Saturday, 30 November 2013

Cara Orang Mukmin Menjaga 'Ong'

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah setelah lama menanti, inilah sedikit tentang bagaimana mahu jaga 'ong' dalam perniagaan cara orang mukmin. Kenapa tidak kita perhatikan sedikit berat hal ini? Kerana jikalau manusia yang tidak bersyahadah begitu prihatin mengenai perkara yang dianggap kecil ini dan mereka memonopoli sektor perniagaan. Paling tidak arena bisnes di Malaysia; walhal serata ceruk dunia, sebut sahaja, di mana yang tidak ada kaum Cina berdagang dan menjadi pemastautin akhirnya.

Sebagai mukmin. memang terang-terangan kita tidak boleh mengambilkira faktor feng-shui, tilik nasib dan yang sewaktu dengannya. Istilah 'ong' bagi kaum Cina bermaksud tuah dan perkara yang ingin saya perkatakan di sini; tuah atau nasib yang baik itu bercas positif dan manakan pula cas positif akan melekat ke badan kita yang selalu tidur lewat, beremosi yang sekejap naik sekejap turun, meringan-ringankan ibadah dan mengambil ringan isu kesihatan tubuh badan?

Ringkas sahaja tips yang saya akan perturunkan (ini bukan khidmat bomoh pelaris dan sebagainya). Yang pertama, melalui kefahaman saya dalam ceramah yang disampaikan oleh Dr. Zakir Naik, hatta dalam beribadah pun kita perlu berikan hak untuk tubuh badan berehat; yakni tidur di malam hari. Tidur yang berkualiti bukan bermakna semata-mata untuk bangun dengan segar, tetapi biarlah tidur itu juga menjadi ibadah. Berwudhuk, membaca doa tidur, bermuhasabah dan berzikir sebelum mata terlelap. Lebih afdhal lagi jika berniat untuk bangun di keheningan sepertiga malam untuk bermunajat. Dan mintalah tuah kekayaan dengan mengamalkan Surah Al-Waaqi'ah dari Pemiliknya sebelum tidur.

Apa yang Allah SWT letakkan sebagai hikmah di sebalik kejadian siang dan malam ialah, siang untuk bekerja dan malam untuk berehat. Pernahkah kalian terbaca mengenai kajian tidur bawah lampu yang disamakan dengan/tidur di siang hari boleh mengaktifkan sel kanser dan merosakkan sel badan? Apabila sel rosak, organ juga turut rosak. Jadi bagaimana mahu beraksi tatkala semua orang sedang mengail? Kita lena akibat berjaga malam dan terbangun sewaktu manusia sudah selesai melakukan transaksi bisnes dan kita ketinggalan. Bagaimana mahu segar bugar di pagi hari jika terlelap di hadapan kaca televisyen?

Perkara yang kedua ialah dengan berpagi-pagi. Bangun awal untuk Solat Subuh dan yang ketiga mengamalkan solat Sunat Dhuha. Nabi SAW sendiri tidak tidur setelah Solat Subuh, baginda akan berzikir sehingga waktu Dhuha kemudian menunaikan solat Sunat Dhuha pula. Sesungguhnya tersimpan seribu satu rahsia kecantikan, kekuasaan, kekuatan, keindahan, keampunan dan kekayaan pada waktu Dhuha ini. Bagaimana mahu tajam berbisnes sedangkan Subuh entah ke mana, waktu Dhuha pun kelopak mata masih melekat?

Yang keempat perbanyakkan berzikir Asma' Ul Husna. Serulah NamaNya yang baik-baik untuk memperoleh aura yang baik-baik pada  kita.

Yang kelima, bersedekah. Ya, bersedekahlah dengan niat menyucikan hati. Seiringan dengan apa yang kita sedekahkan, niatkan untuk buang kotoran di hati kita. Sisa-sisa kebongkakkan mendapat untung semalam, daki-daki dendam yang tidak berkesudahan dan hasad dengki melihat orang lain. Berinfaklah biarpun kita sedang kesempitan. Capailah apa yang ada di dalam dompet untuk anak-anak yatim dan fakir miskin. Sedekah membuatkan kita gembira dan lebih gembira jikalau kita tidak tahu berapa yang kita telah sedekahkan (sedekah sehingga tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu).

Yang terakhir ialah senyum dan menebarkan salam. Salam ini ialah suatu lafaz milik mukmin yang sangat berkuasa kerana dengannya kita mendoakan kesejahteraan tidak kira siapa saudara seislam yang menerimanya. Memberinya adalah sunat, manakala menjawabnya adalah wajib. Anjuran Nabi SAW ialah kita menyebarkan salam dan menjawabnya dengan lebih baik lagi. Siapa tidak suka orang yang tidak dikenali mendoakan kesejahteraan dan keselamatannya? Ini kita, bila orang memberi salam terus fikir yang bukan-bukan dan bertempiaran lari lintang-pukang. Berselisih pun tunduk dan muka tegang sahaja. Bagaimana hendak mendapat pelanggan yang berpotensi jika mengucapkan salam pun berat mulut?

Sekian sahaja perkongsian saya. Marilah kita mencuba tips ini, dan para peniaga online sangat mudah kerana awalan blog atau mesejnya boleh sahaja ditaip 'Assalamualaikum'. Senyum kambing untuk diri sendiri yang selalu alpa.

Wassalam WBT

Monday, 25 November 2013

Perihal Bisnes- Jaga 'Ong'

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah
Assalamualaikum WBT

Seronoknya hari ini pulang keletihan makan kenduri adik kakak ipar di Kepala Batas. Besar sungguh majlisnya; iyalah namapun kenduri anak bongsu Makcik Fatimah dan Pakcik Ismail, mestilah hendak buat besar-besar. Mereka ini keluarga berada, tetapi tidak kedekut langsung. Kami bertolak pergi ikut jalan bukit baru ( Jalan Tun Sardon, Paya Terubong) dan pulang ikut jalan bukit lama melalui Bayan Lepas, Teluk Kumbar dan sebagainya. Jadi sempatlah Abi membelok sekejap pergi mengintai kapal terbang dari pagar luar. Seronok sungguh riadah ala 'old-school' ini! Ternganga Abdullah melihat kapal terbang mendarat turun dalam kiraan saat sahaja.

Menyentuh perihal bisnes, saya pernah berbual panjang dengan mama kakak ipar saya ini tentang bagaimana beliau mula berniaga. Asalnya menjual kerepek pisang dan berdikit-dikit. Masih beranak kecil ketika itu mereka menunggang dengan cara anak diletakkan di antara belakang abah dan dada mamanya yang dihimpitkan ke hadapan bertujuan supaya anak dapat dikepit dengan elok lantaran kedua-dua belah tangan penuh disangkut pisang mentah. Bayangkan pisang raja yang besar-besar itu diikat dan disauk dengan kesepuluh jari yang ada. Ruang hadapan motosikal usah ditanya kerana kiri kanan pemegang motosikal juga penuh dengan pisang; pendek kata semua ruang digunakan sepenuhnya untuk memuatkan pisang sebanyak mungkin.

Itu tekad sepasang abah dan mama dalam mengaut rezeki untuk keselesaan anak-anak. Kini, mereka tauke kuih raya yang diminati ramai tidak kira apa jua jenis perayaan pun. Kegigihan dan ketekalan mereka berniaga memberikan pengajaran kepada saya. Tidak seharusnya setiap perniagaan bermula dengan modal yang besar sahaja yang boleh berjaya. Natijahnya di sini ialah semangat, usaha yang istiqamah dan berbekalkan keyakinan terhadap pemilik rezeki adalah punca kejayaan.

Dalam perniagaan, bagi kaum Cina komponen yang utama ialah usaha, usaha dan 'ong' atau tuah. Pelbagai cara dilakukan untuk menjaga nasib yang baik; membetulkan feng-shui, menggunakan perhiasan untuk menarik tuah juga berdoa dengan cara mereka sendiri. Tilik nasib juga salah satu cara untuk mereka membuat sesuatu keputusan. Mereka juga bangun 'pagi-pagi buta' dan saya perhatikan, mereka akan menyembah tokong mereka sebelum matahari terbit, kemudian sekitar jam 8 hingga 10 pagi, tengahari, waktu senja dan malam sebelum tidur. Begitu juga dengan kaum India yang sempat saya selidik dari rakan sekuliah saya, mereka 'bersembahyang' setidak-tidaknya lima kali sehari dan sekali sembahyang mungkin mengambil masa palling kurang 30 minit.

Tersengih saya sambil terpisat-pisat keseorangan sambil terdetik, alangkah malunya orang Islam yang hanya perlu kurang lima minit untuk selesaikan solat dua rakaat dan lebih kurang dua minit bagi mereka yang menyandang juara pecut dalam solat. Alangkah ruginya kita kerana mereka memanfaat dan memaksimakan aliran tenaga yang baik dengan mempergunakan sebaiknya waktu-waktu solat seperti kita juga termasuk waktu Dhuha yang dituntut oleh Nabi SAW untuk kita bersolat sunat paling tidak dua rakaat.

Bagaimana pula orang Mukmin mahu menjaga 'ong' dalam bisnes? Akan bersambung.

Sekian,

Wassalam WBT


Sunday, 24 November 2013

Şehıdımız Ahmad Ammar Ahmad Azam- Sebuah Tribute

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah
Assalamualaikum WBT

Dua tiga hari ini 'trending' di Facebook ialah Allahyarham As-Syahid Ahmad Ammar. Sempena Diari Masa saya yang ke-44, saya tuliskan sedikit sebagai tanda terkesannya saya dengan pemergian insan ini. Saya baru sahaja klik pada link video arwah dan membaca kisah yang ditulis sahabat baiknya. Walaupun As-Syahid tidak saya kenali, tetapi karamah yang Allah SWT berikan kepada beliau sebelum jasad disimpan di dalam pusara menandakan permulaan kehidupan abadi yang cemerlang. Masih melekat di fikiran wajah As-Syahid selepas siap dimandikan, Masya Allah, dengan rintik-rintik peluh membasahi kulit, matanya berkaca seolah-olah masih bernyawa dan sedang tidur. (Allahuakbar! Saya hanya lihat gambar video As-Syahid, yang melihat jasad beliau secara 'live' entah bagaimana perasaan mereka). Benarlah Firman Allah SWT:

Al-Baqarah Ayat 154: "Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: Orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dalam keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat meenyedarinya".

Ali-Imran Ayat 169: "Dan jangan sekali-kalli enkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki".

Jika ramai yang memperoleh manfaat ketika hidupnya insan yang dimuliakan Allah SWT, ramai lagi yang mendapat iktibar setelah ketiadaannya di dunia ini. Kata ayah, keranda orang yang baik-baik selalunya ringan dan mudah diuruskan. Subhanallah! Itu sahaja yang mampu saya katakan ketika melihat jamaah yang sama-sama bersolat jenazah beliau berpusu-pusu (malah berlari) untuk mendapatkan peluang mengusung keranda As-Syahid Ahmad Ammar. Memang ringan, kelihatan seperti terapung dan sepertinya mereka mengampu keranda tersebut dengan hujung jari sahaja.

Dua puluh tahun yang benar-benar bermakna. Walaupun ayahanda arwah berkata pasti ada orang lain yang mendidik puteranya, namun bagi saya itu merendah diri namanya. Tujuh tahun pertama pasti dibentuk penuh berkualiti mengikut nilai-nilai Islam. Sebagaimana ibubapanya tidak membuang masa, begitulah anaknya juga. Keperibadian ayahanda bonda Ahmad Ammar terserlah di setiap paparan video. Tenang dan redha malah gembira mendapat anakanda yang syahid sebelum mereka. Hati mana yang tidak rawan melihat satu-satunya putera pergi menghadap Rabbul 'Izzati sementara titik peluh dan catatan peribadinya masih ditagih di serata pelusuk dunia. Sekalung tahniah juga takziah buat seluruh ahli keluarga Şehıdımız Ahmad Ammar Ahmad Azam. 

Bagi saya inilah contoh modal insan syumul yang ketandusan di bumi Malaysia. Pejuang muda yang intelektual, berpandangan jauh. Tidak alpa dengan dunia, malah berusaha tanpa membuang masa terus bertindak untuk mengembalikan syiar Islam. Tepat sekali dengan Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Muslim dan Ibnu Majah yang mana mafhumnya "Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih Allah cintai daripada Mukmin yang lemah". Inilah juga contoh manusia yang faham Kalam Allah dalam Surah An-Nisa Ayat ke-34 yang ditafsirkan oleh Ibnu Kathir, saya simpulkan bahawa lelaki adalah terkehadapan berbanding wanita. Terkehadapan dalam pelbagai urusan dan bertindak sebagai pemimpin. Maka, sahutlah seruan dakwah wahai syabab Malaysia. Masa muda, inilah gunanya. Masa; ya masa yang digunakan dengan penuh bermanfaat, alangkah beruntungnya.

Lihatlah, begitu hebat gelombang manusia di dunia; jutaan yang menghantar Ahmad Ammar Ahmad Azam pulang, entah bagaimana pula sambutan penduduk syurga. Begitu mulia sehingga tidak ada wanita yang pantas untuknya selain ibunya, bidadari di dunia dan bersiap untuk menyambutnya di sana bidadari-bidadari syurga. .Masha Allah, Subhanallah. Allahuakbar! Saya menampar diri sendiri kerana boleh menulis sebegini pun sudah berasa memberi sumbangan yang besar dan tujuan saya menulis entri berkaitan beliau ialah kerana rasa terpanggil bukan kerana kisahnya sedang meletup sekarang. Kerana persoalannya, mampukah saya mendidik Abdullah dan Lina untuk menjadi seperti Şehıdımız Ahmad Ammar Ahmad Azam?

Sekian,

Wassalam WBT

Saturday, 23 November 2013

Tentang Menulis- Memilih Tajuk

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah
Assalamualaikum WBT

Segar sungguh kedua-dua biji mata saya pagi ini; sudah pasti tidur semalam adalah tidur yang berkualiti. Alhamdulillah. Puas hati boleh meronda sekeluarga mencari material untuk idea-idea bisnes online. Insha Allah, sedikit masa lagi bolehlah direalisasikan hasrat tersebut. Seronok pula dapat bertukar pandangan di alam maya ini. Denagn izin Allah SWT, perkongsian hobi saya pula bakal menyusul selepas ini; moga dipermudahkanNya. Amin.

Terpanggil untuk memberi sedikit ulasan mengenai status mukabuku guru online saya Puan Nisa Nua di dalam Kelas Asas Blog dan Penulisan (kelas online) yang menyebut tentang tajuk entri yang perlu 'catchy' untuk menarik perhatian pembaca. Saya sangat bersetuju dengan saranan beliau dan di sini saya utarakan pendapat saya mengenai jenis-jenis tajuk dan kesan kepada pembacaan.

Jika kita baca tajuknya 'Kucing Saya' dan karangannya memang mengenai kucing, memang ceritanya selari dengan tajuk; maka ini jenis tajuk yang pertama iaitu 'straight-forward'. Jika asyik guna tajuk begini bimbang pembaca sudah boleh menjangka kisah yang anda ingin kongsikan dan membuatkan mereka berpindah ke blog lain pula. Untuk lebih jelas, jikalau kita dengar tajuk filem KL Gangster, maka dalam benak kita sudah tentu penuh gambaran Kuala Lumpur dan aktiviti gangsterismanya. 

Yang kedua, tajuk yang dipilih memang membuatkan pembaca tertanya-tanya dan ingin teruskan membaca. Tetapi pemilihan tajuk biarlah yang berkaitan; ini niat di hati hendak bercerita pasal kasut sendiri tetapi tajuknya Kasut Pak Imam! Lainlah sekiranya pencerita itu ialah Pak Imam itu sendiri. Mahu berkongsi kisah Pak Musang, tajuk ditulis Panda Merah. Tiada kena-mengena bukan?

Persoalannya, pentingkah tajuk yang 'catchy'? Tajuk yang 'catchy' ternyata lebih digemari pembaca dan melalui tindakan mereka klik pada topik yang menarik membolehkan pendapat kita didengari oleh masyarakat. Akan tetapi, tujuan utama mengenakan tajuk yang bombastik pada entri kita bukan setakat meningkatkan statistik pembaca sahaja. Perlu diingat, jikalau isinya merepek, pembaca pasti naik lemau dan minta maaflah mereka hendak berkunjung lagi kerana ia seolah-olah indah khabar dari rupa.

Tajuk yang mempersonakan lagi banyak maknanya juga bertujuan membawa pembaca berfikir dalam perspektif lain. Tajuk yang samar-samar ini biasanya menggunakan kiasan. Penggunaan kiasan yang positif amat sesuai untuk kisah-kisah seperti  perkongsian motivasi, penceritaan teladan mahupun kisah kejayaan. Kiasan yang  negatif sebolehnya kita elakkan dan jika benar-benar bermaksud begitu bermakna mendedahkan  kelemahan sendiri yang membawa kerugian. Blog yang negatif dan suka menyumpah-nyumpah adalah meletihkan untuk dibaca. 

Jika hendak lihat pemikiran kita benar-benar telah dibasuh hingga positif, bolehlah mencuba ikuti blog yang negatif dan mengumpat sahaja kerjanya, jika jari masih mampu untuk klik dan klik lagi maknanya kita gemarkan perkara yang sama. Ini bukan seperti hukum magnet kutub utara- kutub selatan, minda yang di'set' perkara negatif gemarkan 'makanan-makanan' yang negatif juga.

Saya bukan penulis negara, tetapi ini yang saya sintesis dari pengalaman dan diterbitkan dengan catatan yang tidak seberapa kerana setahu saya, membaca adalah proses pasif anggota tetapi aktif minda. Masyarakat Jepun memang produktif dan begitu maju kerana kuat membaca dan tahu apa yang dibaca mereka. Sebelum kita membaca isinya, kita belek dahulu tajuknya. Maka, memang tajuk yang baik itu penting.

Sedihkan? Sepatutnya dunia Islam yang mengagungkan aktiviti membaca ini kerana Kalamullah yang pertama diturunkan kepada Nabi SAW tidak lain tidak bukan ialah Iqra'. Ayat pertama dalam Surah A-Alaq: Bacalah (Wahai Muhammad) dengan Nama Tuhanmu Yang Menciptakan (sekalian makhluk). Lihat tajuk surah pertama di dalam Al-Quran. Sangat 'catchy'! Al-'Alaq maknanya Segumpal Darah. Terus timbul perasaan ingin tahu dan ingin membaca. Pesan saya, gunakan kuasa tajuk dengan sebaiknya demi menggalakkan masyarakat kita membaca. Insha Allah!
Sekian,

Wassalam WBT

-----------------------------------------------<@

P/S: Mari kita kongsi apa yang ada. Bila kita memeriahkan pentas perkongsian ilmu, Insha Allah. Allah SWT akan meriahkan pahala amalan kita pula. Biarlah hanya sedikit kerana sudah hakikat ilmu manusia hanya seperti air laut yang melekat pada jari. Lain jarinya, bermakna lainlah 'air' yang melekat itu. Wallahu'alam.

Belajar lebih lagi di:
Kelas Asas Blog dan Penulisan

atau mantapkan perniagaan anda di:
Kelas Asas Blog dan Fanpage
Kelas Belajar Beriklan di mudah.my


atau hasilkan karya kreatif anda di:
Pra-pendaftaran Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif (Kelas bermula Disember 2013)


Mari kembangkan idea anda dengan berkongsi di laman blog profesional milik anda sendiri. Coaching personal oleh guru-guru hebat di bawah pengasas Akademi Bekerja di Rumah.

PAKEJ KELAS ASAS BLOG BULAN NOVEMBER
Harga pakej sebenar RM155 (ebook) + RM130 (yuran kelas)= RM 285

Untuk PROMOSI November RM200 sahaja.  7 HARI LAGI!!!!


Friday, 22 November 2013

Sepuluh Kali 'Alarm' Berbunyi

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah
Assalamualaikum WBT

Hari ini sudah berapa Muharram ya? Hari Khamis yang lalu 10 Muharram (kira dengan jari), jadi sebelas, dua belas, satu, dua, tiga; Eh, macam mana boleh nombor satu selepas nombor dua belas. Nampak sangat bantal sedang memanggil-manggil. Kira semula. Hari ini 21 November bersamaan 17 Muharram. Menulis sekejap habiskan sisa bateri yang tinggal sebelum dicas semula. Abdullah telah lena di dalam buai. Kasihan anak bertuah ini demam panas pula. Jenuh juga Ummi berbagi kawasan untuk abang dan adik di atas riba. Abang tolak si adik dan si adiknya pula rimas tidak dapat bermanja dengan Ummi.

Cepatnya masa berlalu 7 hari seminggu; sekarang hari Khamis kembali. Ya Allah, adakah Engkau Berkati hari-hari kami yang berlalu? Kami mohon agar Engkau Pelihara dan Permudahkanlah kehidupan kami di hari-hari mendatang Ya Zaljalali wal Ikram. Amin. Topiknya mudah sahaja hari ini; bagaimana memudahkan diri untuk bangun Solat Subuh.

Alhamdulillah, sejak kecil kami adik-beradik emak dan ayah asuh dengan solat Subuh berjamaah dan bacaan Surah Yasin selepas selesai solat. Jikalau ada yang tidak kena, siaplah, ayah akan menyambung dengan 'kuliah' Subuh pula. Waktu itu saya masih anak remaja, mata pun berat, muka lagilah; kurang manis jadinya dek kuasa mengantuk yang amat 'super' itu. Entahlah, zaman persekolahan dahulu, saya rasakan amat mengantuk dan hanya mahu tidur sahaja jika pulang bercuti. Memang rumah emakayah sunyi kerana masing-masing khusyuk mengqadha tidur yang tidak kecukupan semasa di asrama. Zaman itu bolehlah saya menahan mata tidak tidur dan 'pulun' buat itu, buat ini sekaligus, kemudian tidur sekaligus. Sekarang jikalau diamalkan perkara yang sama, mahu tidaknya Abdullah cari makanan sendiri dalam peti ais! Nauzubillahi min zaalik. Bahaya dan bahaya. Sambung cerita.

Mari periksa diri kita adakah penggera telefon perlu kita tetapkan di nada ternyaring dengan sepuluh waktu berbeza, diulang-ulang pula setiap lima belas minit namun malangnya hanya jari yang bingkas menyepikan bunyi bising itu? Memang boleh merosakkan mood orang yang mendengarnya kerana kita tidak bangun-bangun juga walaupun puas dikejutkan secara manual mahupun dengan bantuan gajet. Saya sendiri pernah merasakan hari yang tidak produktif bahkan meleret-leret sebagaimana cara saya bangun dari tidur, meleret-leret dari bunyi 'alarm' yang pertama hinggalah yang terakhir.
Kalau guna jam ini, bunyi sekali tapi tak bangun, alamatnya memang terbabaslah. Lebih baik guna jam biologi untuk jimat bateri. [Imej Carian Google]

Selain daripada tidur awal dan tidur Qailullah, pesan ayah, sebelum tidur berwuduklah, baca Tiga Qul, Ayatul Kursi dan Bismillah 21 kali kemudian niatkan untuk bangun pukul berapa. Jikalau serius mahu berubah untuk bangun sepertiga malam paling tidak bangun Subuh tepat pada waktunya, pesanlah kepada Raqib dan 'Atid supaya bantu kejutkan kita. Insha Allah memang benar akan terbangun pada jam yang kita minta itu. Sisi keajaiban amalan ini saya rahsiakan kerana kalian perlu cuba sendiri. Amalan ini elok diamalkan dan lama kelamaan tidak perlu lagi gajet moden yang canggih-canggih untuk bantu kita bangun awal kerana gajet kurniaanNya sudah diaktifkan iaitu Jam Biologi. Insha Allah masa bangun yang panjang dan 'menyiksakan' juga dapat dijimatkan jika kita sudah mempunyai jam biologi yang berfungsi dengan baik.

Jikalau sudah terbangun pada waktu yang kita pinta, usahlah bermain-main pula, golekkan badan hingga jatuh dan tersedar, tutup penghawa dingin jikalau itu yang membuatkan kita menarik dan menyorok di bawah selimut, buka lampu biar cerah anak mata kita; buatlah apa sahaja untuk keluar dari kemanjaan yang sia-sia itu. Pernah dengar atau tidak, Sabda Nabi SAW mengenai orang yang menarik selimut setelah mendengar azan Subuh dikatakan bagai berselimut dengan kulit babi? Lihat betapa serius dan kritikalnya menyahut seruan Subuh ini. Waktu solat yang paling pendek dengan jumlah rakaat yang juga paling pendek. Kenapa Allah SWT tetapkannya 'di situ'? Pasti padanya terdapat kunci-kunci rahsia kehidupan dan beruntunglah bagi manusia yang berfikir.

Keheningan Subuh nan nyaman jika dimulakan dengan mencari ketenangan melalui Solat yang wajib itu pasti membuatkan seharian kita itu juga tenang. Melihat orang bersolat Subuhpun bisa membuatkan kita tenang inikan pula menunaikannya. Mari kita hayati dan rasai nikmat Subuh Kancil kerana kita manusia yang beruntung, setiap hari adalah lebih baik dari sebelumnya yang selama ini cukup-cukup makan sahaja dengan Subuh Gajah. Bila sudah gembira dengan Subuh di awal waktu, kita usahakan Subuh berjemaah pula. Buatlah sesuatu yang diluar adat kemelayuan kita iaitu isteri bangun kejutkan suami solat Subuh. Tidakkah kita terfikir bahawa sang suamilah yang dituntut berjamaah di masjid? Jadilah Raja yang mendahului dalam hal-hal yang wajib bukan hanya yang menagih hak seorang raja di meja makan sahaja.

Apa pun, semuanya berbalik kepada keazaman dan keikhlasan hati untuk beribadat. Mari kita sama-sama keluar dari kemunafikan dengan ikhlas bersolat Subuh. (Ada dua cara mengenal ciri-ciri munafik pada diri, yang pertama berat mengerjakan Solat Subuh. Yang kedua berat mengerjakan Solat 'Isya. Jikalau tidak solat lima waktu, usah banyak bicara kerana pemikiran waras sudah tiada). Jikalau benar-benar kuat, berani, buktikan, redah kesejukan air bila membasahi kulit dengan wudhuk!

Sekian, sekadar peringatan buat diri sendiri yang masih fakir ilmu dan amalan.

Wassalam WBT

-----------------------------------------------<@

Buat lontaran pendapat dengan kami di:
Kelas Asas Blog dan Penulisan

atau mantapkan perniagaan anda di:
Kelas Asas Blog dan Fanpage
Kelas Belajar Beriklan di mudah.my


atau hasilkan karya kreatif anda di:
Pra-pendaftaran Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif (Kelas bermula Disember 2013)


Mari kembangkan idea anda dengan berkongsi di laman blog profesional milik anda sendiri. Coaching personal oleh guru-guru hebat di bawah pengasas Akademi Bekerja di Rumah.

PAKEJ KELAS ASAS BLOG BULAN NOVEMBER
Harga pakej sebenar RM155 (ebook) + RM130 (yuran kelas)= RM 285

Untuk PROMOSI November RM200 sahaja!


Thursday, 21 November 2013

Kapal Terbang Kertas dari Abi- Bahagian II

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Apa khabar pembaca sekalian? Entri ini ialah rentetan dari Kapal Terbang Kertas dari Abi- Bahagian I.

Masih bercerita mengenai kapal terbang, teringat saya kegigihan Abi mencuba itu dan ini dalam menambahbaikkan keadaan keluarga. Usaha beliau dimulakan sejak awal perkahwinan kami lagi di mana sewaktu itu kami belum mempunyai cahaya mata. Beliau juga minat berniaga dan lebih rajin dari saya. Mula-mula beliau cuba menternak ayam kampung, namun memelihara haiwan ternakan agak sukar dengan jadual kerja yang sering bertukar. Lantas beliau buat keputusan menjual seluar jeans tiruan tetapi saya yang kebimbangan; manakan tidaknya, berulang-alik keluar masuk ke Siam bertemankan bapa saudara yang berasal dari sana dan kadangkala bersendirian. Beliau beralih angin lagi, mencuba membuka gerai Nasi Ayam Budu tetapi terhenti begitu sahaja kerana pelanggan juga pening sekejap ada sekejap tidak ada. 

Siapa sangka, rezeki kami yang Allah SWT beri pada ketika ini tidak terduga dengan saya disahkan hamil. Beliau menitiskan air mata sewaktu mendengar keputusan ujian kehamilan di klinik. Beliau teruskan usaha menjual buku secara pos dan Alhamdulillah, waktu itu beliau sudah melanggan 'broadband' maka kami boleh lebih banyak membuat kajian di internet. Kemudian beliau ceburi bisnes internet, saya tidak berapa faham dengan bisnes tersebut namun saya tetap teruskan berdoa supaya beliau berjaya. Tidak berjaya juga. 

Beliau cuba lagi bisnes internet yang lain pula, namun beliau menyepi tidak katakan apa-apa dan saya faham isyarat itu. Beliau teruskan lagi dan kali ini Syukur Alhamdulillah nampak keberhasilannya dan dalam masa yang sama beliau lebih berhati-hati dan merangka pelan untuk menceburi perusahaan berdasarkan makanan. Abi galakkan saya hasilkan beg bimbit kecil bertangkai seperti yang pernah saya hadiahkan kepada sahabat baik saya, Shasha dan adik bongsu saya; cantik katanya. Untuk pengetahuan kalian, hanya dua buah beg itu yang saya buat sehingga kini, mulanya pada tahun 2003, kemudian pada tahun 2010 jika saya tidak tersilap ingatan. 

Saya tidak buat-buat juga tetapi saya menolong kakak mengambil upah menjahit manik dan menyudahkan jahitan kelim di hujung lengan dan bawah baju, namun tidak banyak yang boleh saya buat kerana alahan yang teruk. Alhamdulillah, rezeki di Bulan Ramadhan 2011, lumayan juga upah yang kakak beri kepada saya. Jikalau ada pelanggan tetap produk Hai-O mahu membuat belian, saya layankan juga setakat termampu pada waktu itu. 

Kini kapal terbang kertas Abi itu semakin baik lontarannya juga kelihatan sudah boleh melayang di udara sedikit demi sedikit biarpun kertas yang digunakan cuma kertas A4 seberat 70 gram dan jika dikategorikan ikut kelas-kelas kehidupan di dunia hanya termasuk dalam golongan rakyat marhaen. Intipatinya di sini bukan sekadar kapal terbang jenis biasa yang berjaya suami saya lipatkan semalam bahkan kertas yang digunakan tidak menjadi pertikaian buat saya. Tinggal lagi, memperhatikan Abi gigih membina origami hingga berpeluh-peluh memang menyedarkan saya bahawa beliau sedang berusaha dengan sebaik mungkin untuk kami anak-beranak gembira melihat kapal terbang yang melayang di udara biarpun kali ini hanya di ruang tamu rumah sewa. 

Kami sudah jumpa caranya hendak membuat Kapal Terbang Bulat yang kami sama-sama inginkan. Insha Allah selepas ini kami mahu mencuba origami kapal terbang kertas jenis yang lain pula.  Mungkin kapal terbang hasil kepakaran teknologi terkini Abi ini boleh di pandu uji di padang saujana mata memandang. Tempat yang luas, tidak tahu bagaimana angin bertiup nanti tetapi harapannya ia mampu melonjak ke udara. Kuasa Allah SWT siapa tahu?

Kapal terbang bulat idaman kami [Google Image]
Marilah kita bersyukur dengan nikmat kasih-sayang yang Allah SWT berikan. Sesungguhnya dengan kuasa kasih-sayang juga membuatkan kita cemerlang di dunia dan akhirat Insha Allah.

Sekian, 

Wassalam WBT



-----------------------------------------------<@

Buat lontaran pendapat dengan kami di:
Kelas Asas Blog dan Penulisan

atau mantapkan perniagaan anda di:
Kelas Asas Blog dan Fanpage
Kelas Belajar Beriklan di mudah.my


atau hasilkan karya kreatif anda di:
Pra-pendaftaran Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif (Kelas bermula Disember 2013)


Mari kembangkan idea anda dengan berkongsi di laman blog profesional milik anda sendiri. Coaching personal oleh guru-guru hebat di bawah pengasas Akademi Bekerja di Rumah.

PAKEJ KELAS ASAS BLOG BULAN NOVEMBER
Harga pakej sebenar RM155 (ebook) + RM130 (yuran kelas)= RM 285

Untuk PROMOSI November RM200 sahaja!


Wednesday, 20 November 2013

Kapal Terbang Kertas dari Abi- Bahagian I

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Apa khabar sekalian pembaca? Pagi ini dua-dua orang bayi bangun awal hantar Abi pergi kerja. Alang-alang sudah terjaga, saya terus mandikan dan suapkan makan kenyang-kenyang budak berdua itu dan si adik terus kenyang dan lena kembali; tunggu si abang sahaja main lontar-lontar bola ke sana-sini. Ummi jadi 'caddy' mengutip bola dan beri pada abang untuk dilontar berulang kali. Sambil-sambil itu asyik ulang tayang lagu Raihan 25 Rasul (abang Abdullah minat betul nasyid ini kerana video klipnya dalam bentuk karikatur). Seminggu ini asyik berebut laptop dengannya, pantang tengok saya pegang sahaja dia terus buat isyarat hendak menonton video klip ini. Jangan ditanya berapa kali saya klik butang 'Replay' untuk Abdullah kerana saya juga yang silap, kenapa tidak di'download' sahaja  video klip itu. 

Tadi Abi belikan kuih tiga bentuk beserta roti canai untuk Abdullah dan Ummi. Jumlah bentuk baru belajar hari ini ialah empat iaitu: Samosa (Segitiga), Cucur Badak (Bulat), Karipap (Ummi tidak tahu hendak cakap bentuk apa jadi cuma bagitahu Abdullah "Ini bentuk Bujur") dan Roti Canai Planta (Segiempat). Biasalah budak-budak baru yang sedang meneroka kebolehan makan dengan sendiri, habis kuih dipenyek-penyek, sekejap kuih dikeluarkan letak atas roti canai, sekejap dimasukkan semula ke dalam plastik, sekejap makan tangan kanan, sekejap makan tangan kiri, jenuh juga asyik betulkan tangan dia. Syukur Alhamdulillah sempat mengisi perut di awal pagi, Ini penting bagi saya kerana jikalau perut kosong, emosi cepat berubah dan saya tidak mahu marah-marah anak yang tidak tahu apa-apa ini.

Selesai makan sebotol lagi susu diminum, main-main sekejap kemudian jam 10.30 pagi lenalah anakanda bertuah yang seorang ini. Ummi ambil peluang tidur sekejap disebabkan mata terasa berat. Syukur dapat juga lelapkan mata dalam tempoh lebih kurang sejam kerana adik asyik terjaga hendak menyusu. Hati gembira hari ini kerana cadangnya hendak pergi ke Batu Maung melihat kapal terbang. Sengaja hendak beri Abdullah menyaksikan kapal terbang berlepas dan mendarat. Dahulu sewaktu kami kecil, emak dan ayah selalu juga bawa pergi meronda petang-petang tengok kapal terbang. Jadi ini seperti acara rasmi keluarga Abang Hashimlah. 

Waktu makan tengah hari Abi pulang sebentar untuk makan dan solat Zuhur tetapi hari ini lewat sedikit kerana ada rakan sekerja beliau hendak beli Chicken Chop Frozen ikut pulang sekali. Berborak sebentar sedar-sedar sudah hampir jam 1.00 petang barulah Abi berpeluang masuk ke dalam rumah. Bergilir tengokkan anak sementara saya solat dan bersihkan badan. Saya sangat beruntung kerana tempat kerja suami hanya dua minit dari rumah sewa kami jadi pada waktu-waktu kritikal seperti waktu Zuhur dan Magrib boleh saya bergilir-gilir dengannya. 

Waktu seperti ini jugalah Dina dan gengnya akan masuk bermain 'kuntau-kuntau' dengan Abdullah. Saya layankan tetapi sekejap sahaja kerana adik kecil mengamuk tidak tahan jeritan bernada tinggi. Kami tiga beranak tidak termasuk Abi bertelinga lintah, pantang bunyi sedikit pasti terjaga dari lena. Adik tidur kembali dan saya sambung temankan abangnya bermain. Tiba-tiba hujan turun dengan lebat sekali, patutlah bahang kepanasannya terasa benar hari ini. 

Punahlah harapan hendak pergi tengok kapal terbang. Untuk tidak  mengecewakan Abdullah, (Persoalannya, Abdullah yang kecewa atau Ummi? Gelak lagi.) Abi buatkan kapal terbang kertas! Kali terakhir saya buat origami kapal terbang ini ialah sewaktu emak mengasuh Hakimi, anak seorang ahli keluarga dari sebelah ayah. Puas Abi cuba buat, jadi yang biasa sahaja. Kedua-dua orang kami cuba buat lagi dan cuba hendak buatkan kapal terbang kertas jenis yang lebih lebar. 

Kata Abi jenis yang dia biasa buat itu namanya Kapal Terbang Bulat. Rasa-rasanya, kali terakhir suami saya buat kapal terbang kertas ini mungkin di zaman sekolah menengah beliau barangkali! Gelak besar yang tidak lebih tiga harakat sekejap. Geli hati sungguh, namun terbit perasaan kasihan melihat Abi begitu gigih mencuba itu dan ini, sekejap senget ke kiri, sekejap ke kanan, sekejap pusing depan alih-alih pergi layankan anak bermain bola kemudian kembali meneruskan usaha membuat kapal terbang bulat sambil terbangkan kapal terbang yang satu lagi dan kutip semula.

Kesudahannya Abi terpaksa buat rampasan seketika dari Abdullah yang mahu lagu 25 Rasul itu bermain di laptop bertali arus tanpa henti. Tengok Youtube-lah senang kata beliau. Sedar tidak sedar, Maghrib semakin hampir, Abi bersiap ke masjid dan sekembalinya dari Solat Magrib, saya cuba buat pula kapal terbang tersebut, namun kertas sudah lunyai dan Abdullah pun sudah lena keletihan. Tiga beranak ini kemudiannya lena hingga jam 9.30 malam. Tinggallah saya keseorangan menaip di bawah cahaya dari televisyen.

Alamak, si Abdullah sudah bangun! Insha Allah akan bersambung dalam Kapal Terbang Kertas dari Abi- Bahagian II.
Sekadar hiasan ehsan Google Image. Yang Abi bina sudah direnyuk Abdullah.


Sekian buat kali ini.

Wassalam WBT.

-----------------------------------------------<@

Buat lontaran pendapat dengan kami di:
Kelas Asas Blog dan Penulisan

atau mantapkan perniagaan anda di:
Kelas Asas Blog dan Fanpage
Kelas Belajar Beriklan di mudah.my

atau hasilkan karya kreatif anda di:
Pra-pendaftaran Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif (Kelas bermula Disember 2013)

Mari kembangkan idea anda dengan berkongsi di laman blog profesional milik anda sendiri. Coaching personal oleh guru-guru hebat di bawah pengasas Akademi Bekerja di Rumah.

PAKEJ KELAS ASAS BLOG BULAN NOVEMBER
Harga pakej sebenar RM155 (ebook) + RM130 (yuran kelas)= RM 285

Untuk PROMOSI November RM200 sahaja!


Tuesday, 19 November 2013

Tentang Menulis

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Heningnya malam apabila anak-anak sudah tidur. Ada di dalam dakapan abi dan ada di dalam buai. Sekarang masa untuk bergelut sedikit sementara mata belum mengantuk hasil penangan nescafe campur susu tepung Anmum. Sedap juga rasanya, sudah berulang kali saya bancuh begitu.

Kenapa menulis? 'Kalau hendak berjaya mesti menulis' 'Orang berjaya terdiri daripada penulis'. Saya tidak tahu mengapa tetapi sudah berulang kali telinga ini mendengar ayat yang sama; seingat saya sudah empat kali gegendang telinga ini menerimanya tetapi saya hanya ingat dua orang sahaja yang menyatakannya iaitu Pengetua SMK Teknik Taiping sewaktu saya menjalani latihan praktikal di sana, dan Dr. Azizan Osman sewaktu Seminar Magnet Kekayaan tahun 2009.

Sekali lagi, usah menyimpang kerana bukanlah saya mengatakan saya orang yang berjaya kerana sekarang saya juga seorang penulis. Sedih juga setiap yang ditulis dijadikan bahan untuk menghentam individu-individu yang masih cuba dan berusaha gigih mencipta kejayaan. Usah memaksa orang-orang yang lemah dari kita untuk masuk ke dalam perlumbaan personal kita kerana pembulian ini memuaskan hati kita dan meletakkan kita ke dalam golongan yang angkuh dengan 'kedudukan' yang tidak seberapa. Kata ayah saya "Kalau hang ingat hang tinggi, ada lagi orang tinggi dari hang, kalau hang ingat hang susah, ada lagi susah, kalau hang ingat hang banyak duit, ada lagi kaya..hang nak lawan dengan sapa sudahnya?"

Pentingkah menulis? Oh, ya! Persoalan ini terus mengingatkan insan ketiga yang menekankan pentingnya menjadi penulis iaitu Penasihat Projek Akhir Tahun semasa di Terengganu dahulu (jika diturutkan rentetan peristiwa, beliau ialah orang pertama sebenarnya! Memori disusun kembali). Saya mengadu pada beliau bahawa saya malas menulis. Saya tidak suka mencatat. Saya tidak suka pegang pen. Balas beliau " Awak mesti menulis. Kalau ada spesis baru yang dijumpai oleh dua orang yang berlainan, catatan yang lebih awal akan diambil kira dalam penamaan spesis. Katalah awak yang jumpa dahulu, tapi tak ada bukti dari jurnal tulisan awak dalam buku catatan, sorry-lah spesis tu nak dinamakan sempena nama awak!"

Beliau katakan dalam bahasa Inggeris dan saya tuliskan dalam bahasa Malaysia. Terjemahannya lebih kurang seperti di atas. Saya perhatikan memang benar beliau gemar menulis. Di dalam poket beliau ada sebuah buku kecil dan sebatang pensel. "Kenapa encik suka tulih pakai pensel? Awat tak pakai pen?," tanya saya kepada beliau yang sekarang sudah bergelar Doktor Falsafah. Katanya tulisan dengan pensel tidak mudah luntur dan kembang bila terkena hujan. Begitu rupanya.

Bayangkan setelah beberapa orang insan yang Allah ST kirimkan untuk menyedarkan saya supaya menulis, baru sekarang saya menulis! Alhamdulillah mediumnya lebih memudahkan saya, automatik tarikh di selaraskan dan tidak perlu dengan pen dan kertas, terus taip dan simpan dalam dunia maya. Cuma saya amalkan membawa pen kemana-mana; bukan untuk tandatangan buku autograf peminat, tetapi jikalau ada apa-apa yang memerlukan saya mencatat, tidaklah tercari-cari pen dan meminta-minta dari orang sekeliling. "Mesti bawa pen kemana-mana", pesan guru Bahasa Inggeris saya sewaktu darjah lima dahulu. Cik Asmah namanya, memandu skuter berwarna ungu dan memperkenalkan saya dengan sukan hoki. Saya cuba menjejak beliau di mukabuku tetapi masih belum berhasil.

Dalam kelas Asas Blog, guru saya Nisa Nua dan pengasasnya Puan Masayu tekankan bahawa mesti tulis dan mulakan penulisan dengan catatan harian. Timbul pula persoalan yang menarikkah cerita kehidupan saya? Boleh terus hidup pun dek kerana masih dibela ibubapa kata orang. Saya ini banyak dosa dari pahala, apa yang hendak saya kongsikan? Sebenarnya, kongsikan sahaja, setiap cerita adalah unik kata mereka.

Sesuailah saya merasa rendah diri dengan kedudukan sebagai seorang yang sedang mengalami ujian dalam berusaha memperbaiki diri, menunaikan janji dan keluar dari daerah gelap yang saya sudah kenalpasti. Saya amat terharu kerana bila difikirkan kembali, golongan orang yang positif dan berjaya tidak berminat dengan cerita dan kisah duka-lara yang meleret-leret. Mereka terus fokus kepada tujuan utama dan terus laksanakan. Kurangkan teragak-agak dan belajar buat kerja dengan cepat kata sifu. Insha Allah.

Sedikit mengenai uijian kesusahan yang sempat saya tangkap dari kata-kata Professor Muhaya, "Ujian kesusahan itu diturunkan kepada siapa sebenarnya? Kenapa ujian yang kita nampak ditimpakan kepada orang lain dihadapkan ke muka kita? Ertinya, ujian itu juga buat kita. Adakah kita hendak menjadi manusia berkeladak terus menghentam, mengutuk dan membangga diri seolah-olah kita ini berjaya sebab kita rajin dan dia tidak. Atau menjadi manusia yang terus membantu tanpa berfikir panjang untuk menilai orang seolah-olah kita sudah tentu ke syurga. Siapa kita untuk menentukan siapa lebih baik, siapa tidak?"

Sekian, saya tinggalkan tuan-tuan dan puan-puan sedikit persoalan untuk bekalan kita sama-sama muhasabah diri kita sebelum tidur malam ini.

Wassalam WBT.
Belajarlah walau daripada pencuri.

-----------------------------------------------<@

Buat lontaran pendapat dengan kami di:
Kelas Asas Blog dan Penulisan

atau mantapkan perniagaan anda di:
Kelas Asas Blog dan Fanpage
Kelas Belajar Beriklan di mudah.my

atau hasilkan karya kreatif anda di:
Pra-pendaftaran Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif (Kelas bermula Disember 2013)

Mari kembangkan idea anda dengan berkongsi di laman blog profesional milik anda sendiri. Coaching personal oleh guru-guru hebat di bawah pengasas Akademi Bekerja di Rumah.

PAKEJ KELAS ASAS BLOG BULAN NOVEMBER
Harga pakej sebenar RM155 (ebook) + RM130 (yuran kelas)= RM 285

Untuk PROMOSI November RM200 sahaja!

Boleh terus menempah dari saya di http://sitinurulhusnahashim.blogspot.com/p/diari-ummi.html.

Monday, 18 November 2013

Belajar Berniaga Online dengan Upin dan Ipin

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Dua hari kebelakangan ini saya menulis lewat malam lantaran anak-anak sedikit menagih perhatian dan hendak berkepit sepanjang hari hingga makan pun suami yang masakkan. Mungkin baru hendak beradaptasi dan  biasakan diri dengan jadual kerja baru suami. Saya pun terasa hendak demam tetapi setakat ini Alhamdulillah, masih boleh dikawal.

Berinspirasikan entri-entri di blog Puan Masayu Ahmad, saya faham akan keperluan dan kebolehupayaan untuk bekerja dalam masa yang fleksibel amat penting dan saya perlu lebih tenang, usah kalut dan gelabah dalam menguruskan semuanya. Katapun hendak jadi surirumah super! (perli diri sendiri yang selalu kalut dan ribut). Terlampau kurang ilmu di dada ketika ini dan terasa amat rendah diri bila membaca blog rakan-rakan yang lain. Masing-masing punya kelebihan dan kehebatan tersendiri dan saya masih bertatih-tatih belajar berpesan-pesan.

Pun begitu saya bersyukur kerana Allah SWT mudahkan jalan saya untuk mempunyai blog sendiri dan belajar dengan guru-guru yang profesional. Saya tidak tahu selok-belok berniaga online kerana saya hanya mencuba berniaga secara konvensional; bertemu dan berjual-beli secara hakiki dengan pelanggan. Setelah disedarkan oleh guru-guru yang berjasa ini, baru saya nampak bahawa Facebook dan blog punya kaitan yang istimewa. Tanpa blog, fanpage saya seolah-olah bersawang di laman sesawang. Blog tanpa fanpage pula umpama cerita yang tiada kesudahannya. Yang lucunya, saya punyai kedua-duanya; fanpage yang bersawang dan blog yang tidak ketahuan punca yang akhirnya saya tamatkan sahaja riwayatnya kerana bahasa yang digunakan terlalu 'hippy'.

Menyepi tanpa haluan, saya cuba memasarkan produk kampung pula untuk digabungkan dengan idea Chicken Chop Frozen suami. Idea-idea semakin rancak dan kami bina fanpage baru dan dalam masa yang sama saya lihat pencapaian guru online saya Puan Khairunnisa Hamzah yang juga rakan sekolah lama; semakin hari semakin mengujakan. hari demi hari saya gagahkan diri menaip dan terus menaip untuk mengajar diri beristiqamah. Saya juga sayangkan perniagaan dan idea-idea canggih kami serta tidak rela melihatnya berkubur begitu sahaja.

Mana tidaknya, pengalaman menunggu masa yang sesuai mencuba idea baru amat menyiksakan. Sedar-sedar sudah ada yang laksanakan idea tersebut. Saya percaya yang Allah SWT tebarkan idea-idea dan ilham-ilham untuk membuka pintu 9 per 10 ini kepada ramai orang dalam masa yang sama, cuma keberanian bertindak itu tidak ramai. Sesiapa yang merebut nikmat pemberian ini, dialah yang merasainya, sesiapa yang tunggu dahulu-lah, tunggu waktu ideal-lah akan berakhir dengan menggigit jari. Bukan tidak boleh mengkaji; boleh. Namun apa ertinya kajian jika teorinya cuma berlegar di minda dan di hati serta mulut? Falsafah, idea, pemikiran yang tidak dicuba di lapangan yang sesuai umpama 'Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya'.

Sudahnya saya masih mencuba dan mencuba. Hasilan masih perlu dicantumkan dan perjalanan dan turutan berniaga online ini dipermudahkan apabila saya 'dikursuskan' secara intensif oleh si abang dengan melihat Upin dan Ipin berulang-kali. Kata emak, pandai sungguh orang yang menulis skrip Upin dan Ipin ini. Macam-macam boleh belajar. Memang benar, saya juga dapat ulangkaji belajar permulaan usahawan online dengan melihat episod Usahawan Muda siri kartun ini. Sidang pembaca boleh klik pada video atau ke link ini: http://www.youtube.com/watch?v=eIo5kEWHjfQ


Bagusnya mendedahkan anak-anak dengan dunia perniagaan supaya mereka kenal erti usaha, strategi, kreativiti, kebolehan, tawakkal dan lain-lain lagi. Bermula dengan melihat kejayaan Abang Sally, Upin, Ipin dan Si Mail Usahawan Dua Seringgit mula berminat hendak berniaga online. Kemudian mereka fikirkan produk hendak diniagakan. Upin dan Ipin positif mahu menjual layang-layang walaupun Tok Dalang mengatakan semua orang di Kampung Durian Runtuh pandai membuatnya. Mail pula melihat peluang apabila melihat betapa rancaknya rakan-rakannya bermain penutup botol.

Dengan nasihat daripada Abang Sally iaitu pemilik Jari-jemari Salleh, layang-layang dan penutup botol mereka ditambahbaikkan dengan hiasan atau lukisan yang tersendiri. Abang Sally hanya lukiskan bunga yang 'simple' pada penutup botol yang Mail bawa, tetapi kanak-kanak ini berusaha lebih lagi dengan melukis gambar yang lebih komplikated dan cantik seiring dengan penjenamaan semula yang membuktikan usaha mereka adalah unik berbeza dengan orang lain. Pasangan kembar tersebut menghasilkan dengan Layang-layang Upin dan Ipin beserta pembungkusan yang amat menarik manakala Mail pula dengan Ceper Mail.

Proses awal ini sangat penting kerana material untuk diletakkan di laman web perlu benar-benar ada untuk pelanggan maya melihatnya. Setelah beberapa ketika, masih belum ada yang membelinya. Abang Sally tanpa teragak-agak terus melaksanakan Langkah 'P' iaitu Promosi. Promosi yang dilakukan secara kreatif hasil usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila tempahan Ceper Mail mula meningkat dari 15 tempahan dan lebih mengejutkan, Layang-layang Upin dan Ipin mendapat 100 tempahan.

Tidak mahu bertangguh, produk dihasilkan dan siap untuk pengeposan. Sekali lagi Abang Sally berpesan, akaun mesti diperiksa supaya ada pembayaran dilakukan pembeli sebelum barang di poskan. Pesanan yang agak 'cliche' bagi peniaga-peniaga online berpengalaman; tetapi sikap terburu-buru boleh merugikan kita. Biar lambat asal selamat.

Kemudian Mail yang kaki berbisnes itu mahu mencuba menjual ayam gorengnya di alam maya. Abang Sally terus katakan tidak boleh kerana ada benarnya. Produk yang sudah tentu rosak semasa penghantaran jauh tidak sesuai dijual online. Tetapi manalah tahu, rezeki itu ditangan Allah SWT, mungkin ada pembeli yang sekampung mahupun sedaerah boleh datang mencari ayam goreng Mail di pasar malam setelah melihat iklannya di laman web!

Akhirnya, pendapatan yang diperoleh disimpan di dalam bank dan perbelanjaan dilakukan secara berhemah. Upin dan Ipin juga meraikan kejayaan mereka dengan menikmati aiskrim. Jika dilihat, kejayaan menjual kali pertama juga diraikan untuk memberi insentif kendiri. Insentif pada diri sendiri amat penting dalam mengekalkan motivasi dalam perniagaan biarpun dengan sebatang aiskrim untuk dinikmati.

Sekian,

Wassalam WBT

----------------------------------------------------<@
Mari kembangkan idea anda dengan berkongsi di laman blog profesional milik anda sendiri. Coaching personal oleh guru-guru hebat di bawah pengasas Akademi Bekerja di Rumah.
PAKEJ KELAS ASAS BLOG BULAN NOVEMBER
Harga pakej sebenar RM155 (ebook) + RM130 (yuran kelas)= RM 285
Untuk PROMOSI November RM200 sahaja!
Boleh terus menempah dari saya di http://sitinurulhusnahashim.blogspot.com/p/diari-ummi.html.


Sunday, 17 November 2013

Erti 'Like' di Fanpage

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah selesai sudah cabaran berpantang 44 hari, tinggal lagi cabaran 66 hari berpantang ala masyarakat Pantai Timur. Hari ini hujan dan perut pula sedikit meragam mungkin terkejut dengan menu yang sedikit berubah, jadi masih tidak kemana-mana.

Sambil-sambil membelek akaun facebook, sedar tidak sedar hampir lima puluh laman 'fanpage' kedai maya milik kawan-kawan yang sudah saya 'Like'. Insha Allah saya akan klik sahaja butang 'Like" jika dijemput dengan niat meraikan perniagaan yang baru ditubuhkan. Macam-macam yang diniagakan, tudung, agar-agar kering, coklat, produk jualan langsung, jamu, makanan, air minuman, buku, telekung, barangan bayi; kalau hendak disenaraikan boleh penuh entri ini dengan jenis-jenis perniagaan pula. Gelak sekejap.

Jauh di dasar hati, saya amat kagum dengan pertumbuhan perniagaan tidak mengira jenis apa pun di muka buku. Yang lebih mengagumkan seorang rakan sekolah lama saya yang baru sahaja pulang dari negara matahari terbit bersama ijazah kedoktoran juga dalam proses melancarkan rangkaian pakaian muslimah melalui internet! Walaupun saya masih mentah dalam arena bisnes online, saya merasakan kebenaran dan bersetuju disebalik sebuah perniagaan letaknya erti sembilan per sepuluh. Bagi individu yang berfikiran positif, sudah tentu sabda Nabi SAW ini membawa pengertian yang lebih besar dan lebih mendalam seumpama bersyukur dengan gelas yang separuh penuh.

Peniaga yang faham keperluan menjadi peniaga, bercita-cita tinggi dan kuat semangat juangnya jelas sekali berbeza dengan orang yang berniaga hanya memandang tukaran wang keluar masuk akaun dan memikir untung rugi sahaja. Cepat atau lambat mencapai 'kejayaan' adalah di atas skala ukur masing-masing dan tidak perlu melakukan sesuatu dengan kapasiti orang lain kerana ia membuatkan kita seperti memakai baju yang terlampau besar yang membuatkan penampilan nampak janggal. Biar meleret dan berdikit-dikit asalkan punya ketekalan dan mampu berlayar hingga ke cucu cicit.

Jika dilihat fenomena kedai fizikal yang baru dibuka terutama sekali bagi kaum Cina, pada hari pembukaan rasminya akan disertai dengan jambangan bunga daripada sahabat handai dan sanak-saudara dan yang paling manis ialah sepasu bunga dari kedai di kiri-kanannya juga! Yang menariknya, mereka tidak akan ketinggalan menghadiahkan ucapan kecemerlangan dan harapan yang baik-baik untuk pemilik kedai tersebut. Ini kerana, menurut buku Rahsia Perniagaan Orang Cina dari Ann Wan Seng, masyarakat Cina memandang tinggi kepada golongan peniaga, dan sesiapa yang merencana untuk menjalankan bisnes adalah petanda kematangan dalam kehidupan.

Lihat bagaimana permulaan bisnes yang menyemarakkan semangat hasil dokongan rakan-rakan dalam menyuntik modal motivasi dan tenaga positif membuatkan kaum Cina memonopoli kerjaya Sunnah Nabi SAW. Bagi saya, konsep yang sama boleh juga digunapakai di alam maya dengan 'Like' yang diberi kepada fanpage perniagaan kawan-kawan. Ia bermaksud kita 'memberi jambangan bunga' dan meraikan kedai maya mereka baik yang menjemput ataupun yang kita ketahui sendiri.

Dengan berniaga, semakin ramai semakin bagus. Jika ramai yang beriaga benda yang sama, maka bertambah kreatiflah pentas niaga dan penerangan produk jualan tidak perlu dilakukan dengan panjang berjela. Pelanggan juga banyak pilihan dan boleh memilih berurusniaga dengan peniaga yang mereka selesa. Banyak lagi kelebihan berniaga dan mulai hari ini (kempen untuk diri sendiri juga), hadiahkanlah jambangan bunga 'Like' buat perniagaan rakan kita dengan iringan doa semoga berjaya!

Ikebana Anggerik tanda hormat kepada rakan-rakan searena bisnes; contoh jambangan bunga di alam maya. [Sumber: Carian Google]


Sekian,

Wassalam WBT

Saturday, 16 November 2013

Hidangan Sampingan Chicken atau Lamb Chop Frozen Abdullah FOODS

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Hari pertama cuti persekolahan kami sekeluarga masih tidak ke mana-mana, saya masih berpantang (seronoknya hari terakhir berpantang!) manakala suami bekerja. Tahniah saya ucapkan kepada sepupu saya yang bakal melangsungkan penikahannya dengan jejaka pilihan pagi ini dan kepada adik kakak ipar yang telah selamat memperisterikan dara pujaan hatinya. Semoga pernikahan kalian membawa seribu rahmat dan keberkatan di dalam kehidupan mendatang. Aamiinn. Insha Allah kenduri nanti bolehlah saya menghadirkan diri.

Sambil-sambil memandikan anak, tiba-tiba teringat yang saya belumpun berkongsi sesuatu yang istimewa dengan para pembaca yang budiman sekalian. Apa ya? Hendak berteka-teki. 'teka-tekuk', tajuknya sudah memberikan gambarannya kan? Hilang unsur kejutan. Gelak sekejap. Ingin saya jelaskan, set Chicken Chop Frozen dan set Lamb Chop Frozen keluaran Abdullah FOODS terdiri daripada:

1. Sekeping Peha Ayam atau Daging Kambing (yang disediakan dengan resipi rahsia suami)
2. Sebungkus sos pilihan (Black Pepper/ Mushroom/ Sweet-sour)
3. Sebungkus kentang goreng

Sambil-sambil tunggu gorengan atau daging siap dibakar, anda boleh sediakan hidangan sampingan seperti "Coleslaw" ataupun aneka salad. Resipi berikut saya hadiahkan buat kalian, mudah sahaja dan pasti ada yang pernah membuatnya.

Resepi 1
Original Coleslaw ala KFC

Bahan-bahan
Lobak merah
Kubis
Mayones Lady's Choice

Cara-cara
Cuci bersih semuanya. Parutkan lobak merah dan kubis ke dalam bekas dan tambahkan mayones secukupnya. Untuk lebih 'kick', peroikan secubit garam dan gaul rata-rata.

Resepi 2
Happy Coleslaw ala Jimat Masa

Bahan-bahan
Lobak merah
Kubis putih
Kubis Ungu
Salad Kerinting
Mayones

Cara-cara
Cuci bersih semuanya. Parutkan lobak merah, kubis putih dan ungu ke dalam bekas. Rincik daun salad dan masukkan ke dalam bekas tadi. Gaul dengan mayones dan perasakan dengan garam jika perlu.

Sekian perkongsian hari ini, nantikan selepas ini untuk aneka resepi khas dari saya untuk pembaca sekalian.

Wassalam WBT



Thursday, 14 November 2013

Musim Cuti Sudah Tiba!

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Musim cuti sekolah semakin mendekat. Bagi warga sekolah tinggal hanya dua hari lagi untuk menamatkan persekolahan tahun 2013. Buku teks sudah lama dikumpul kembali dan debaran bagi yang bakal menukar status hidup makin terasa, tak kurang juga yang bakal menerima orang baru dalam keluarga. Perkhidmatan katering, sewa baju pengantin, gubahan bunga telur dan hantaran semakin rancak dan ada yang sudah penuh jadualnya untuk dua bulan terakhir dalam tahun ini. Sekarang ini masyarakat tidak lagi berkira untuk mengadakan walimatul urus pada hari bekerja kerana faktor tiada kekosongan di hujung minggu dan mungkin juga tarikh kenduri sudah ada ketetapan dari ahli qaryah yang lain.

Bagi yang tinggal luar dari tempat kelahiran, waktu cuti sekolahlah yang paling ideal untuk berziarah ke sana ke mari. Rombongan pengantin pula sibuk merangka rancangan dan mengumpul adik-beradik untuk mengarak kedua-dua mempelai. Ada yang ke Utara, ke Selatan dan ke Pantai Timur. Meriah sungguh Malaysia tatkala ini. Kebetulan pula keputusan UPSR baru keluar semakin banyak kenderaan di kiri kanan jalan dan kedai-kedai makan dipenuhi dengan keluarga-keluarga yang semuanya kelihatan gembira. Seperti bunga-bunga beterbangan pula perasaannya bila melihatkan suasana sebegini.

Tahniah saya ucapkan kepada warga Terengganu Darul Iman kerana menjuarai senarai kecemerlangan dalam UPSR 2013. Status-status di mukabuku juga mendatangkan semangat yang positif apabila dibaca. Mana tidaknya, rata-rata mengkhabarkan kecemerlangan anak-anak atau ahli keluarga dalam bidang yang mereka ceburi. Pelbagai kategori anugerah yang diperoleh dan yang paling menarik ialah Anugerah Usahawan Muda yang diterima oleh abang kepada rakan sekolah lama saya.

Apa pula perkembangan Abdullah FOODS ya? Sepertinya banyak urusan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan kerana pelanggan dari mukabuku sudah ada yang sanggup turun sendiri ke kedai fizikal kami membeli produk sejukbeku dan ada yang memesan supaya produk dihantar ke rumah melalui pamplet yang suami saya tinggalkan di masjid. Kami juga perlu mempertingkatkan teknik pengeposan produk kerana cabarannya ialah produk sejukbeku. Saya pernah melihat bahan ujikaji yang dibekukan dihantar melalui pos dan mahu mencubanya kepada produk sejukbeku kami.

Saya akan kongsikan di sini nanti cara-caranya di dalam entri berlainan dan semoga boleh dijadikan panduan kepada pembaca yang ingin menjalankan bisnes sejukbeku serata Malaysia. Semoga Allah SWT mempemudahkan apa jua hasrat dan usaha kita dan bagi yang perlu berkelana, saya doakan semoga Allah SWT melindungi dan merahmati kembara kalian. Amiinn. Oh ya! Selamat berbuka puasa, bagi umat Islam yang berpuasa sunat Hari kesepuluh Muharram, semoga Allah SWT menerima dan memberi ganjaran di atas amal-ibadah yang kalian lakukan. Aamiinn.

Sekian dahulu buat kali ini.

Wassalam WBT.

Sunday, 10 November 2013

Abi yang Kreatif lagi Inovatif

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Sedar tak sedar hari ini sudah hari ke-37 berpantang. Alhamdulillah kami sudah pulang ke rumah sewa dan perlahan-lahan menyesuaikan diri berdikari dengan dua orang bayi. Tamatlah adegan bermanja di rumah emak-ayah sendiri. Bukannya apa, Alhamdulillah badan pun semakin segar, tidak lenguh-lenguh dan bertenaga walau hanya mengurut sekali kerana saya sudah mula memakan jamu walaupun dalam jumlah yang kecil dari yang disarankan; biar sedikit demi sedikit untuk biasakan badan menerimanya. Adik LK masih menyusu badan, oleh itu kesesuaiannya juga perlu diambil kira.

Makanan yang dinikmati masih cara orang berpantang dan skopnya makin meluas kerana luka pembedahan sudah kering sepenuhnya. Alhamdulillah saya sangat bersyukur kerana jika hendak dibandingkan kali pertama pembedahan bersalin, saya mengambil masa 7 bulan lebih untuk sembuh sepenuhnya. Kali ini sebulan sudah kering lukanya dan untuk kembali cergas. Memang sebulan tempoh yang agak lama namun saya tidak mahu membandingkan dengan rekod pemulihan orang lain kerana tubuh badan kita nyata berbeza. Saya pula bukanlah jenis rajin menjamah makanan tambahan untuk mempercepatkan pemulihan; saya ambil garam bermagnesium tinggi kali ini untuk cepat sembuh luka. Curi-curi tinggal lah juga sehari dua; jikalau tidak mesti boleh lagi cepat sembuh! Tampar nyamuk di pipi sambil senyum simbol keamanan.

Episod baru di rumah sewa kali ini- berpantang dengan suami; suami yang memasak. Cuma petang tadi beliau minta saya tolong gorengkan Chicken Chop Abdullah FOODS sementara beliau bawa si abang Abdullah ke padang bermain bola. Sekembalinya mereka berdua, saya masih belum siap goreng kerana saya susukan si adiknya dahulu sebelum mula menggoreng dengan api perlahan. Suami sambung kerja saya, siap tolong mandikan anak lagi. Ketawa keseronokan dan kesyukuran.

Setelah siap uruskan anak, tiba-tiba beliau keluar dengan membawa pinggan. Oh, rupanya Chicken Chop tadi beliau kapit dengan roti bakar! Kagum saya melihat kekreatifan beliau mempelbagaikan cara menikmati produk keluaran sendiri. Memang saya teruja untuk kongsikan dengan pembaca dan para pelanggan kami yang setia. Rasanya, kalau hendak tahu, seperti memakan burger ayam keluaran KFC! Rangup seperti 'Zinger Burger', enak dan berjus seperti 'Colonel Burger'. Bukan perasan dengan produk sendiri, tetapi saya ialah penggemar 'Colonel Burger' jadi rasanya memang saya cam. Jimatlah belanja suami selepas ini tidak perlu lagi belikan saya burger KFC. Giliran beliau pula untuk senyum sepuasnya.

Untuk pembaca yang mahu kelainan dalam menikmati produk kami iaitu Chicken Chop Frozen, bolehlah menggunakan roti burger yang dibakar ataupun roti pita sebagai pembalut. Boleh juga jikalau hendak guna roti biasa seperti gardenia seperti yang suami saya buat atau jenama lain. Sayur-sayuran memang beliau tidak letak kerana beliau bukan pemakan sayur. Bagi penggemar sayur, daun salad, karot, kubis ungu dan tomato amat sesuai diletakkan. Amat sesuai untuk bekal makan di pejabat, anak-anak mahupun pergi berkelah. Kena pula dengan jadual kerja yang selalu 'on-the-road'; memang molek resepi yang saya hadiahkan seperti di bawah.

Roll-Kabab/ Burger Platter/ Burger Ala Jimat Masa

Bahan

Sebungkus Chicken Chop Frozen Abdullah FOODS
Roti Burger mini/ biasa/ Roti Pita
Daun salad
Karot          - dipotong julienne
Kubis Ungu - dipotong julienne
Tomato       - dipotong nipis
Timun          - dipotong nipis
Mayones
Sos Cili

Langkah-langkahnya

1.Gorengkan Chicken Chop Frozen kemudian potong memanjang untuk roti pita, potong dua/ empat bergantung kepada saiz roti yang kalian guna. Goreng juga kentang dan panaskan sos yang disertakan.
2. Bakar/ panaskan roti yang dirembes minyak zaitun.
3. Letak sayur-sayuran tersebut di atas roti/ roti pita; kalau suka mayones dan sos boleh letak sekali; hendak kelainan, boleh guna sos yang kami bekalkan dalam set.
4. Susun Chicken Chop yang dipotong tadi
5. Balut kemas-kemas, potong dua bahagian; masuk dalam bekas makanan, siap!

Sebuah hidangan lengkap dengan semua kelas makanan, protein, karbohidrat, serat, vitamin dan mineral serta kurang lemak; tinggal tambah sebotol jus buah atau 'smoothies' buatan sendiri yang menyegarkan. Sudahlah sihat, kenyang lagi menjimatkan. Mudah kan? Sekeping Chicken Chop Frozen boleh menghasilkan dua gulung atau lebih 'roll kabab'/ tiga atau lebih burger platter atau burger mini dan satu atau dua burger biasa.

Sekian sahaja dari saya, jemputlah mencuba resepi yang saya berikan dan sudi-sudikanlah menjengah laman mukabuku Abdullah FOODS untuk produk yang lain. 100% dari Muslim untuk Muslim, Dijamin Halalan Toyyiban.

Wassalam WBT

p/s: Maaf dipinta; gambarnya tidak ada kerana penulis terus santap lepas baca Bismillah.


---------------------------------------


Kongsikan ilmu kepakaran anda dan ceritakan pengalaman atau perniagaan anda kepada pembaca melalui penulisan blog. Kelas Asas Blog dan Penulisan, Kelas Asas Blog dan Fanpage juga Kelas Beriklan di Mudah.my sentiasa bersiaran. Promosi yuran pada harga RM200.00. Maklumat mengenai kelas boleh dirujuk di sini. Beriklan juga semakin mudah dengan pakej serendah RM50.00. Mahu tahu butiran pakej pengiklanan? Sila klik di sini. Teruja mahu tahu cara memulakan blog sendiri? Sila daftar di sini