Wednesday, 30 October 2013

Personaliti Mengikut Pohon

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Seperti dijanjikan, inilah penjelasan mengikut nombor pohon yang kalian pilih sebentar tadi. Tidak semestinya benar, tapi apa salahnya demi mengenali kekuatan dan kelemahan diri di samping merehatkan minda yang letih seharian.

1: Seorang yang pemurah, beretika dan bermoral (tetapi bukan jenis yang suka kondem orang ini beretika, orang ini tidak). Sentiasa berusaha meningkatkan diri, bercita-cita tinggi dan suka menetapkan matlamat yang tinggi. Orang sekeliling merasakan sukar untuk berinteraksi dengan anda namun lebih mudah untuk jadi diri sendiri. Sangat kuat berusaha dan pentingkan diri kerana anda ada matlamat yang kukuh dan besar. Anda sangat penyayang bahkan sangat mudah memaafkan walaupun disakiti. Ramai yang kurang menghargai usaha-usaha anda walaupun anda layak menerima pengiktirafan.

2: Seorang yang menyeronokkan dan jujur. Sangat bertanggungjawab dan suka mengambil berat tentang orang sekeliling. Anda amanah dan berintegriti dalam bekerja dan menerima tanpa banyak soal tugasan yang berkaitan dengan bidang kerja. Sangat mudah dipercayai dan mempunyai personaliti yang sangat baik. Anda bijak, pantas berfikir dan menghiburkan bila berbicara. Anda selalu ada cerita yang menarik untuk dikongsikan.

3: Seorang yang cerdas, bijak dan selalu berfikir malah mempunyai keupayaan berfikir yang hebat. Idea-idea dan pemikiran sendiri adalah satu keutamaan dan anda gemar meneliti keberkesanan, timbal-balik buah fikiran anda sendirian. Ini kerana anda lebih gemar 'menyimpan' dan membiarkan semua berlaku secara dalaman. Orang yang gemar berfikir dan belajar adalah yang paling anda sukai dan anda tidak pandai berpura-pura. Kebanyakan masa gemar berfikir tentang moral dan anda selalu lakukan perkara yang betul walaupun ramai orang menyangkalnya.

4: Seorang yang terang hati, mudah faham dan gemar berfalsafah. Anda unik dan jatidiri anda tulen, satu dalam sejuta. Anda mempunyai gerak hati yang kuat dan selalu menunjukkan pelbagai ragam yang sukar difahami orang lain dan ini menyebabkan orang di sekeliling selalu salah faham seterusnya menyebabkan anda patah hati. Anda perlu masa bersendirian. Idea kreatif anda berpotensi dikembangkan dan wajar mendapat pengiktirafan. Anda sangat tajam melihat aspek positif dan negatif dalam kehidupan dan anda selalu kelihatan sebagai seorang yang emosional.

5: Seorang yang yakin diri, bertanggungjawab dan sangat berdikari. Prinsip asas yang dipegang ialah " Saya akan lakukan cara saya". Anda boleh diharap dan tahu bagaimana menjaga diri sendiri dan orang-orang yang anda sayangi. Anda juga tahu apa yang anda mahukan dan tidak takut mengejar apa yang dihasratkan dalam hidup. Anda sangat mementingkan kejujuran dan anda seorang yang sangat boleh menerima hakikat.

6: Seorang yang baik dan sensitif. Orang gemar berhubung dengan anda dan kerana itu anda mempunyai ramai kawan. Anda juga ringan tulang membantu kawan-kawan. Kawan-kawan anda pula suka bila anda ada bersama kerana aura yang mesra, ceria boleh membuatkan mereka berasa selesa. Setiap hari anda berfikir jalan untuk memperbaiki diri kerana anda mahu menonjol, diperhatikan dan unik dari yang lain. Namun demikian, apa yang lebih penting ialah anda perlu mencurahkan kasih-sayang malah bersedia menyayangi sesiapa tanpa balasan.

7: Seorang yang ceria dan sukar dikecewakan kerana sentiasa tenang. Namun anda juga amat sensitif dan memahami dalam masa yang sama. Seorang pendengar yang setia dan tidak gemar menilai orang lain. Anda percaya setiap orang mempunyai jalan hidup masing-masing. Anda seorang yang terbuka untuk menerima kawan dan keadaan baru. Seorang yang jarang risau dan kalis tekanan kerana anda sangat relaks. Selalunya anda menghadapi masa-masa terbaik dan dengan baik, serta tidak hilang arah.

8: Seorang yang mempersonakan dan bertenaga. Seorang yang menghiburkan dan pandai membuatkan orang lain ketawa. Anda hidup dalam suasana yang harmoni dengan persekitaran. Selalu suka menerima cabaran kerana anda orang yang spontan dan bersemangat waja. Kebiasaannya tugasan atau sesuatu yang diusahakan anda akan mengejutkan dan mengagumkan orang lain. Tetapi itu memang sudah diri anda seadanya dan anda tegas dengan diri sendiri. Anda mempunyai minat yang pelbagai dan jika tiba-tiba sesuatu menarik perhatian anda, anda akan berusaha tanpa rehat hingga anda dapat menguasainya.

9: Seorang yang optimistik dan selalu bernasib baik. Anda percaya kehidupan ini ialah anugerah dan berusaha mencapai kejayaan sebanyak mungkin dalam hidup. Anda juga bangga dan berpuas hati dengan pencapaian-pencapaian anda. Seorang yang setia dengan orang yang disayangi dan mengharungi senang dan sudah bersama-sama. Anda tidak gemar hidup yang sia-sia dan bagi anda sekurang-kurangnya 'gelas itu separuh penuh' menandakan anda orang yang sangat bersyukur dan berlapang dada. Hidup juga terlalu singkat jadi anda lebih suka memaafkan, belajar dan terus membuat pencapaian dan guna peluang sebaik mungkin.

Sekian sahaja perkongsian dari saya, semoga ceria-ceria selalu!

Wassalam wbt.

Ujian Personaliti - Rehat Minda

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamulaikum WBT

Apa khabar semua? Diharap semunya sihat-sihat sahaja dan di bawah lindunganNya. Musim-musim hujan ini ramai yang berkunjung ke rumah sakit kerana demam, selsema dan sebagainya. Boleh dikatakan rata-rata yang mempunyai anak kecil paling ramai kelihatan mendapatkan rawatan di klinik mahupun hospital dan saya suami-isteri tidak terkecuali menghadapi anak demam. Syukur si abang sudah sihat dan bermain dengan lasaknya bersama dua orang sepupunya.

Di bawah ini saya kongsikan Ujian Personaliti berdasarkan Gambar Pokok (saya lihat di wall sahabat Sifu Masayu dan terus ke empunya blog http://clarissasblog.com/2012/09/24/personality-test/. Clarissa sudah terjemahkan dari Bahasa Russia ke English, Insya Allah saya akan terjemahkan ke Bahasa Malaysia pula). Baiklah terus ke ujian personaliti, syaratnya, lihat sepintas lalu dan pilih pohon mana yang paling menarik bagi kalian.
[Sila klik untuk imej lebih besar]
Bagaimana? Sudah pilih? Ingat nombornya dan klik entri saya "Personaliti Mengikut Pohon" untuk huraian dalam bahasa ibunda atau boleh klik di pautan blog Clarissa seperti  yang dinyatakan tadi.

Sekian,

Wassalam wbt

Tuesday, 22 October 2013

Produk baru di Abdullah FOODS

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Kemana menghilang si suami, sedar-sedar kereta dengan si abang sudah tiada di rumah. SMS pun tidak berjawab mungkin ada urusan di kedai agaknya. Tidak mengapalah, saya teruskan seperti biasa; memberi perhatian kepada si adik dan ronda-ronda dalam rumah emak ayah saya. Cari teman berbual.

Lewat petang baru pulang tapi si abang sudah siap mandi dan baju pun dah berganti, betullah mereka ke kedai. Ada PRODUK BARU sampai rupanya! Eh eh, gambar dan harga Lamb Chop pun belum di upload lagi, sudah ada yang menanti ya (telefon suami rosak, habis hilang semua gambar katanya, kena ambil pakai kamera pula lepas ini) . Girangnya rasa hati, mujur saya dalam pantang kalau tidak mesti saya sakan membodek suruh suami bawa pulang 'seketul-dua' KEK LAPIS SARAWAK yang terkenal dengan kesedapannya itu. Aduhai, kecur liur dibuatnya!

Sememangnya Raya Aidil Adha sudah berlalu, namun cuti sekolah semakin hampir. Kek ini boleh disimpan dalam peti dingin beku dan mudah dihidang jika tetamu datang mengejut. Seperti saya yang sedang berpantang banyak menerima kunjungan tetamu secara mengejut, sesuai sangat jika ada bekalan kek ini dalam peti. Kadangkala di musim kenduri-kendara, bilangan rakan-rakan lama emak dan ayah yang melakukan lawatan selepas makan kenduri memang tidak dapat dijangka. Dengan adanya produk seperti kek lapis ini di dalam peti, emak tidaklah terkejar-kejar memikir nak goreng itu nak goreng ini lagi. Kesedapan Insha Allah terjamin!
Wah!! macam-macam perisa ada! Saya tak sabar nak habis pantang.
Bagi peminat kek lapis Sarawak, bolehlah berhubung dengan suami saya yang gigih ini untuk harga dan perisa yang ada. En. Hilmi 0129866819. Kami juga mengalu-alukan bumiputera yang bercita-cita tinggi sekiranya berminat memasarkan produk Abdullah FOODS ataupun produk sendiri di Abdullah FOODS. Sesungguhnya Sunnah Nabi SAW dalam berniaga ada kemanisannya jika dikongsi bersama. Mari meneroka 9 per 10 bersama kami. 

Sekian, 

Dari Muslim untuk Muslim

Wassalam WBT

Musim Hujan - Penghasilan Agar-agar Kering Dihentikan Seketika

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Kebelakangan ini asyik hujan setiap hari. Ya tak ya juga kerana kita sudahpun di penghujung September dan akan masuk ke bulan Oktober. Bagi saya dan penduduk setempat di Balik Pulau, memang kami kerap juga menerima hujan kerana faktor geografi kawasan ini berhadapan dengan laut dan berdekatan dengan bukit. Dalam daerah yang kecil, ada kampung yang hujan dan ada yang tidak. Dari Kampung A kita tempuhi hujan yang lebat dan sesampai di Kampung B kering-kontang walau jaraknya kadang-kadang tidak sampai satu kilometer.

Dipendekkan cerita, saya di sini memohon maaf kepada para pelanggan setia Abdullah FOODS yang menempah Agar-agar kering kami kerana tidak dapat menunaikan permintaan kalian buat masa sekarang. Saya sedang menanti kelahiran dan cuaca pon tidak menentu menghalang proses pengeringan agar-agar dengan baik. Insha Allah saya akan kembali memprosesnya setelah tamat berpantang di pertengahan November nanti. (Rasa bersalah yang teramat sangat terutama sekali kepada Cik Puan Biras tersayang di Kuala Lumpur: Maafkan saya ya..) Pun begitu, kami hanya akan memproses jenis agar-agar kering tertentu sahaja, kerana kami bercadang untuk menjadi pengedar kepada Agar-agar Kering Adamshoppe yang lebih berpengalaman dalam pemprosesan agar-agar kering ini. Diharapkan segalanya dipermudahkanNya.

Akan tetapi produk sejukbeku tetap dijual seperti biasa dan sesiapa yang berminat untuk mencuba rangkaian makanan sejukbeku kami seperti Chicken Chop dan Lamb Chop (pelbagai perisa dan sos) bolehlah menghubungi En.Hilmi 0129866819.

Sekian,

Dari Muslim untuk Muslim..


Wassalam WBT

Kenali Tubuh Badan Sebelum Berubat

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Sedap sungguh air tangan emak, lauk ikan bakar dengan ulam dan nasi panas. Berselera saya menjamahnya. Siapa cakap lauk berpantang menjemukan? Kadang-kadang "less is more" bak kata Orang Putih. Hari ini hari kelima dengan orang baru. Suami masih sibuk menyiapkan pesanan dan stok; katanya kawan-kawannya banyak yang menggandakan pesanan makanan sejukbeku kami kerana hendak dibawa balik ke kampung halaman sebagai ole-ole juga bekalan hari cuti Raya Korban yang hanya beberapa hari sahaja lagi. Terima kasih dari kami di Abdullah FOODS kerana kepercayaan dan sokongan pembeli menjadi asas kejayaan kami, Alhamdulillah.

Antara produk yang 'laju' hingga tidak sempat masuk dalam peti sejukbeku ialah Lamb Chop Frozen pelbagai perisa. Yang menarik perhatian saya ialah seorang sahabat suami bawa pulang tiga bungkus produk ini ke rumah mertuanya, Masha Allah tak perlu susah-susah; panggang sahaja di atas dapur, siaplah hidangan! Kebetulan isteri beliau yang juga rakan saya sedang berpantang, jadi elok sangatlah jika sang suami dapat membantu di dapur dalam waktu-waktu begini.

Sambil saya mendengar suami tersayang habis melaporkan senarai pembeli-pembeli baru dan yang setia untuk hari ini, fikiran menerawang dengan persoalan samada wanita berpantang boleh makan daging kambing ataupun tidak? Kemudian muncul pula persoalan apakah senarai makanan yang boleh dan tidak boleh dijamah oleh ibu-ibu yang berpantang? Baik yang bersalin secara normal mahupun pembedahan. Antara pendapat dari umum ada yang menggalakkan makan daging bakar, makan ayam bakar, makan ikan kering dan macam-macam lagi. Namun begitu, saya berpendapat lebih baik kenali tubuh badan kita sendiri dan kenalpasti apa yang sesuai dan tidak sesuai dengan kita sebelum menuruti mana-mana petua sekalipun.Untuk saya menerangkannya secara saintifik, mungkin memerlukan beberapa entri lagi. Jadi saya harap bahasa yang saya gunakan mudah untuk difahami pembaca sekalian.

Bagaimana mengecam makanan yang serasi dan tidak serasi dengan kita? Baiklah, cara yang pertama yang menjimatkan masa ialah dengan bertanya kepada ibu atau nenek, makanan apa yang ibu dan nenek makan semasa berpantang. Makanan yang dimaksudkan merangkumi semua kategori kelas makanan dari protein hinggalah ke sumber vitamin dan mineral. Sebagai contoh, ada antara kita boleh menjamah ikan cencaru, tapi bagi sesetengah yang lain mungkin salah satu sumber protein ini 'berbisa' dan mendatangkan mudarat. Regim berpantang yang menjadi amalan ibu dan nenek memang berguna kerana mereka telah sedia maklum apa yang serasi dan tidak dengan diri dan oleh kerana kita berkongsi genetik yang sama dengan ibu dan nenek, makanya kebarangkalian yang besar jika nenek tidak boleh memakan kobis semasa berpantang, kita juga tidak boleh memakannya.

Yang kedua ialah mengenalpasti makanan yang memang tidak sesuai dimakan ketika dalam pantang contohnya seperti sayur-sayuran atau buah-buahan yang bersifat sejuk seperti timun, taugeh, labu, kangkung, pucuk ubi kayu, pucuk paku, tembikai, pisang dan lain-lain lagi. Manakala sumber protein seperti kerang, sotong, ketam dan ikan yang 'berperut hitam' haruslah dielakkan kerana boleh menyebabkan kegatalan, keluar air bisa seterusnya menyebabkan tempat luka kita bernanah. Begitu juga dengan makanan segera yang tinggi kandungan MSGnya; pengambilannya adalah dilarang sama sekali.

Kemudian, kita juga boleh cuba dan belajar dari kesalahan. Sebagai contoh, semasa pembedahan apendik saya, saya dapati luka pembedahan mengeluarkan air bisa setelah saya menjamah ayam bakar. Maka sewaktu berpantang anak sulung, memang saya cuba elakkan memakan ayam kerana keadaan tersebut. Pernah juga dek menjaga hati insan yang menyediakan hidangan, saya jamah juga lauk ayam yang disediakan khusus untuk saya; memang tambah berairlah luka pembedahan saya selepas itu. Waktu itu tempoh berpantang bersalin sudah habis cuma luka yang belum sembuh dan saya berada di luar kawasan. Dari pembacaan saya, rupa-rupanya ayam moden memang berbisa dan tidak sesuai untuk orang berpantang mungkin kerana suntikan mempercepatkan tumbesaran yang diberikan. Patutlah kaum Cina mengamalkan memakan ayam kampung dan ayam selasih yang dikukus atau dibuat sup dengan pelbagai herba semasa dalam tempoh pemulihan.

Perkara yang terakhir dan tidak kurang pentingnya ialah dengan mengenalpasti jenis makanan dan zatnya serta zat apa yang kita lebih perlukan untuk mempercepatkan proses penyembuhan.Untuk orang berpantang samada selepas bersalin, kemalangan mahupun pembedahan, zat yang perlu diutamakan ialah Magnesium, Zink, Besi dan juga Vitamin C. Dalam tempoh ini, badan memerlukan zat yang berupaya menghalang jangkitan, mempercepat penghasilan sel darah merah dan membantu pembentukan protein dan pembaikan tisu-tisu serta sel-sel yang rosak. Ingin saya tekankan sumber vitamin dan mineral dalam bentuk organik adalah lebih baik dari yang berbentuk koloid. Sebagai contoh, kita digalakkan makan buah oren daripada mengambil tablet vitamin C. Namun semuanya terpulang kepada kesesuaian diri masing-masing.

Sekian dulu perkongsian dari saya, jumpa lagi di lain masa, Ilal liqa'.

Wassalam wbt




Wednesday, 9 October 2013

Ahlan Wasahlan Anggota Baru Abdullah FOODS!

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Hari ini masuk hari keempat keluarga kami menerima kehadiran orang baru dan si abang sudah menyedari hakikat dia mempunyai seorang lagi ahli yang wajib diperiksa sebaik sahaja bangun tidur. Pantang dengar bunyi adik merengek, dia sudah terpacak di tepi katil bertanya itu dan ini dalam bahasa yang haruslah kita orang dewasa menafsirnya sendiri.

Sementelaah menunggu kepulangan abi dengan si abang kecil dari kedai, saya menulis seketika. Sekejap lagi kami akan ke hospital untuk memeriksa darah si adik kerana khuatir bacaan jaundisnya tinggi. Emak pun sedang menjahit lagi, jadi saya mencuri masa di laptop suami. Semoga semuanya baik-baik belaka. Memang terkadang bila melihat bayi yang tidaklah sekuning mana, tetapi bila dinasihatkan oleh jururawat untuk diperiksa, eloklah kita turutkan sahaja.

Bersalin kali ini banyak pengalaman baru kerana saya ingin mencuba kelahiran normal, namun kuasa Tuhan lebih mengatasi. Jadi bayi kedua kami dilahirkan melalui pembedahan. Alhamdulillah semuanya selamat dan berharap dapat segera pulih dan segar untuk menguruskan kehidupan.  Syukurlah rumah sewa kami sedaerah dengan rumah emak ayah saya, jadi mudahlah saya tumpang berpantang di sini sementara suami boleh berulang allik ke kedai memproses bekalan produk Abdullah FOODS dengan mengupah dua orang pembantu. Terima Kasih Ya Allah kerana Mengurniakan kami rezeki dan bantuan  yang semakin baik dari hari ke hari. Semoga dengan Rahmat dan Kasih SayangMu dapat kami menunaikan apa yang belum tertunai seterusnya mengubah nasib keluarga.

Permintaan dan maklumbalas pelanggan mengenai produk kami ternyata tidak menang tangan suami jadinya, sehinggakan acapkali pulang dengan mata kuyu namun masih membantu menangani anak sulung kami yang masih perlukan perhatian. Maklumlah umminya belum boleh berlasak-lasak lagi. Buat promosi dan menulis bolehlah. Bagi yang tertanya-tanya bagaimana memecut perniagaan terutama perniagaan yang baru didirikan dan bagaimana membina blog yang berkesan dan menerima kunjungan ramai terutama pelanggan yang berpotensi, bolehlah terus mendaftar dengan Guru Online saya iaitu Puan Nisa Nua, seorang arkitek merangkap usahawanita berjaya. Beliau menguruskannya semua dari rumah!

Akhir kata kali ini, Jutaan Terima Kasih kepada keluarga dan sanak-saudara, rakan-rakan yang datang menziarahi saya dan orang baru kami (sejak sebelum bersalin hinggalah bersalin). Tak kurang juga yang memberi ucapan dan kata-kata semangat baik dengan telefon, SMS mahupun di Facebook. Semoga keikhlasan kalian dibalas dengan kebaikan jua dari Allah SWT. Bagi sanak saudara, rakan taulan susah dan senang bersama di kejauhan, saya kenalkan anggota baru di Abdullah FOODS,

Baby LK sejurus sebelum ke hospital.
Sekian,


Wassalam WBT