Monday, 30 December 2013

Semua Naik, Kami Turunkan Yuran Kelas

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Bersiaran dari Machang, Kelantan Darul Naim. Jikalau Sifu Masayu Ahmad bersalin semasa kami di sini, mudah-mudahan ada peluang untuk terjah melawat beliau dan 'baby' baru. Kali ini perjalanan jauh pertama yang ditempuh adik Lina dan abang Abdullah berjalan jauh dengan kehadiran adik.

Alhamdulillah debaran perjalanan selesai bila kami selamat sampai jam 7.30 malam semalam. Bawa kereta dengan anak-anak kecil memang tidak boleh tergesa-gesa tambahan pula dengan kanak-kanak yang aktif seperti Abdullah. Bukan tidak kenal 'car seat' tetapi dia memang boleh lepaskan diri dari 'seat-belt car seat' tersebut.

Kembali sebentar ke Pantai Timur buat suami melepaskan kerinduan terhadap keluarga tersayang, kelas di Abdullah FOODS ditawarkan seperti biasa dan dengan kenaikan harga, kami menurunkan 39% yuran kelas belajar buat produk yang dianjurkan. Semoga yuran promosi ini dapat memberi manfaat kepada orang ramai, Insha Allah.
[Sila klik untuk imej yang lebih jelas]

Sekian,

Wassalam WBT

Friday, 27 December 2013

'Stupid-lah All These Things'

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Dua tiga hari ini nampaknya talian intenet di rumah langsung tidak memuaskan. untuk menghantar sebaris ayat perlu tunggu hingga tiga jam lebih. Ini bukan entri protes, kerja masih seperti biasa. Padan muka saya, semasa 'line' elok kenapa tidak digunakan dengan baik? Alhamdulillah, perniagaan Abdullah FOODS berjalan seperti biasa dan permintaan Frozen Lamb Chop pula yang meningkat di tengah-tengah kenaikan cas-cas yang agak tidak masuk dek akal ini. Pun harga tidak dinaikkan, biarlah kami bersedekah di kala ini, mungkin pihak-pihak tertentu lebih memerlukannya.

Dalam kemelut Astro, banjir, peperangan, kenaikan harga minyak, tarif elektrik dan tol, ramai yang sudah menyinga memulakan bisnes. Ada juga yang malu-malu, bantu orang katanya. Tidak kurang juga yang beremosi dengan mengatakan "Stupid-lah all these things!". Waduh! Mujur saya tidak faham Manglish.

Saya juga bukanlah peniaga yang hebat benar hendak menempelak sesiapa, tetapi, sebelum berkata-kata, wajarlah kita fikirkan sedikit. Berniaga ini kerjaya manusia Agung dan yang Paling Pintar, siapa lagi kalau bukan Nabi Allah SAW. Kenapa di-stupid-kan kerjaya ini kerana sejarah silam atuk dan nenek yang berniaga tidak menjadi. Kenapa malu meraih barang seringgit atau lima puluh sen daripada jalan ini?

Saya juga pernah mengikut ayah berniaga di Pasar Tani. Tetapi dengan penuh perasaan malu berhadapan dengan pelanggan kerana ayah saya berniaga ayam proses. Jika ditanya di sekolah, emak kerja apa? Ayah kerja apa? Yang laju saya jawab ialah emak seorang guru [malu pula hendak mengaku emak seorang ustazah kerana saya 'hebat' di sekolah].

Sebenarnya di Balik Pulau ini siapa yang tidak kenal ayah saya. Seorang peniaga ayam proses. Beliau jalankan perniagaan ini kerana sewaktu itu hampir tidak ada orang Islam yang meniaga ayam yang disembelih mengikut syarak. Sedih bukan? Bukannya untung banyak, tetapi lebih kepada kefardhuan katanya. Beliau berhenti berniaga ayam proses tatkala saya dan abang sudah bergelar guru dan peniaga ayam proses sudah ramai yang boleh diyakini. Ada dua orang rakan ayah meneruskannya termasuk sebuah Maahad Tahfiz yang memproses dan menjual ayam untuk menampung perbelanjaan mereka.

Semakin saya membesar, semakin saya banyak berbicara dengan beliau, banyak yang saya pelajari dan cuba fahamkan ayahanda saya yang sangat saya kagumi ini. Saya impikan suami seperti beliau, gigih berusaha, saya mahu kesabaran dan kerendahan hati seperti emak bersuamikan lelaki yang nampak 'kurang sedikit' di mata jurunilai-jurunilai bidan terjun.

Darah peniaga yang mengalir ini saya percaya, bukan sahaja dari ayah, bahkan sudah bersebati dalam diri setiap umat Islam, cumanya telah 'ditanam' terlalu dalam hingga gagal bercambah. Tidak percaya? Jika kita membantu mengesyorkan jualan rakan-rakan kita atau saudara-mara kita, sebelah kaki sudahpun berada di dalam zon bisnes. Usahlah terlalu membenci perniagaan kerana mungkin setitis darah kita mungkin terhasil daripada pendapatan perniagaan yang tidak disengajakan.

Malu kerana komisyennya hanya 50 sen? Tidak mengapa, di bawah ini saya sengaja sertakan pautan-pautan selangkah ke alam bisnes, manalah tahu ada yang malu-malu ter'klik' pula. Sudahlah dengan perasaan itu, kita tambah ilmu dan memang sudah resam tak kenal maka tak cinta, dengan ilmu kita boleh membuang kekotoran di hati, menjernihkan perasaan dan berlapang dada dengan setiap apa yang dihadapkan kepada kita.

Berikut ialah peluang-peluang yang menarik, Insha Allah komisyennya juga menarik bagi yang rajin. Silakan memantau dan berhubung dengan saya Nurulhusna untuk mengetahui dengan lebih lanjut.


Sekian, 

Wassalam WBT


Thursday, 26 December 2013

Tawaran Kerja Kosong: Sepandai-pandai Kak Tupai Melompat;

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum W.B.T

Tawaran Kerja Kosong? Eh, tak mahu kerja dari rumah dah ke? Sebenarnya, seronok bukan berniaga online? Urusan di hujung jari saja. Namun kena beringat supaya jangan mudah sangat percaya. Kalau peniaga buat tidak kena, sudahnya akan dijadikan 'post' berantai di Facebook rakyat Malaysia.

Alkisahnya seorang pelanggan [mujur seorang, kalau ramai?]. Beliau ialah pelanggan yang buat pembayaran ansuran. Apa yang saya perasan, setiap kali [kalau bayaq lah, tak bayaq nak buat macam mana?] membuat bayaran beliau akan bagitahu payah/terlupa/tak sempat ke bank untuk TRANSFER dan saya fikir mungkin maybank2u dia ada masalah. Tetapi setelah beliau beri bukti bayaran dalam bentuk SMS 'dari' maybank2u, hairan juga dibuatnya! Fikir positif lagi; saya langsung terlupa hendak ambil pusing walaupun hati rasa tidak senang.

Tambah menghairankan, SMS itu bukan dihantar terus dari laman web bank sebaliknya di'forward'kan kepada saya. Ada juga terlintas dalam hati, 'Kenapa beliau tidak letak terus nombor telefon saya semasa mengisi butiran bayaran tersebut?'. Tiba masa saya akan memeriksa jumlah di bank saya mendapati jumlah amaun tidak sama jumlah yang diakui dibayar oleh pelanggan-pelanggan; mesti 'short' RM50. Pun masih saya tidak fikir betul-betul kerana saya berpendapat mungkin saya yang tersilap walhal apabila saya bandingkan dengan penyata mini tidak ada amaun RM150 yang dimasukkan. Sudahlah selepas itu saya perlu pindahkan kepada akaun penjual pula, rugi saya setiap kali.

Kata hati yang buruk-buruk saya ketepikan, tapi ia akan datang semula berulang kali, macam Allah SWT mahu tunjukkan saya sesuatu. Semalam beliau SMS katanya SUDAH transfer RM100.00. Masya Allahhu Ta'ala, kebetulan saya buat rombongan kecil-kecilan ke pasar pagi tadi kemudian singgah ke bank untuk memeriksa penyata; amaun RM100.00 nya tiada kelihatan pun, cuma yang ada amaun-amun berlainan yang dimasukkan oleh pelanggan-pelanggan yang jujur dengan memberikan bukti bayaran yang jelas sahaja yang kelihatan.

Sebenarnya, 'gheja' beliau Si Kak Tupai ini, pindahkan wang melalui maybank2u amaun yang disukai dan SMS ke telefon bimbitnya. Kemudian sebelum forward kepada saya, EDIT dan jadikan jumlah bayarannya RM150.00. Dan kali ini, beliau cuba dengan mengaku bayar tetapi sebenarnya tidak.

Tidak mengapalah kak, saya doakan kakak dimudahkan segala urusan untuk keluar dari kancah kemunafikan itu. Amin. Yang terjadi salah saya juga, mudah mempercayai pelanggan. Kalau hendak dilihat orangnya, kerjayanya yang mulia memanglah jauh panggang dari api dengan apa yang dilakukannya.

Beginilah Kak Tupai, jikalau benar-benar kesempitan, marilah berusaha dengan tawaran kerja di bawah. Sambil ber'Facebook'pun boleh jana duit ringgit. Hendak disalahkan sikap berboros, ia sudah diletakkanNya pada kita, mungkin itu petanda kita juga perlu usaha lebih tetapi bukan dengan menipu. Saya menulis sambil buang jauh-jauh perasaan kecewa dan senyum tanda prihatin tentang isu ketidakcukupan wang ringgit ini. Salah yang lalu kita betulkan dan cuba buat yang terbaik untuk menyelesaikannya.

TAWARAN KERJA KOSONG


Sekian.

Wassalam WBT

Monday, 23 December 2013

Siapa Kami?

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Sedikit renungan untuk petang hari ini,

"Selesaikan Hak Allah, dan Allah akan melapangkan urusanmu, jikalau tertangguh urusanNya, maka ditimpakanNya kesibukan yang tiada berpenghujung" 

"Maka, atas nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?" Ar-Rahmaan.

Insha Allah, inilah yang sedang perlu kita usahakan jikalau mahu menjuarai akhirat. Usah dipeduli orang lain jika tidak bersetuju dengan kebaikan yang kita impikan kerana hidayah itu milikNya dan hanya Dia yang meletakkanNya ke dalam hati orang yang mendambakannya. Syukur, setiap hari semakin dipermudah urusan semoga hari-hari dipenuhi dengan keceriaan.

Pagi hari ini, ayah datang membawa Pulut Durian dan Pulut Ikan Masin kegemaran saya dan suami. Emak dan ayah baru pulang dari meronda sekejap di Kuala Lumpur menemankan adik menghadiri temuduga sambil-sambil menziarahi Pak Njang sekeluarga. Memang saya teringin benar hendak makan pulut durian, Terima Kasih Allah kerana Mendengar dan Menunaikannya. Maha Suci Allah!

Baiklah, saya tidak ingin membuang banyak waktu kerana anak-anak bakal bangun sebentar lagi. Di sini saya ingin menulis sedikit mengenai Akademi Bekerja di Rumah (ABR) yang saya sertai. Sudah lama saya ingin wujudkan ulasan ini, namun 'Page'nya saya 'sorok' dahulu. Lihatlah betapa bertangguh itu pencuri masa dan kini ABR semakin melebarkan sayapnya dengan membuka peluang untuk kalian menjadi RAKAN NIAGA/ PENGURUS ONLINE AKADEMI.

APA KELEBIHAN MENJADI RAKAN NIAGA/PENGURUS ONLINE ABR?
Insha Allah, dengan mengiklankan produk-produk dari ABR, kalian akan beroleh komisyen. Jujur saya katakan, ramai yang perlu wang tambahan, usah malu, saya juga seperti ini dan bersama akademi yang tidak ada kena mengena dengan sistem MLM, kita mampu menjana sedikit wang jika berusaha.

Tidak perlu buka kedai, kerana ini adalah kedai pasif, pelanggan masuk tidak mengira waktu, tiada pintu, tiada waktu operasi dan tidak memerlukan pelayan. Pelanggan melayan diri dan libur-libur sambil mendapat informasi di laman blog kita.

Tidak tahu bina blog? Usah gusar ada guru berpengalaman boleh ajarkan.

AKADEMI BEKERJA di RUMAH
Akademi yang diasaskan oleh Puan Masayu Ahmad kini menghimpunkan lebih 350 buah blog melalui 21 buah kelas yang diajar oleh 13 orang guru yang berdedikasi. Setakat ja 10 pagi 23 Disember 2013 ini, ABR telah menerima 37 pendaftaran baru mengikut berita terkini yang disampaikan oleh Puan Pengasas yang kami gelar SIFU ini.

Rata-rata yang menyertai ABR ialah surirumah atau pemilik pelbagai jenis perniagaan yang mencari rezeki dari rumah yang bergelar WAHM (Work At Home Mother); setidak-tidaknya ibu yang bekerjaya yang berimpian dan sedang ke arah menguruskan pekerjaan dari rumah. Bayangkan, hati ibu mana yang tidak rawan meninggalkan anak di bawah jagaan orang lain dan bertekad ke tempat kerja demi membantu keluarga.

Di ABR, pengurus atau CEO (anda tentukan) SOHO dan SAHM berkongsi pengalaman, idea, panduan juga petua untuk memastikan momentum berusaha daripada rumah dapat dipacu dengan baik. Ini semua sangat berguna kepada ibu-ibu yang masih di pejabat yang masih mencari kekuatan dan ilmu untuk berdikari dan kembali ke pangkuan anak-anak yang dahagakan kasih ibu.

BAGAIMANA BERMULA DI ABR?
Seperti saya juga, saya mula merisik khabar dengan menjeling status sahabat sekolah lama saya (beliau kini guru di ABR dalam masa yang sama mengurus pelbagai bisnes online, menulis di majalah dan sibuk melayan ditemuramah wartawan). Daripada menjeling, kemudian membaca, memahamkan, kemudian bertanya dan kemudian mendaftar dengan beliau. Bagi yang lebih rajin, sila layari http://www.janawangdirumah.com/ untuk tahu serba sedikit mengenai bekerja dari rumah.

Mudah bukan? Tanyalah untuk mendaftar. Boleh terus melalui saya Snh Nurulhusna. PM untuk tahu lebih lanjut, tidak mendaftar tidak mengapa.

Kelas 100% fleksibel dan dijalankan secara online. Saya juga sangat bersyukur kerana selain diberi beberapa buah e-book percuma sesuai dengan tempoh prommosi yang saya sertai, saya juga berpeluang beriklan percuma di SOHO Directory. Sebuah laman yang menerima kunjungan daripada ahli dan juga trafik daripada gabungan rakan-rakan ahli.

Sekian,

Wassalam WBT

Sambal/ Serunding Daging Hitam Manis

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Sudah lama tidak bersua, saya tenggelam timbul kerana sibuk dengan kenduri-kendara tetapi ini semua dalam rencana Dia juga bilamasa dan berapa kerap kita boleh bertemu bukan? Senyum kemaafan kepada semua. Baiklah, kali ini saya ingin kenalkan produk Abdullah FOODS iatu Serunding Daging Hitam Manis.

Serunding ini rasanya manis-manis sedikit berempah dan memang sesuai untuk anak-anak makan dan bagi orang dewasa yang tidak boleh makan pedas. Pertama kali saya merasa sambal atau serunding jenis ini ialah ketika saya Darjah Tiga. Waktu itu emak dan ayah hendak pergi menunaikan Haji, ada saudara jiran yang datang berziarah membawanya untuk bekalan emak dan ayah di Tanah Suci. Bayangkan dua puluh tahun sudah berlalu, terngiang-ngiang lagi 'rasa'nya. Saya mencuba mencari resipinya di internet tetapi tidak ketemu hingga akhirnya saya cuba hasilkan kembali rasanya dengan gabungan pelbagai resepi.

Sambal atau Serunding Daging Hitam Manis ini berbeza dengan Sambal Hitam rakyat Pahang kerana Sambal Hitam orang Pahang menggunakan Belimbing Buluh dan ikan bilis sebagai asasnya. Jikalau dicari di carian Google mahupun mana-mana enjin carian nescaya Sambal Hitam yang terbit ialah sambal hitam dari negeri Tok Gajah.

Apa yang menarik, selain enak dimakan bersama nasi, ia juga sedap dimakan bersama roti. Saya telah mencubanya dengan roti telur. memang terangkat! Sambal ini dikacau hampir setengah hari dan agak kering, Insha Allah tahan lama dan jikalau bimbang skil nyahkuman belum cukup mahir lagi, bolehlah disimpan di dalam peti (Alamak, saya bergurau sahaja!). Seperti konsep makanan Abdullah FOODS, ini adalah makanan yang pantas dan sesuai dijadikan stok untuk pelbagai tujuan.

Hitam menawan, hitam manis!

Abdullah FOODS menawarkan kelas khusus untuk produk ini. 


Sekian,

Wassalam WBT



Sunday, 15 December 2013

Rakan Kongsi Jimat Masa Abdullah FOODS

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Tirai penutup 2013 semakin hampir dan rata-rata sibuk menghadiri walimatul urus pihak keluarga dan sahabat handai. Tidak ketinggalan juga yang pergi melancong dan melapangkan fikiran untuk memulakan 2014 dengan penuh semangat. Bagi sesetengah orang, bulan Disember bulan meraikan penat-lelah bekerja setahun ataupun bulan untuk merancang setahun yang akan datang bagi sebahagiannya pula. Walau apa pun aktiviti kita, usah lupa untuk menitipkan doa kesejahteraan untuk sekalian umat Islam seluruh dunia. Hati tersentuh dan bimbang melihat penindasan dan kekejaman yang saudara kita terpaksa hadapi.

Terus kepada maksud entri hari ini iaitu cadangan menjadikan Abdullah FOODS sebagai rakan kongsi perniagaan yang boleh menjimatkan masa, Insha Allah. Di sini saya ingin mengkhabarkan berita gembira bahawa Abdullah FOODS kini membuka untuk pengedar-pengedar atau usahawan-usahawan yang serius untuk berniaga menjadi rakan kongsi kami.

Saya lihat ramai anak muda yang pulang bercuti minat berniaga dengan menolong saudara-mara di gerai burger mahupun mencari pekerjaan di premis makanan. Jikalau ingin belajar berdikari, Abdullah FOODS sudi membekalkan Chicken Chop Frozen ataupun Lamb Chop Frozen untuk diniagakan. Anda boleh memasaknya dan siapkan sedikit hidangan sampingan yang mudah dan ianya boleh dibungkus untuk pelanggan bawa pulang.

Selama ini, para pengedar kami yang setia hanya mengedarkan produk sejuk-beku ke tangan pelanggan. Apa kata tuan-tuan dan puan-puan yang berminat untuk bekerjasama dengan kami tidak kiralah sebagai bisnes 'part-time' setelah pulang kerja seperti membuka gerai di restoran, cafe ataupun bisnes bermusim seperti jualan di tapak pesta, ekspo, hari kantin, pesta konvokesyen mahupun jamuan-jamuan yang inginkan kelainan; gorengkan sahaja produk sejuk-beku ini dan yang siap dimasak dijual kepada pelanggan!

Jikalau tidak habis dijual pada hari tersebut, usah gusar kerana kalian boleh biarkan produk ini di dalam peti sejuk-beku untuk jualan hari berikutnya. Mudah lagi cepat kerana kalian tidak perlu berpenat-lelah menyediakan satu per satu chicken chop yang dipesan pelanggan, tidak perlu pening menyediakan alatan khusus untuk menyediakan daging ayam, tidak perlu fikir hendak memasak sos, tidak perlu fikir tentang saiz hidangan, hanya perlu panaskan sahaja, jimat masa, jimat tenaga, bersih lagi cepat dan Insha Allah digemari ramai.

Menggoreng atau menyiapkan makanan sejuk-beku dari Abdullah FOODS ini juga adalah idea yang bernas untuk mereka yang tercari-cari barang jualan yang sesuai untuk gerai jualan Hari Kantin / Ekspo Jualan / Karnival, gerai Pasar Malam mahupun 'booth' di Restoran hatta gerai di tepi jalan. Bayangkan jikalau anda pulang dari bekerja, penat dan letih minda setelah seharian berkuliah kemudian hendak siapkan barang jualan lagi memanglah memakan masa. Oleh itu, Insha Allah beban anda boleh dikurangkan dengan hanya mengambil bekalan dari kami untuk dijual.

Harga jualan anda tentukan sendiri kerana anda bebas menambah hidangan sampingan seperti aneka salad ataupun coleslaw. Anda juga mungkin boleh menjual olahan Chicken Chop Frozen ini seperti entri saya yang terdahulu (Roll-Kabab atau Burger Platter).

Maka, jikalau berminat untuk berniaga tetapi kesuntukan masa, pilihlah produk kami sebagai barang jualan anda. Bersama-sama kita meraih rezeki yang halal dengan berniaga secara bijak lagi jimat masa.

Sekian,

Wassalam WBT









Friday, 13 December 2013

Aneka Salad Menyihatkan

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Maafkan saya kerana lama tidak bersua. Dua tiga hari ini berulang alik ke rumah emak ayah dan ke kedai untuk selesaikan kerja-kerja untuk menjengah ke tahun 2014. Kadang-kadang bersama dua orang anak kadangkala bersama si abang sahaja untuk biasakan mereka. Biarlah mereka beradaptasi ronda-ronda dalam kereta bersama saya sahaja, bimbang waktu-waktu memerlukan kami keluar segera suami saya pula perlu bekerja.

Perkongsian hari ini, salad bermacam jenis sebagai ganti sayur samada untuk juadah santapan tengah hari mahupun makan malam. Bagi rakan-rakan yang ingin menjalankan 'detoks' tubuh-badan, salad adalah pilihan yang tepat malahan mengenyangkan.

Walaupun namanya salad, kita boleh juga menambahkan elemen karbohidrat, protein dan sedikit lelemak yang kurang tepu supaya menjadi sebuah hidangan lengkap yang ekspres. Kedengaran seperti mudah; ia memang mudah! Proses memasak dalam menyediakan beraneka salad ini mungkin 10 hingga 15 peratus sahaja dan selebihnya adalah bahan mentah yang diolah terus.

Cuba kita belek bagaimana 'Ceaser's Salad dibuat; daun saladnya dikoyak helaian demi helaian dan boleh juga dicincang besar-besar jika daunnya terlampau lebar, kemudian ditabur roti bakar yang dipanaskan semula yang mana mungkin lebihan minum petang semalam, sedikit ayam bakar atau ayam goreng yang dicarik-carik ditabur diatasnya kemudian sos campuran minyak zaitun, sos 'mustard', lada dan garam dituang secara rawak. Sudah siap.

Kebanyakan chef yang saya ikuti, mereka menjadikan lebihan sayur di dalam peti sejuk sebagai salad, Korek peti sejuk kita; manalah tahu masih ada tomato ceri, lobak merah dan sebiji buah epal yang rangup masih belum berusik. Belah sahaja tomato kepada dua, lobak merah diparut kasar dan buah epal dipotong dadu. Jika ada daun salad dan mentimun bolehlah ditambahkan. Perasakan dengan sos 'Thousand Island' ataupun dengan sos lemon buatan sendiri yang ringan. Salad buah-buahan juga bagus untuk memulakan jamuan tergempar di rumah kita.

Melihat kembali masakan Melayu, kita juga punyai salad kita sendiri yang lebih dikenali dengan nama 'kerabu'. Boleh dikatakan hampir semua jenis sayur dan buah boleh 'dikerabukan' termasuk buah-buahan yang beracun seperti buah kepayang pun diproses hingga menjadi kerabu. Itu buah, jadi tidak mustahil, bagaimana pula dengan kulit ubi kayu yang dijadikan kerabu yang didedahkan oleh Rozita Che Wan dalam siri Masterchef Selebriti Musim Kedua dahulu? Saya sendiri kagum dan teringin mencuba jikalau ubi kayu ada di hadapan mata. Senyum sahaja, bertuah badan jikalau saya hendak mencabutnya sendiri, memang tidak berdaya!

Saya percaya setiap pelusuk Malaysia masing-masing ada resepi turun-temurun kerabu mereka. Salah satu makanan lengkap atau hampir lengkap dengan semua elemen, ada yang cepat disediakan, ada yang perlu sedikit ketekunan tetapi perlu diakui waktu menjamah adalah paling pantas sebenarnya.

Baiklah sekalian pembaca, jam hampir dua pagi; tiga-tiga beranak semua berdengkur nampak sangat letihnya. Tiba masa saya juga untuk sertai mereka dan hingga berjumpa di lain masa dengan ulasan aneka salad orang kita ataupun kerabu.

Sekian,

Wassalam WBT

-----------------------------------------

Berikut kelas-kelas yang menerima pelajar dengan hati yang terbuka

Abdullah FOODS
Kelas Belajar Buat Kacang Balut (Produk Baru Boleh Terjah Pasaran)
Kelas Belajar Buat Serunding Hitam Manis
Kelas Belajar Buat Kerepek Tempe

Kelas online oleh guru-guru berdedikasi yang semakin rancak, pun menerima dengan tangan terbuka untuk pendaftaran: (Cikgu Nisa Nua)

1. Kelas Asas Blog dan Penulisan
2. Kelas Asas Blog dan Fanpage
3. Kelas Beriklan di mudah.my
4. Kelas Penulisan Kreatif (Cikgu Monalita dan Cikgu Anys Idayu)

Hubungi saya di 017-9453559 (SMS 24/7) e-mel: snurulhusnahashim@gmail.com

Monday, 9 December 2013

Persediaan Mendapatkan Sijil HALAL dari JAKIM

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Dalam menampung kenaikan harga barang-barang dan usaha menaikkan taraf hidup, memulakan perniagaan adalah jalan yang paling cepat berada dalam senarai tindakan. Pelbagai jenis perniagaan muncul seperti selendang, tudung, abaya dan tidak kurang juga yang menjual makanan seperti saya. Sedikit peringatan, jualan apa pun yang kita buat, eloklah kita daftarkan perniagaan kita supaya memudahkan urusan di masa hadapan samada untuk bantuan, mengembangkan perniagaan dan secara tidak langsung menunjukkan kita serius mencari rezeki dengan berniaga.

Bisnes makanan merangkumi pelbagai skop dari makanan kering hingga makanan basah, membuka gerai atau restoran, katering hinggalah sejuk-beku juga makanan mentah hinggalah ke produk yang boleh terus dimakan. Sekiranya kita adalah salah satu daripada pengeluar, pengilang, pengedar, penjual, pengeluar sub-kontrak, pembungkusan semula, pemilik premis makanan ataupun rumah sembelihan, kita layak memohon pensijilan halal ini daripada Jabatan atau Majlis Agama Islam Negeri (JAIN/MAIN) masing-masing untuk edaran tempatan dan daripada Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) untuk edaran peringkat nasional dan antarabangsa.

Melalui kemudahan isian borang secara online, kita mesti memilih borang mengikut kategori yang disediakan iaitu 1. Produk/ Barang Gunaan 2. Premis Makanan dan 3. Rumah Sembelih. Kemudian kita hendaklah melengkapkan butiran yang diminta dan menyediakan fail khusus yang dilabel " SIJIL PENGESAHAN HALAL" untuk menyimpan sijil-sijil dan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk pemeriksaan di tempat berlakunya aktiviti perniagaan kita tersebut.

Berikut sijil-sijil dan dokumen yang perlu kita sediakan:
  • Profil syarikat;
  • Pendaftaran syarikat/perniagaan;
  • Nama dan keterangan produk / menu untuk disahkan;
  • Bahan ramuan yang digunakan;
  • Nama dan alamat pengeluar / pembekal ramuan;
  • Status halal bahan ramuan beserta sijil halal atau spesifikasi produk bagi bahan ramuan kritikal (jika berkaitan);
  • Jenis bahan pembungkusan;
  • Proses dan prosedur pengeluaran;
  • Lain-lain dokumen seperti HACCP, ISO, GHP, GMP, TQM dan sebagainya (Jika ada); dan
  • Peta lokasi premis / kilang.
Kadar tahunan cas perkhidmatan di bawah kategori Industri Pengeluar Produk bagi Industri Kecil ialah RM100.00, Industri Kecil Sederhana RM400.00 dan Industri Multinasional RM700.00 setahun. Kadar yang sama juga untuk rumah sembelihan mengikut saiz; kecil, sederhana dan besar masing-masing RM100.00, RM400.00 dan RM700.00. Bayaran ini dikenakan untuk tempoh dua tahun, oleh itu sebagai contoh jikalau Industri Kecil Sederhana ingin memohon Pensijilan Halal, mereka perlu membayar RM800.00 dalam bentuk wang pos (postal order), kiriman wang (money order) atau bank draf sahaja atas nama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau Jabatan.Majlis Agama Islam Negeri. 

Di sini saya sediakan pautan untuk muat turun Manual Pemohon Sistem e-Halal untuk kemudahan kalian. http://www.halal.gov.my/v3/index.php/ms/manual-pemohon-sistem-e-halal. Semoga perkongsian ini dapat membantu kalian membuat persediaan dalam memohon sijil HALAL daripada JAKIM. 

Sekian,

Wassalam WBT



-----------------------------------------

Berikut kelas-kelas yang menerima pelajar dengan hati yang terbuka


Kelas Belajar Buat Kacang Balut (Produk Baru Boleh Terjah Pasaran)
Kelas Belajar Buat Serunding Hitam Manis
Kelas Belajar Buat Kerepek Tempe

Kelas online oleh guru-guru berdedikasi yang semakin rancak, pun menerima dengan tangan terbuka untuk pendaftaran:

1. Kelas Asas Blog dan Penulisan
2. Kelas Asas Blog dan Fanpage
3. Kelas Beriklan di mudah.my
4. Kelas Penulisan Kreatif 

Hubungi saya di 017-9453559 (SMS 24/7) e-mel: snurulhusnahashim@gmail.com


Sunday, 8 December 2013

Makan Malam Ekspress dengan Sweet-Sour Jimat Masa

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Sudah hampir jam tiga petang, anak-anak tidur kembali, saya pun sudah segar dan wangi-wangi siap untuk kerja waktu petang pula. Sudahkah kalian mencuba resepi yang hanya menggunakan empat rencah semalam? Oh ya, hari ini hari Ahad, pasti ramai yang keluar membeli-belah ataupun bersiar-siar dengan keluarga. Dalam kesenangan kita, usah lupakan yang sedang bersusah-hati kerana dilanda banjir.

Baiklah, jikalau puan-puan tergesa-gesa untuk keluar ataupun perut terasa lapar setelah kembali ke rumah, kini saya tampilkan resepi 'sweet-sour' yang diajar oleh suami saya semasa mula-mula kahwin dahulu. Sangat ringkas dan rasanya Alhamdulillah sedap.

Resepi Sweet-sour ini untuk setengah ekor ayam jadi cukup untuk dua atau tiga orang dewasa makan. Buat sahabat-sahabat yang bujang hendak cepat-cepat dan berjimat juga sesuai. Buat ibu mengandung yang lelah di dapur juga sesuai, kerana masanya sebentar cuma tetapi hasilnya tidak mengecewakan.

Setengah ekor ayam yang dipotong ikut saiz yang disukai digoreng garing. Saya selalu gunakan minyak masak yang baru dan cukup-cukup sahaja untuk menggoreng ayam, ini kerana minyak ini nanti digunakan untuk menumis.

Sementara ayam digoreng, ambil dua labu bawang besar dan seulas bawang putih jika suka dikisar halus. Setelah ayam siap digoreng, tumiskan bahan yang dikisar ini sehingga wangi. Kemudian masukkan sos cili secukupnya. Bagaimana hendak tahu sos yang dimasukkan itu mencukupi? Saya masukkan sos dan kacau sehingga dapat warna merah sos yang saya mahukan. Tidak terfikir pula hendak menyukatnya, maafkan saya!

Tambahkan air jika kuah terlalu pekat dan masak hingga mendidih. Seteah mendidh barulah dimasukkan ayam goreng dan buang minyak yang berlebihan di permukaan kuah. Mudah sahaja, bawang merah, bawang putih dan sos cili. Jikalau hendak sedap lagi, boleh masukkan sos tiram sesudu, beserta halia yang dihiris halus ditumis sebelum menumis bahan kisar. Lihat, tiga hingga lima bahan sudah cukup untuk satu lauk.

Diharapkan dengan resepi ini boleh membantu rakyat Malaysia menjimatkan masa juga perbelanjaan dapur.

Sekian,

Wassalam WBT

------------------------------------------------------


Nota:

Setakat ini saya hanya mampu mengadakan kelas pada hujung minggu, kelas selepas waktu pejabat dan kelas malam hari biasa akan saya pertimbangkan demi kebaikan bersama. Terima Kasih kerana menyokong Abdullah FOODS!!

Kelas Belajar Buat Kacang Balut (Produk Baru Boleh Terjah Pasaran)
Kelas Belajar Buat Serunding Hitam Manis
Kelas Belajar Buat Kerepek Tempe

Kelas online oleh guru-guru berdedikasi yang semakin rancak, pun menerima dengan tangan terbuka untuk pendaftaran:

1. Kelas Asas Blog dan Penulisan
2. Kelas Asas Blog dan Fanpage
3. Kelas Beriklan di mudah.my
4. Kelas Penulisan Kreatif

Hubungi saya di 017-9453559 (SMS 24/7) e-mel: snurulhusnahashim@gmail.com

Saturday, 7 December 2013

Resipi Sedap Empat Rencah

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT dengan izinNya kita beroleh kesihatan untuk hari ini. Di samping menjalankan aktiviti hujung minggu, bersama-samalah kita berdoa dan berusaha untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir juga tidak ketinggalan untuk umat Islam di seluruh dunia. Letakkanlah sedikit penderitaan mereka di dalam fikiran supaya kita juga dapat bersedia dengan sebarang kemungkinan. Hari ini hari mereka, hari besok hanya Allah SWT yang tahu.

Terima kasih Allah kerana saya sudah mula menambah rutin harian kepada memasak kembali kebelakangan ini. Setelah sekian lama dapur kami suami sahaja yang 'perasapkan', kini saya mula campur tangan semula dengan kerjasama dari Abdullah dan Lina yang semakin baik moodnya. Kurang merap dan boleh bermain dengan tenang.

Tajuk hari ini, Resepi Sedap Empat Rencah. Bolehkah kita menghasilkan lauk yang sedap dengan menggunakan hanya tiga jenis bahan? Insha Allah sebenarnya boleh kerana saya telah mencubanya. Ideanya seperti biasa mesti menjimatkan masa dan sebagai bonus, jimat belanja. Resepi ini cukup untuk tiga hingga orang dewasa makan dan untuk sekali hidangan. Masak kicap ringkas namun menyelerakan, suami dan anak makan Insha Allah pasti menambah.

Bahan-bahan yang perlu disediakan ialah setengah kati daging dihiris dua inci kali setengah sentimeter dan empat rencahnya ialah: lima hingga sepuluh ulas bawang putih dirincik halus, dua inci halia juga dirincik, satu camca teh serbuk lada hitam biasa dan kicap manis secukupnya. Trik untuk menjimatkan masa ialah dengan menghiris nipis daging tersebut dan menggunakan kuali 'non-stick'. Mesti ingat, daging dan semuanya mesti dibasuh diiringi selawat kepada Nabi SAW, disejat dengan elok dan berzikir semasa masak.

Pertama sekali panaskan kuali dan dengan api sederhana dan masukkan lebih kurang dua sudu besar minyak masak. Usah bimbang dengan amaun minyak jika kita menggunakan minyak sawit atau minyak sayuran yang lain. Minyak sawit atau minyak yang berasaskan tumbuhan adalah jauh lebih ringan dan menyihatkan daripada minyak sapi, mentega atau marjerin.

Tumiskan halia dan bawang putih apabila minyak cukup panas. Biar garing sedikit dan kuis ke tepi kuali dan tumiskan serbuk lada hitam di suatu sudut kuali yang kosong. Apabila bawang dan halia berbau wangi dan garing sepenuhnya, masukkan daging dan api masih sederhana besar. Di sinilah pengalaman meletakkan minyak secukupnya teruji kerana minyak yang kurang menyebabkan langkah memerangkan daging menjadi kurang sempurna sebaliknya memenuhkan kuali dengan air daging dan menyebabkan hidangan menjadi kurang 'terangkat'.

Bila daging perang, masukkan kicap secukupnya (cukup untuk menyaluti daging dengan cantik) dan biarkan kicap dikaramelkan sedikit tetapi jangan sampai hangus. Masukkan air, lebih sedikit tidak mengapa dan set api ke paling kecil dan biar mereneh sehingga kepada kepekatan kuah yang kita mahu. Sementara lauk ini siap dimasak, bolehlah kita sediakan sayur, goreng ayam atau buat telur dadar. Keseluruhan masa memasak lebih kurang setengah jam sahaja.

Sebentar tadi saya sempat mencuba dengan bahan yang saya tukar sedikit. Halia diganti dengan serbuk lada putih tanpa MSG. Alhamdulillah rasanya memang tidak mengecewakan. Cubalah jika kesuntukan masa di dapur ataupun ketika kecemasan ibu mertua menerjah ke rumah.

Sekian,

Wassalam WBT

------------------------------------------------------

Nota: 

Setakat ini saya hanya mampu mengadakan kelas pada hujung minggu, kelas selepas waktu pejabat dan kelas malam hari biasa akan saya pertimbangkan demi kebaikan bersama. Terima Kasih kerana menyokong Abdullah FOODS!! 


Kelas Belajar Buat Kacang Balut (Produk Baru Boleh Terjah Pasaran)
Kelas Belajar Buat Serunding Hitam Manis
Kelas Belajar Buat Kerepek Tempe

Kelas online oleh guru-guru berdedikasi yang semakin rancak, pun menerima dengan tangan terbuka untuk pendaftaran:
1. Kelas Asas Blog dan Penulisan
2. Kelas Asas Blog dan Fanpage
3. Kelas Beriklan di mudah.my
4. Kelas Penulisan Kreatif 

Hubungi saya di 017-9453559 (SMS 24/7) e-mel: snurulhusnahashim@gmail.com

Friday, 6 December 2013

Kreatif Berbisnes Online ala Jimat Masa

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Terngiang-ngiang lagu Ali Mamak- Semua Naik di telinga saya waktu jari menaip entri ini. Iya lah, dalam zaman yang serba pantas, kenaikan harga seolah-olah juga berlumba dengan kita dalam acara pecut zaman-berzaman untuk kemenangan di pentas kehidupan. Namun dunia, dunia juga; akhirat jangan dilupa. Berpeganglah kepada Sabda Nabi SAW yang mafhumnya berbunyi begini;‘Berkerjalah kamu seperti kamu akan hidup seribu tahun. Beramallah kamu seperti kamu akan mati esok hari’. 

Kekasih Allah SWT yang terjamin tempatnya di akhirat juga menggalakkan kita berusaha dengan gigih membuat persediaan yang terbaik; baik dalam kehidupan mahupun selepas kematian. Kedua-duanya perlu cemerlang dan selagi ada daya, wajiblah kita menggunakannya kerana alangkah rugi lagi terpedaya golongan yang hidupnya bersandarkan 'hari ini sama seperti semalam' dan celakanya manusia yang hidupnya 'lebih teruk dari semalam'. Saya menyeru diri saya sendiri untuk cuba masuk ke dalam kategori orang yang berjaya di mana hidupnya 'lebih baik dari semalam'. Penting dinyatakan di sini, pandangan manusia tidak lagi penting jika kita serius mahu menempatkan diri di dalam golongan orang berjaya atau sekurang-kurangnya berniat untuk berjaya.


Bagi pembaca yang menyimpan impian untuk berjaya dan menanti saat-saat untuk bertindak melalui jalan perniagaan, inilah masanya untuk melangkah kerana jika tunggu lagi, sempatkah kita sampai ke esok hari? 'Teori-teori' yang kita kaji tiada gunanya jika tidak diuji. Berani-beranikan diri mencuba kerana berniaga adalah 9/10 sumber rezeki. Satu cara tidak sesuai, gunakan lapan yang lain. Saya yakin, sebelum khatam sembilan cabang, Insha Allah kita sudah mula meniti rentak kejayaan. Ini sudah lebih baik daripada menjadi pemerhati bebas juga pengkritik tidak berbayar.

Isunya di sini, bagaimana memecah masuk ke dalam jaringan perniagaan sedangkan kita umpamanya masih seekor ikan yang baru menetas? Salah satu caranya ialah dengan menghasilkan blog dan laman peminat di Facebook. Ideanya ialah kita ajarkan diri bersabar dan beristiqamah menaip blog setiap hari dan kata-kata di blog inilah yang kita kongsikan di dinding mukabuku milik sendiri dan juga di dinding mukabuku yang kita uruskan (Facebook bisnes). 

Kawan-kawan kita adalah titian kepada pelanggan yang berpotensi namun ia tidak bermakna kita mempergunakan mereka. Siapa tahu, dalam ratusan kawan-kawan, ada seorang dua yang berminat dengan produk kerana mengikuti kata-kata kita yang memberi ;tenaga' kepada mereka. Inilah yang bakal memecahkan pintu rezeki kepada kita tanpa memegang rekod menjadi peniaga yang paling lama memulakan perniagaan. Jimat masa, kreatif lagi profesional. 

Apabila langkah ini menjadi kebiasaan, Insha Allah, ia juga mengelakkan kita merapu dan merepek seterusnya boleh menjejaskan kredibiliti sebagai seorang peniaga. Benar, dengan berniaga kita boleh menjadi orang baik. Sebenarnya, semua ini pengetahuan baru buat saya setelah menyertai Kelas Asas Blog dan Pnulisan yang diajar oleh kawan saya secara online. Sebelum ini, saya tidak tahu memanfaatkan butang 'share' apatah lagi menempekkan kata-kata yang menarik lagi positif.

Alangkah ruginya, selama ini ber'facebook' membuta-tuli dan alangkah malunya saya pada diri sendiri kerana konon-kononnya saya ini orangnya kreatif, berniaga pula; tetapi hendak kreatif dalam berniaga pun tidak tahu! Lihat sahaja sekarang, apa jenis bisnes yang tidak ada di internet? Semua ada, termasuklah bisnes ala 'drop-ship'. Klik-klik, taip-taip sahaja; selesai urusniaga. 

Syukur Alhamdulillah. mudah sungguh berniaga zaman sekarang. 

Sekian.

Wassalam WBT.



----------------------------------------------<@

P/S: Mari kita kongsi apa yang ada. Bila kita memeriahkan pentas perkongsian ilmu, Insha Allah. Allah SWT akan meriahkan pahala amalan kita pula. Biarlah hanya sedikit kerana sudah hakikat ilmu manusia hanya seperti air laut yang melekat pada jari. Lain jarinya, bermakna lainlah 'air' yang melekat itu. Wallahu'alam.

Belajar lebih lagi di:
Kelas Asas Blog dan Penulisan

atau mantapkan perniagaan anda di:
Kelas Asas Blog dan Fanpage
Kelas Belajar Beriklan di mudah.my


atau hasilkan karya kreatif anda di:
Pra-pendaftaran Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif (Kelas bermula Disember 2013)


Mari kembangkan idea anda dengan berkongsi di laman blog profesional milik anda sendiri. Coaching personal oleh guru-guru hebat di bawah pengasas Akademi Bekerja di Rumah.

PAKEJ KELAS ASAS BLOG 
Harga pakej sebenar RM155 (ebook) + RM130 (yuran kelas)= RM 285

Untuk PROMOSI RM200 sahaja



Thursday, 5 December 2013

Kacang Balut Abdullah FOODS

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Kacang Balut boleh saya kategorikan kerepek atau jajan orang Melayu. Rangup kerana berkacang dan di balut diluar pula. Setiap biji dihasilkan dengan penuh ketekunan supaya hasilnya cantik, sekata dan sudah semestinya enak dimakan. Warnanya sedikit putih dan keperangan. Rasanya pelbagai dan jikalau yang berperisa toffee, kata Mat Salleh, ianya seperti bunga api di dalam mulut kerana meriahnya lidah merasa.

Kerepek-kerepek juga, ramuannya semua mempunyai khasiat yang tersendiri. Biar sedap dan ada kebaikan menjamahnya. Sememangnya nikmat dan sesuai dengan tekak orang Malaysia. Kanak-kanak juga orang dewasa semua boleh menikmatinya. Setelah iklan Kelas Belajar Buat Kacang Balut, mesti kalian tertanya-tanya bagaimana rupanya kacang balut keluaran Abdullah FOODS? Jadi inilah rupanya Kacang Balut kami:


Kenapa perlu belajar buat Kacang Balut ini dengan kami?

Ini kerana, kacang balut ini mempunyai resepi, teknik balutan dan masakan yang khusus. Penyediaannya mudah namun 'tricky'. Jika tersalah langkah kacang balut kurang menjadi oleh itu usah penat-penat berfikir, daftar kelas dengan kami dan belajar tanpa rahsia. Kami mengamalkan konsep jimat masa yang praktikal dalam penyediaan makanan kering ini dan amat sesuai sekiranya peserta ingin mengembangkan produk ini.

Di bengkel, semua peserta akan belajar sehingga produk siap, tinggal bawa balik untuk makan sahaja. Bahan-bahan dan peralatan memasak akan disediakan Abdullah FOODS. Setiap sesi, kami menerima 5 hingga 6 orang pelajar sahaja kerana tidak mahu yang ketinggalan semasa sesi pengajaran. Jadi lebih mudah juga untuk pengajar fokus kepada peserta.

Oleh itu, bagi kalian yang berminat saya paparkan iklan di bawah dan boleh bertindak sebelum terlambat!
Masih ada kekosongan untuk pendaftaran kelas ini. 


Sekian,

Wassalam WBT.

Jom Belajar dengan Abdullah FOODS

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Syukur Alhamdulillah, memang berbaloi sangat yuran Kelas Asas Blog dan Penulisan kelolaan Guru Online Nisa Nua. Saya bukan setakat belajar ilmu blog dan menulis, malah beliau dengan percuma memberikan idea-idea dan nafas baru dalam perniagaan saya. Alhamdulillah.

Maka bersempena pemfokusan produk yang dilakukan oleh Abdullah FOODS, kami akan menganjurkan kelas memasak dan mengajarkan teknik-teknik menghasilkan makanan kering dan antaranya adalah gubahan kami sendiri. Insha Allah ini bermakna kursus-kursus ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana menawarkan prospek dan pasaran yang cerah sekiranya peserta ingin menghasilkan dan menjual hasilan produk setelah menimba ilmu dengan kami. (Contoh: Kacang Balut aneka jenis, Serunding Daging Hitam Manis dan Kerepek Tempe)

Kelas berbentuk 'hand's on' bakal memberi pengalaman peserta merasa sendiri memproses produk. Instruktor juga lebih berminat menjalankan kelas dalam bentuk yang interaktif lagi santai supaya peserta lebih mesra untuk bertanyakan soalan. Nota dan resepi juga akan diedarkan sebelum kelas dan yang paling menarik, anda akan pulang dengan hasil masakan yang anda belajar semasa di dalam kelas.

Berikut merupakan Jadual Kelas yang Abdullah FOODS tawarkan mengikut pakej, Insha Allah bermula 7 Disember 2013 ini. Jom belajar perkara baru yang belum dikomersialkan. Perlu diingatkan, tempat adalah terhad dan harap maklum, pendaftaran berserta bayaran yuran akan diutamakan.
Sila klik untuk imej yang lebih besar.
Sila klik untuk imej yang lebih besar.
Sila klik untuk imej yang lebih besar.
Sila klik untuk imej yang lebih besar.

Sila klik untuk imej yang lebih besar.

Bagaimana mendaftar kelas dengan Abdullah FOODS?

1. Sila lihat Jadual Kelas dan pillih pakej.
2. Buat bayaran yuran mengikut pakej yang anda pilih ke:

07140111469521
CIMB
SITI NURULHUSNA HASHIM

157081308802
MAYBANK
SITI NURULHUSNA HASHIM

3. Isi dan hantar borang tempahan.

* Sila simpan bukti pembayaran untuk melicinkan urusan. Terima Kasih.

Wednesday, 4 December 2013

Pemfokusan Produk Abdullah FOODS

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Salam subuh di pagi hari Rabu yang indah, Segar rasanya setelah tidur awal semalam, Alhamdulillah. terima kasih di atas pertolongan Abi yang tengokkan Abdullah sementara ummi berehat untuk segera pulih dari demam. Alhamdulillah, syukur kerana Allah SWT  kurniakan kesihatan pada hari ini. Banyak perlu dilakukan, saya tidak boleh jatuh sakit!

Memandangkan untuk berjaya kami perlu fokus, oleh itu, tanggal hari ini, Abdullah FOODS hanya memfokuskan kepada pemprosesan produk makanan sejuk beku sebagai keutamaan. Antaranya ialah Chicken Chop, Lamb Chop, Beef Patty juga pes-pes perencah. Produk yang lain seperti dalam senarai produk Abdullah FOODS akan diproses hanya mengikut permintaan.

Produk kerepek dan kuih-muih hanya akan diproses pada musim perayaan dan juga mengikut permintaan pelanggan. Ini juga bermakna, stok sedia ada kami sentiasa kami perbaharui dan tidak akan disimpan lama. Insha Allah, kami juga sedang berusaha untuk mengedarkan beberapa jenis agar-agar kering dari rakan niaga yang berpengalaman dalam pembuatannya. Semua ini bertujuan menjaga kualiti dan memastikan pelanggan mendapat yang terbaik sahaja dari kami.

Oleh itu, sebarang tempahan dan pertanyaan produk bolehlah dibuat melalui Whatsapp kepada Encik Hilmi di 012-9866819 atau boleh SMS kepada saya di 017-9453559 24 jam seminggu. Diharapkan dengan pemfokusan ini boleh meningkatkan kualiti servis kami kepada para pelanggan yang dikasihi.

Sekian,
Dari Muslim Untuk Muslim. Dijamin Halalan Toyyiban!

Wassalam WBT

Tuesday, 3 December 2013

Sup Bebola dan Beef Patty Jimat Masa

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Sudah lama rasanya saya tidak tampilkan tips-tips untuk menjimatkan masa. Jadi seperti kebiasaan, masa yang terluang sekejap ini saya manfaatkan untuk perkongsian di internet. Minggu ini agak meriah dengan Abdullah dan Lina yang masing-masing sudah pandai berperang merebut duduk di atas riba mahupun dipeluk Ummi. Abi yang ada pun mereka tidak mahu juga; Ummi pilihan nombor satu, jadi Abi usah berkecil hati.

Siaran televisyen yang pasti saya akan tonton jika berkelapangan ialah Man Versus Foods yang acapkali menampilkan burger-burger dan 'sandwich' yang ekstrim dengan pelbagai jenis kepingan daging segar diproses dengan pelbagai cara. Memanglah kecur liur dibuatnya kecualilah yang dipaparkan itu daging terlarang. Alhamdulillah di Malaysia, kita sudah punya pilihan untuk menikmati daging segar yang diproses menjadi 'patty' selain daripada menggoreng 'daging' burger yang rasanya tidak seperti daging itu.

Sebenarnya, saya lebih gemarkan burger 'berperisa' ayam kerana lidah dan tekak saya tidak boleh menerima burger 'daging'. Kenapa? Mungkin rasa itu disalahtafsirkan kerana terlampau banyak lemak daripada daging di dalam campurannya. Bukan tidak teringin, tetapi saya pendamkan sahaja kerana ia pasti akan keluar semula jika dimakan. Membazir.

Dua hari yang lalu saya keluar dengan Abdullah ke pasar sementara Abi berehat setelah keletihan operasi larut malam sambil temankan Lina tidur. Alhamdulillah, kami pulang dengan daging segar tempatan dan memang hasrat saya untuk buatkan bebola daging untuk Abdullah disamping simpan sedikit untuk daging burger saya. Maafkan saya, bukan hendak mengada-ngada memilih daging segar yang harganya agak tinggi berbanding daging kotak, tetapi bagi sesiapa yang tidak tahan bau dan rasa daging yang kuat, sebenarnya daging lembu tempatan adalah pilihan yang terbaik.

Jika untuk masakan yang banyak rempah dan lama tempoh masaknya, penggunaan daging kotak adalah amat bersesuaian. Saya telah cuba merasa 'beef patty' yang diproses daripada sumber daging kotak dan walaupun dagingnya boleh dikatakan majoriti daripada bahan yang lain, citarasa saya tetap menolaknya. Orang macam saya ini, lebih baik sediakan sendiri. Sebenarnya, menyediakan 'beef patty' tidak perlukan masa yang lama.

Jika tuan-tuan dan puan-puan mempunyai pemproses makanan, ianya amat membantu menjimatkan masa kerana daging segar ini perlu dipotong senipis mungkin untuk mengelakkan urat-uratnya melilit di sekeliling pisau blender biasa. Urat-urat daging ini boleh menyebabkan blender rosak malahan boleh mendatangkan renjatan elektrik kerana pisau di dalam blender tersangkut dan tidak boleh bergerak tetapi motor blender di bawah kuat berputar. Ianya amat berbahaya.

Perlu diingatkan, kepingan daging yang dipotong nipis itu hendaklah dicuci dan dibasuh sebersihnya sambil berselawat untuk mengeluarkan darah dan bau hanyir daging. Makanan suci juga membentuk hati yang suci, Insha Allah. Kemudian daging ini ditoskan supaya tidak berair setelah hancur nanti. Saya masukkan juga sedikit garam, bawang putih dan lada hitam untuk mempertingkatkan rasanya. Kemudian, bawang merah yang diracik halus digaul sehingga rata dan siap untuk pelbagai jenis masakan. Mudah bukan?

Sebenarnya, sementara menyediakan daging hancur, saya telah panaskan air hingga menggelegak dengan sedikit hirisan halia dan sayur-sayuran seperti lobak merah dan bunga kubis. Apabila air sudah cukup panas, saya masukkan bebola daging dan tunggu hingga terapung yang menandakan ianya sudahpun masak. Pucuk jagung dan lain-lain sayuran hijau juga sesuai dimasukkan ke dalam sup ini. Semua hidangan tengahari ini siap dalam tempoh 30 minit (Sup Bebola Daging, Nasi Putih, Ayam Goreng, Telur Dadar dan Milo Ais).

Apabila kita sudah mempunyai asas daging hancur di dalam peti sejuk ini, bukan sahaja Sup Bebola daging boleh disiapkan dalam tempoh 15 hingga 30minit, namun Spagetti Meatball, Burger Bakar buatan rumah pastinya lebih mudah kita hasilkan. Ternyata sangat menjimatkan masa. 2 per 3 daging ialah untuk sup hari ini dan selebihnya saya bentukkan seperti daging burger dan dibekukan di dalam peti. Jika hendak buat sup bebola di kemudian hari, tidak ada masalah, sekeping 'beef patty' boleh menghasilkan empat hingga lima biji bebola daging.
Maaf, ini sahaja yang tinggal dalam periuk untuk sesi bergammbar!

Beef Patty ini untuk disejuk-bekukan

Jika hendak makan burger daging, boleh terus bakar sahaja kepingan ini sehingga masak. Teringin melihat burger cheese lava, mudah sahaja, letakkan kepingan keju pilihan anda di antara dua keping daging, kemudian kelimkan bahagian tepi dan bakar hingga masak. Yang diperlukan ialah bersabar dan berhati-hati sebelum makan walaupun aromanya membuatkan anda hendak menerkam burger tersebut. kerana lelehan cheese ini pasti membuatkan lidah dan mulut anda melecur.

Akhir kata, makanan yang enak dan segar tidak semestinya mengambil masa yang lama untuk disediakan. Kalau Chef Jamie Oliver pun boleh memasak dalam tempoh 15 minit, kita juga mesti boleh!

Sekian.

Wassalam WBT

p/s: kalau malas, tempah sahaja dari Abdullah FOODS kan senang!