Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Assalamualaikum W.B.T
Hari ini 8 Ramadhan, pantasnya masa berlalu. Alhamdulillah untuk waktu yang tidak kita sia-siakan dan semoga Allah SWT memberkati dan meredhai masa yang telah kita lalui dan akan kita lalui. Berpuasa di hari kelapan, saya dan suami bersahur awal sedikit kerana makanan sudah ada. Tunggu dipanaskan sahaja. Kalau boleh saya tak mahu membazir makanan langsung di Bulan Rahmat dan Bulan Utama ini. Kalau ada juadah yang berlebihan dari berbuka semalam, saya simpan dalam peti kemudian panaskan semula pagi esoknya.
Sebenarnya kita tak tahu dimana letaknya keberkatan pada rezeki yang kita makan itu. Entah di butir nasi pertama yang kita suap ataupun yang terakhir; tidakpun di pertengahan. Ini kata-kata guru disiplin saya masa sekolah rendah dahulu. Saya masih ingat lagi hingga sekarang. Walaupun saya pernah digelar Majlis Perbandaran Pulau Pinang kerana makanan yang orang lain tak mampu habiskan saya habiskan, saya tak kisah. Akan tetapi, seorang rakan seperjuangan semasa menuntut di salah sebuah universiti dahulu benar-benar menginsafkan saya kerana beliau lebih lagi hebat.
Beliau sangat merendah diri sehinggakan air kotak yang tidak habis diminum pun akan dihabiskan. Selalunya selesai majlis makan-makan atau jamuan kelas, makanan yang diambil dari hidangan jenis buffet jarang sekali dihabiskan. termasuklah minuman. Rakan saya ini akan berpindah dari meja ke meja untuk menghadap makanan dari satu pinggan ke satu pinggan yang lain hingga tinggal tulang! Orangnya kecil molek namun bukanlah dia kebuluran malah bukan dari kalangan orang susah pun. Keluarganya menetap di salah satu tanah rancangan FELDA di Johor. Orang kaya, silap haribulan anak jutawan! Lama juga masa saya ambil untuk menyedari tabiat beliau. Kenapa begitu sekali? Saya dengar dari mulutnya sendiri, kata ibunya jangan membazir rezeki, orang lain ada yang sampai tak makan berhari-hari. Cari keberkatan yang mungkin ada dalam makanan yang bersisa. Ayat yang mudah tapi begitu dalam penghayatannya.
Hebat kan? Begitu sekali beliau bertawakkal dan rendah hati hingga kami kawan-kawan yang selalu dengannya jadi malu alah. bercakap pasal keberkatan, benar kita tidak layak menilainya namun apa yang saya perhatikan, dalam hal pelajaran, memang beliau tersangatlah makan angin. Siap boleh tidur dalam kelas. Tetapi bila waktu solat tiba, beliau akan tergesa-gesa menggelabah nak pergi bersolat. Namun 'pointer' beliau seingat saya 4.0 dan bila ditanya prestasinya semasa di universiti terdahulu, jawapannya seingat saya tak pernah keluar dari kategori '1st-Class'. Mungkin sifat tawadduk beliau Allah SWT beri ganjaran begitu. Itu yang boleh dilihat; yang tak boleh dilihat, Wallahu 'alamu bissowab. Apa yang perlu, ialah cuba mencontohi sifat yang terpuji yang Tuhan paparkan kepada kita.
Menyentuh perihal solat, ini intipati tazkirah selepas solat sunat tarawikh malam ke-7, kata ustaz, jikalau solat kita tak jaga, perkara lain pun kita tak akan jaga. Sebab Solat 5 waktu itu tiang agama, kalau tiangnya tak ada habis runtuh semuanya, runtuh semua urusan yang lainnya. Jika kita jaga Solat 5 waktu, lebih mudah untuk kita tingkatkan diri dari Nafsu Ammarah kepada Nafsu Lawwamah. Nafsu Ammarah ni nafsu yang bersifat sinonim dengan sifat yang digemari syaitan manakala Nafsu Lawwamah nafsu yang sukakan kebaikan dan bencikan kejahatan, Jadi alang-alang kita sudahpun menjejakkan kaki ke dalam Madrasah Ramadhan yang mulia, marilah kita ambil kesempatan melakukan peningkatan diri bermula dari fasa yang pertama ini. Kata ustaz, masuk sahaja semester pertama dalam Madrasah Ramadhan, pecutan mesti dilakukan agar kita mudah-mudahan berjaya dengan cemerlang hingga ke semester ketiga. Apa itu fasa / semester dalam Madrasah Ramadhan ya?
Begini kawan-kawan, seperti yang Allah SWT janjikan, Permulaan Sepertiga Ramadhan adalah Rahmah, Pertengahan Sepertiga Ramadhan adalah Maghfirah atau Keampunan dan Pengakhiran Sepertiga Ramadhan adalah Bebas Dari Api Neraka. Oleh itu Sijil Madrasah Ramadhan ini penting sebagai bekal untuk menepis Nafsu Ammarah dan mengekalkan Nafsu Lawwamah bagi 11 bulan yang akan datang; sekiranya kita berusaha untuk dapatkan 'sijil' yang cemerlang, Insha Allah yang mendatang juga cemerlang, begitu juga sebaliknya. Disamping itu, tanggungjawab terhadap keluarga dan orang-orang sekeliling kita perlulah kita jagai jangan sampai terbiar. Ibadah ini mudah kata ustaz, niatkan kerana Allah pun sudah jadi ibadah. Tidak semestinya kita keluar rumah hendak membajak pahala. Menolong dan memudahkan urusan pasangan atau ahli keluarga di rumah pun boleh jadi bank pahala yang lumayan!
Sudah banyak saya berceloteh, tiba masa saya hendak menyambung siapkan Serunding Daging untuk dihantar ke kedai-kedai. Serunding ni siapa tak tahu, sambal segera, tahan lama, makan dengan roti boleh, dengan nasi panas-panas lagi lah! Siap menambah lagi. Agak-agak kesuntukan, keluarkan sikit, dah jadi lauk bersahur. Insha Allah, nanti saya kemaskinikan gambar yang dah cantik-cantik dipekkan. Hingga berjumpa lagi dalam Diari Masa yang lain. Mana tahu ada lagi yang ingin saya kongsikan sambil saya buat laporan apa kegiatan saya sehari-harian kepada anda semua. Semua yang baik dariNya yang terkhilaf adalah dari saya yang serba kekurangan.
Sekian,
Wassalam wbt
Subhanallah..insaf dan sayu hati membacanya.
ReplyDeleteSungguh kagum dengan sahabat Nurul Husna tu. Terasa kerdil diri ini bila solat sehari2 pun sering bertangguh2 jua. Ya Allah, semoga keinsafan ni terus kekal di hati.
Terima kasih atas perkongsian :)
http://mariatulqiptiyah.blogspot.com
iye Qiptiah, saya selalu teringatkan beliau sebab pengajaran y dia bagi kat sy..
ReplyDelete