Friday, 13 December 2013

Aneka Salad Menyihatkan

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Maafkan saya kerana lama tidak bersua. Dua tiga hari ini berulang alik ke rumah emak ayah dan ke kedai untuk selesaikan kerja-kerja untuk menjengah ke tahun 2014. Kadang-kadang bersama dua orang anak kadangkala bersama si abang sahaja untuk biasakan mereka. Biarlah mereka beradaptasi ronda-ronda dalam kereta bersama saya sahaja, bimbang waktu-waktu memerlukan kami keluar segera suami saya pula perlu bekerja.

Perkongsian hari ini, salad bermacam jenis sebagai ganti sayur samada untuk juadah santapan tengah hari mahupun makan malam. Bagi rakan-rakan yang ingin menjalankan 'detoks' tubuh-badan, salad adalah pilihan yang tepat malahan mengenyangkan.

Walaupun namanya salad, kita boleh juga menambahkan elemen karbohidrat, protein dan sedikit lelemak yang kurang tepu supaya menjadi sebuah hidangan lengkap yang ekspres. Kedengaran seperti mudah; ia memang mudah! Proses memasak dalam menyediakan beraneka salad ini mungkin 10 hingga 15 peratus sahaja dan selebihnya adalah bahan mentah yang diolah terus.

Cuba kita belek bagaimana 'Ceaser's Salad dibuat; daun saladnya dikoyak helaian demi helaian dan boleh juga dicincang besar-besar jika daunnya terlampau lebar, kemudian ditabur roti bakar yang dipanaskan semula yang mana mungkin lebihan minum petang semalam, sedikit ayam bakar atau ayam goreng yang dicarik-carik ditabur diatasnya kemudian sos campuran minyak zaitun, sos 'mustard', lada dan garam dituang secara rawak. Sudah siap.

Kebanyakan chef yang saya ikuti, mereka menjadikan lebihan sayur di dalam peti sejuk sebagai salad, Korek peti sejuk kita; manalah tahu masih ada tomato ceri, lobak merah dan sebiji buah epal yang rangup masih belum berusik. Belah sahaja tomato kepada dua, lobak merah diparut kasar dan buah epal dipotong dadu. Jika ada daun salad dan mentimun bolehlah ditambahkan. Perasakan dengan sos 'Thousand Island' ataupun dengan sos lemon buatan sendiri yang ringan. Salad buah-buahan juga bagus untuk memulakan jamuan tergempar di rumah kita.

Melihat kembali masakan Melayu, kita juga punyai salad kita sendiri yang lebih dikenali dengan nama 'kerabu'. Boleh dikatakan hampir semua jenis sayur dan buah boleh 'dikerabukan' termasuk buah-buahan yang beracun seperti buah kepayang pun diproses hingga menjadi kerabu. Itu buah, jadi tidak mustahil, bagaimana pula dengan kulit ubi kayu yang dijadikan kerabu yang didedahkan oleh Rozita Che Wan dalam siri Masterchef Selebriti Musim Kedua dahulu? Saya sendiri kagum dan teringin mencuba jikalau ubi kayu ada di hadapan mata. Senyum sahaja, bertuah badan jikalau saya hendak mencabutnya sendiri, memang tidak berdaya!

Saya percaya setiap pelusuk Malaysia masing-masing ada resepi turun-temurun kerabu mereka. Salah satu makanan lengkap atau hampir lengkap dengan semua elemen, ada yang cepat disediakan, ada yang perlu sedikit ketekunan tetapi perlu diakui waktu menjamah adalah paling pantas sebenarnya.

Baiklah sekalian pembaca, jam hampir dua pagi; tiga-tiga beranak semua berdengkur nampak sangat letihnya. Tiba masa saya juga untuk sertai mereka dan hingga berjumpa di lain masa dengan ulasan aneka salad orang kita ataupun kerabu.

Sekian,

Wassalam WBT

-----------------------------------------

Berikut kelas-kelas yang menerima pelajar dengan hati yang terbuka

Abdullah FOODS
Kelas Belajar Buat Kacang Balut (Produk Baru Boleh Terjah Pasaran)
Kelas Belajar Buat Serunding Hitam Manis
Kelas Belajar Buat Kerepek Tempe

Kelas online oleh guru-guru berdedikasi yang semakin rancak, pun menerima dengan tangan terbuka untuk pendaftaran: (Cikgu Nisa Nua)

1. Kelas Asas Blog dan Penulisan
2. Kelas Asas Blog dan Fanpage
3. Kelas Beriklan di mudah.my
4. Kelas Penulisan Kreatif (Cikgu Monalita dan Cikgu Anys Idayu)

Hubungi saya di 017-9453559 (SMS 24/7) e-mel: snurulhusnahashim@gmail.com

No comments:

Post a Comment