Assalamualaikum W.B.T
Syukur Alhamdulillah, selesai sudah berpuasa hari ke-8, kawan-kawan makan apa untuk berbuka? Harini menu berbuka saya dikurangkan daripada semalam, Alhamdulillah mungkin suami pun ada baca entri saya yang bertajuk Membajak Pahala tu. Apa yang menariknya, hari ini ada kejutan!
Seharian melayan anak dan sambil-sambil mengemas rumah, sambil-sambil juga siapkan tempahan agar-agar kering dan serunding membuatkan saya sedikit keletihan. Suami pun buat juga; saya kemas-beliau jaga anak, saya jaga anak-beliau kemas rumah. Akhirnya selepas berjaya tidurkan anak saya pun terlelap sama. Sedang berbaring rasa seperti mimpi sebab sayup-sayup terdengar bunyi 'blender' sekejap 'ON' sekejap 'OFF'. Adalah dua ke tiga kali punya 'cycle' punyalah banyak nak di'blend'kan tu. Siapa pula yang blender cili kering nak masak sambal ni.
Rupanya Sang Suami yang kerajinan dan penuh belas ihsan tengok Si Isteri tergolek di samping anak kecil; tengah buat air, agaknya air lah disebabkan jag air yang kelihatan berisi bahan kisar tadi. Lena kami dua beranak dikejutkan dengan kedatangan abang dan kakak ipar menghantar pesanan botol air. Sengaja saya beli untuk suami bawa bekal air putih andaikata waktu bersahur dan waktu berbuka bertembung dengan waktu beliau bertugas. Sebut pasal botol air, ada tak kawan-kawan yang 're-cycle' botol jus? Tak kiralah botol air berkarbonat, botol kordial ataupun botol-botol air mineral untuk simpan stok air masak, ada tak? Jikalau ada, elakkan guna terlalu lama hingga air putih pun terasa seperti plastik kerana ini sangat berbahaya ditambah pula dengan kesan-kesan sampingan kalaupun tak terasa mudaratnya sekarang, mungkin di masa akan datang pelbagai gejala yang timbul mendadak.
Sambung cerita yang 'terbelok kanan' tadi, saya terus ke dapur dan bertanya apa yang dibuat suami sorang-sorang kat dapur menggodek apa agaknya. Rupanya beliau buatkan 'Kurma Smoothies'! Bagus juga ya, kreatif rupanya kaum Adam ni! Tak sabar jadinya nak mencuba berbuka dengan Kurma Smoothies air tangan suami. Sebaik azan, kami segerakan dengan air tadi dan rasanya Masya Allah sedap! Terus saya korek-korek resipi dari suami tapi sukatannya saya terlupa nak tanya; rupanya mudah saja membuatnya kawan-kawan. Di bawah ni saya berikan bahan-bahan Kurma Smoothies Suamiku dan juga Fruit Smoothies dari rancangan "Hello Bro, Tolong Masak!" yang kebetulan bersiaran malam itu juga dan kebetulan lagi menggunakan kurma sebagai bahan utama memandangkan tema rancangan malam itu ialah Makanan Sunnah. Memang terliur melihat chef-chef memasak Goulash Kambing, Salad Tembikai dan Fruit Smoothies yang diinspirasikan daripada makanan kegemaran Rasulullah SAW iaitu kambing, tembikai, timun, madu dan juga kurma. Saya teringat Sabda-sabda Nabi SAW yang mafhumnya antaranya berbunyi begini:
1. “Rumah yang tiada kurma nescaya penghuninya kelaparan.”
2. Daripada Abdullah bin Jaafar r.a katanya: “Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w memakan mentimun Arab dengan buah kurma masak”
3. Abu Hurairah r.a menukilkan sebuah hadis Rasulullah yang menyentuh tentang kambing: “Allah tidak mengutus seorang nabi kecuali dia itu seorang gembala kambing”. Maka para sahabatnya bertanya “Adakah Tuan juga?” Jawab beliau “Ya, aku pernah menggembala kambing dan bertanggungjawab ke atas beberapa bahagian penduduk Mekah”
4. "Perempuan yg hamil yg selalu makan buah tembikai akan melahirkan anak yg baik parasnya dan pekertinya."
5. "Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu, menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya."
Kita tenung dan renung seketika ya, bila berbicara tentang kambing, kita ditanam dengan fakta bahawa daging kambing tinggi dengan kolestrol dan tidak baik untuk orang yang lelah dan hipertensi tetapi di barat sana, restoran-restoran mewah mahupun tidak menghidangkan daging kambing dan bila chef-chef dari Itali, Greek, Sepanyol, Britain bahkan Amerika Syarikat bercerita tentang juadah berasaskan daging kambing, air liur mereka seolah-olah ingin meleleh sama! Nampak kan betapa Umat Islam sedaya upaya hendak dijauhkan daripada perkara-perkara terbaik di dalam kehidupan dan teringat saya kata-kata ustaz semasa sekolah dulu, lebih kurang begini bunyinya: Umat Islam cuba dihancurkan dari pelbagai sudut namun kurang berjaya, kemudian musuh-musuh Islam terjumpa satu celah yang boleh merosakkan kita iaitu melalui makanan. (Sila rujuk entri saya yang bertajuk Apa Kisahnya dengan Perut? )
Nabi SAW ajar kita makan dengan tangan kanan kita diajar 'bersopan' bila makan hidangan barat dengan pisau di tangan kanan, garfu ditangan kiri. Tak salah menikmati rezeki, pelbagai juadah dari serata dunia tetapi yang lebih afdal makanlah dengan cara kita sendiri. Pandangan manusia bukanlah yang utama, yang penting apa dan bagaimana makanan itu masuk ke dalam perut yang kemudiannya menjadi darah daging kita. "Elok sekeping 'daging' itu, maka eloklah yang lain-lainnya" Nak elokkan daging itu, peliharalah darah yang mengalir ke sana seawal proses memasukkan makanan ke dalam mulut lagi.
Sebenarnya banyak lagi makanan yang menjadi kegemaran Nabi kita Muhammad SAW iaitu seperti yang boleh dibaca di blog Kumbang Jingga dan lain-lain blog juga yang menyentuh tentang amalan dan cara pemakanan Nabi SAW. Saya rasa bersyukur, lewat kini makin ramai usahawan muncul dengan produk-produk yang berasaskan makanan sunnah antaranya produk berasaskan susu kambing, kurma, delima, madu, cuka dan sebagainya. Alhamdulillah, masyarakat kita sudah boleh menerima pencerahan dan menangkis fahaman dulukala tentang kurangnya manfaat makanan-makanan yang tersenarai dalam makanan sunnah. Pulak tu, senarai makanan yang menjadi kegemaran Kekasih Allah SWT ini boleh kita pelbagaikan dan kita olah mengikut daya kreativiti kita sendiri. Jadi, panjang berceloteh buat saya hampir terlupa, resipinya mana? Ini dia pembaca-pembaca sekalian:
Kurma Smoothies Suamiku
Kurma- buang bijinya
Sirap Ros
Susu UHT/susu sejat
Air batu
(Kisar semua dan jikalau suka boleh letak ais krim vanilla sebelum menghidang, tak sempat menoleh dan siap air canggih! Mesti mak mertua bangga kalau minum air ni)
| Inilah hasilnya, kami tak letak aiskrim vanilla sebab tak ada. Gambar bersama jag yang separuh penuh! |
Fruit Smoothies (Hello Bro, Tolong Masak!)
Kurma
Timun
Pisang
Susu
Madu
(Kisar dan hidang; boleh juga nak letak aiskrim vanilla, nak cantik-cantik ala chef, sebelum hidang celup bibir gelas dalam gula halus, tuang smoothies dan potong timun memanjang macam straw masukkan menyendeng sikit. Canggih!)
* Taktik Jimat Masa: Rendam kurma dalam cecair seperti susu dahulu sebelum dikisar.
Sekian sahaja dari saya, jumpa lagi kita dalam entri-entri berikutnya, Insha Allah! Pesan saya, hadapi hari ini dan mendatang dengan penuh kerendahan hati, semoga yang tersimpul mudah dirungkai bila kita meletakkan diri di bawah untuk melihat yang di atas.
Wassalam WBT
No comments:
Post a Comment