Tuesday, 22 October 2013

Kenali Tubuh Badan Sebelum Berubat

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Sedap sungguh air tangan emak, lauk ikan bakar dengan ulam dan nasi panas. Berselera saya menjamahnya. Siapa cakap lauk berpantang menjemukan? Kadang-kadang "less is more" bak kata Orang Putih. Hari ini hari kelima dengan orang baru. Suami masih sibuk menyiapkan pesanan dan stok; katanya kawan-kawannya banyak yang menggandakan pesanan makanan sejukbeku kami kerana hendak dibawa balik ke kampung halaman sebagai ole-ole juga bekalan hari cuti Raya Korban yang hanya beberapa hari sahaja lagi. Terima kasih dari kami di Abdullah FOODS kerana kepercayaan dan sokongan pembeli menjadi asas kejayaan kami, Alhamdulillah.

Antara produk yang 'laju' hingga tidak sempat masuk dalam peti sejukbeku ialah Lamb Chop Frozen pelbagai perisa. Yang menarik perhatian saya ialah seorang sahabat suami bawa pulang tiga bungkus produk ini ke rumah mertuanya, Masha Allah tak perlu susah-susah; panggang sahaja di atas dapur, siaplah hidangan! Kebetulan isteri beliau yang juga rakan saya sedang berpantang, jadi elok sangatlah jika sang suami dapat membantu di dapur dalam waktu-waktu begini.

Sambil saya mendengar suami tersayang habis melaporkan senarai pembeli-pembeli baru dan yang setia untuk hari ini, fikiran menerawang dengan persoalan samada wanita berpantang boleh makan daging kambing ataupun tidak? Kemudian muncul pula persoalan apakah senarai makanan yang boleh dan tidak boleh dijamah oleh ibu-ibu yang berpantang? Baik yang bersalin secara normal mahupun pembedahan. Antara pendapat dari umum ada yang menggalakkan makan daging bakar, makan ayam bakar, makan ikan kering dan macam-macam lagi. Namun begitu, saya berpendapat lebih baik kenali tubuh badan kita sendiri dan kenalpasti apa yang sesuai dan tidak sesuai dengan kita sebelum menuruti mana-mana petua sekalipun.Untuk saya menerangkannya secara saintifik, mungkin memerlukan beberapa entri lagi. Jadi saya harap bahasa yang saya gunakan mudah untuk difahami pembaca sekalian.

Bagaimana mengecam makanan yang serasi dan tidak serasi dengan kita? Baiklah, cara yang pertama yang menjimatkan masa ialah dengan bertanya kepada ibu atau nenek, makanan apa yang ibu dan nenek makan semasa berpantang. Makanan yang dimaksudkan merangkumi semua kategori kelas makanan dari protein hinggalah ke sumber vitamin dan mineral. Sebagai contoh, ada antara kita boleh menjamah ikan cencaru, tapi bagi sesetengah yang lain mungkin salah satu sumber protein ini 'berbisa' dan mendatangkan mudarat. Regim berpantang yang menjadi amalan ibu dan nenek memang berguna kerana mereka telah sedia maklum apa yang serasi dan tidak dengan diri dan oleh kerana kita berkongsi genetik yang sama dengan ibu dan nenek, makanya kebarangkalian yang besar jika nenek tidak boleh memakan kobis semasa berpantang, kita juga tidak boleh memakannya.

Yang kedua ialah mengenalpasti makanan yang memang tidak sesuai dimakan ketika dalam pantang contohnya seperti sayur-sayuran atau buah-buahan yang bersifat sejuk seperti timun, taugeh, labu, kangkung, pucuk ubi kayu, pucuk paku, tembikai, pisang dan lain-lain lagi. Manakala sumber protein seperti kerang, sotong, ketam dan ikan yang 'berperut hitam' haruslah dielakkan kerana boleh menyebabkan kegatalan, keluar air bisa seterusnya menyebabkan tempat luka kita bernanah. Begitu juga dengan makanan segera yang tinggi kandungan MSGnya; pengambilannya adalah dilarang sama sekali.

Kemudian, kita juga boleh cuba dan belajar dari kesalahan. Sebagai contoh, semasa pembedahan apendik saya, saya dapati luka pembedahan mengeluarkan air bisa setelah saya menjamah ayam bakar. Maka sewaktu berpantang anak sulung, memang saya cuba elakkan memakan ayam kerana keadaan tersebut. Pernah juga dek menjaga hati insan yang menyediakan hidangan, saya jamah juga lauk ayam yang disediakan khusus untuk saya; memang tambah berairlah luka pembedahan saya selepas itu. Waktu itu tempoh berpantang bersalin sudah habis cuma luka yang belum sembuh dan saya berada di luar kawasan. Dari pembacaan saya, rupa-rupanya ayam moden memang berbisa dan tidak sesuai untuk orang berpantang mungkin kerana suntikan mempercepatkan tumbesaran yang diberikan. Patutlah kaum Cina mengamalkan memakan ayam kampung dan ayam selasih yang dikukus atau dibuat sup dengan pelbagai herba semasa dalam tempoh pemulihan.

Perkara yang terakhir dan tidak kurang pentingnya ialah dengan mengenalpasti jenis makanan dan zatnya serta zat apa yang kita lebih perlukan untuk mempercepatkan proses penyembuhan.Untuk orang berpantang samada selepas bersalin, kemalangan mahupun pembedahan, zat yang perlu diutamakan ialah Magnesium, Zink, Besi dan juga Vitamin C. Dalam tempoh ini, badan memerlukan zat yang berupaya menghalang jangkitan, mempercepat penghasilan sel darah merah dan membantu pembentukan protein dan pembaikan tisu-tisu serta sel-sel yang rosak. Ingin saya tekankan sumber vitamin dan mineral dalam bentuk organik adalah lebih baik dari yang berbentuk koloid. Sebagai contoh, kita digalakkan makan buah oren daripada mengambil tablet vitamin C. Namun semuanya terpulang kepada kesesuaian diri masing-masing.

Sekian dulu perkongsian dari saya, jumpa lagi di lain masa, Ilal liqa'.

Wassalam wbt




No comments:

Post a Comment