Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Assalamualaikum WBT
Apa khabar pembaca sekalian, Alhamdulillah kita sudahpun selesai Solat Tarawikh malam ke-8. Di masjid hadapan rumah saya ni tiap malam memang Insha Allah ada tazkirah tak kiralah bulan puasa atau tak. Tapi istimewa di Bulan Ramadhan Al-Mubarak, usai bertarawikh, imam akan menyampaikan tazkirah. Yang sempat tangkap Insha Allah saya akan catatkan disini. Kalau lupa boleh saya rujuk-rujuk semula sambil-sambil tu kawan-kawan pon boleh baca juga.
Malam ini Pak Imam (Ustaz Zuhdi Al-Hafiz) huraikan kenapa bulan puasa masih ada lagi kejahatan, maksiat dan keburukan yang dilakukan oleh Ummat Islam sedangkan Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: Apabila datangnya Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai/dibelenggu para syaitan" (Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Berikut huraian Imam Al-Hafiz sebentar tadi; menurut kitab karangan Ibn Al-Jawli (Nama penuh dan nama kitab saya tak sempat tangkap).
Setelah pertemuan Nabi Adam A.S dan Hawa di bumi, pada suatu hari Nabi Adam A.S meninggalkan Hawa seorang diri kerana ada satu urusan. Maka, datanglah Iblis Laknatullah bersama anaknya yang bernama Khannas kepada Hawa kemudian berkata "Aku harus pergi untuk melakukan sesuatu hal yang penting, tolonglah jaga anakku ini hingga aku kembali," Hawa menerima anak itu dan Iblis pun pergi.
Setelah Nabi Adam A.S kembali, nabi terkejut bila melihat Hawa bersama anak Iblis yang bernama Khannas. Nabi Adam sangat marah, namun Hawa membela diri. "Dia adalah anak yang iblis mohon aku menjaganya," jawab Hawa. "Mengapa engkau sudi menolongnya?jawab Adam memarahi Hawa. Dengan sangat marah, anak Iblis itu dibunuhnya, dicincangnya dan setiap cincangan itu digantungkan di dahan pokok. Setelah itu, pergilah Adam. Tak berapa lama kemudian, Iblis pun datang menemui Hawa untuk mengambil anaknya. "Dimanakah anakku?" tanya Iblis kepada Hawa. Hawa menerangkan bahwa telah terjadi sesuatu. "Adam telah mencincang-cincang tubuh anakmu dan setiap potongan anakmu digantungkannya pada dahan pohon," jelas Hawa kepada Iblis. Si Iblis kemudian menyeru nama anaknya dan potongan-potongan tubuh anaknya berkumpul dan Khannas pun hidup kembali seperti sedia kala. "Jagalah dia, karena aku ada urusan lain yang harus aku kerjakan" pinta dan bujuk Iblis kepada Hawa.
Mula-mula Hawa menolak permintaan Iblis, akan tetapi Iblis memujuk-rayu habus-habisan sehingga Hawa bersetuju. Setelah itu, pergilah si Iblis meninggalkan tempat itu. Ketika nabi pulang, terlihatlah olehnya anak Iblis itu. "Apakah ertinya semua ini?" tanya Adam. Hawa kemudian mengisahkan yang telah terjadi, Nabi Adam A.S teramat marah lantas memukul Hawa habis-habisan. "Aku tak tahu apakah rahsia di sebalik semua ini," kata Adam. "Kenapa engkau tidak mematuhi aku dan lebih mematuhi seteru Allah SWT dan terpedaya oleh bujukannya," tanya Adam. Tak berapa lama kemudian, Adam membunuh anak Iblis itu dan mayatnya dibakar. Kemudian sebahagian abunya di buangnya ke dalam air dan sebahagian lagi dibuangnya ke udara dan diterpa angin. Setelah itu, Nabi Adam pergi lagi.
Si Iblis datang menanyakan anaknya. Hawa menceritakan hal yang telah dilakukan Adam kepada anaknya. Si Iblis berteriak memanggil anaknya, dan abu-abu mayat anaknya yang dibakar tadi berkumpul, kemudian Khannas hidup kembali dan bersimpuh di depan ayahnya. Sekali lagi Iblis ingin meminta pertolongan kepada Hawa untuk menjaga anaknya. Namun, Hawa menolak. "Aku tidak mau, pastilah Adam akan membunuhku nanti," jawab Hawa. Iblis pujuk lagi dengan berbagai sumpah sehingga akhirnya Hawa pun sekali lagi menyerah.
Si Iblis pergi dan tak berapa lama kemudian, Nabi Adam pulang ke rumah dan didapatinya Hawa bersama anak itu lagi. "Allahlah yang mengetahui apa yang akan terjadi sekarang ini, engkau lebih menuruti kata-kata Iblis daripada kata-kataku," kata Nabi Adam kepada Hawa. Khannas disembelihnya dan dimasak. Separuh dari tubuh Khannas dimakan sendiri dan sebahagian lainnya diberikan kepada Hawa untuk dimakan sampai habis. Riwayat lain mengatakan bahwa Iblis masih mampu menghidupkan anaknya kembali setelah langkah terakhir Nabi Adam ini, Wallahu A'lam.
Tak berapa lama kemudian, Iblis datang menanyakan anaknya dan Hawa menceritakan apa yang sedang terjadi. "Anakmu di masak oleh Adam, separuh tubuhnya aku makan dan separuhnya lagi di makan oleh Adam," kata Hawa kepada Iblis. "Inilah yang selama ini aku inginkan," seru Iblis kegirangan. "Aku ingin menyusup ke dalam tubuh Adam. Kini setelah dadanya menjadi tempat kediamanku, tercapailah sudah keinginanku itu," seru Iblis lagi sambil bersorak-sorai. Dari kisah inilah, maka Iblis boleh memasuki tubuh manusia dengan mudahnya hingga sekarang, kecuali orang-orang yang beriman kepada Allah SWT.
Kita lihat disini, Iblis guna pelbagai cara untuk menyesatkan anak Adam disebabkan Iblis dah bersumpah di hadapan Allah SWT nak menggoda anak Adam dari atas, bawah, kiri, kanan, depan dan belakang. Akhirnya berjaya juga menyusup melalui perut dan kemudian akan mengalir ke seluruh tubuh manusia melalui salur darah. Macam mana nak buang ustaz kata, kena banyak berpuasa dan kita akan jadi kuat. Bila perut kosong ditambah pula dengan amal ibadat yang berlipat kali ganda, maka kejahatan nafsu akan dapat dibendung.
Tambah ustaz lagi (dimana kata-kata ustaz saya tangkap sikit-sikit kemudian 'keyword'nya saya google) dan yang selari berbunyi begini:
Al-Syeikh Muhamad bin Soleh al-Uthaimin ketika ditanya tentang persoalan ini menjawab :
“Di dalam sebahagian riwayat hadith (maksudnya) : “Dibelenggu padanya (Ramadhan) syaitan-syaitan yang degil/derhaka.” Atau (dengan lafaz) Tughallu di sisi al-Nasaie atau yang seumpamanya yang termasuk dalam perkara ghaib yang mana hendaklah kita menerima dan membenarkannya, dan kita tidak membicarakannya lebih daripada yang itu, sesungguhnya inilah yang lebih selamat bagi agama seseorang dan lebih baik untuknya…. kemudian secara zahir dibelenggunya syaitan itu (adalah membawa maksud dibelenggu) daripada memesong/menyesatkan manusia disebabkan banyaknya kebaikan dan (mereka banyak) kembali (bertaubat) kepada Allah dalam bulan Ramadhan.”
Ada banyak lagi huraian dalam website di atas, nanti kawan-kawan kliklah link yang saya letak. Kesimpulannya apa yang difardhukan kepada Umat Islam ada justifikasi atau natijahnya yang tersendiri. Kita dalami dan selami sebanyak yang boleh tapi jangan ditanya hingga Urusan Allah, bimbang lain pula jadinya.
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.
Sekian perkongsian saya dengan kawan-kawan, yang terkurang saya mohon maaf ya. Kalau ada kawan-kawan yang tahu nama Kitab dan Nama penuh pengarang yang menghuraikan kisah Al-Khannas berjaya masuk ke dalam tubuh badan manusia ini, silalah berinteraksi dengan saya di ruangan komen pon boleh. Hingga kita berjumpa lagi dalam entri-entri yang lain, Ilal liqa'. Ma 'as Salamah.
Wassalam wbt
No comments:
Post a Comment