Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Bismillah
Assalamualaikum WBT
Alhamdulillah setelah lama menanti, inilah sedikit tentang bagaimana mahu jaga 'ong' dalam perniagaan cara orang mukmin. Kenapa tidak kita perhatikan sedikit berat hal ini? Kerana jikalau manusia yang tidak bersyahadah begitu prihatin mengenai perkara yang dianggap kecil ini dan mereka memonopoli sektor perniagaan. Paling tidak arena bisnes di Malaysia; walhal serata ceruk dunia, sebut sahaja, di mana yang tidak ada kaum Cina berdagang dan menjadi pemastautin akhirnya.
Sebagai mukmin. memang terang-terangan kita tidak boleh mengambilkira faktor feng-shui, tilik nasib dan yang sewaktu dengannya. Istilah 'ong' bagi kaum Cina bermaksud tuah dan perkara yang ingin saya perkatakan di sini; tuah atau nasib yang baik itu bercas positif dan manakan pula cas positif akan melekat ke badan kita yang selalu tidur lewat, beremosi yang sekejap naik sekejap turun, meringan-ringankan ibadah dan mengambil ringan isu kesihatan tubuh badan?
Ringkas sahaja tips yang saya akan perturunkan (ini bukan khidmat bomoh pelaris dan sebagainya). Yang pertama, melalui kefahaman saya dalam ceramah yang disampaikan oleh Dr. Zakir Naik, hatta dalam beribadah pun kita perlu berikan hak untuk tubuh badan berehat; yakni tidur di malam hari. Tidur yang berkualiti bukan bermakna semata-mata untuk bangun dengan segar, tetapi biarlah tidur itu juga menjadi ibadah. Berwudhuk, membaca doa tidur, bermuhasabah dan berzikir sebelum mata terlelap. Lebih afdhal lagi jika berniat untuk bangun di keheningan sepertiga malam untuk bermunajat. Dan mintalah tuah kekayaan dengan mengamalkan Surah Al-Waaqi'ah dari Pemiliknya sebelum tidur.
Apa yang Allah SWT letakkan sebagai hikmah di sebalik kejadian siang dan malam ialah, siang untuk bekerja dan malam untuk berehat. Pernahkah kalian terbaca mengenai kajian tidur bawah lampu yang disamakan dengan/tidur di siang hari boleh mengaktifkan sel kanser dan merosakkan sel badan? Apabila sel rosak, organ juga turut rosak. Jadi bagaimana mahu beraksi tatkala semua orang sedang mengail? Kita lena akibat berjaga malam dan terbangun sewaktu manusia sudah selesai melakukan transaksi bisnes dan kita ketinggalan. Bagaimana mahu segar bugar di pagi hari jika terlelap di hadapan kaca televisyen?
Perkara yang kedua ialah dengan berpagi-pagi. Bangun awal untuk Solat Subuh dan yang ketiga mengamalkan solat Sunat Dhuha. Nabi SAW sendiri tidak tidur setelah Solat Subuh, baginda akan berzikir sehingga waktu Dhuha kemudian menunaikan solat Sunat Dhuha pula. Sesungguhnya tersimpan seribu satu rahsia kecantikan, kekuasaan, kekuatan, keindahan, keampunan dan kekayaan pada waktu Dhuha ini. Bagaimana mahu tajam berbisnes sedangkan Subuh entah ke mana, waktu Dhuha pun kelopak mata masih melekat?
Yang keempat perbanyakkan berzikir Asma' Ul Husna. Serulah NamaNya yang baik-baik untuk memperoleh aura yang baik-baik pada kita.
Yang kelima, bersedekah. Ya, bersedekahlah dengan niat menyucikan hati. Seiringan dengan apa yang kita sedekahkan, niatkan untuk buang kotoran di hati kita. Sisa-sisa kebongkakkan mendapat untung semalam, daki-daki dendam yang tidak berkesudahan dan hasad dengki melihat orang lain. Berinfaklah biarpun kita sedang kesempitan. Capailah apa yang ada di dalam dompet untuk anak-anak yatim dan fakir miskin. Sedekah membuatkan kita gembira dan lebih gembira jikalau kita tidak tahu berapa yang kita telah sedekahkan (sedekah sehingga tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu).
Yang terakhir ialah senyum dan menebarkan salam. Salam ini ialah suatu lafaz milik mukmin yang sangat berkuasa kerana dengannya kita mendoakan kesejahteraan tidak kira siapa saudara seislam yang menerimanya. Memberinya adalah sunat, manakala menjawabnya adalah wajib. Anjuran Nabi SAW ialah kita menyebarkan salam dan menjawabnya dengan lebih baik lagi. Siapa tidak suka orang yang tidak dikenali mendoakan kesejahteraan dan keselamatannya? Ini kita, bila orang memberi salam terus fikir yang bukan-bukan dan bertempiaran lari lintang-pukang. Berselisih pun tunduk dan muka tegang sahaja. Bagaimana hendak mendapat pelanggan yang berpotensi jika mengucapkan salam pun berat mulut?
Sekian sahaja perkongsian saya. Marilah kita mencuba tips ini, dan para peniaga online sangat mudah kerana awalan blog atau mesejnya boleh sahaja ditaip 'Assalamualaikum'. Senyum kambing untuk diri sendiri yang selalu alpa.
Wassalam WBT
assalammualaikum....tips yang memang terbaik...terima kasih..jazakillahu khairan...
ReplyDelete