Showing posts with label Idea Jimat Masa Semasa Perjalanan Jauh. Show all posts
Showing posts with label Idea Jimat Masa Semasa Perjalanan Jauh. Show all posts

Thursday, 14 July 2016

Alhamdulillah, Abdullah FOODS kembali beroperasi.


Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Imej: Galeri Abdullah FOODS

Bismillah
Assalamualaikum WBT

Syukur kita bernafas lagi. Aidil Fitri kelapan, dengan ini saya membuka kembali pesanan untuk rakan-rakan yang ingin menempah AgarVille, Serunding Daging Hitam Manis, Acar Limau Mak Teh dan juga Apple Tart.

Tahun ini stok kuih raya habih cepat kat emak saya. Senyum sahaja tanda kesyukuran. Puas hati kanak-kanak yang datang beraya semua menjamah kuih raya, yang paling penting ramai yang sukakan AgarVille dan Tat Gulung Epal.

Jika kalian berminat untuk menempah hasilan Abdullah FOODS tidak kiralah bagi apa jua keraian, jangan malu-malu terus WhatsApp ke nombor 0125466823 ya.

Di sini ada beberapa gambar koleksi Abdullah Foods yang sempat diambil sebelum sampai ke tangan pelanggan. yang mana sempat, omi 'snap'. yang tak sempat tu yang selalunya yang pelanggan datang ambil sendiri ataupun yang saya COD. sengih sahaja lah ya.

Acar Limau Mak Teh. Rasa sekali pasti nak lagi. Insha Allah.

Bekas AgarVille Assorted ni limited edition tau. Ada 4 jenis AgarVille di dalamnya.

Apple Tart atau Tat Gulung Epal. Bagi kalian yang tak boleh makan nenas.


Serunding Daging Hitam Manis (ini bukan daging dendeng ya, serunding ni)

Sekian,

Wassalam WBT

Sunday, 10 November 2013

Abi yang Kreatif lagi Inovatif

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Sedar tak sedar hari ini sudah hari ke-37 berpantang. Alhamdulillah kami sudah pulang ke rumah sewa dan perlahan-lahan menyesuaikan diri berdikari dengan dua orang bayi. Tamatlah adegan bermanja di rumah emak-ayah sendiri. Bukannya apa, Alhamdulillah badan pun semakin segar, tidak lenguh-lenguh dan bertenaga walau hanya mengurut sekali kerana saya sudah mula memakan jamu walaupun dalam jumlah yang kecil dari yang disarankan; biar sedikit demi sedikit untuk biasakan badan menerimanya. Adik LK masih menyusu badan, oleh itu kesesuaiannya juga perlu diambil kira.

Makanan yang dinikmati masih cara orang berpantang dan skopnya makin meluas kerana luka pembedahan sudah kering sepenuhnya. Alhamdulillah saya sangat bersyukur kerana jika hendak dibandingkan kali pertama pembedahan bersalin, saya mengambil masa 7 bulan lebih untuk sembuh sepenuhnya. Kali ini sebulan sudah kering lukanya dan untuk kembali cergas. Memang sebulan tempoh yang agak lama namun saya tidak mahu membandingkan dengan rekod pemulihan orang lain kerana tubuh badan kita nyata berbeza. Saya pula bukanlah jenis rajin menjamah makanan tambahan untuk mempercepatkan pemulihan; saya ambil garam bermagnesium tinggi kali ini untuk cepat sembuh luka. Curi-curi tinggal lah juga sehari dua; jikalau tidak mesti boleh lagi cepat sembuh! Tampar nyamuk di pipi sambil senyum simbol keamanan.

Episod baru di rumah sewa kali ini- berpantang dengan suami; suami yang memasak. Cuma petang tadi beliau minta saya tolong gorengkan Chicken Chop Abdullah FOODS sementara beliau bawa si abang Abdullah ke padang bermain bola. Sekembalinya mereka berdua, saya masih belum siap goreng kerana saya susukan si adiknya dahulu sebelum mula menggoreng dengan api perlahan. Suami sambung kerja saya, siap tolong mandikan anak lagi. Ketawa keseronokan dan kesyukuran.

Setelah siap uruskan anak, tiba-tiba beliau keluar dengan membawa pinggan. Oh, rupanya Chicken Chop tadi beliau kapit dengan roti bakar! Kagum saya melihat kekreatifan beliau mempelbagaikan cara menikmati produk keluaran sendiri. Memang saya teruja untuk kongsikan dengan pembaca dan para pelanggan kami yang setia. Rasanya, kalau hendak tahu, seperti memakan burger ayam keluaran KFC! Rangup seperti 'Zinger Burger', enak dan berjus seperti 'Colonel Burger'. Bukan perasan dengan produk sendiri, tetapi saya ialah penggemar 'Colonel Burger' jadi rasanya memang saya cam. Jimatlah belanja suami selepas ini tidak perlu lagi belikan saya burger KFC. Giliran beliau pula untuk senyum sepuasnya.

Untuk pembaca yang mahu kelainan dalam menikmati produk kami iaitu Chicken Chop Frozen, bolehlah menggunakan roti burger yang dibakar ataupun roti pita sebagai pembalut. Boleh juga jikalau hendak guna roti biasa seperti gardenia seperti yang suami saya buat atau jenama lain. Sayur-sayuran memang beliau tidak letak kerana beliau bukan pemakan sayur. Bagi penggemar sayur, daun salad, karot, kubis ungu dan tomato amat sesuai diletakkan. Amat sesuai untuk bekal makan di pejabat, anak-anak mahupun pergi berkelah. Kena pula dengan jadual kerja yang selalu 'on-the-road'; memang molek resepi yang saya hadiahkan seperti di bawah.

Roll-Kabab/ Burger Platter/ Burger Ala Jimat Masa

Bahan

Sebungkus Chicken Chop Frozen Abdullah FOODS
Roti Burger mini/ biasa/ Roti Pita
Daun salad
Karot          - dipotong julienne
Kubis Ungu - dipotong julienne
Tomato       - dipotong nipis
Timun          - dipotong nipis
Mayones
Sos Cili

Langkah-langkahnya

1.Gorengkan Chicken Chop Frozen kemudian potong memanjang untuk roti pita, potong dua/ empat bergantung kepada saiz roti yang kalian guna. Goreng juga kentang dan panaskan sos yang disertakan.
2. Bakar/ panaskan roti yang dirembes minyak zaitun.
3. Letak sayur-sayuran tersebut di atas roti/ roti pita; kalau suka mayones dan sos boleh letak sekali; hendak kelainan, boleh guna sos yang kami bekalkan dalam set.
4. Susun Chicken Chop yang dipotong tadi
5. Balut kemas-kemas, potong dua bahagian; masuk dalam bekas makanan, siap!

Sebuah hidangan lengkap dengan semua kelas makanan, protein, karbohidrat, serat, vitamin dan mineral serta kurang lemak; tinggal tambah sebotol jus buah atau 'smoothies' buatan sendiri yang menyegarkan. Sudahlah sihat, kenyang lagi menjimatkan. Mudah kan? Sekeping Chicken Chop Frozen boleh menghasilkan dua gulung atau lebih 'roll kabab'/ tiga atau lebih burger platter atau burger mini dan satu atau dua burger biasa.

Sekian sahaja dari saya, jemputlah mencuba resepi yang saya berikan dan sudi-sudikanlah menjengah laman mukabuku Abdullah FOODS untuk produk yang lain. 100% dari Muslim untuk Muslim, Dijamin Halalan Toyyiban.

Wassalam WBT

p/s: Maaf dipinta; gambarnya tidak ada kerana penulis terus santap lepas baca Bismillah.


---------------------------------------


Kongsikan ilmu kepakaran anda dan ceritakan pengalaman atau perniagaan anda kepada pembaca melalui penulisan blog. Kelas Asas Blog dan Penulisan, Kelas Asas Blog dan Fanpage juga Kelas Beriklan di Mudah.my sentiasa bersiaran. Promosi yuran pada harga RM200.00. Maklumat mengenai kelas boleh dirujuk di sini. Beriklan juga semakin mudah dengan pakej serendah RM50.00. Mahu tahu butiran pakej pengiklanan? Sila klik di sini. Teruja mahu tahu cara memulakan blog sendiri? Sila daftar di sini. 


Tuesday, 22 October 2013

Produk baru di Abdullah FOODS

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Kemana menghilang si suami, sedar-sedar kereta dengan si abang sudah tiada di rumah. SMS pun tidak berjawab mungkin ada urusan di kedai agaknya. Tidak mengapalah, saya teruskan seperti biasa; memberi perhatian kepada si adik dan ronda-ronda dalam rumah emak ayah saya. Cari teman berbual.

Lewat petang baru pulang tapi si abang sudah siap mandi dan baju pun dah berganti, betullah mereka ke kedai. Ada PRODUK BARU sampai rupanya! Eh eh, gambar dan harga Lamb Chop pun belum di upload lagi, sudah ada yang menanti ya (telefon suami rosak, habis hilang semua gambar katanya, kena ambil pakai kamera pula lepas ini) . Girangnya rasa hati, mujur saya dalam pantang kalau tidak mesti saya sakan membodek suruh suami bawa pulang 'seketul-dua' KEK LAPIS SARAWAK yang terkenal dengan kesedapannya itu. Aduhai, kecur liur dibuatnya!

Sememangnya Raya Aidil Adha sudah berlalu, namun cuti sekolah semakin hampir. Kek ini boleh disimpan dalam peti dingin beku dan mudah dihidang jika tetamu datang mengejut. Seperti saya yang sedang berpantang banyak menerima kunjungan tetamu secara mengejut, sesuai sangat jika ada bekalan kek ini dalam peti. Kadangkala di musim kenduri-kendara, bilangan rakan-rakan lama emak dan ayah yang melakukan lawatan selepas makan kenduri memang tidak dapat dijangka. Dengan adanya produk seperti kek lapis ini di dalam peti, emak tidaklah terkejar-kejar memikir nak goreng itu nak goreng ini lagi. Kesedapan Insha Allah terjamin!
Wah!! macam-macam perisa ada! Saya tak sabar nak habis pantang.
Bagi peminat kek lapis Sarawak, bolehlah berhubung dengan suami saya yang gigih ini untuk harga dan perisa yang ada. En. Hilmi 0129866819. Kami juga mengalu-alukan bumiputera yang bercita-cita tinggi sekiranya berminat memasarkan produk Abdullah FOODS ataupun produk sendiri di Abdullah FOODS. Sesungguhnya Sunnah Nabi SAW dalam berniaga ada kemanisannya jika dikongsi bersama. Mari meneroka 9 per 10 bersama kami. 

Sekian, 

Dari Muslim untuk Muslim

Wassalam WBT

Friday, 12 July 2013

Ramadhan di Pantai Timur- Hari Pertama

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum W.B.T


Apa khabar semua pembaca? Bagaimana dengan awal Ramadhan kalian ya? Jikalau Bulan Sya'aban dipenuhi dengan kegiatan gotong-royong di masjid-masjid dan tanah-tanah perkuburan, masuk sahaja Bulan Ramadhan kegiatan makin rancak tak kiralah kegiatan masyarakat mahupun urusan persendirian. Di celah-celah amalan Sunat Tarawikh, Qiamullail, Majlis Berbuka dan Majlis Amal, tak kurang juga yang sibuk membeli-belah untuk bekalan sebulan berpuasa ini, ada yang balik kampung, ada yang baru siap ubahsuai rumah, ada yang baru selesai siapkan baju raya; pendek kata macam-macam senario yang dapat kita lihat di luar sana. Yang pastinya masing-masing inginkan yang terbaik untuk puasa tahun ini. Harapan saya semoga kalian jaga diri dan kesihatan supaya sebulan ini boleh kita penuhi dengan sesempurna mungkin. Insha Allah.

Apa pula kisah saya ya? Begini pula perkongsian tentang awal Ramadhan keluarga kecil saya untuk santapan pembaca yang dikasihi. Malam pertama Sunat Tarawikh saya dan suami selesaikan di Pulau Pinang; suami ke masjid, saya bertarawikh di rumah setelah suami pulang. Sehabis Tarawikh sedikit masa untuk kerja mengemas beg dilakukan oleh suami memandangkan baju-baju sudah siap dilipat kemudian keesokan paginya kami bersahur bergilir-gilir memandangkan si kecil masih lagi nyenyak tidur. Siap sahaja beg dan bakul anak dimasukkan ke dalam kereta, kami bertolak awal pagi 1 Ramadhan menuju ke Pantai Timur.

Baru sahaja kereta bergerak saya dapati bonet tidak boleh ditutup, suami berhentikan kereta dan saya turun selaraskan kunci bonet, Alhamdulillah boleh ditutup dan perjalanan diteruskan. Kami berhenti setelah mata terasa berat dan si kecil perlu dimandikan memandangkan kami bertolak tadi agak awal pagi dan hujan renyai-renyai, kasihan pula nak mandikan dia. Bonet tidak boleh dibuka! Alarm dan kunci dan tidak berfungsi, mujurlah ada beg kecil barang-barang dan baju si kecil, maka bolehlah saya mandikan anak dahulu. Kami teruskan perjalanan masuk sekejap ke Pekan Lunas sambil perhatikan di tepi-tepi jalan untuk mencari kedai baiki kereta. Setelah beberapa kedai ditanya nampaknya tidak ada yang boleh baiki, Kami buat keputusan teruskan perjalanan,  Alhamdulillah ada kedai baiki kereta dibuka dan kami terus bertanya kepada pemiliknya dan akhirnya, kunci bonet boleh dibaiki tanpa perlu ketuk kereta dan rosakkan lubang kunci bonet! (Saya rasa sangat-sangat bersyukur kerana sebelum itu beberapa mekanik sarankan kami pergi kedai ketuk untuk buka kunci :) ) Ini semua pertolongan dariNya, masa jimat, wang pun jimat kerana pemilik kedai terakhir yang kami jumpa itu sangat cekap dan upahnya sangat berpatutan. Ingin saya kongsikan, biarlah kita habis sedikit masa untuk membuat pertimbangan dan perkiraan, asalkan kita dapat penyelesaian yang terbaik dan tidak menimbulkan masalah yang baru.

Perjalanan diteruskan sambil-sambil itu saya mendodoikan anak dengan Burdah Ya Hanana, Nasyid Aa Ba Ta, Asmaullahil Husna dan juga Nasyid 25 Rasul yang digemarinya. Kalau anak lapar atau mahu susu, suami perlahankan kereta berhenti sekejap tak sampai 2 minit kami teruskan semula tetapi bukanlah disebabkan tergesa-gesa, ini kerana saya sudah siapkan bekal anak dalam pek yang kecil-kecil yang mudah dicapai dan hanya perlu ditambah air panas sahaja. Saya sediakan juga tuala kecil lembab untuk mengelap mulut anak (saya tidak guna tisu basah, kerana kulit si kecil saya ini agak sensitif). Bila berhenti untuk jangkamasa yang lebih panjang, saya atau suami akan basuh semua bekas makanan dan botol-botol susu dan masukkan air panas siap-siap dalam botol dan disimpan dalam beg tahan panas bersaiz kecil juga untuk tujuan mudah dicapai dan dikendali di ruangan sempit seperti di dalam kereta. Tambahan pula saya agak sukar bergerak dengan usia kandungan kini mencecah tujuh bulan. Manalah tahu anak mahu susu dan susah pula cari tempat berhenti. Saya juga sediakan pilihan makan yang mengenyangkan seperti biskut oat, biskut sayur-sayuran kek buah-buahan tidak ketinggalan beberapa jenis kerepek keluaran Abdullah FOODS seperti Kerepek Tempe, Serunding dan roti kosong.

Sementelahan kembara balik kampung kami di bulan puasa, jadi sebekas kecil kurma saya masukkan ke dalam bakul makanan. Makanan tidaklahlah terlalu berat tetapi Insha Allah amat sesuai dan bertepatan dengan perjalanan kami yang selalunya mengambil masa enam hingga tujuh jam. Kami juga akan mengisi semula botol-botol air dengan air paip dan air masak sebagai persediaan menukar lampin anak di saat-saat tandas sukar didapati. Beg plastik yang kecil-kecil akan menjadi tong sampah sementara saya, juga akan dibuang ke dalam tong sampah sekiranya kami berhenti di mana-mana. Semua ini persediaan ringkas yang kami amalkan sekiranya hendak berkelana kerana kami pernah tersangkut berjam-jam hingga awal pagi  di beberapa kilometer selepas hentian Titiwangsa dek kerana lori kontena terbalik merentangi jalan. Mujurlah anak masih menyusu badan pada ketika itu namun dari sebonet durian Balik Pulau ole-ole untuk keluarga mertua terpaksa kami 'kendurikan' sebiji-dua kerana kelaparan.

Hujan renyai-renyai bila kami sampai di kawasan Jeli. Saya senantiasa ingatkan suami supaya patuhi had laju maklumlah keretapun baru sahaja diservis dengan minyak enjin berkualiti. Memang selesa memandu hingga tak sedar rupa-rupanya semakin memecut. Malang sebenarnya tidak berbau terutamanya disaat hati kita semakin melonjak-lonjak ingin bertemu orang tua tercinta. Kami singgah di Bukit Bunga untuk membeli buah pauh yang dipesan adik ipar dan meneruskan perjalanan. Alhamdulillah kami selamat sampai ke destinasi petang itu dan sempat menikmati juadah berbuka yang pertama. Ada Ayam Percik, Sup Daging, Onde-onde, Butir Nangka, Daging Goreng Kunyit dan lain-lain lagi, Semuanya ibu mertua saya beli di kantin sekolah kecuali Sup Daging memandangkan beliau selalu sampai di rumah jam 4 petang. Hendak singgah di Bazar Ramadhan, badan pun sudah keletihan. Terdetik kesal di hati kecil saya kerana tidak bawa pulang produk sejuk-beku Abdullah FOODS untuk menjimatkan masa dan tenaga beliau di dapur setelah pulang dari sekolah. Maafkan saya ye Ummi, Insha Allah lain kali saya bawa balik produk Abdullah FOODS untuk membantu Ummi.

Malam itu suami dan ahli keluarga yang lain ke masjid untuk bertarawikh dan saya menunggu giliran menunaikan tarawikh di rumah setelah suami pulang. Akhir kata, saya yakin para pembaca masing-masing mempunyai cara tersendiri menyiapkan bekalan untuk perjalanan yang jauh tetapi sudi-sudikanlah mencuba gaya penjimatan masa dan wang cara saya yang saya yakini lebih sihat kerana tidak melibatkan jajan dan makanan segera yang ber'MSG'. Jika mahu mencuba rangkaian makanan dari Abdullah FOODS? Sudi-sudikanlah ke pautan Facebook yang saya sediakan ataupun tuan-tuan dan puan-puan bolehlah membuat tempahan disini.


Sekian, hingga bertemu dalam entri berikutnya, Awal Puasa di Pantai Timur - Hari Kedua.


Wassalam