Friday, 12 July 2013

Ramadhan di Pantai Timur- Hari Pertama

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum W.B.T


Apa khabar semua pembaca? Bagaimana dengan awal Ramadhan kalian ya? Jikalau Bulan Sya'aban dipenuhi dengan kegiatan gotong-royong di masjid-masjid dan tanah-tanah perkuburan, masuk sahaja Bulan Ramadhan kegiatan makin rancak tak kiralah kegiatan masyarakat mahupun urusan persendirian. Di celah-celah amalan Sunat Tarawikh, Qiamullail, Majlis Berbuka dan Majlis Amal, tak kurang juga yang sibuk membeli-belah untuk bekalan sebulan berpuasa ini, ada yang balik kampung, ada yang baru siap ubahsuai rumah, ada yang baru selesai siapkan baju raya; pendek kata macam-macam senario yang dapat kita lihat di luar sana. Yang pastinya masing-masing inginkan yang terbaik untuk puasa tahun ini. Harapan saya semoga kalian jaga diri dan kesihatan supaya sebulan ini boleh kita penuhi dengan sesempurna mungkin. Insha Allah.

Apa pula kisah saya ya? Begini pula perkongsian tentang awal Ramadhan keluarga kecil saya untuk santapan pembaca yang dikasihi. Malam pertama Sunat Tarawikh saya dan suami selesaikan di Pulau Pinang; suami ke masjid, saya bertarawikh di rumah setelah suami pulang. Sehabis Tarawikh sedikit masa untuk kerja mengemas beg dilakukan oleh suami memandangkan baju-baju sudah siap dilipat kemudian keesokan paginya kami bersahur bergilir-gilir memandangkan si kecil masih lagi nyenyak tidur. Siap sahaja beg dan bakul anak dimasukkan ke dalam kereta, kami bertolak awal pagi 1 Ramadhan menuju ke Pantai Timur.

Baru sahaja kereta bergerak saya dapati bonet tidak boleh ditutup, suami berhentikan kereta dan saya turun selaraskan kunci bonet, Alhamdulillah boleh ditutup dan perjalanan diteruskan. Kami berhenti setelah mata terasa berat dan si kecil perlu dimandikan memandangkan kami bertolak tadi agak awal pagi dan hujan renyai-renyai, kasihan pula nak mandikan dia. Bonet tidak boleh dibuka! Alarm dan kunci dan tidak berfungsi, mujurlah ada beg kecil barang-barang dan baju si kecil, maka bolehlah saya mandikan anak dahulu. Kami teruskan perjalanan masuk sekejap ke Pekan Lunas sambil perhatikan di tepi-tepi jalan untuk mencari kedai baiki kereta. Setelah beberapa kedai ditanya nampaknya tidak ada yang boleh baiki, Kami buat keputusan teruskan perjalanan,  Alhamdulillah ada kedai baiki kereta dibuka dan kami terus bertanya kepada pemiliknya dan akhirnya, kunci bonet boleh dibaiki tanpa perlu ketuk kereta dan rosakkan lubang kunci bonet! (Saya rasa sangat-sangat bersyukur kerana sebelum itu beberapa mekanik sarankan kami pergi kedai ketuk untuk buka kunci :) ) Ini semua pertolongan dariNya, masa jimat, wang pun jimat kerana pemilik kedai terakhir yang kami jumpa itu sangat cekap dan upahnya sangat berpatutan. Ingin saya kongsikan, biarlah kita habis sedikit masa untuk membuat pertimbangan dan perkiraan, asalkan kita dapat penyelesaian yang terbaik dan tidak menimbulkan masalah yang baru.

Perjalanan diteruskan sambil-sambil itu saya mendodoikan anak dengan Burdah Ya Hanana, Nasyid Aa Ba Ta, Asmaullahil Husna dan juga Nasyid 25 Rasul yang digemarinya. Kalau anak lapar atau mahu susu, suami perlahankan kereta berhenti sekejap tak sampai 2 minit kami teruskan semula tetapi bukanlah disebabkan tergesa-gesa, ini kerana saya sudah siapkan bekal anak dalam pek yang kecil-kecil yang mudah dicapai dan hanya perlu ditambah air panas sahaja. Saya sediakan juga tuala kecil lembab untuk mengelap mulut anak (saya tidak guna tisu basah, kerana kulit si kecil saya ini agak sensitif). Bila berhenti untuk jangkamasa yang lebih panjang, saya atau suami akan basuh semua bekas makanan dan botol-botol susu dan masukkan air panas siap-siap dalam botol dan disimpan dalam beg tahan panas bersaiz kecil juga untuk tujuan mudah dicapai dan dikendali di ruangan sempit seperti di dalam kereta. Tambahan pula saya agak sukar bergerak dengan usia kandungan kini mencecah tujuh bulan. Manalah tahu anak mahu susu dan susah pula cari tempat berhenti. Saya juga sediakan pilihan makan yang mengenyangkan seperti biskut oat, biskut sayur-sayuran kek buah-buahan tidak ketinggalan beberapa jenis kerepek keluaran Abdullah FOODS seperti Kerepek Tempe, Serunding dan roti kosong.

Sementelahan kembara balik kampung kami di bulan puasa, jadi sebekas kecil kurma saya masukkan ke dalam bakul makanan. Makanan tidaklahlah terlalu berat tetapi Insha Allah amat sesuai dan bertepatan dengan perjalanan kami yang selalunya mengambil masa enam hingga tujuh jam. Kami juga akan mengisi semula botol-botol air dengan air paip dan air masak sebagai persediaan menukar lampin anak di saat-saat tandas sukar didapati. Beg plastik yang kecil-kecil akan menjadi tong sampah sementara saya, juga akan dibuang ke dalam tong sampah sekiranya kami berhenti di mana-mana. Semua ini persediaan ringkas yang kami amalkan sekiranya hendak berkelana kerana kami pernah tersangkut berjam-jam hingga awal pagi  di beberapa kilometer selepas hentian Titiwangsa dek kerana lori kontena terbalik merentangi jalan. Mujurlah anak masih menyusu badan pada ketika itu namun dari sebonet durian Balik Pulau ole-ole untuk keluarga mertua terpaksa kami 'kendurikan' sebiji-dua kerana kelaparan.

Hujan renyai-renyai bila kami sampai di kawasan Jeli. Saya senantiasa ingatkan suami supaya patuhi had laju maklumlah keretapun baru sahaja diservis dengan minyak enjin berkualiti. Memang selesa memandu hingga tak sedar rupa-rupanya semakin memecut. Malang sebenarnya tidak berbau terutamanya disaat hati kita semakin melonjak-lonjak ingin bertemu orang tua tercinta. Kami singgah di Bukit Bunga untuk membeli buah pauh yang dipesan adik ipar dan meneruskan perjalanan. Alhamdulillah kami selamat sampai ke destinasi petang itu dan sempat menikmati juadah berbuka yang pertama. Ada Ayam Percik, Sup Daging, Onde-onde, Butir Nangka, Daging Goreng Kunyit dan lain-lain lagi, Semuanya ibu mertua saya beli di kantin sekolah kecuali Sup Daging memandangkan beliau selalu sampai di rumah jam 4 petang. Hendak singgah di Bazar Ramadhan, badan pun sudah keletihan. Terdetik kesal di hati kecil saya kerana tidak bawa pulang produk sejuk-beku Abdullah FOODS untuk menjimatkan masa dan tenaga beliau di dapur setelah pulang dari sekolah. Maafkan saya ye Ummi, Insha Allah lain kali saya bawa balik produk Abdullah FOODS untuk membantu Ummi.

Malam itu suami dan ahli keluarga yang lain ke masjid untuk bertarawikh dan saya menunggu giliran menunaikan tarawikh di rumah setelah suami pulang. Akhir kata, saya yakin para pembaca masing-masing mempunyai cara tersendiri menyiapkan bekalan untuk perjalanan yang jauh tetapi sudi-sudikanlah mencuba gaya penjimatan masa dan wang cara saya yang saya yakini lebih sihat kerana tidak melibatkan jajan dan makanan segera yang ber'MSG'. Jika mahu mencuba rangkaian makanan dari Abdullah FOODS? Sudi-sudikanlah ke pautan Facebook yang saya sediakan ataupun tuan-tuan dan puan-puan bolehlah membuat tempahan disini.


Sekian, hingga bertemu dalam entri berikutnya, Awal Puasa di Pantai Timur - Hari Kedua.


Wassalam


No comments:

Post a Comment