Hawa. Khannas disembelihnya dan dimasak. Separuh dari tubuh Khannas dimakan sendiri dan sebahagian lainnya diberikan kepada Hawa untuk dimakan sampai habis. Riwayat lain mengatakan bahwa Iblis masih mampu menghidupkan anaknya kembali setelah langkah terakhir Nabi Adam ini, Wallahu A'lam.

Tak berapa lama kemudian, Iblis datang menanyakan anaknya dan Hawa menceritakan apa yang sedang terjadi. "Anakmu di masak oleh Adam, separuh tubuhnya aku makan dan separuhnya lagi di makan oleh Adam," kata Hawa kepada Iblis. "Inilah yang selama ini aku inginkan," seru Iblis kegirangan. "Aku ingin menyusup ke dalam tubuh Adam. Kini setelah dadanya menjadi tempat kediamanku, tercapailah sudah keinginanku itu," seru Iblis lagi sambil bersorak-sorai. Dari kisah inilah, maka Iblis boleh memasuki tubuh manusia dengan mudahnya hingga sekarang, kecuali orang-orang yang beriman kepada Allah SWT.

Kita lihat disini, Iblis guna pelbagai cara untuk menyesatkan anak Adam disebabkan Iblis dah bersumpah di hadapan Allah SWT nak menggoda anak Adam dari atas, bawah, kiri, kanan, depan dan belakang. Akhirnya berjaya juga menyusup melalui perut dan kemudian akan mengalir ke seluruh tubuh manusia melalui salur darah. Macam mana nak buang ustaz kata, kena banyak berpuasa dan kita akan jadi kuat. Bila perut kosong ditambah pula dengan amal ibadat yang berlipat kali ganda, maka kejahatan nafsu akan dapat dibendung. 

Tambah ustaz lagi (dimana kata-kata ustaz saya tangkap sikit-sikit kemudian 'keyword'nya saya google) dan yang selari berbunyi begini: 

 Al-Syeikh Muhamad bin Soleh al-Uthaimin ketika ditanya tentang persoalan ini menjawab :
“Di dalam sebahagian riwayat hadith (maksudnya) : “Dibelenggu padanya (Ramadhan) syaitan-syaitan yang degil/derhaka.” Atau (dengan lafaz) Tughallu di sisi al-Nasaie atau yang seumpamanya yang termasuk dalam perkara ghaib yang mana hendaklah kita menerima dan membenarkannya, dan kita tidak membicarakannya lebih daripada yang itu, sesungguhnya inilah yang lebih selamat bagi agama seseorang dan lebih baik untuknya…. kemudian secara zahir dibelenggunya syaitan itu (adalah membawa maksud dibelenggu) daripada memesong/menyesatkan manusia disebabkan banyaknya kebaikan dan (mereka banyak) kembali (bertaubat) kepada Allah dalam bulan Ramadhan.”

Ada banyak lagi huraian dalam website di atas, nanti kawan-kawan kliklah link yang saya letak. Kesimpulannya apa yang difardhukan kepada Umat Islam ada justifikasi atau natijahnya yang tersendiri. Kita dalami dan selami sebanyak yang boleh tapi jangan ditanya hingga Urusan Allah, bimbang lain pula jadinya. 

Berburu ke padang datar,
        Dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
        Ibarat bunga kembang tak jadi.

Sekian perkongsian saya dengan kawan-kawan, yang terkurang saya mohon maaf ya. Kalau ada kawan-kawan yang tahu nama Kitab dan Nama penuh pengarang yang menghuraikan kisah Al-Khannas berjaya masuk ke dalam tubuh badan manusia ini, silalah berinteraksi dengan saya di ruangan komen pon boleh. Hingga kita berjumpa lagi dalam entri-entri yang lain, Ilal liqa'. Ma 'as Salamah.

Wassalam wbt

Harga Ayam Naik Mencanak-canak!

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT, buat apa tu kawan-kawan? Masih lagi berperang kat dapur ya atau masih meninjau-ninjau di Bazar Ramadhan fikir-fikir nak makan apa harini? Tinggal lagi berapa jam sebelum berbuka, sempat saya mencorat-coret sikit kongsi-kongsi apa yang dibuat dan sedang dibuat.

Saya dengan anak baru pulang hantar Pes Perencah dan Sos Ayam Golek Madu Hj. Hashim dan Pes Perencah Ikan Bakar Special (perencah sejuk-beku keluaran Abdullah FOODS) yang dipesan kenalan saya, Mudah katanya nak masak pakai pes perencah sedia ada disebabkan beliau mengajar sesi petang, jadi pulang terus masukkan lauk dalam oven. Kemudian boleh tanak nasi sambil-sambil bertadarus sementara tunggu lauk dan makanan masak. Langsung tak terkejar-kejar katanya. Alhamdulillah, ternyata produk Abdullah FOODS mula mendapat sambutan dek kerana masa boleh dijimatkan tambah-tambah bulan puasa ni. Lepas hantar pes perencah tersebut pada anak beliau, kami pusing-pusing ronda kawasan sebelum singgah sebentar rumah makayah saya. Kerap juga saya pulang ke sana memandangkan kami tinggal dalam satu daerah. Lagipun tokwan dan tok memang selalu teringat-ingat pada si bulat ni. Kalau kami terselang lama sikit, sampai lah tokwan dengan kiriman bekal dari tok.

Memperkenalkan, di sebelah kiri 'Pes Perencah Ikan Bakar Special', di sebelah kanan pula 'Pes Perencah dan Sos Ayam Golek Madu Hj. Hashim'.


Sambil-sambil saya menaip, ayam golek dan daging saya sedang dipanggang dalam ketuhar juga dengan menggunakan Pes Perencah dan Sos Ayam Golek Hj. Hashim. Hj. Hashim tu ayah saya. Dulu-dulu beliau berniaga ayam golek dan saya selalu bantu buat sos dan perencah. Sekarang zaman beliau berehat, saya teruskan tapi kontemporarikan sikit strategi jualan tu dengan buatkan pes dan sos disejuk-bekukan. Ada juga yang dah siap diperap dan disejuk-bekukan. Yang ini lagi mudah nak masak, Boleh 'de-frost' dalam fridge sebelum pergi kerja, balik boleh ambil terus masuk dalam ketuhar. Bukan setakat sesuai dengan ayam, daging lembu, rusa, kambing, Insha Allah semua daging sesuai dengan perencah ni. Kalau Pes Perencah Ikan Bakar Special pula, bukan setakat boleh diguna untuk ikan, makanan laut lain macam sotong dan udang juga boleh guna. Sambil memanggang lauk-pauk guna pes-pes keluaran Abdullah FOODS kita boleh mandi-manda, rehat-rehat lejang kaki, tadarus Al-Quran, main-main dengan anak. Mudah kan?
Rupa ayam dengan perapan Pes Perencah Ayam Golek Madu Hj. Hashim a.k.a  Frozen C'Golek (Quarter Chicken) yang dah dinyah-beku. Sedia untuk oven. 

Daging yang telah diperap dengan pes perapan yang sama.
Sementara menaip entri, sempat juga jeling-jeling ke Facebook; rata-rata menyatakan maklumbalas terhadap harga ayam yang naik mencanak-canak. Kenapa sampai mencanak-canak tu? Mau taknya, sebelum Bulan Ramadhan itu hari, saya ke pembekal ayam, memang saya selalu beli bekalan ayam untuk dimakan dan diproses untuk stok niaga Abdullah FOODS dengan Haji tu. Diyakini halal, bersih, orangnya solat, saya pun senang hati nak makan ayam sembelihan beliau. Kalau tak ke situ, ayah akan tolong belikan di pondok tahfiz di kampung sebelah. Pondok Tahfiz tu jual ayam untuk biaya sebahagian yuran pelajarnya, sambil membeli boleh juga beramal, Insha Allah. Terbabas pula. Saya nak bagitahu, waktu itu harga ayam sekitar RM7.80 atau RM7.50, kemudian selang tiga hari saya kesana lagi, Ya Allah dah naik RM8.50? Saya beli juga memandangkan stok makin kehabisan. Selang tiga hari saya pergi nak membeli stok tengok-tengok harga sekarang dahpun RM9.00 sekilo. Wah, ini bukan main-main kata saya dalam hati. Hari ini dah masuk hampir seminggu lebih saya belum membeli ayam segar sebab stoknya ada lagi. Jadi tak tahulah harga terkini berapa ringgit sekilo. Kalau kawan-kawan ada membeli ayam sehari dua ni, berapa ringgit gamaknya sekilo ayam sekarang ya? Diharap sudi-sudikanlah berkongsi dengan saya di ruangan komentar.

Sambung sikit cerita juadah berbuka harini, nampaknya ayam dan daging dah masak. Saya buatkan Air Asam Special tapi yang jimat masa sebab suami nak buat cicah daging bakar nanti. Sengaja nak pelbagaikan kuah, sebenarnya sos pencicah ada bersama pes perencah tadi saya dah panaskan juga. Di bawah ni saya kongsikan resepi Air Asam Special Jimat Masa untuk para pembaca sekalian.

Air Asam Special Jimat Masa
1 labu bawang besar
1 biji tomato
2 atau 3 biji cabai melaka 
1 biji cili hidup
2 biji limau kasturi
Air asam secukupnya-kalau suka banyak kuah, banyakkan airnya
Secubit belacan 
Budu secukupnya (saya tak letak garam sebab budu dah masin, nak letak cencaluk pon ok)
Gula secukupnya

Langkah-langkahnya:

1. Rincik bawang, tomato, cabai melaka dan cili hidup.
2. Peroikan gula dan belacan kemudian perahkan limau kasturi.
3. Masukkan air asam kemudian perasakan dengan budu. Gaul rata-rata dan siap untuk dihidang.

Ayam Golek Madu bersama sos yang tak digolek tetapi dibakar.


Daging bersama sos yang dipanaskan.

Daging bakar bersama Air Asam Special yang jimat masa. Kawan saya orang Melaka panggil Air Asam ni 'Sambal Tomato'. Panggil apa pun boleh, janji sedap dimakan! (Maaf gambarnya gelap sikit)
Itulah hasil-hasilnya seperti gambar di atas ya kawan-kawan! Selamat berbuka saya ucapkan. Kalau ada pertanyaan mengenai pes-pes yang saya ceritakan tadi, jangan segan untuk hubungi saya tau! Sekian perkongsian harini, Insha Allah jumpa lagi kita di lain masa dengan kisah lain pula.

Sekian, Wassalam wbt

Sunday, 14 July 2013

Jom Sahur dengan Oval Chicken Bergedil a.k.a Bergedil Ayam Bujur!

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum W.B.T

Hari ini sudah hari kelima kita berpuasa, kawan-kawan di luar sana masak apa untuk bersahur ya? Bersesuaian dengan Idea Jimat Masa, saya perkenalkan salah satu pilihan makanan sejuk-beku yang dihasilkan oleh Abdullah FOODS iaitu Oval Chicken Bergedil. Sudah pasti tanpa MSG, diproses dari daging dada ayam segar dan rempah-ratus terpilih enak dimakan dengan sos ataupun dijadikan lauk dalam hidangan seperti aneka bihun goreng, bihun sup, nasi, mee goreng hinggalah ke mee kari. Kalau tetamu datang buat lawatan mengejut, jangan gelabah, keluarkan sahaja dari peti sejuk boleh terus digoreng, memang tersangatlah praktikal di saat-saat kecemasan, Sudah pasti ianya halalan toiyyiban, sedap lagi terangkat, tetamu datang Insha Allah pulang dengan senyuman.


Ini dia Oval Chiken Bergedil (OCB) dengan promosi amal jariah sos-sos yang sesuai dijadikan pencicahnya.

Jadi sebagai bonus, saya paparkan resepi mudah dan ringkas idea untuk bersahur. Jangan bimbang, resepi yang menggunakan Oval Chicken Bergedil keluaran Abdullah FOODS ini sangat cepat disiapkan tak sampai 15 minit, sesuai untuk bersahur, moreh mahupun berbuka untuk sukatan dua orang dewasa makan.

Bihun Singapore OCB ala Jimat Masa

Bahan-bahannya:

Bihun 1/5 atau 1/4 bungkus
2 atau tiga ketul Oval Chicken Bergedil Abdullah FOODS (OCB) dipotong-potong
Udang yang dbuang kulitnya
Bawang merah kecil - 2 ulas
Lobak Merah - 1/2 batang dipotong halus memanjang.
Telur ayam sebiji
Taugeh - jika suka
Serbuk lada sulah
Serbuk lada hitam
Garam

Bahan sambal kicap:

Cili api - 3 atau empat biji
Bawang putih - 2 ulas
Kicap manis secukupnya
Garam ikut keperluan

Langkah-langkahnya:

1. Bersihkan bihun dan rendam dalam air.
2. Sementara tunggu bihun kembang, masukkan minyak secukupnya buat telur hancur dahulu dan ketepikan.
3. Dalam kuali yang sama, tumis bawang merah sampai wangi tapi jangan sampai perang. Masukkan udang, masak sekejap kemudian masukkan OCB yang dipotong tadi.
4. Masukkan serbuk lada sulah, serbuk lada hitam, garam, lobak merah yang dirincik, gaul dan biar sebentar.
5. Masukkan bihun, gaul rata kemudian masukkan taugeh seterusnya telur hancur tadi. Gaul rata, seimbangkan rasa dan siap dihidang dengan sambal kicap.

Cara buat Sambal Kicap:

1. Tumbuk atau blender semua bahan sambal kicap, siap untuk dihidang.


* Taktik Jimat Masa di Dapur:
1. Rendam bihun dalam air panas secukupnya
2. Guna pengupas kulit (peeler) untuk dapat potongan lobak yang nipis dan sekata, kemudian dirincik. Ataupun boleh guna penyagat sahaja. Sangat efisien. 
3. Perasan tak dalam langkah ke.3 saya cakap masak udang sekejap saja, Udang tak akan kurang atau, terlebih masak, jangan bimbang haba bihun dan bahan lain akan bantu proses memasaknya dan hasilnya udang masih berjus dan tak kenyal, cair dalam mulut bak kata Papa Joe Masterchef.

Inilah hasilnya;

.:Bihun Singapore OCB ala Jimat Masa:.


Dipersilakan menjamu mata kawan-kawan! (kalau di rumah bolehlah saya jemput bersahur, berbuka, jemput makan dan macam-macam jenis jemputan lagi kan). Mahukan lebih idea resipi menggunakan OCB? Silakan jangan segan-silu tinggalkan komen untuk saya ya, Insha Allah saya akan kembali dengan resipi-resipi yang lebih mengancam! Sekian dulu dari saya, hingga kita bersua lagi, eh mana nak dapat OCB kecur liur dari Abdullah FOODS ni? Jangan bimbang adik kakak boleh hubungi:

Nurulhusna: 017-9453559 (sms 24/7)

ataupun jemputlah terus ke Laman Mukabuku Abdullah FOODS berikut:

https://www.facebook.com/pages/Abdullah-FOODS/578447382199653?ref=tn_tnmn


Sekian, Wassalam wbt




Ramadhan di Pantai Timur - Hari Ketiga

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum W.B.T


Marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran dengan Izin dan Limpah KurniaNya dapat kita bersua lagi dalam cerita saya berpuasa di Pantai Timur yang telah masuk hari ketiga. Saya mengajak kawan-kawan bersama saya hayati kata-kata di bawah dari Imam Ghazali:

(Sumber: Facebook)

Di kesempatan kita berada dalam bulan 'Yang Lebih Baik Dari Seribu Bulan' ini, tidak rugi rasanya jika kita lakukan Solat Sunat Taubat memohon maghfirah dan keampunan dari dosa-dosa kecil mahupun besar yang telah kita lakukan. Waktu sahur kadang-kadang bersisa sementara menunggu Azan Subuh kan, makanya jom berusaha!

Kawan-kawan, hari ketiga berpuasa saya di rumah mertua tidak kemana-mana dari awal pagi kemudian menerima kunjungan dari ibu saudara membawa jemputan Walimah anak dan adik lelaki beliau. Kira kenduri dua mempelai serentaklah ni (khabarnya Insha Allah akan berlangsung tiga hari tiga malam, Subhanallah dahsyatnya!) Tahun ini giliran beraya Aidil Fitri di sebelah keluarga saya memandangan suami bertugas, kalau sempat Insha Allah kami pasti pulang dengan paling kurang Agar-agar Kering pelbagai varian keluaran Abdullah FOODS. Ada lagi ya zaman sekarang kenduri tiga hari tiga malam; saya belum pernah rasa pengalaman kenduri meriah-meriah begini. Teruja pon ada hati ni.

Sejurus ibu saudara beransur pulang, suami mengajak keluar ke bandar; nak cari hadiah buat orang baru katanya. Ibu saudara yang baru datang 'memanggil' tadi sebenarnya baru terima cucu kedua, jadi kami buat keputusan pergi melawat 'baby' sekejap lepas itu terus ke Bazar Ramadhan disebabkan suami teringin Ayam Golek, saya pula teringin Murtabak (teringin Murtabak Raja tapi bagitahu suami murtabak biasa sebab segan nak susahkan dia), Onde-onde dengan kuih Akok. Selalunya kejadian teringin macam-macam ni mak saya panggil 'Hawa puasa' kependekkan dari hawa-nafsu-di-bulan-puasa gamaknya!

Makanya dapatlah segerombolan beg plastik makanan (kecuali Akok) suami saya borong untuk bawa balik berbuka. Saya tunggu dalam kereta kerana cuaca masih terik di luar, kesian pula anak kami berpanas-panas nanti (taktik orang mengandung yang tak larat turun kereta). Dengar macam banyak sangat makanan, tapi tak mengapa disebabkan abang ipar dan biras dalam penerbangan pulang dan Insha Allah sempat berbuka bersama. Alhamdulillah, syukur dengan nikmat pemberianNya walaupun sudah tiga hari tak dapat kuih Akok, nantikan cerita saya keesokan harinya pula bagaimana ya.

Saya rasa setakat ini cerita yang menarik untuk hari ketiga Ramadhan di Pantai Timur, jumpa lagi ya dalam Ramadhan di Pantai Timur- Hari Keempat


Sekian dari saya yang kepingin kuih Akok, Ma'as Salamah wa Ilal Liqa'


Wassalam wbt

Detik Terdetik Rasa Nak Belajar 'Blogging' dengan Betul

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum W.B.T

Hai semua, apa khabar hari ini? Kita dah berada pada 5 Ramadhan, setakat ini bagaimana keadaan kita ya kawan-kawan? Semalam saya sempat tengok berita jam 8 malam, Astagfirullahal'azim, dah ada yang masuk hospital dek kerana main mercun tak kiralah mercun beli ataupun mercun buatan sendiri. Cakap ni bukan apa, kaum Adam dalam keluarga saya ni pun penggemar mercun, aduhai, ada tips tak nak mematikan semangat insan-insan yang gemarkan permainan berbahaya lagi membahayakan ni?

Maafkan saya, mukaddimah amat bertentangan dengan matlamat asal! Tujuan sebenarnya bukanlah nak bercerita pasal mercun tapi sebab-musabab saya mulai berminat dengan Kelas Asas Blog dan Penulisan  di ajar oleh Guru Online saya iaitu Puan Khairunnisa Hamzahara  http://khairunnisahamzahara.blogspot.com/
yang merupakan rakan sekolah lama saya. Saya tahu beliau seorang arkitek dan semakin hari saya ikuti 'post-post'; beliau di facebook saya dapati beliau telah meletakkan jawatan sebagai penjawat awam dan menjalankan perniagaan sendiri. Pada awalnya saya hanya membaca tetapi bak kata emak saya, 'tak masuk di hati' mengenangkan saya juga meletakkan jawatan sama seperti beliau, bezanya saya masih dalam fasa memerah otak untuk menetapkan matlamat hidup saya sedangkan beliau semain rancak. Lama kelamaan saya lihat beliau semakin mantap dan istiqamah berkongsi idea-idea dan buah fikiran yang matang dan positif.

Memang tak boleh jadi, saya semakin ambil perhatian dan akhirnya saya klik juga blog beliau seperti URL di atas. Wah, menarik dan sangat professional cara beliau ber'bloging'! Kemudian baru saya terperasan iklan beliau yang menganjurkan Kelas Asas Blog dan Penulisan ini, waktu itu memang saya tidak cukup duit hendak bayar yuran penyertaan, saya diamkan sahaja. Saya baca lagi blog beliau.dan memikirkan bagaimana nak sertai kelas tersebut. Seminggu dua kemudian saya beranikan diri bertanya kerana saya fikir daripada berdiam diri, terlepas peluang di hadapan mata. Dalam keadaan saya yang tinggal di rumah tanpa pendapatan yang baik dan tetap mahu terus tinggal di rumah dan menjana pendapatan yang lumayan saya kira tidak rugi membayar RM150.00 untuk ilmu yang saya tidak ada ni (saya terlepas peluang yuran RM130.00 kerana tamat tempoh promosi tapi tak mengapalah). Ada yang 'kepelikkan' bila dengar yuran RM150 semata-mata hendak belajar buat blog tetapi bagi saya biarlah apa yang nak difikirkan oleh orang lain kerana saya tidak mahu blog saya dibaca sekali lalu dan tidak diikuti oleh pembaca. Saya mahu pembaca ternanti-nanti apakah yang bakal saya kongsikan dan mahu tahu cara mengekalkan momentum dalam ber'blogging' ini.

Alhamdulillah selesai bayar yuran, Nisa (panggilan kepada Guru Online saya) masukkan dalam Group Belajar dan saya lihat ramai peserta lain sudah maju dalam blog mereka. Blog mereka ada gaya tersendiri walaupun kami belajar dari guru yang sama. Saya mula nampak persekitaran yang menggalakkan idea kreatif kita boleh berkembang dari sini. Kelas juga sangat interaktif, dijalankan mengikut masa kita sendiri, ada perbincangan dan analisa sesuai dan unik untuk setiap individu. Saya juga nampak hala tuju periuk nasi saya selepas ini dan saya dapatkan rasakan perlaksanaan mencapai perancangan saya akan menjadi lebih kemas dan realistik. Insha Allah perjalanan saya selepas ini lebih rancak dan istiqamah tambahan pula ada dua orang lagi kawan sekolah lama saya yang menyertai kelas ini. Sekiranya kawan-kawan mahu meningkatkan profesionalisme di dalam ber'blogging' dan menulis, silalah klik pautan ini : http://khairunnisahamzahara.blogspot.com/p/blog-page_5160.html . Tidak rugi mencuba kerana mungkin peluang ini seperti datang bergolek sewaktu kita tidak perlukannya, tetapi sewaktu kita perlukannya ia tidak lagi dipanggil peluang. Betul kan?

Sekian sahaja perkongsian saya tentang kelas online ini, berjumpa lagi kita Insha Allah dalam entri-entri saya di lain masa! Ma'as Salamah wa Ilal Liqa'!

Wassalam WBT


Saturday, 13 July 2013

Ramadhan di Pantai Timur - Hari Kedua

Teks: Siti Nurulhusna binti Hashim

Assalamualaikum W.B.T

Bertemu lagi kita untuk menatap kisah saya berpuasa di Pantai Timur. Saya harap kalian kekalkan kesegaran dan stamina untuk kita jalani ibadah puasa di hari-hari mendatang dengan penuh pengisian. Entri kali ini saya cerita apa yang saya buat pada hari kedua Ramadhan di tempat suami.

Pada 2 Ramadhan, seawal jam empat pagi saya lihat ibu mertua sudah bangun menanak nasi dan memanaskan lauk yang dimasak semalam iaitu Sup Ketam. Aduhai, saya memang sukakan ketam, tetapi saya akan mengambil masa dua jam atau lebih untuk menghabiskan seekor ketam dengan kuah-kuahnya sekali (ini kalau banyak masa terluang). Apakan daya, saya hanya memandang ketam tersebut sambil memikirkan anak yang sedang tidur di atas katil berseorangan, saya menjamah lauk yang mudah dan cepat dimakan bimbang dia terjatuh dari katil. Selesai bersahur saya terus melakukan urusan saya denganNya sambil-sambil menunggu Azan Subuh. Sudah dijangka si kecil ini akan terjaga dengan mata terbuka dan merangkak hendak turun dari katil. Saya hulurkan botol ke mulut si anak dan matanya pejam kembali kemudian terjaga lagi sejurus mendengar Azan Subuh. Semangat betul si bulat ini tak mahu lelapkan mata. Kebetulan suami pun baru sahaja masuk ke bilik, jadi sempatlah kami bergilir bersolat sementara beliau dodoikan anak. Manja sungguh anak ini; tidur mahu rasa dipeluk-peluk.

Saya tanyakan pada suami jika tiada rancangan saya mahu ajak ke Terengganu menghantar Kerepek Tempe keluaran Abdullah FOODS yang dipesan adik saya. Beliau setuju untuk pergi selepas anak bangun dari tidur. Dipendekkan cerita saya bersiap untuk bertolak bersama-sama bekalan pakaian, makanan dan susu anak seperti biasa. Sungguh gembira Si Abdullah bila hendak naik kereta macam tahu-tahu sahaja kami menuju ke Terengganu; pertama kali buat dirinya. Kerepek Tempe memang sudah ada dalam kereta siap diletakkan di dalam kotak untuk penghantaran istimewa kepada pelanggan istimewa.

Tak sabar lagi dah Abdullah nak buat Kerepek Tempe Special Delivery!

Perjalanan memakan masa dua jam dan kami gunakan laluan pantai, bukan sahaja untuk mengambil angin tetapi juga menjimatkan masa kerana laluan pantai lebih dekat untuk ke Kuala Terengganu. Seronoklah anak saya (saya dengan suami pun seronok juga, bahkan terlebih seronok melihat gelagat si kecil pertama kali melihat pantai, entah apa yang di fikirannya kami pun tak tahu :D ). Kami singgah di Kedai Sukaramai membeli sedikit keropok lekor untuk adik dan selebihnya untuk dibawa pulang. Keropok lekor juga makanan yang sihat yang elok dijadikan stok makanan di rumah. Cadangannya hendak ke Bukit Tok Beng memburu keropok lekor yang saya dan suami sangat gemari, namun sudah tertulis bukan rezeki kami, kedainya tutup.
Pertama kali sedar kewujudan pantai. Suka tak, suka tak, suka tak? (tanya macam Chef Ammar TV Al-Hijrah)

Di sinilah tempat kejadian.
Keropok lekor Sukaramai
Sesampainya di rumah sewa adik, kami masuk untuk solat Zuhur dan berehat sebentar sementara menunggu untuk mandikan anak. Penting untuk kita wahai para sekalian pembaca memandikan anak terutamanya dalam cuaca yang agak panas untuk mengelakkan mereka daripada demam. Tetapi seeloknya tunggu sebentar untuk beri peluang menyejukkan badan sejurus turun dari kereta. Galakkan mereka minum banyak air masak untuk mencegah hidrasi atau kekeringan air. Sekiranya mampu, sediakan tuala lembap di dalam kereta, kerana penghawa dingin juga boleh mempercepatkan kehilangan air dari badan kita. (Ilmu ini saya belajar dalam Kursus Kecantikan).


Siap dimandikan (oleh Achik) yang kerinduan. 

Mengimbas kembali kenapa adik saya mahukan stok Kerepek Tempe ini; jawabnya bila disoal ialah kerana dia kesuntukkan masa untuk memasak. Jadi dia perlu sesuatu yang tahan lama dan mengenyangkan lagi cepat, sihat dan sedap. Alhamdulillah, tiada sokongan yang lebih penting melainkan dari keluarga sendiri. Saya bersyukur adik saya boleh memahami tujuan penubuhan Abdullah FOODS dan boleh mengambil faedah darinya juga. Dipesannya lebih untuk dihadiahkan kepada insan-insan yang banyak membantu kerja-kerja kajian Ijazah Sarjananya. Maka, misi penghantaran selesai dan dan kami menuju pulang ke rumah mertua. Dalam perjalanan pulang suami teringin hendak berbuka dengan Manisan Lompat Tikam, kebetulan ada deretan gerai sepanjang jalan menjual juadah dan kuih-muih berbuka, kami singgah dan buat keputusan untuk tidak ke Bazar Ramadhan untuk menjimatkan tenaga dan masa. Yang diperlukan sudahpun dijumpai, kami pulang membantu persediaan berbuka di rumah.

Kami akhiri hari kedua dengan amalan tarawikh seperti biasa tetapi malam ketiga tarawikh suami kerjakan di rumah sahaja dek penangan Abdullah yang giat bersukan. Hampir pengsan saya dibuatnya tetapi saya bersyukur suami bertolak ansur dengan menemani kami di rumah, Setelah berjaya menidurkan bayi aktif dan lasak ini, kami teruskan dengan perjumpaan denganNya demi mencari kemanisan hidup.

Apa aktiviti kalian Ramadhan kali ini, sudi-sudikanlah tinggalkan komen untuk saya ya! Hingga berjumpa lagi dalam siri Ramadhan di Pantai Timur- Hari Ketiga. Sekian,


Wassalam wbt





Friday, 12 July 2013

Ramadhan di Pantai Timur- Hari Pertama

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum W.B.T


Apa khabar semua pembaca? Bagaimana dengan awal Ramadhan kalian ya? Jikalau Bulan Sya'aban dipenuhi dengan kegiatan gotong-royong di masjid-masjid dan tanah-tanah perkuburan, masuk sahaja Bulan Ramadhan kegiatan makin rancak tak kiralah kegiatan masyarakat mahupun urusan persendirian. Di celah-celah amalan Sunat Tarawikh, Qiamullail, Majlis Berbuka dan Majlis Amal, tak kurang juga yang sibuk membeli-belah untuk bekalan sebulan berpuasa ini, ada yang balik kampung, ada yang baru siap ubahsuai rumah, ada yang baru selesai siapkan baju raya; pendek kata macam-macam senario yang dapat kita lihat di luar sana. Yang pastinya masing-masing inginkan yang terbaik untuk puasa tahun ini. Harapan saya semoga kalian jaga diri dan kesihatan supaya sebulan ini boleh kita penuhi dengan sesempurna mungkin. Insha Allah.

Apa pula kisah saya ya? Begini pula perkongsian tentang awal Ramadhan keluarga kecil saya untuk santapan pembaca yang dikasihi. Malam pertama Sunat Tarawikh saya dan suami selesaikan di Pulau Pinang; suami ke masjid, saya bertarawikh di rumah setelah suami pulang. Sehabis Tarawikh sedikit masa untuk kerja mengemas beg dilakukan oleh suami memandangkan baju-baju sudah siap dilipat kemudian keesokan paginya kami bersahur bergilir-gilir memandangkan si kecil masih lagi nyenyak tidur. Siap sahaja beg dan bakul anak dimasukkan ke dalam kereta, kami bertolak awal pagi 1 Ramadhan menuju ke Pantai Timur.

Baru sahaja kereta bergerak saya dapati bonet tidak boleh ditutup, suami berhentikan kereta dan saya turun selaraskan kunci bonet, Alhamdulillah boleh ditutup dan perjalanan diteruskan. Kami berhenti setelah mata terasa berat dan si kecil perlu dimandikan memandangkan kami bertolak tadi agak awal pagi dan hujan renyai-renyai, kasihan pula nak mandikan dia. Bonet tidak boleh dibuka! Alarm dan kunci dan tidak berfungsi, mujurlah ada beg kecil barang-barang dan baju si kecil, maka bolehlah saya mandikan anak dahulu. Kami teruskan perjalanan masuk sekejap ke Pekan Lunas sambil perhatikan di tepi-tepi jalan untuk mencari kedai baiki kereta. Setelah beberapa kedai ditanya nampaknya tidak ada yang boleh baiki, Kami buat keputusan teruskan perjalanan,  Alhamdulillah ada kedai baiki kereta dibuka dan kami terus bertanya kepada pemiliknya dan akhirnya, kunci bonet boleh dibaiki tanpa perlu ketuk kereta dan rosakkan lubang kunci bonet! (Saya rasa sangat-sangat bersyukur kerana sebelum itu beberapa mekanik sarankan kami pergi kedai ketuk untuk buka kunci :) ) Ini semua pertolongan dariNya, masa jimat, wang pun jimat kerana pemilik kedai terakhir yang kami jumpa itu sangat cekap dan upahnya sangat berpatutan. Ingin saya kongsikan, biarlah kita habis sedikit masa untuk membuat pertimbangan dan perkiraan, asalkan kita dapat penyelesaian yang terbaik dan tidak menimbulkan masalah yang baru.

Perjalanan diteruskan sambil-sambil itu saya mendodoikan anak dengan Burdah Ya Hanana, Nasyid Aa Ba Ta, Asmaullahil Husna dan juga Nasyid 25 Rasul yang digemarinya. Kalau anak lapar atau mahu susu, suami perlahankan kereta berhenti sekejap tak sampai 2 minit kami teruskan semula tetapi bukanlah disebabkan tergesa-gesa, ini kerana saya sudah siapkan bekal anak dalam pek yang kecil-kecil yang mudah dicapai dan hanya perlu ditambah air panas sahaja. Saya sediakan juga tuala kecil lembab untuk mengelap mulut anak (saya tidak guna tisu basah, kerana kulit si kecil saya ini agak sensitif). Bila berhenti untuk jangkamasa yang lebih panjang, saya atau suami akan basuh semua bekas makanan dan botol-botol susu dan masukkan air panas siap-siap dalam botol dan disimpan dalam beg tahan panas bersaiz kecil juga untuk tujuan mudah dicapai dan dikendali di ruangan sempit seperti di dalam kereta. Tambahan pula saya agak sukar bergerak dengan usia kandungan kini mencecah tujuh bulan. Manalah tahu anak mahu susu dan susah pula cari tempat berhenti. Saya juga sediakan pilihan makan yang mengenyangkan seperti biskut oat, biskut sayur-sayuran kek buah-buahan tidak ketinggalan beberapa jenis kerepek keluaran Abdullah FOODS seperti Kerepek Tempe, Serunding dan roti kosong.

Sementelahan kembara balik kampung kami di bulan puasa, jadi sebekas kecil kurma saya masukkan ke dalam bakul makanan. Makanan tidaklahlah terlalu berat tetapi Insha Allah amat sesuai dan bertepatan dengan perjalanan kami yang selalunya mengambil masa enam hingga tujuh jam. Kami juga akan mengisi semula botol-botol air dengan air paip dan air masak sebagai persediaan menukar lampin anak di saat-saat tandas sukar didapati. Beg plastik yang kecil-kecil akan menjadi tong sampah sementara saya, juga akan dibuang ke dalam tong sampah sekiranya kami berhenti di mana-mana. Semua ini persediaan ringkas yang kami amalkan sekiranya hendak berkelana kerana kami pernah tersangkut berjam-jam hingga awal pagi  di beberapa kilometer selepas hentian Titiwangsa dek kerana lori kontena terbalik merentangi jalan. Mujurlah anak masih menyusu badan pada ketika itu namun dari sebonet durian Balik Pulau ole-ole untuk keluarga mertua terpaksa kami 'kendurikan' sebiji-dua kerana kelaparan.

Hujan renyai-renyai bila kami sampai di kawasan Jeli. Saya senantiasa ingatkan suami supaya patuhi had laju maklumlah keretapun baru sahaja diservis dengan minyak enjin berkualiti. Memang selesa memandu hingga tak sedar rupa-rupanya semakin memecut. Malang sebenarnya tidak berbau terutamanya disaat hati kita semakin melonjak-lonjak ingin bertemu orang tua tercinta. Kami singgah di Bukit Bunga untuk membeli buah pauh yang dipesan adik ipar dan meneruskan perjalanan. Alhamdulillah kami selamat sampai ke destinasi petang itu dan sempat menikmati juadah berbuka yang pertama. Ada Ayam Percik, Sup Daging, Onde-onde, Butir Nangka, Daging Goreng Kunyit dan lain-lain lagi, Semuanya ibu mertua saya beli di kantin sekolah kecuali Sup Daging memandangkan beliau selalu sampai di rumah jam 4 petang. Hendak singgah di Bazar Ramadhan, badan pun sudah keletihan. Terdetik kesal di hati kecil saya kerana tidak bawa pulang produk sejuk-beku Abdullah FOODS untuk menjimatkan masa dan tenaga beliau di dapur setelah pulang dari sekolah. Maafkan saya ye Ummi, Insha Allah lain kali saya bawa balik produk Abdullah FOODS untuk membantu Ummi.

Malam itu suami dan ahli keluarga yang lain ke masjid untuk bertarawikh dan saya menunggu giliran menunaikan tarawikh di rumah setelah suami pulang. Akhir kata, saya yakin para pembaca masing-masing mempunyai cara tersendiri menyiapkan bekalan untuk perjalanan yang jauh tetapi sudi-sudikanlah mencuba gaya penjimatan masa dan wang cara saya yang saya yakini lebih sihat kerana tidak melibatkan jajan dan makanan segera yang ber'MSG'. Jika mahu mencuba rangkaian makanan dari Abdullah FOODS? Sudi-sudikanlah ke pautan Facebook yang saya sediakan ataupun tuan-tuan dan puan-puan bolehlah membuat tempahan disini.


Sekian, hingga bertemu dalam entri berikutnya, Awal Puasa di Pantai Timur - Hari Kedua.


Wassalam


Yang ditunggu-tunggu

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum w.b.t

Bertemu lagi kita ya. Apa khabar semua? Alhamdulillah, Syukur kepada Allah SWT hari ini sudah  Ramadhan hari ke-3 dan apa yang tidak menarik dengan bulan puasa? Saya percaya di hati kecil masing-masing sangat gembira dapat juga sampai ke bulan yang penuh barakah ini. Jika bulan Rejab ialah Bulan Allah Ta'ala, Bulan Sya'aban pula Bulan Rasulullah, kita sebagai umat Islam pula diberi nikmat Bulan Ramadhan Al-Mubarak. Berbanggalah kita menjadi umat Islam dan marilah berusaha menjadi Ramadhan kali ini Ramadhan yang lebih baik dari yang sebelumnya. Hargailah masa dan mari sama-sama kita pendekkan masa untuk urusan yang boleh kita percepatkan demi memperuntukkan masa yang lebih dalam beramal-ibadah di bulan mulia ini.

Walaupun sudah hampir tiga hari kita berpuasa, saya kira belum terlambat untuk mengucapkan:

"Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak dan Selamat Beramal"

Gambar carian Google :)

kepada semua umat Islam seluruh dunia khususnya di Malaysia. Semoga usaha kita diterima Allah SWT dan memberi faedah kepada diri dan yang lainnya. Aamiinnn. Akhir kata, terimalah perkongsian beberapa rangkap pantun menggambarkan betapa bersyukurnya saya dapat bertemu Ramadhan Kariim (saya percaya para pembaca juga begitu).


Berdebar hati membilang waktu, 
        Tangan ditadah acapkali berdoa,
Syukur dikurnia jua Ramadhan yang kami tunggu, 
        Bulan amalan, bulan yang doa diterima.


Bazar Ramadhan sudah dikunjungi,
        Satu Rahmat dari seribu Rahmat Tuhan,
Ya Allah berikanlah kami apa yang kami ingini,
        Lailatul Qadar ingin kami manfaatkan.


Sekian dahulu dari saya dan Abdullah FOODS, Wassalam.

Sunday, 7 July 2013

Mari Berkenalan

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum wbt,

Awal kalam, saya panjatkan jutaan kesyukuran kehadrat Ilahi kerana dengan izinNya jugalah dapat saya memulakan catatan ilmiah saya di alam siber ini buat tatapan semua. Moga pengetahuan dan cetusan idea kurniaanNya yang diibaratkan setitis air dari selautan ilmu; Idea Jimat Masa ini menjadi manfaat kepada yang lain dan ingatan untuk diri saya sekeluarga. Terlalu sedikit untuk dikongsikan kerana saya bukanlah manusia hebat, namun inilah saya dan kehidupan seadaanya.

Siapa sangka Pulau Mutiara yang boleh dikategorikan sebagai urban rupa-rupanya ada puluhan kampung di sebalik deretan bukit. Antaranya tempat kelahiran saya iaitu Kampung Sungai Rusa, Balik Pulau. Walaupun orang menyangka saya orang 'Penang' ini hidup dengan tersangatlah urbannya, tetapi hakikatnya saya orang kampung, memulakan zaman sekolah di Taski Abim Kampung Perlis seawal usia lima tahun, kemudian ke Tadika Kemas Sungai Rusa sewaktu usia saya enam tahun. Langsung ke Sekolah Kebangsaan Sungai Rusa dan bermulalah zaman penuh momentum buat diri saya.

Dipupuk dan ditanam erti berdikari dan kenal diri oleh ibubapa, keluarga juga guru-guru yang sangat mulia. Pelbagai bidang saya terokai baik pentas debat, tahfiz, sukan semua saya ceburi demi mengenalpasti kekuatan diri. Alhamdulillah, semuanya sangat berguna hingga lah zaman sekolah menengah saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al-Mashoor (dua minggu sahaja), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nibong Tebal (hingga tingkatan empat sahaja) dan juga Sekolah Menengah Sains Muar.

Selepas tamat sekolah menengah bermulalah suka-duka di pentas fana, cabaran di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang kemudian kenangan manis di Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM), Terengganu yang sudah dinaiktaraf menjadi Universiti Malaysia Terengganu. Sungguh saya menikmati zaman ini kerana pengalaman yang dikutip sangat bernilai buat diri saya.

Selesai Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) di KUSTEM, saya mendapat tawaran Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim. Walaupun kabur-kabur dengan program tersebut, namun saya tetap juga pulang dengan Diploma Pendidikan Sains dengan Minor Pendidikan Fizik. Hari pertama praktikal di Sekolah Menengah Teknik Taiping, sewaktu bersiap-siap saya berpesan dan buat diri percaya bahawa 'saya seorang pendidik'. Sempat menabur bakti dari Disember 2007 hingga Disember 2010 di Sekolah Jenis Kebangsaan ( C ) Sacred Heart, Balik Pulau mengajar matapelajaran Sains, Sejarah, Amalan Bahasa Melayu, Pendidikan Moral juga Sivik disamping menjadi Guru Penasihat Kelab Hoki (sukan yang saya minati selain Bola Tampar). Sempat saya habiskan Sijil Kejurulatihan Hoki Tahap Satu sewaktu menjadi pendidik di sini. Kemudian saya bertukar angin mengajar di sekolah majoritinya pelajar Melayu Islam, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri, Balik Pulau dari Disember 2010 hingga Mei 2011. Matapelajaran yang saya ajar ialah Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni.

Di celah-celah meniti tangga akademik, saya sempat juga menolong ayah yang berniaga ayam proses segar dan halal juga ayam golek kerapnya di rumah, kadang-kadang di Pasar Tani, menolong emak menanda kertas peperiksaan, menjadi pemandu pasukan bola jaring dan menjadi hakim sukaneka di sekolah yang emak mengajar, menjual keronsang yang direka dengan tunjuk-ajar kakak, mengambil peluang cuti semester untuk bekerja sebagai operator pengeluaran di Renesas Semiconductor (2 bulan), kemudian menjadi Zoo Keeper di Zoo Melaka yang sangat menarik. Tamat program ijazah sementara menunggu konvokesyen, saya   berkerja di Pusat Perubatan Elektronik milik kenalan lama sebagai Pembantu Klinik. Seronok juga mempraktikkan ilmu biologi di sini terbukti menambahbaikkan penerangan terhadap para pesakit tentang penyakit mereka. Di sebaliknya, dapat pula saya menyerap ilmu promosi dan sedikit sebanyak menguruskan perniagaan dari insan tersebut yang sebaya saya, tetapi yang hebatnya sudahpun bergelar usahawan.

Hidup diteruskan, sewaktu bergelar penjawat awam, saya banyak termenung dan memikir apa hala tuju saya kerana bila diimbas kembali sewaktu saya sembilan tahun, pernah saya berdoa kepadaNya, Ya Allah, aku akan dapatkan ijazah dan mesti keluar universiti dengan paling kurang bergaji RM5000 sebulan. Kalau boleh, aku nak jadi bos (Fikiran berbaur duniawi budak Darjah Tiga). Pun begitu, hidup diteruskan hingga terjumpa seorang kakak yang mengenalkan saya dunia Multi Level Marketing sewaktu Kursus Induksi di Pulau Langkawi pada tahun 2008. Hidup menjadi semakin rancak dan bersemangat, Alhamdulillah rezeki berlipat kali ganda setimpal dengan apa yang saya korbankan sewaktu itu. Dapatlah saya meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi seperti apa yang diimpikan sewaktu di universiti. Maka berdaftarlah saya dengan Universiti Sains Malaysia untuk Program Ijazah Sarjana Sains (Botani) dan mengendalikan pelajar ke kerja lapangan, menanda tugasan dan mengawas peperiksaan adalah antara tugas saya sebagai Fellow pada masa itu. Pagi ke USM, tengahari ke sekolah, malam berbisnes. Sangat seronok dan saya rasa diri saya tersangat gila kerja.

Hidup semakin manis bila bertemu si dia di Friendster. Walaupun saya cuba mengelak perkahwinan kerana sedar betapa besarnya hakikat dan tanggungjawabnya, tapi dek kerana jodoh di tangan Allah SWT, sampai juga kami ke hadapan Tok Kadi pada Februari 2010. Bumi mana tak ditimpa hujan, begitu juga dengan hidup berumahtangga ada onak dan durinya. Saya menjadi lebih banyak berfikir dan kesihatan menjadi tidak menentu. Tiada aktiviti bisnes mahupun ke kampus. Hati bergolak hendak melakukan perubahan dan hasil istikharah saya meletakkan jawatan sebagai PPPS DG41 berkuatkuasa 30 Mei 2011. Ramai yang menentang dalam proses tersebut namun suratan Allah SWT tiada siapa boleh menghalang. Dalam kesihatan yang tidak menentu saya cuba teruskan kegiatan bisnes MLM dan ke kampus namun saya tewas. Saya banyak berehat di rumah, dan aktiviti semuanya berjalan dengan sangat minimum.

Dengan tidak terduga, sebaik sahaja kesihatan mulai baik saya mendapat khabar gembira berbadan dua namun hati bimbang kerana keluarga mendesak untuk kembali makan gaji. Saya nekad dan banyak berdoa mohon ditunjukkan jalan olehNya kerana saya ingin membesarkan dan mendidik anak dengan tangan saya sendiri. Pendek kata, kembali bekerja dan menghantar anak ke tangan orang lain adalah perkara pertama yang saya cuba elakkan. Saya cuba juga kembali ke arena MLM selepas bersalin, dengan bayi dan luka pembedahan yang mengambil masa lebih tujuh bulan untuk sembuh agak sukar saya melakukannya. Tambahan pula sewaktu terlantar di hospital selama sebulan lebih selepas pembedahan membuatkan saya kenal ragam manusia yang rambutnya pun dah tak sama hitam inikan pula hatinya.

Banyak yang saya tersasar sebenarnya dan kebelakangan ini saya cuba kembali fokus dan 'brainstorming' dengan menganalisa dan melakukan timbang-tara yang mana satu matlamat hidup saya dan syukur Dia masih sayang pada saya. Kekuatan seolah-olah semakin bertambah dan saya akan menguruskan keluarga dan menaiktaraf ekonomi dari rumah sahaja. Saya menubuhkan Abdullah FOODS sempena nama pertama anak sulung saya yang menyediakan pelbagai pilihan makanan sejukbeku, cemil-cemilan dan tradisional yang diperhalusi dan dikontemporarikan. Untuk anak kedua yang bakal lahir, kerangka projek kreatif jahitan bakal saya realisasikan juga melalui alam siber ini. Moga Allah mempermudahkannya kerana semuanya minat saya yang boleh dilaksanakan tanpa mengabaikan keluarga.

Berkat Rahmat dan Kasih-sayang Ilahi, sewaktu entri ini dikarang, perniagaan sudah mula nampak hasilnya. Ramai pelanggan yang gemar idea kreatif saya yang membantu mereka menjimatkan masa. Saya mendapat banyak tempahan harian bahkan untuk Ramadhan Al-Mubarak dan Aidilfitri yang bakal menjelang. Suami juga semakin banyak membantu dan kami sedang merencana rekabentuk kedai di tapak niaga berhadapan rumah kami yang Insha Allah akan dilaksanakan dalam tempoh 3-4 bulan terkehadapan.

Sebenarnya perjalanan masih panjang umpama 1000 tahun lagi kehidupan, tetapi saya semangat melonjak-lonjak untuk memberi keutamaan mencurah pengalaman melalui Idea Jimat Masa dimana perkongsian yang saya titipkan harap sudilah dimanfaatkan oleh semua pembaca.

Sekian, hingga kita bertemu lagi Insha Allah


Wassalam