Bismillah
Assalamualaikum WBT
Dua tiga hari ini nampaknya talian intenet di rumah langsung tidak memuaskan. untuk menghantar sebaris ayat perlu tunggu hingga tiga jam lebih. Ini bukan entri protes, kerja masih seperti biasa. Padan muka saya, semasa 'line' elok kenapa tidak digunakan dengan baik? Alhamdulillah, perniagaan Abdullah FOODS berjalan seperti biasa dan permintaan Frozen Lamb Chop pula yang meningkat di tengah-tengah kenaikan cas-cas yang agak tidak masuk dek akal ini. Pun harga tidak dinaikkan, biarlah kami bersedekah di kala ini, mungkin pihak-pihak tertentu lebih memerlukannya.
Dalam kemelut Astro, banjir, peperangan, kenaikan harga minyak, tarif elektrik dan tol, ramai yang sudah menyinga memulakan bisnes. Ada juga yang malu-malu, bantu orang katanya. Tidak kurang juga yang beremosi dengan mengatakan "Stupid-lah all these things!". Waduh! Mujur saya tidak faham Manglish.
Saya juga bukanlah peniaga yang hebat benar hendak menempelak sesiapa, tetapi, sebelum berkata-kata, wajarlah kita fikirkan sedikit. Berniaga ini kerjaya manusia Agung dan yang Paling Pintar, siapa lagi kalau bukan Nabi Allah SAW. Kenapa di-stupid-kan kerjaya ini kerana sejarah silam atuk dan nenek yang berniaga tidak menjadi. Kenapa malu meraih barang seringgit atau lima puluh sen daripada jalan ini?
Saya juga pernah mengikut ayah berniaga di Pasar Tani. Tetapi dengan penuh perasaan malu berhadapan dengan pelanggan kerana ayah saya berniaga ayam proses. Jika ditanya di sekolah, emak kerja apa? Ayah kerja apa? Yang laju saya jawab ialah emak seorang guru [malu pula hendak mengaku emak seorang ustazah kerana saya 'hebat' di sekolah].
Sebenarnya di Balik Pulau ini siapa yang tidak kenal ayah saya. Seorang peniaga ayam proses. Beliau jalankan perniagaan ini kerana sewaktu itu hampir tidak ada orang Islam yang meniaga ayam yang disembelih mengikut syarak. Sedih bukan? Bukannya untung banyak, tetapi lebih kepada kefardhuan katanya. Beliau berhenti berniaga ayam proses tatkala saya dan abang sudah bergelar guru dan peniaga ayam proses sudah ramai yang boleh diyakini. Ada dua orang rakan ayah meneruskannya termasuk sebuah Maahad Tahfiz yang memproses dan menjual ayam untuk menampung perbelanjaan mereka.
Semakin saya membesar, semakin saya banyak berbicara dengan beliau, banyak yang saya pelajari dan cuba fahamkan ayahanda saya yang sangat saya kagumi ini. Saya impikan suami seperti beliau, gigih berusaha, saya mahu kesabaran dan kerendahan hati seperti emak bersuamikan lelaki yang nampak 'kurang sedikit' di mata jurunilai-jurunilai bidan terjun.
Darah peniaga yang mengalir ini saya percaya, bukan sahaja dari ayah, bahkan sudah bersebati dalam diri setiap umat Islam, cumanya telah 'ditanam' terlalu dalam hingga gagal bercambah. Tidak percaya? Jika kita membantu mengesyorkan jualan rakan-rakan kita atau saudara-mara kita, sebelah kaki sudahpun berada di dalam zon bisnes. Usahlah terlalu membenci perniagaan kerana mungkin setitis darah kita mungkin terhasil daripada pendapatan perniagaan yang tidak disengajakan.
Malu kerana komisyennya hanya 50 sen? Tidak mengapa, di bawah ini saya sengaja sertakan pautan-pautan selangkah ke alam bisnes, manalah tahu ada yang malu-malu ter'klik' pula. Sudahlah dengan perasaan itu, kita tambah ilmu dan memang sudah resam tak kenal maka tak cinta, dengan ilmu kita boleh membuang kekotoran di hati, menjernihkan perasaan dan berlapang dada dengan setiap apa yang dihadapkan kepada kita.
Berikut ialah peluang-peluang yang menarik, Insha Allah komisyennya juga menarik bagi yang rajin. Silakan memantau dan berhubung dengan saya Nurulhusna untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
Sekian,
Wassalam WBT
No comments:
Post a Comment