Saturday, 7 December 2013

Resipi Sedap Empat Rencah

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT dengan izinNya kita beroleh kesihatan untuk hari ini. Di samping menjalankan aktiviti hujung minggu, bersama-samalah kita berdoa dan berusaha untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir juga tidak ketinggalan untuk umat Islam di seluruh dunia. Letakkanlah sedikit penderitaan mereka di dalam fikiran supaya kita juga dapat bersedia dengan sebarang kemungkinan. Hari ini hari mereka, hari besok hanya Allah SWT yang tahu.

Terima kasih Allah kerana saya sudah mula menambah rutin harian kepada memasak kembali kebelakangan ini. Setelah sekian lama dapur kami suami sahaja yang 'perasapkan', kini saya mula campur tangan semula dengan kerjasama dari Abdullah dan Lina yang semakin baik moodnya. Kurang merap dan boleh bermain dengan tenang.

Tajuk hari ini, Resepi Sedap Empat Rencah. Bolehkah kita menghasilkan lauk yang sedap dengan menggunakan hanya tiga jenis bahan? Insha Allah sebenarnya boleh kerana saya telah mencubanya. Ideanya seperti biasa mesti menjimatkan masa dan sebagai bonus, jimat belanja. Resepi ini cukup untuk tiga hingga orang dewasa makan dan untuk sekali hidangan. Masak kicap ringkas namun menyelerakan, suami dan anak makan Insha Allah pasti menambah.

Bahan-bahan yang perlu disediakan ialah setengah kati daging dihiris dua inci kali setengah sentimeter dan empat rencahnya ialah: lima hingga sepuluh ulas bawang putih dirincik halus, dua inci halia juga dirincik, satu camca teh serbuk lada hitam biasa dan kicap manis secukupnya. Trik untuk menjimatkan masa ialah dengan menghiris nipis daging tersebut dan menggunakan kuali 'non-stick'. Mesti ingat, daging dan semuanya mesti dibasuh diiringi selawat kepada Nabi SAW, disejat dengan elok dan berzikir semasa masak.

Pertama sekali panaskan kuali dan dengan api sederhana dan masukkan lebih kurang dua sudu besar minyak masak. Usah bimbang dengan amaun minyak jika kita menggunakan minyak sawit atau minyak sayuran yang lain. Minyak sawit atau minyak yang berasaskan tumbuhan adalah jauh lebih ringan dan menyihatkan daripada minyak sapi, mentega atau marjerin.

Tumiskan halia dan bawang putih apabila minyak cukup panas. Biar garing sedikit dan kuis ke tepi kuali dan tumiskan serbuk lada hitam di suatu sudut kuali yang kosong. Apabila bawang dan halia berbau wangi dan garing sepenuhnya, masukkan daging dan api masih sederhana besar. Di sinilah pengalaman meletakkan minyak secukupnya teruji kerana minyak yang kurang menyebabkan langkah memerangkan daging menjadi kurang sempurna sebaliknya memenuhkan kuali dengan air daging dan menyebabkan hidangan menjadi kurang 'terangkat'.

Bila daging perang, masukkan kicap secukupnya (cukup untuk menyaluti daging dengan cantik) dan biarkan kicap dikaramelkan sedikit tetapi jangan sampai hangus. Masukkan air, lebih sedikit tidak mengapa dan set api ke paling kecil dan biar mereneh sehingga kepada kepekatan kuah yang kita mahu. Sementara lauk ini siap dimasak, bolehlah kita sediakan sayur, goreng ayam atau buat telur dadar. Keseluruhan masa memasak lebih kurang setengah jam sahaja.

Sebentar tadi saya sempat mencuba dengan bahan yang saya tukar sedikit. Halia diganti dengan serbuk lada putih tanpa MSG. Alhamdulillah rasanya memang tidak mengecewakan. Cubalah jika kesuntukan masa di dapur ataupun ketika kecemasan ibu mertua menerjah ke rumah.

Sekian,

Wassalam WBT

------------------------------------------------------

Nota: 

Setakat ini saya hanya mampu mengadakan kelas pada hujung minggu, kelas selepas waktu pejabat dan kelas malam hari biasa akan saya pertimbangkan demi kebaikan bersama. Terima Kasih kerana menyokong Abdullah FOODS!! 


Kelas Belajar Buat Kacang Balut (Produk Baru Boleh Terjah Pasaran)
Kelas Belajar Buat Serunding Hitam Manis
Kelas Belajar Buat Kerepek Tempe

Kelas online oleh guru-guru berdedikasi yang semakin rancak, pun menerima dengan tangan terbuka untuk pendaftaran:
1. Kelas Asas Blog dan Penulisan
2. Kelas Asas Blog dan Fanpage
3. Kelas Beriklan di mudah.my
4. Kelas Penulisan Kreatif 

Hubungi saya di 017-9453559 (SMS 24/7) e-mel: snurulhusnahashim@gmail.com

No comments:

Post a Comment