Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Assalamualaikum WBT
Musim cuti sekolah semakin mendekat. Bagi warga sekolah tinggal hanya dua hari lagi untuk menamatkan persekolahan tahun 2013. Buku teks sudah lama dikumpul kembali dan debaran bagi yang bakal menukar status hidup makin terasa, tak kurang juga yang bakal menerima orang baru dalam keluarga. Perkhidmatan katering, sewa baju pengantin, gubahan bunga telur dan hantaran semakin rancak dan ada yang sudah penuh jadualnya untuk dua bulan terakhir dalam tahun ini. Sekarang ini masyarakat tidak lagi berkira untuk mengadakan walimatul urus pada hari bekerja kerana faktor tiada kekosongan di hujung minggu dan mungkin juga tarikh kenduri sudah ada ketetapan dari ahli qaryah yang lain.
Bagi yang tinggal luar dari tempat kelahiran, waktu cuti sekolahlah yang paling ideal untuk berziarah ke sana ke mari. Rombongan pengantin pula sibuk merangka rancangan dan mengumpul adik-beradik untuk mengarak kedua-dua mempelai. Ada yang ke Utara, ke Selatan dan ke Pantai Timur. Meriah sungguh Malaysia tatkala ini. Kebetulan pula keputusan UPSR baru keluar semakin banyak kenderaan di kiri kanan jalan dan kedai-kedai makan dipenuhi dengan keluarga-keluarga yang semuanya kelihatan gembira. Seperti bunga-bunga beterbangan pula perasaannya bila melihatkan suasana sebegini.
Tahniah saya ucapkan kepada warga Terengganu Darul Iman kerana menjuarai senarai kecemerlangan dalam UPSR 2013. Status-status di mukabuku juga mendatangkan semangat yang positif apabila dibaca. Mana tidaknya, rata-rata mengkhabarkan kecemerlangan anak-anak atau ahli keluarga dalam bidang yang mereka ceburi. Pelbagai kategori anugerah yang diperoleh dan yang paling menarik ialah Anugerah Usahawan Muda yang diterima oleh abang kepada rakan sekolah lama saya.
Apa pula perkembangan Abdullah FOODS ya? Sepertinya banyak urusan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan kerana pelanggan dari mukabuku sudah ada yang sanggup turun sendiri ke kedai fizikal kami membeli produk sejukbeku dan ada yang memesan supaya produk dihantar ke rumah melalui pamplet yang suami saya tinggalkan di masjid. Kami juga perlu mempertingkatkan teknik pengeposan produk kerana cabarannya ialah produk sejukbeku. Saya pernah melihat bahan ujikaji yang dibekukan dihantar melalui pos dan mahu mencubanya kepada produk sejukbeku kami.
Saya akan kongsikan di sini nanti cara-caranya di dalam entri berlainan dan semoga boleh dijadikan panduan kepada pembaca yang ingin menjalankan bisnes sejukbeku serata Malaysia. Semoga Allah SWT mempemudahkan apa jua hasrat dan usaha kita dan bagi yang perlu berkelana, saya doakan semoga Allah SWT melindungi dan merahmati kembara kalian. Amiinn. Oh ya! Selamat berbuka puasa, bagi umat Islam yang berpuasa sunat Hari kesepuluh Muharram, semoga Allah SWT menerima dan memberi ganjaran di atas amal-ibadah yang kalian lakukan. Aamiinn.
Sekian dahulu buat kali ini.
Wassalam WBT.
No comments:
Post a Comment