Saturday, 13 July 2013

Ramadhan di Pantai Timur - Hari Kedua

Teks: Siti Nurulhusna binti Hashim

Assalamualaikum W.B.T

Bertemu lagi kita untuk menatap kisah saya berpuasa di Pantai Timur. Saya harap kalian kekalkan kesegaran dan stamina untuk kita jalani ibadah puasa di hari-hari mendatang dengan penuh pengisian. Entri kali ini saya cerita apa yang saya buat pada hari kedua Ramadhan di tempat suami.

Pada 2 Ramadhan, seawal jam empat pagi saya lihat ibu mertua sudah bangun menanak nasi dan memanaskan lauk yang dimasak semalam iaitu Sup Ketam. Aduhai, saya memang sukakan ketam, tetapi saya akan mengambil masa dua jam atau lebih untuk menghabiskan seekor ketam dengan kuah-kuahnya sekali (ini kalau banyak masa terluang). Apakan daya, saya hanya memandang ketam tersebut sambil memikirkan anak yang sedang tidur di atas katil berseorangan, saya menjamah lauk yang mudah dan cepat dimakan bimbang dia terjatuh dari katil. Selesai bersahur saya terus melakukan urusan saya denganNya sambil-sambil menunggu Azan Subuh. Sudah dijangka si kecil ini akan terjaga dengan mata terbuka dan merangkak hendak turun dari katil. Saya hulurkan botol ke mulut si anak dan matanya pejam kembali kemudian terjaga lagi sejurus mendengar Azan Subuh. Semangat betul si bulat ini tak mahu lelapkan mata. Kebetulan suami pun baru sahaja masuk ke bilik, jadi sempatlah kami bergilir bersolat sementara beliau dodoikan anak. Manja sungguh anak ini; tidur mahu rasa dipeluk-peluk.

Saya tanyakan pada suami jika tiada rancangan saya mahu ajak ke Terengganu menghantar Kerepek Tempe keluaran Abdullah FOODS yang dipesan adik saya. Beliau setuju untuk pergi selepas anak bangun dari tidur. Dipendekkan cerita saya bersiap untuk bertolak bersama-sama bekalan pakaian, makanan dan susu anak seperti biasa. Sungguh gembira Si Abdullah bila hendak naik kereta macam tahu-tahu sahaja kami menuju ke Terengganu; pertama kali buat dirinya. Kerepek Tempe memang sudah ada dalam kereta siap diletakkan di dalam kotak untuk penghantaran istimewa kepada pelanggan istimewa.

Tak sabar lagi dah Abdullah nak buat Kerepek Tempe Special Delivery!

Perjalanan memakan masa dua jam dan kami gunakan laluan pantai, bukan sahaja untuk mengambil angin tetapi juga menjimatkan masa kerana laluan pantai lebih dekat untuk ke Kuala Terengganu. Seronoklah anak saya (saya dengan suami pun seronok juga, bahkan terlebih seronok melihat gelagat si kecil pertama kali melihat pantai, entah apa yang di fikirannya kami pun tak tahu :D ). Kami singgah di Kedai Sukaramai membeli sedikit keropok lekor untuk adik dan selebihnya untuk dibawa pulang. Keropok lekor juga makanan yang sihat yang elok dijadikan stok makanan di rumah. Cadangannya hendak ke Bukit Tok Beng memburu keropok lekor yang saya dan suami sangat gemari, namun sudah tertulis bukan rezeki kami, kedainya tutup.
Pertama kali sedar kewujudan pantai. Suka tak, suka tak, suka tak? (tanya macam Chef Ammar TV Al-Hijrah)

Di sinilah tempat kejadian.
Keropok lekor Sukaramai
Sesampainya di rumah sewa adik, kami masuk untuk solat Zuhur dan berehat sebentar sementara menunggu untuk mandikan anak. Penting untuk kita wahai para sekalian pembaca memandikan anak terutamanya dalam cuaca yang agak panas untuk mengelakkan mereka daripada demam. Tetapi seeloknya tunggu sebentar untuk beri peluang menyejukkan badan sejurus turun dari kereta. Galakkan mereka minum banyak air masak untuk mencegah hidrasi atau kekeringan air. Sekiranya mampu, sediakan tuala lembap di dalam kereta, kerana penghawa dingin juga boleh mempercepatkan kehilangan air dari badan kita. (Ilmu ini saya belajar dalam Kursus Kecantikan).


Siap dimandikan (oleh Achik) yang kerinduan. 

Mengimbas kembali kenapa adik saya mahukan stok Kerepek Tempe ini; jawabnya bila disoal ialah kerana dia kesuntukkan masa untuk memasak. Jadi dia perlu sesuatu yang tahan lama dan mengenyangkan lagi cepat, sihat dan sedap. Alhamdulillah, tiada sokongan yang lebih penting melainkan dari keluarga sendiri. Saya bersyukur adik saya boleh memahami tujuan penubuhan Abdullah FOODS dan boleh mengambil faedah darinya juga. Dipesannya lebih untuk dihadiahkan kepada insan-insan yang banyak membantu kerja-kerja kajian Ijazah Sarjananya. Maka, misi penghantaran selesai dan dan kami menuju pulang ke rumah mertua. Dalam perjalanan pulang suami teringin hendak berbuka dengan Manisan Lompat Tikam, kebetulan ada deretan gerai sepanjang jalan menjual juadah dan kuih-muih berbuka, kami singgah dan buat keputusan untuk tidak ke Bazar Ramadhan untuk menjimatkan tenaga dan masa. Yang diperlukan sudahpun dijumpai, kami pulang membantu persediaan berbuka di rumah.

Kami akhiri hari kedua dengan amalan tarawikh seperti biasa tetapi malam ketiga tarawikh suami kerjakan di rumah sahaja dek penangan Abdullah yang giat bersukan. Hampir pengsan saya dibuatnya tetapi saya bersyukur suami bertolak ansur dengan menemani kami di rumah, Setelah berjaya menidurkan bayi aktif dan lasak ini, kami teruskan dengan perjumpaan denganNya demi mencari kemanisan hidup.

Apa aktiviti kalian Ramadhan kali ini, sudi-sudikanlah tinggalkan komen untuk saya ya! Hingga berjumpa lagi dalam siri Ramadhan di Pantai Timur- Hari Ketiga. Sekian,


Wassalam wbt





No comments:

Post a Comment