Showing posts with label Taktik Jimat Masa di Dapur. Show all posts
Showing posts with label Taktik Jimat Masa di Dapur. Show all posts

Saturday, 11 January 2014

Teori Goreng Koay Teow yang Cantik

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Petang-petang Sabtu ini sedap juga kalau menjamah Koay Teow goreng panas-panas. Sedikit manis, sedikit pedas dengan perisa yang keluar dari lauk udang dan sotong yang dimasukkan pasti menambat selera. Sambil jamah Koay Teow goreng sambil menaip, asyiknya.

Sambil tergelak juga sebenarnya kerana hari ini Tuan Chef terlupa teknik agaknya, Koay Teow yang sensitif itu habis kembang jadinya. Walau kembang dan bertekstur bengkang, rasanya tetap sedap; air tangan suami katakan!

Baiklah, sedikit teori tentang bagaimana hendak menggoreng Koay Teow dengan cantik saya sertakan di bawah:

1. Pastikan kuali benar-benar panas

2. Basuh Koay Teow dan sejat sekering mungkin

3. Tumis sehingga perencah benar-benar kering

4. Ikut cara Kaum Cina menggoreng Koay Teow:
    a) Panaskan minyak dalam kuali betul-betul
    b) Goreng bawang putih dahulu sampai wangi
    c) Masukkan bawang merah
    d) Masukkan taugeh/ batang sayur
    e) Masukkan telur dan aduk biar jadi telur hancur
    f) Masukkan Koay Teow
    g) Masukkan lauk
    h) Masukkan perencah (Kita orang Melayu, masuk sambal tumis dengan lauklah ya!)

5. Siap untuk hidang dengan Sirap Sarsaparilla. Oh, nyaman sekali!

Risau juga komplen Koay Teow Chef di sini, bimbang jikalau sampai giliran saya menggoreng Koay Teow, saya pula menerima pembalasan dariNya. Gurau sedikit di petang Sabtu.
'Bengkang' Koay Teow. (Ampun Chef, ampun)

Sekian,

Wassalam.


=========================================

Anda mungkin seorang guru, seorang peniaga pasar malam, seorang jurutera, seorang pengurus rumahtangga atau mungkin seorang Ustaz. Siapapun anda, kongsikan wadah dengan khalayak yang dahagakan ilmu melalui blog. Makin ramai buat, makin meriah perkongsian di alam maya, semoga ilmu yang bermanfaat walaupun secebis kita kongsikan di sini dapat membuatkan pahala mengalir berterusan ke dalam liang lahad kita.

Saya tahu caranya, silakan anda bersama saya belajar dari Akademi Bekerja di Rumah sambil berfacebook! PM saya Snh Nurulhusna untuk pencerahan. Insha Allah.

Friday, 3 January 2014

Aneka Salad Kegemaran Kami

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Hati berbunga-bunga kerana petang tadi sempat keluar belikan saguhati untuk peserta kelas belajar produk Abdullah FOODS. Saguhati biasa-biasa sahaja tetapi diharapkan dapat menyemarakkan semangat peserta ketika menimba ilmu nanti. Kedua-dua anak kecil sudah lena, seorang di pangkuan dan seorang lagi di dalam buai, manakala Abi sedang menyiapkan stok Chicken Chop Frozen di dalam kedai.

Seperti yang saya janjikan, saya ingin kongsikan serba sedikit mengenai salad orang kita atau lebih mesra dengan panggilan kerabu. Kerabu ini makanan kegemaran emak saya dan saya ketika tahun tiga universiti, Sewaktu itu timbul rasa ingin amalkan pemakanan yang sihat dan lidah gemarkan sayur-sayuran berbanding makanan yang berat-berat.

Saya sentiasa teruja jikalau emak ingin membuat kerabu kerana bagi saya gabungan rasa ulam-ulaman dan sayur-sayuran yang digunakan kena dan bersesuaian malah menghasilkan rasa yang autentik! Wah! Oleh kerana emak berasal dari Kedah dan berdarah Kelantan, kerabu mangga menjadi kesukaan emak. Tidak ketinggalan kerabu taugeh emak yang mengancam dengan jumlah udang dan kerang yang membuatkan saya boleh meratah hidangan sampingan sepinggan penuh tanpa perlu menjamah nasi.

Untuk kerabu mangga, emak selalu akan siapkan dahulu sambal belacan, kemudian emak akan tumbuk bersama sedikit kelapa berkulit coklat muda yang diparut, udang masin dan kemudian digaul dengan mangga muda dan bunga kantan yang dirincik halus. Mudah bukan?

Bagi kerabu taugeh, seperti biasa, sambal akan disiapkan terlebih dahulu kemudian emak akan mencelur atau melayukan taugeh dalam periuk panas kemudian digaul bersama halia, kucai, daun selom, daun kesum, sedikit cili yang dirincik halus dan dimasukkan kerang dan udang yang direbus.

Ayah pula penggemar buah nenas; semasa bulan puasa tahun lepas sempat saya buatkan ayah kerabu nenas. Memang mudah dan sekejap sahaja masa diambil. Nenas dibuang empulurnya dan dipotong segitiga mengikut ketebalan yang diingini, kemudian digaul bersama daun selom, cili merah yang dipotong halus dan kelapa muda parut yang disangai manja untuk keringkan airnya sahaja. Untuk perasanya, saya gunakan sedikit sos cili, gula, garam dan cuka, digaul rata dan siap untuk dihidang.

Antara kerabu yang menjadi kegilaan saya semasa belajar dahulu ialah kerabu taugeh; tiba-tiba kecur liur jadinya. Pun mudah juga untuk disediakan. Ikan cerut dilumur garam dan dibakar, dibuang tulang kemudian dihancurkan sedikit. Taugeh, bawang merah, sedikit halia dan bawang besar dikeringkan airnya di atas api kemudian disatukan di dalam mangkuk. Di dalam mangkuk yang berasingan, satukan sedikit gula, garam dan cuka kemudian digaul rata bersama bahan tadi. Akhir sekali tuangkan pati santan yang dipanaskan secukupnya. Gaul rata. Memang saya bolot seorang kerana suami tersayang ini tidak makan sayuran dan ulaman.

Saya selalu yakinkan emak bahawa menggunakan santan adalah lebih baik dari menggunakan susu. Bagi saya, santan lebih menyihatkan kerana ianya lelemak berasaskan tumbuhan yang mudah diurai berbanding susu yang berpunca daripada lelemak haiwan. Maaf, sesetengah fakta mungkin bercanggah dengan teori yang saya faham dan saya tidak mudah percaya dengan teori dari 'sana'.

Bahan-bahan yang saya tampilkan adalah ringkas dan Insha Allah dapat menambah mata hidangan sambil-sambil menjimatkan masa di dapur malahan boleh juga mengurangkan kos. Sesekali santap hidangan ringkas pasti membuatkan suami dan anak-anak tidak jemu. Wallahu'alam.

Sekian,

Wassalam WBT

=========================================

Anda mungkin seorang guru, seorang peniaga pasar malam, seorang jurutera, seorang pengurus rumahtangga atau mungkin seorang Ustaz. Siapapun anda, kongsikan wadah dengan khalayak yang dahagakan ilmu melalui blog. Makin ramai buat, makin meriah perkongsian di alam maya, semoga ilmu yang bermanfaat walaupun secebis kita kongsikan di sini dapat membuatkan pahala mengalir berterusan ke dalam liang lahad kita.

Saya tahu caranya, silakan anda bersama saya belajar dari Akademi Bekerja di Rumah sambil berfacebook! PM saya Snh Nurulhusna untuk pencerahan. Insha Allah.

Friday, 13 December 2013

Aneka Salad Menyihatkan

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Maafkan saya kerana lama tidak bersua. Dua tiga hari ini berulang alik ke rumah emak ayah dan ke kedai untuk selesaikan kerja-kerja untuk menjengah ke tahun 2014. Kadang-kadang bersama dua orang anak kadangkala bersama si abang sahaja untuk biasakan mereka. Biarlah mereka beradaptasi ronda-ronda dalam kereta bersama saya sahaja, bimbang waktu-waktu memerlukan kami keluar segera suami saya pula perlu bekerja.

Perkongsian hari ini, salad bermacam jenis sebagai ganti sayur samada untuk juadah santapan tengah hari mahupun makan malam. Bagi rakan-rakan yang ingin menjalankan 'detoks' tubuh-badan, salad adalah pilihan yang tepat malahan mengenyangkan.

Walaupun namanya salad, kita boleh juga menambahkan elemen karbohidrat, protein dan sedikit lelemak yang kurang tepu supaya menjadi sebuah hidangan lengkap yang ekspres. Kedengaran seperti mudah; ia memang mudah! Proses memasak dalam menyediakan beraneka salad ini mungkin 10 hingga 15 peratus sahaja dan selebihnya adalah bahan mentah yang diolah terus.

Cuba kita belek bagaimana 'Ceaser's Salad dibuat; daun saladnya dikoyak helaian demi helaian dan boleh juga dicincang besar-besar jika daunnya terlampau lebar, kemudian ditabur roti bakar yang dipanaskan semula yang mana mungkin lebihan minum petang semalam, sedikit ayam bakar atau ayam goreng yang dicarik-carik ditabur diatasnya kemudian sos campuran minyak zaitun, sos 'mustard', lada dan garam dituang secara rawak. Sudah siap.

Kebanyakan chef yang saya ikuti, mereka menjadikan lebihan sayur di dalam peti sejuk sebagai salad, Korek peti sejuk kita; manalah tahu masih ada tomato ceri, lobak merah dan sebiji buah epal yang rangup masih belum berusik. Belah sahaja tomato kepada dua, lobak merah diparut kasar dan buah epal dipotong dadu. Jika ada daun salad dan mentimun bolehlah ditambahkan. Perasakan dengan sos 'Thousand Island' ataupun dengan sos lemon buatan sendiri yang ringan. Salad buah-buahan juga bagus untuk memulakan jamuan tergempar di rumah kita.

Melihat kembali masakan Melayu, kita juga punyai salad kita sendiri yang lebih dikenali dengan nama 'kerabu'. Boleh dikatakan hampir semua jenis sayur dan buah boleh 'dikerabukan' termasuk buah-buahan yang beracun seperti buah kepayang pun diproses hingga menjadi kerabu. Itu buah, jadi tidak mustahil, bagaimana pula dengan kulit ubi kayu yang dijadikan kerabu yang didedahkan oleh Rozita Che Wan dalam siri Masterchef Selebriti Musim Kedua dahulu? Saya sendiri kagum dan teringin mencuba jikalau ubi kayu ada di hadapan mata. Senyum sahaja, bertuah badan jikalau saya hendak mencabutnya sendiri, memang tidak berdaya!

Saya percaya setiap pelusuk Malaysia masing-masing ada resepi turun-temurun kerabu mereka. Salah satu makanan lengkap atau hampir lengkap dengan semua elemen, ada yang cepat disediakan, ada yang perlu sedikit ketekunan tetapi perlu diakui waktu menjamah adalah paling pantas sebenarnya.

Baiklah sekalian pembaca, jam hampir dua pagi; tiga-tiga beranak semua berdengkur nampak sangat letihnya. Tiba masa saya juga untuk sertai mereka dan hingga berjumpa di lain masa dengan ulasan aneka salad orang kita ataupun kerabu.

Sekian,

Wassalam WBT

-----------------------------------------

Berikut kelas-kelas yang menerima pelajar dengan hati yang terbuka

Abdullah FOODS
Kelas Belajar Buat Kacang Balut (Produk Baru Boleh Terjah Pasaran)
Kelas Belajar Buat Serunding Hitam Manis
Kelas Belajar Buat Kerepek Tempe

Kelas online oleh guru-guru berdedikasi yang semakin rancak, pun menerima dengan tangan terbuka untuk pendaftaran: (Cikgu Nisa Nua)

1. Kelas Asas Blog dan Penulisan
2. Kelas Asas Blog dan Fanpage
3. Kelas Beriklan di mudah.my
4. Kelas Penulisan Kreatif (Cikgu Monalita dan Cikgu Anys Idayu)

Hubungi saya di 017-9453559 (SMS 24/7) e-mel: snurulhusnahashim@gmail.com

Sunday, 8 December 2013

Makan Malam Ekspress dengan Sweet-Sour Jimat Masa

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Sudah hampir jam tiga petang, anak-anak tidur kembali, saya pun sudah segar dan wangi-wangi siap untuk kerja waktu petang pula. Sudahkah kalian mencuba resepi yang hanya menggunakan empat rencah semalam? Oh ya, hari ini hari Ahad, pasti ramai yang keluar membeli-belah ataupun bersiar-siar dengan keluarga. Dalam kesenangan kita, usah lupakan yang sedang bersusah-hati kerana dilanda banjir.

Baiklah, jikalau puan-puan tergesa-gesa untuk keluar ataupun perut terasa lapar setelah kembali ke rumah, kini saya tampilkan resepi 'sweet-sour' yang diajar oleh suami saya semasa mula-mula kahwin dahulu. Sangat ringkas dan rasanya Alhamdulillah sedap.

Resepi Sweet-sour ini untuk setengah ekor ayam jadi cukup untuk dua atau tiga orang dewasa makan. Buat sahabat-sahabat yang bujang hendak cepat-cepat dan berjimat juga sesuai. Buat ibu mengandung yang lelah di dapur juga sesuai, kerana masanya sebentar cuma tetapi hasilnya tidak mengecewakan.

Setengah ekor ayam yang dipotong ikut saiz yang disukai digoreng garing. Saya selalu gunakan minyak masak yang baru dan cukup-cukup sahaja untuk menggoreng ayam, ini kerana minyak ini nanti digunakan untuk menumis.

Sementara ayam digoreng, ambil dua labu bawang besar dan seulas bawang putih jika suka dikisar halus. Setelah ayam siap digoreng, tumiskan bahan yang dikisar ini sehingga wangi. Kemudian masukkan sos cili secukupnya. Bagaimana hendak tahu sos yang dimasukkan itu mencukupi? Saya masukkan sos dan kacau sehingga dapat warna merah sos yang saya mahukan. Tidak terfikir pula hendak menyukatnya, maafkan saya!

Tambahkan air jika kuah terlalu pekat dan masak hingga mendidih. Seteah mendidh barulah dimasukkan ayam goreng dan buang minyak yang berlebihan di permukaan kuah. Mudah sahaja, bawang merah, bawang putih dan sos cili. Jikalau hendak sedap lagi, boleh masukkan sos tiram sesudu, beserta halia yang dihiris halus ditumis sebelum menumis bahan kisar. Lihat, tiga hingga lima bahan sudah cukup untuk satu lauk.

Diharapkan dengan resepi ini boleh membantu rakyat Malaysia menjimatkan masa juga perbelanjaan dapur.

Sekian,

Wassalam WBT

------------------------------------------------------


Nota:

Setakat ini saya hanya mampu mengadakan kelas pada hujung minggu, kelas selepas waktu pejabat dan kelas malam hari biasa akan saya pertimbangkan demi kebaikan bersama. Terima Kasih kerana menyokong Abdullah FOODS!!

Kelas Belajar Buat Kacang Balut (Produk Baru Boleh Terjah Pasaran)
Kelas Belajar Buat Serunding Hitam Manis
Kelas Belajar Buat Kerepek Tempe

Kelas online oleh guru-guru berdedikasi yang semakin rancak, pun menerima dengan tangan terbuka untuk pendaftaran:

1. Kelas Asas Blog dan Penulisan
2. Kelas Asas Blog dan Fanpage
3. Kelas Beriklan di mudah.my
4. Kelas Penulisan Kreatif

Hubungi saya di 017-9453559 (SMS 24/7) e-mel: snurulhusnahashim@gmail.com

Saturday, 7 December 2013

Resipi Sedap Empat Rencah

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT dengan izinNya kita beroleh kesihatan untuk hari ini. Di samping menjalankan aktiviti hujung minggu, bersama-samalah kita berdoa dan berusaha untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir juga tidak ketinggalan untuk umat Islam di seluruh dunia. Letakkanlah sedikit penderitaan mereka di dalam fikiran supaya kita juga dapat bersedia dengan sebarang kemungkinan. Hari ini hari mereka, hari besok hanya Allah SWT yang tahu.

Terima kasih Allah kerana saya sudah mula menambah rutin harian kepada memasak kembali kebelakangan ini. Setelah sekian lama dapur kami suami sahaja yang 'perasapkan', kini saya mula campur tangan semula dengan kerjasama dari Abdullah dan Lina yang semakin baik moodnya. Kurang merap dan boleh bermain dengan tenang.

Tajuk hari ini, Resepi Sedap Empat Rencah. Bolehkah kita menghasilkan lauk yang sedap dengan menggunakan hanya tiga jenis bahan? Insha Allah sebenarnya boleh kerana saya telah mencubanya. Ideanya seperti biasa mesti menjimatkan masa dan sebagai bonus, jimat belanja. Resepi ini cukup untuk tiga hingga orang dewasa makan dan untuk sekali hidangan. Masak kicap ringkas namun menyelerakan, suami dan anak makan Insha Allah pasti menambah.

Bahan-bahan yang perlu disediakan ialah setengah kati daging dihiris dua inci kali setengah sentimeter dan empat rencahnya ialah: lima hingga sepuluh ulas bawang putih dirincik halus, dua inci halia juga dirincik, satu camca teh serbuk lada hitam biasa dan kicap manis secukupnya. Trik untuk menjimatkan masa ialah dengan menghiris nipis daging tersebut dan menggunakan kuali 'non-stick'. Mesti ingat, daging dan semuanya mesti dibasuh diiringi selawat kepada Nabi SAW, disejat dengan elok dan berzikir semasa masak.

Pertama sekali panaskan kuali dan dengan api sederhana dan masukkan lebih kurang dua sudu besar minyak masak. Usah bimbang dengan amaun minyak jika kita menggunakan minyak sawit atau minyak sayuran yang lain. Minyak sawit atau minyak yang berasaskan tumbuhan adalah jauh lebih ringan dan menyihatkan daripada minyak sapi, mentega atau marjerin.

Tumiskan halia dan bawang putih apabila minyak cukup panas. Biar garing sedikit dan kuis ke tepi kuali dan tumiskan serbuk lada hitam di suatu sudut kuali yang kosong. Apabila bawang dan halia berbau wangi dan garing sepenuhnya, masukkan daging dan api masih sederhana besar. Di sinilah pengalaman meletakkan minyak secukupnya teruji kerana minyak yang kurang menyebabkan langkah memerangkan daging menjadi kurang sempurna sebaliknya memenuhkan kuali dengan air daging dan menyebabkan hidangan menjadi kurang 'terangkat'.

Bila daging perang, masukkan kicap secukupnya (cukup untuk menyaluti daging dengan cantik) dan biarkan kicap dikaramelkan sedikit tetapi jangan sampai hangus. Masukkan air, lebih sedikit tidak mengapa dan set api ke paling kecil dan biar mereneh sehingga kepada kepekatan kuah yang kita mahu. Sementara lauk ini siap dimasak, bolehlah kita sediakan sayur, goreng ayam atau buat telur dadar. Keseluruhan masa memasak lebih kurang setengah jam sahaja.

Sebentar tadi saya sempat mencuba dengan bahan yang saya tukar sedikit. Halia diganti dengan serbuk lada putih tanpa MSG. Alhamdulillah rasanya memang tidak mengecewakan. Cubalah jika kesuntukan masa di dapur ataupun ketika kecemasan ibu mertua menerjah ke rumah.

Sekian,

Wassalam WBT

------------------------------------------------------

Nota: 

Setakat ini saya hanya mampu mengadakan kelas pada hujung minggu, kelas selepas waktu pejabat dan kelas malam hari biasa akan saya pertimbangkan demi kebaikan bersama. Terima Kasih kerana menyokong Abdullah FOODS!! 


Kelas Belajar Buat Kacang Balut (Produk Baru Boleh Terjah Pasaran)
Kelas Belajar Buat Serunding Hitam Manis
Kelas Belajar Buat Kerepek Tempe

Kelas online oleh guru-guru berdedikasi yang semakin rancak, pun menerima dengan tangan terbuka untuk pendaftaran:
1. Kelas Asas Blog dan Penulisan
2. Kelas Asas Blog dan Fanpage
3. Kelas Beriklan di mudah.my
4. Kelas Penulisan Kreatif 

Hubungi saya di 017-9453559 (SMS 24/7) e-mel: snurulhusnahashim@gmail.com

Tuesday, 3 December 2013

Sup Bebola dan Beef Patty Jimat Masa

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Sudah lama rasanya saya tidak tampilkan tips-tips untuk menjimatkan masa. Jadi seperti kebiasaan, masa yang terluang sekejap ini saya manfaatkan untuk perkongsian di internet. Minggu ini agak meriah dengan Abdullah dan Lina yang masing-masing sudah pandai berperang merebut duduk di atas riba mahupun dipeluk Ummi. Abi yang ada pun mereka tidak mahu juga; Ummi pilihan nombor satu, jadi Abi usah berkecil hati.

Siaran televisyen yang pasti saya akan tonton jika berkelapangan ialah Man Versus Foods yang acapkali menampilkan burger-burger dan 'sandwich' yang ekstrim dengan pelbagai jenis kepingan daging segar diproses dengan pelbagai cara. Memanglah kecur liur dibuatnya kecualilah yang dipaparkan itu daging terlarang. Alhamdulillah di Malaysia, kita sudah punya pilihan untuk menikmati daging segar yang diproses menjadi 'patty' selain daripada menggoreng 'daging' burger yang rasanya tidak seperti daging itu.

Sebenarnya, saya lebih gemarkan burger 'berperisa' ayam kerana lidah dan tekak saya tidak boleh menerima burger 'daging'. Kenapa? Mungkin rasa itu disalahtafsirkan kerana terlampau banyak lemak daripada daging di dalam campurannya. Bukan tidak teringin, tetapi saya pendamkan sahaja kerana ia pasti akan keluar semula jika dimakan. Membazir.

Dua hari yang lalu saya keluar dengan Abdullah ke pasar sementara Abi berehat setelah keletihan operasi larut malam sambil temankan Lina tidur. Alhamdulillah, kami pulang dengan daging segar tempatan dan memang hasrat saya untuk buatkan bebola daging untuk Abdullah disamping simpan sedikit untuk daging burger saya. Maafkan saya, bukan hendak mengada-ngada memilih daging segar yang harganya agak tinggi berbanding daging kotak, tetapi bagi sesiapa yang tidak tahan bau dan rasa daging yang kuat, sebenarnya daging lembu tempatan adalah pilihan yang terbaik.

Jika untuk masakan yang banyak rempah dan lama tempoh masaknya, penggunaan daging kotak adalah amat bersesuaian. Saya telah cuba merasa 'beef patty' yang diproses daripada sumber daging kotak dan walaupun dagingnya boleh dikatakan majoriti daripada bahan yang lain, citarasa saya tetap menolaknya. Orang macam saya ini, lebih baik sediakan sendiri. Sebenarnya, menyediakan 'beef patty' tidak perlukan masa yang lama.

Jika tuan-tuan dan puan-puan mempunyai pemproses makanan, ianya amat membantu menjimatkan masa kerana daging segar ini perlu dipotong senipis mungkin untuk mengelakkan urat-uratnya melilit di sekeliling pisau blender biasa. Urat-urat daging ini boleh menyebabkan blender rosak malahan boleh mendatangkan renjatan elektrik kerana pisau di dalam blender tersangkut dan tidak boleh bergerak tetapi motor blender di bawah kuat berputar. Ianya amat berbahaya.

Perlu diingatkan, kepingan daging yang dipotong nipis itu hendaklah dicuci dan dibasuh sebersihnya sambil berselawat untuk mengeluarkan darah dan bau hanyir daging. Makanan suci juga membentuk hati yang suci, Insha Allah. Kemudian daging ini ditoskan supaya tidak berair setelah hancur nanti. Saya masukkan juga sedikit garam, bawang putih dan lada hitam untuk mempertingkatkan rasanya. Kemudian, bawang merah yang diracik halus digaul sehingga rata dan siap untuk pelbagai jenis masakan. Mudah bukan?

Sebenarnya, sementara menyediakan daging hancur, saya telah panaskan air hingga menggelegak dengan sedikit hirisan halia dan sayur-sayuran seperti lobak merah dan bunga kubis. Apabila air sudah cukup panas, saya masukkan bebola daging dan tunggu hingga terapung yang menandakan ianya sudahpun masak. Pucuk jagung dan lain-lain sayuran hijau juga sesuai dimasukkan ke dalam sup ini. Semua hidangan tengahari ini siap dalam tempoh 30 minit (Sup Bebola Daging, Nasi Putih, Ayam Goreng, Telur Dadar dan Milo Ais).

Apabila kita sudah mempunyai asas daging hancur di dalam peti sejuk ini, bukan sahaja Sup Bebola daging boleh disiapkan dalam tempoh 15 hingga 30minit, namun Spagetti Meatball, Burger Bakar buatan rumah pastinya lebih mudah kita hasilkan. Ternyata sangat menjimatkan masa. 2 per 3 daging ialah untuk sup hari ini dan selebihnya saya bentukkan seperti daging burger dan dibekukan di dalam peti. Jika hendak buat sup bebola di kemudian hari, tidak ada masalah, sekeping 'beef patty' boleh menghasilkan empat hingga lima biji bebola daging.
Maaf, ini sahaja yang tinggal dalam periuk untuk sesi bergammbar!

Beef Patty ini untuk disejuk-bekukan

Jika hendak makan burger daging, boleh terus bakar sahaja kepingan ini sehingga masak. Teringin melihat burger cheese lava, mudah sahaja, letakkan kepingan keju pilihan anda di antara dua keping daging, kemudian kelimkan bahagian tepi dan bakar hingga masak. Yang diperlukan ialah bersabar dan berhati-hati sebelum makan walaupun aromanya membuatkan anda hendak menerkam burger tersebut. kerana lelehan cheese ini pasti membuatkan lidah dan mulut anda melecur.

Akhir kata, makanan yang enak dan segar tidak semestinya mengambil masa yang lama untuk disediakan. Kalau Chef Jamie Oliver pun boleh memasak dalam tempoh 15 minit, kita juga mesti boleh!

Sekian.

Wassalam WBT

p/s: kalau malas, tempah sahaja dari Abdullah FOODS kan senang!

Saturday, 16 November 2013

Hidangan Sampingan Chicken atau Lamb Chop Frozen Abdullah FOODS

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Hari pertama cuti persekolahan kami sekeluarga masih tidak ke mana-mana, saya masih berpantang (seronoknya hari terakhir berpantang!) manakala suami bekerja. Tahniah saya ucapkan kepada sepupu saya yang bakal melangsungkan penikahannya dengan jejaka pilihan pagi ini dan kepada adik kakak ipar yang telah selamat memperisterikan dara pujaan hatinya. Semoga pernikahan kalian membawa seribu rahmat dan keberkatan di dalam kehidupan mendatang. Aamiinn. Insha Allah kenduri nanti bolehlah saya menghadirkan diri.

Sambil-sambil memandikan anak, tiba-tiba teringat yang saya belumpun berkongsi sesuatu yang istimewa dengan para pembaca yang budiman sekalian. Apa ya? Hendak berteka-teki. 'teka-tekuk', tajuknya sudah memberikan gambarannya kan? Hilang unsur kejutan. Gelak sekejap. Ingin saya jelaskan, set Chicken Chop Frozen dan set Lamb Chop Frozen keluaran Abdullah FOODS terdiri daripada:

1. Sekeping Peha Ayam atau Daging Kambing (yang disediakan dengan resipi rahsia suami)
2. Sebungkus sos pilihan (Black Pepper/ Mushroom/ Sweet-sour)
3. Sebungkus kentang goreng

Sambil-sambil tunggu gorengan atau daging siap dibakar, anda boleh sediakan hidangan sampingan seperti "Coleslaw" ataupun aneka salad. Resipi berikut saya hadiahkan buat kalian, mudah sahaja dan pasti ada yang pernah membuatnya.

Resepi 1
Original Coleslaw ala KFC

Bahan-bahan
Lobak merah
Kubis
Mayones Lady's Choice

Cara-cara
Cuci bersih semuanya. Parutkan lobak merah dan kubis ke dalam bekas dan tambahkan mayones secukupnya. Untuk lebih 'kick', peroikan secubit garam dan gaul rata-rata.

Resepi 2
Happy Coleslaw ala Jimat Masa

Bahan-bahan
Lobak merah
Kubis putih
Kubis Ungu
Salad Kerinting
Mayones

Cara-cara
Cuci bersih semuanya. Parutkan lobak merah, kubis putih dan ungu ke dalam bekas. Rincik daun salad dan masukkan ke dalam bekas tadi. Gaul dengan mayones dan perasakan dengan garam jika perlu.

Sekian perkongsian hari ini, nantikan selepas ini untuk aneka resepi khas dari saya untuk pembaca sekalian.

Wassalam WBT



Sunday, 10 November 2013

Abi yang Kreatif lagi Inovatif

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Sedar tak sedar hari ini sudah hari ke-37 berpantang. Alhamdulillah kami sudah pulang ke rumah sewa dan perlahan-lahan menyesuaikan diri berdikari dengan dua orang bayi. Tamatlah adegan bermanja di rumah emak-ayah sendiri. Bukannya apa, Alhamdulillah badan pun semakin segar, tidak lenguh-lenguh dan bertenaga walau hanya mengurut sekali kerana saya sudah mula memakan jamu walaupun dalam jumlah yang kecil dari yang disarankan; biar sedikit demi sedikit untuk biasakan badan menerimanya. Adik LK masih menyusu badan, oleh itu kesesuaiannya juga perlu diambil kira.

Makanan yang dinikmati masih cara orang berpantang dan skopnya makin meluas kerana luka pembedahan sudah kering sepenuhnya. Alhamdulillah saya sangat bersyukur kerana jika hendak dibandingkan kali pertama pembedahan bersalin, saya mengambil masa 7 bulan lebih untuk sembuh sepenuhnya. Kali ini sebulan sudah kering lukanya dan untuk kembali cergas. Memang sebulan tempoh yang agak lama namun saya tidak mahu membandingkan dengan rekod pemulihan orang lain kerana tubuh badan kita nyata berbeza. Saya pula bukanlah jenis rajin menjamah makanan tambahan untuk mempercepatkan pemulihan; saya ambil garam bermagnesium tinggi kali ini untuk cepat sembuh luka. Curi-curi tinggal lah juga sehari dua; jikalau tidak mesti boleh lagi cepat sembuh! Tampar nyamuk di pipi sambil senyum simbol keamanan.

Episod baru di rumah sewa kali ini- berpantang dengan suami; suami yang memasak. Cuma petang tadi beliau minta saya tolong gorengkan Chicken Chop Abdullah FOODS sementara beliau bawa si abang Abdullah ke padang bermain bola. Sekembalinya mereka berdua, saya masih belum siap goreng kerana saya susukan si adiknya dahulu sebelum mula menggoreng dengan api perlahan. Suami sambung kerja saya, siap tolong mandikan anak lagi. Ketawa keseronokan dan kesyukuran.

Setelah siap uruskan anak, tiba-tiba beliau keluar dengan membawa pinggan. Oh, rupanya Chicken Chop tadi beliau kapit dengan roti bakar! Kagum saya melihat kekreatifan beliau mempelbagaikan cara menikmati produk keluaran sendiri. Memang saya teruja untuk kongsikan dengan pembaca dan para pelanggan kami yang setia. Rasanya, kalau hendak tahu, seperti memakan burger ayam keluaran KFC! Rangup seperti 'Zinger Burger', enak dan berjus seperti 'Colonel Burger'. Bukan perasan dengan produk sendiri, tetapi saya ialah penggemar 'Colonel Burger' jadi rasanya memang saya cam. Jimatlah belanja suami selepas ini tidak perlu lagi belikan saya burger KFC. Giliran beliau pula untuk senyum sepuasnya.

Untuk pembaca yang mahu kelainan dalam menikmati produk kami iaitu Chicken Chop Frozen, bolehlah menggunakan roti burger yang dibakar ataupun roti pita sebagai pembalut. Boleh juga jikalau hendak guna roti biasa seperti gardenia seperti yang suami saya buat atau jenama lain. Sayur-sayuran memang beliau tidak letak kerana beliau bukan pemakan sayur. Bagi penggemar sayur, daun salad, karot, kubis ungu dan tomato amat sesuai diletakkan. Amat sesuai untuk bekal makan di pejabat, anak-anak mahupun pergi berkelah. Kena pula dengan jadual kerja yang selalu 'on-the-road'; memang molek resepi yang saya hadiahkan seperti di bawah.

Roll-Kabab/ Burger Platter/ Burger Ala Jimat Masa

Bahan

Sebungkus Chicken Chop Frozen Abdullah FOODS
Roti Burger mini/ biasa/ Roti Pita
Daun salad
Karot          - dipotong julienne
Kubis Ungu - dipotong julienne
Tomato       - dipotong nipis
Timun          - dipotong nipis
Mayones
Sos Cili

Langkah-langkahnya

1.Gorengkan Chicken Chop Frozen kemudian potong memanjang untuk roti pita, potong dua/ empat bergantung kepada saiz roti yang kalian guna. Goreng juga kentang dan panaskan sos yang disertakan.
2. Bakar/ panaskan roti yang dirembes minyak zaitun.
3. Letak sayur-sayuran tersebut di atas roti/ roti pita; kalau suka mayones dan sos boleh letak sekali; hendak kelainan, boleh guna sos yang kami bekalkan dalam set.
4. Susun Chicken Chop yang dipotong tadi
5. Balut kemas-kemas, potong dua bahagian; masuk dalam bekas makanan, siap!

Sebuah hidangan lengkap dengan semua kelas makanan, protein, karbohidrat, serat, vitamin dan mineral serta kurang lemak; tinggal tambah sebotol jus buah atau 'smoothies' buatan sendiri yang menyegarkan. Sudahlah sihat, kenyang lagi menjimatkan. Mudah kan? Sekeping Chicken Chop Frozen boleh menghasilkan dua gulung atau lebih 'roll kabab'/ tiga atau lebih burger platter atau burger mini dan satu atau dua burger biasa.

Sekian sahaja dari saya, jemputlah mencuba resepi yang saya berikan dan sudi-sudikanlah menjengah laman mukabuku Abdullah FOODS untuk produk yang lain. 100% dari Muslim untuk Muslim, Dijamin Halalan Toyyiban.

Wassalam WBT

p/s: Maaf dipinta; gambarnya tidak ada kerana penulis terus santap lepas baca Bismillah.


---------------------------------------


Kongsikan ilmu kepakaran anda dan ceritakan pengalaman atau perniagaan anda kepada pembaca melalui penulisan blog. Kelas Asas Blog dan Penulisan, Kelas Asas Blog dan Fanpage juga Kelas Beriklan di Mudah.my sentiasa bersiaran. Promosi yuran pada harga RM200.00. Maklumat mengenai kelas boleh dirujuk di sini. Beriklan juga semakin mudah dengan pakej serendah RM50.00. Mahu tahu butiran pakej pengiklanan? Sila klik di sini. Teruja mahu tahu cara memulakan blog sendiri? Sila daftar di sini. 


Sunday, 21 July 2013

Mempelbagaikan Cara Menikmati Buah Kurma

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum W.B.T

Syukur Alhamdulillah, selesai sudah berpuasa hari ke-8, kawan-kawan makan apa untuk berbuka? Harini menu berbuka saya dikurangkan daripada semalam, Alhamdulillah mungkin suami pun ada baca entri saya yang bertajuk Membajak Pahala tu. Apa yang menariknya, hari ini ada kejutan!

Seharian melayan anak dan sambil-sambil mengemas rumah, sambil-sambil juga siapkan tempahan agar-agar kering dan serunding membuatkan saya sedikit keletihan. Suami pun buat juga; saya kemas-beliau jaga anak, saya jaga anak-beliau kemas rumah. Akhirnya selepas berjaya tidurkan anak saya pun terlelap sama. Sedang berbaring rasa seperti mimpi sebab sayup-sayup terdengar bunyi 'blender' sekejap 'ON' sekejap 'OFF'. Adalah dua ke tiga kali punya 'cycle' punyalah banyak nak di'blend'kan tu. Siapa pula yang blender cili kering nak masak sambal ni.

Rupanya Sang Suami yang kerajinan dan penuh belas ihsan tengok Si Isteri tergolek di samping anak kecil;  tengah buat air, agaknya air lah disebabkan jag air yang kelihatan berisi bahan kisar tadi. Lena kami dua beranak dikejutkan dengan kedatangan abang dan kakak ipar menghantar pesanan botol air. Sengaja saya beli untuk suami bawa bekal air putih andaikata waktu bersahur dan waktu berbuka bertembung dengan waktu beliau bertugas. Sebut pasal botol air, ada tak kawan-kawan yang 're-cycle' botol jus? Tak kiralah botol air berkarbonat, botol kordial ataupun botol-botol air mineral untuk simpan stok air masak, ada tak? Jikalau ada, elakkan guna terlalu lama hingga air putih pun terasa seperti plastik kerana ini sangat berbahaya ditambah pula dengan kesan-kesan sampingan kalaupun tak terasa mudaratnya sekarang, mungkin di masa akan datang pelbagai gejala yang timbul mendadak.

Sambung cerita yang 'terbelok kanan' tadi, saya terus ke dapur dan bertanya apa yang dibuat suami sorang-sorang kat dapur menggodek apa agaknya. Rupanya beliau buatkan 'Kurma Smoothies'! Bagus juga ya, kreatif rupanya kaum Adam ni! Tak sabar jadinya nak mencuba berbuka dengan Kurma Smoothies air tangan suami. Sebaik azan, kami segerakan dengan air tadi dan rasanya Masya Allah sedap! Terus saya korek-korek resipi dari suami tapi sukatannya saya terlupa nak tanya; rupanya mudah saja membuatnya kawan-kawan. Di bawah ni saya berikan bahan-bahan Kurma Smoothies Suamiku dan juga Fruit Smoothies dari rancangan "Hello Bro, Tolong Masak!" yang kebetulan bersiaran malam itu juga dan kebetulan lagi menggunakan kurma sebagai bahan utama memandangkan tema rancangan malam itu ialah Makanan Sunnah. Memang terliur melihat chef-chef memasak Goulash Kambing, Salad Tembikai dan Fruit Smoothies yang diinspirasikan daripada makanan kegemaran Rasulullah SAW iaitu kambing, tembikai, timun, madu dan juga kurma. Saya teringat Sabda-sabda Nabi SAW yang mafhumnya antaranya berbunyi begini:

1. “Rumah yang tiada kurma nescaya penghuninya kelaparan.”

2. Daripada Abdullah bin Jaafar r.a katanya: “Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w memakan mentimun Arab dengan buah kurma masak”

3. Abu Hurairah r.a menukilkan sebuah hadis Rasulullah yang menyentuh tentang kambing: “Allah tidak mengutus seorang nabi kecuali dia itu seorang gembala kambing”. Maka para sahabatnya bertanya “Adakah Tuan juga?” Jawab beliau “Ya, aku pernah menggembala kambing dan bertanggungjawab ke atas  beberapa bahagian penduduk Mekah”

4. "Perempuan yg hamil yg selalu makan buah tembikai akan melahirkan anak yg baik parasnya dan pekertinya."

5. "Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu, menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya." 

Kita tenung dan renung seketika ya, bila berbicara tentang kambing, kita ditanam dengan fakta bahawa daging kambing tinggi dengan kolestrol dan tidak baik untuk orang yang lelah dan hipertensi tetapi di barat sana, restoran-restoran mewah mahupun tidak menghidangkan daging kambing dan bila chef-chef dari Itali, Greek, Sepanyol, Britain bahkan Amerika Syarikat bercerita tentang juadah berasaskan daging kambing, air liur mereka seolah-olah ingin meleleh sama! Nampak kan betapa Umat Islam sedaya upaya hendak dijauhkan daripada perkara-perkara terbaik di dalam kehidupan dan teringat saya kata-kata ustaz semasa sekolah dulu, lebih kurang begini bunyinya: Umat Islam cuba dihancurkan dari pelbagai sudut namun kurang berjaya, kemudian musuh-musuh Islam terjumpa satu celah yang boleh merosakkan kita iaitu melalui makanan. (Sila rujuk entri saya yang bertajuk Apa Kisahnya dengan Perut? )

Nabi SAW ajar kita makan dengan tangan kanan kita diajar 'bersopan' bila makan hidangan barat dengan pisau di tangan kanan, garfu ditangan kiri. Tak salah menikmati rezeki,  pelbagai juadah dari serata dunia tetapi yang lebih afdal makanlah dengan cara kita sendiri. Pandangan manusia bukanlah yang utama, yang penting apa dan bagaimana makanan itu masuk ke dalam perut yang kemudiannya menjadi darah daging kita. "Elok sekeping 'daging' itu, maka eloklah yang lain-lainnya" Nak elokkan daging itu, peliharalah darah yang mengalir ke sana seawal proses memasukkan makanan ke dalam mulut lagi.

Sebenarnya banyak lagi makanan yang menjadi kegemaran Nabi kita Muhammad SAW iaitu seperti yang boleh dibaca di blog Kumbang Jingga dan lain-lain blog juga yang menyentuh tentang amalan dan cara pemakanan Nabi SAW. Saya rasa bersyukur, lewat kini makin ramai usahawan muncul dengan produk-produk yang berasaskan makanan sunnah antaranya produk berasaskan susu kambing, kurma, delima, madu, cuka dan sebagainya. Alhamdulillah, masyarakat kita sudah boleh menerima pencerahan dan menangkis fahaman dulukala tentang kurangnya manfaat makanan-makanan yang tersenarai dalam makanan sunnah. Pulak tu, senarai makanan yang menjadi kegemaran Kekasih Allah SWT ini boleh kita pelbagaikan dan kita olah mengikut daya kreativiti kita sendiri. Jadi, panjang berceloteh buat saya hampir terlupa, resipinya mana? Ini dia pembaca-pembaca sekalian:


Kurma Smoothies Suamiku

Kurma- buang bijinya
Sirap Ros
Susu UHT/susu sejat
Air batu

(Kisar semua dan jikalau suka boleh letak ais krim vanilla sebelum menghidang, tak sempat menoleh dan siap air canggih! Mesti mak mertua bangga kalau minum air ni)

Inilah hasilnya, kami tak letak aiskrim vanilla sebab tak ada. Gambar bersama jag yang separuh penuh!


Fruit Smoothies (Hello Bro, Tolong Masak!)

Kurma
Timun
Pisang
Susu
Madu

(Kisar dan hidang; boleh juga nak letak aiskrim vanilla, nak cantik-cantik ala chef, sebelum hidang celup bibir gelas dalam gula halus, tuang smoothies dan potong timun memanjang macam straw masukkan menyendeng sikit. Canggih!)

* Taktik Jimat Masa: Rendam kurma dalam cecair seperti susu dahulu sebelum dikisar.

Sekian sahaja dari saya, jumpa lagi kita dalam entri-entri berikutnya, Insha Allah! Pesan saya, hadapi hari ini dan mendatang dengan penuh kerendahan hati, semoga yang tersimpul mudah dirungkai bila kita meletakkan diri di bawah untuk melihat yang di atas.


Wassalam WBT



Wednesday, 17 July 2013

Membajak Pahala

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum W.B.T

Hari ini 8 Ramadhan, pantasnya masa berlalu. Alhamdulillah untuk waktu yang tidak kita sia-siakan dan semoga Allah SWT memberkati dan meredhai masa yang telah kita lalui dan akan kita lalui. Berpuasa di hari kelapan, saya dan suami bersahur awal sedikit kerana makanan sudah ada. Tunggu dipanaskan sahaja. Kalau boleh saya tak mahu membazir makanan langsung di Bulan Rahmat dan Bulan Utama ini. Kalau ada juadah yang berlebihan dari berbuka semalam, saya simpan dalam peti kemudian panaskan semula pagi esoknya.

Sebenarnya kita tak tahu dimana letaknya keberkatan pada rezeki yang kita makan itu. Entah di butir nasi pertama yang kita suap ataupun yang terakhir; tidakpun di pertengahan. Ini kata-kata guru disiplin saya masa sekolah rendah dahulu. Saya masih ingat lagi hingga sekarang. Walaupun saya pernah digelar Majlis Perbandaran  Pulau Pinang kerana makanan yang orang lain tak mampu habiskan saya habiskan, saya tak kisah. Akan tetapi, seorang rakan seperjuangan semasa menuntut di salah sebuah universiti dahulu benar-benar menginsafkan saya kerana beliau lebih lagi hebat.

Beliau sangat merendah diri sehinggakan air kotak yang tidak habis diminum pun akan dihabiskan. Selalunya selesai majlis makan-makan atau jamuan kelas, makanan yang diambil dari hidangan jenis buffet jarang sekali dihabiskan. termasuklah minuman. Rakan saya ini akan berpindah dari meja ke meja untuk menghadap makanan dari satu pinggan ke satu pinggan yang lain hingga tinggal tulang! Orangnya kecil molek namun bukanlah dia kebuluran malah bukan dari kalangan orang susah pun. Keluarganya menetap di salah satu tanah rancangan FELDA di Johor. Orang kaya, silap haribulan anak jutawan! Lama juga masa saya ambil untuk menyedari tabiat beliau. Kenapa begitu sekali? Saya dengar dari mulutnya sendiri, kata ibunya jangan membazir rezeki, orang lain ada yang sampai tak makan berhari-hari. Cari keberkatan yang mungkin ada dalam makanan yang bersisa. Ayat yang mudah tapi begitu dalam penghayatannya.

Hebat kan? Begitu sekali beliau bertawakkal dan rendah hati hingga kami kawan-kawan yang selalu dengannya jadi malu alah. bercakap pasal keberkatan, benar kita tidak layak menilainya namun apa yang saya perhatikan, dalam hal pelajaran, memang beliau tersangatlah makan angin. Siap boleh tidur dalam kelas. Tetapi bila waktu solat tiba, beliau akan tergesa-gesa menggelabah nak pergi bersolat. Namun 'pointer' beliau seingat saya 4.0 dan bila ditanya prestasinya semasa di universiti terdahulu, jawapannya seingat saya tak pernah keluar dari kategori '1st-Class'. Mungkin sifat tawadduk beliau Allah SWT beri ganjaran begitu. Itu yang boleh dilihat; yang tak boleh dilihat, Wallahu 'alamu bissowab. Apa yang perlu, ialah cuba mencontohi sifat yang terpuji yang Tuhan paparkan kepada kita.

Menyentuh perihal solat, ini intipati tazkirah selepas solat sunat tarawikh malam ke-7, kata ustaz, jikalau solat kita tak jaga, perkara lain pun kita tak akan jaga. Sebab Solat 5 waktu itu tiang agama, kalau tiangnya tak ada habis runtuh semuanya, runtuh semua urusan yang lainnya. Jika kita jaga Solat 5 waktu, lebih mudah untuk kita tingkatkan diri dari Nafsu Ammarah kepada Nafsu Lawwamah. Nafsu Ammarah ni nafsu yang bersifat sinonim dengan sifat yang digemari syaitan manakala Nafsu Lawwamah nafsu yang sukakan kebaikan dan bencikan kejahatan, Jadi alang-alang kita sudahpun menjejakkan kaki ke dalam Madrasah Ramadhan yang mulia, marilah kita ambil kesempatan melakukan peningkatan diri bermula dari fasa yang pertama ini. Kata ustaz, masuk sahaja semester pertama dalam Madrasah Ramadhan, pecutan mesti dilakukan agar kita mudah-mudahan berjaya dengan cemerlang hingga ke semester ketiga. Apa itu fasa / semester dalam Madrasah Ramadhan ya?

Begini kawan-kawan, seperti yang Allah SWT janjikan, Permulaan Sepertiga Ramadhan adalah Rahmah, Pertengahan Sepertiga Ramadhan adalah Maghfirah atau Keampunan dan Pengakhiran Sepertiga Ramadhan adalah Bebas Dari Api Neraka. Oleh itu Sijil Madrasah Ramadhan ini penting sebagai bekal untuk menepis Nafsu Ammarah dan mengekalkan Nafsu Lawwamah bagi 11 bulan yang akan datang; sekiranya kita berusaha untuk dapatkan 'sijil' yang cemerlang, Insha Allah yang mendatang juga cemerlang, begitu juga sebaliknya. Disamping itu, tanggungjawab terhadap keluarga dan orang-orang sekeliling kita perlulah kita jagai jangan sampai terbiar. Ibadah ini mudah kata ustaz, niatkan kerana Allah pun sudah jadi ibadah. Tidak semestinya kita keluar rumah hendak membajak pahala. Menolong dan memudahkan urusan pasangan atau ahli keluarga di rumah pun boleh jadi bank pahala yang lumayan!

Sudah banyak saya berceloteh, tiba masa saya hendak menyambung siapkan Serunding Daging untuk dihantar ke kedai-kedai. Serunding ni siapa tak tahu, sambal segera, tahan lama, makan dengan roti boleh, dengan nasi panas-panas lagi lah! Siap menambah lagi. Agak-agak kesuntukan, keluarkan sikit, dah jadi lauk bersahur. Insha Allah, nanti saya kemaskinikan gambar yang dah cantik-cantik dipekkan. Hingga berjumpa lagi dalam Diari Masa yang lain. Mana tahu ada lagi yang ingin saya kongsikan sambil saya buat laporan apa kegiatan saya sehari-harian kepada anda semua. Semua yang baik dariNya yang terkhilaf adalah dari saya yang serba kekurangan.


Sekian,


Wassalam wbt

Tuesday, 16 July 2013

Harga Ayam Naik Mencanak-canak!

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT, buat apa tu kawan-kawan? Masih lagi berperang kat dapur ya atau masih meninjau-ninjau di Bazar Ramadhan fikir-fikir nak makan apa harini? Tinggal lagi berapa jam sebelum berbuka, sempat saya mencorat-coret sikit kongsi-kongsi apa yang dibuat dan sedang dibuat.

Saya dengan anak baru pulang hantar Pes Perencah dan Sos Ayam Golek Madu Hj. Hashim dan Pes Perencah Ikan Bakar Special (perencah sejuk-beku keluaran Abdullah FOODS) yang dipesan kenalan saya, Mudah katanya nak masak pakai pes perencah sedia ada disebabkan beliau mengajar sesi petang, jadi pulang terus masukkan lauk dalam oven. Kemudian boleh tanak nasi sambil-sambil bertadarus sementara tunggu lauk dan makanan masak. Langsung tak terkejar-kejar katanya. Alhamdulillah, ternyata produk Abdullah FOODS mula mendapat sambutan dek kerana masa boleh dijimatkan tambah-tambah bulan puasa ni. Lepas hantar pes perencah tersebut pada anak beliau, kami pusing-pusing ronda kawasan sebelum singgah sebentar rumah makayah saya. Kerap juga saya pulang ke sana memandangkan kami tinggal dalam satu daerah. Lagipun tokwan dan tok memang selalu teringat-ingat pada si bulat ni. Kalau kami terselang lama sikit, sampai lah tokwan dengan kiriman bekal dari tok.

Memperkenalkan, di sebelah kiri 'Pes Perencah Ikan Bakar Special', di sebelah kanan pula 'Pes Perencah dan Sos Ayam Golek Madu Hj. Hashim'.


Sambil-sambil saya menaip, ayam golek dan daging saya sedang dipanggang dalam ketuhar juga dengan menggunakan Pes Perencah dan Sos Ayam Golek Hj. Hashim. Hj. Hashim tu ayah saya. Dulu-dulu beliau berniaga ayam golek dan saya selalu bantu buat sos dan perencah. Sekarang zaman beliau berehat, saya teruskan tapi kontemporarikan sikit strategi jualan tu dengan buatkan pes dan sos disejuk-bekukan. Ada juga yang dah siap diperap dan disejuk-bekukan. Yang ini lagi mudah nak masak, Boleh 'de-frost' dalam fridge sebelum pergi kerja, balik boleh ambil terus masuk dalam ketuhar. Bukan setakat sesuai dengan ayam, daging lembu, rusa, kambing, Insha Allah semua daging sesuai dengan perencah ni. Kalau Pes Perencah Ikan Bakar Special pula, bukan setakat boleh diguna untuk ikan, makanan laut lain macam sotong dan udang juga boleh guna. Sambil memanggang lauk-pauk guna pes-pes keluaran Abdullah FOODS kita boleh mandi-manda, rehat-rehat lejang kaki, tadarus Al-Quran, main-main dengan anak. Mudah kan?
Rupa ayam dengan perapan Pes Perencah Ayam Golek Madu Hj. Hashim a.k.a  Frozen C'Golek (Quarter Chicken) yang dah dinyah-beku. Sedia untuk oven. 

Daging yang telah diperap dengan pes perapan yang sama.
Sementara menaip entri, sempat juga jeling-jeling ke Facebook; rata-rata menyatakan maklumbalas terhadap harga ayam yang naik mencanak-canak. Kenapa sampai mencanak-canak tu? Mau taknya, sebelum Bulan Ramadhan itu hari, saya ke pembekal ayam, memang saya selalu beli bekalan ayam untuk dimakan dan diproses untuk stok niaga Abdullah FOODS dengan Haji tu. Diyakini halal, bersih, orangnya solat, saya pun senang hati nak makan ayam sembelihan beliau. Kalau tak ke situ, ayah akan tolong belikan di pondok tahfiz di kampung sebelah. Pondok Tahfiz tu jual ayam untuk biaya sebahagian yuran pelajarnya, sambil membeli boleh juga beramal, Insha Allah. Terbabas pula. Saya nak bagitahu, waktu itu harga ayam sekitar RM7.80 atau RM7.50, kemudian selang tiga hari saya kesana lagi, Ya Allah dah naik RM8.50? Saya beli juga memandangkan stok makin kehabisan. Selang tiga hari saya pergi nak membeli stok tengok-tengok harga sekarang dahpun RM9.00 sekilo. Wah, ini bukan main-main kata saya dalam hati. Hari ini dah masuk hampir seminggu lebih saya belum membeli ayam segar sebab stoknya ada lagi. Jadi tak tahulah harga terkini berapa ringgit sekilo. Kalau kawan-kawan ada membeli ayam sehari dua ni, berapa ringgit gamaknya sekilo ayam sekarang ya? Diharap sudi-sudikanlah berkongsi dengan saya di ruangan komentar.

Sambung sikit cerita juadah berbuka harini, nampaknya ayam dan daging dah masak. Saya buatkan Air Asam Special tapi yang jimat masa sebab suami nak buat cicah daging bakar nanti. Sengaja nak pelbagaikan kuah, sebenarnya sos pencicah ada bersama pes perencah tadi saya dah panaskan juga. Di bawah ni saya kongsikan resepi Air Asam Special Jimat Masa untuk para pembaca sekalian.

Air Asam Special Jimat Masa
1 labu bawang besar
1 biji tomato
2 atau 3 biji cabai melaka 
1 biji cili hidup
2 biji limau kasturi
Air asam secukupnya-kalau suka banyak kuah, banyakkan airnya
Secubit belacan 
Budu secukupnya (saya tak letak garam sebab budu dah masin, nak letak cencaluk pon ok)
Gula secukupnya

Langkah-langkahnya:

1. Rincik bawang, tomato, cabai melaka dan cili hidup.
2. Peroikan gula dan belacan kemudian perahkan limau kasturi.
3. Masukkan air asam kemudian perasakan dengan budu. Gaul rata-rata dan siap untuk dihidang.

Ayam Golek Madu bersama sos yang tak digolek tetapi dibakar.


Daging bersama sos yang dipanaskan.

Daging bakar bersama Air Asam Special yang jimat masa. Kawan saya orang Melaka panggil Air Asam ni 'Sambal Tomato'. Panggil apa pun boleh, janji sedap dimakan! (Maaf gambarnya gelap sikit)
Itulah hasil-hasilnya seperti gambar di atas ya kawan-kawan! Selamat berbuka saya ucapkan. Kalau ada pertanyaan mengenai pes-pes yang saya ceritakan tadi, jangan segan untuk hubungi saya tau! Sekian perkongsian harini, Insha Allah jumpa lagi kita di lain masa dengan kisah lain pula.

Sekian, Wassalam wbt

Sunday, 14 July 2013

Jom Sahur dengan Oval Chicken Bergedil a.k.a Bergedil Ayam Bujur!

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum W.B.T

Hari ini sudah hari kelima kita berpuasa, kawan-kawan di luar sana masak apa untuk bersahur ya? Bersesuaian dengan Idea Jimat Masa, saya perkenalkan salah satu pilihan makanan sejuk-beku yang dihasilkan oleh Abdullah FOODS iaitu Oval Chicken Bergedil. Sudah pasti tanpa MSG, diproses dari daging dada ayam segar dan rempah-ratus terpilih enak dimakan dengan sos ataupun dijadikan lauk dalam hidangan seperti aneka bihun goreng, bihun sup, nasi, mee goreng hinggalah ke mee kari. Kalau tetamu datang buat lawatan mengejut, jangan gelabah, keluarkan sahaja dari peti sejuk boleh terus digoreng, memang tersangatlah praktikal di saat-saat kecemasan, Sudah pasti ianya halalan toiyyiban, sedap lagi terangkat, tetamu datang Insha Allah pulang dengan senyuman.


Ini dia Oval Chiken Bergedil (OCB) dengan promosi amal jariah sos-sos yang sesuai dijadikan pencicahnya.

Jadi sebagai bonus, saya paparkan resepi mudah dan ringkas idea untuk bersahur. Jangan bimbang, resepi yang menggunakan Oval Chicken Bergedil keluaran Abdullah FOODS ini sangat cepat disiapkan tak sampai 15 minit, sesuai untuk bersahur, moreh mahupun berbuka untuk sukatan dua orang dewasa makan.

Bihun Singapore OCB ala Jimat Masa

Bahan-bahannya:

Bihun 1/5 atau 1/4 bungkus
2 atau tiga ketul Oval Chicken Bergedil Abdullah FOODS (OCB) dipotong-potong
Udang yang dbuang kulitnya
Bawang merah kecil - 2 ulas
Lobak Merah - 1/2 batang dipotong halus memanjang.
Telur ayam sebiji
Taugeh - jika suka
Serbuk lada sulah
Serbuk lada hitam
Garam

Bahan sambal kicap:

Cili api - 3 atau empat biji
Bawang putih - 2 ulas
Kicap manis secukupnya
Garam ikut keperluan

Langkah-langkahnya:

1. Bersihkan bihun dan rendam dalam air.
2. Sementara tunggu bihun kembang, masukkan minyak secukupnya buat telur hancur dahulu dan ketepikan.
3. Dalam kuali yang sama, tumis bawang merah sampai wangi tapi jangan sampai perang. Masukkan udang, masak sekejap kemudian masukkan OCB yang dipotong tadi.
4. Masukkan serbuk lada sulah, serbuk lada hitam, garam, lobak merah yang dirincik, gaul dan biar sebentar.
5. Masukkan bihun, gaul rata kemudian masukkan taugeh seterusnya telur hancur tadi. Gaul rata, seimbangkan rasa dan siap dihidang dengan sambal kicap.

Cara buat Sambal Kicap:

1. Tumbuk atau blender semua bahan sambal kicap, siap untuk dihidang.


* Taktik Jimat Masa di Dapur:
1. Rendam bihun dalam air panas secukupnya
2. Guna pengupas kulit (peeler) untuk dapat potongan lobak yang nipis dan sekata, kemudian dirincik. Ataupun boleh guna penyagat sahaja. Sangat efisien. 
3. Perasan tak dalam langkah ke.3 saya cakap masak udang sekejap saja, Udang tak akan kurang atau, terlebih masak, jangan bimbang haba bihun dan bahan lain akan bantu proses memasaknya dan hasilnya udang masih berjus dan tak kenyal, cair dalam mulut bak kata Papa Joe Masterchef.

Inilah hasilnya;

.:Bihun Singapore OCB ala Jimat Masa:.


Dipersilakan menjamu mata kawan-kawan! (kalau di rumah bolehlah saya jemput bersahur, berbuka, jemput makan dan macam-macam jenis jemputan lagi kan). Mahukan lebih idea resipi menggunakan OCB? Silakan jangan segan-silu tinggalkan komen untuk saya ya, Insha Allah saya akan kembali dengan resipi-resipi yang lebih mengancam! Sekian dulu dari saya, hingga kita bersua lagi, eh mana nak dapat OCB kecur liur dari Abdullah FOODS ni? Jangan bimbang adik kakak boleh hubungi:

Nurulhusna: 017-9453559 (sms 24/7)

ataupun jemputlah terus ke Laman Mukabuku Abdullah FOODS berikut:

https://www.facebook.com/pages/Abdullah-FOODS/578447382199653?ref=tn_tnmn


Sekian, Wassalam wbt