Showing posts with label Suprise Party Planner. Show all posts
Showing posts with label Suprise Party Planner. Show all posts

Thursday, 14 July 2016

Alhamdulillah, Abdullah FOODS kembali beroperasi.


Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Imej: Galeri Abdullah FOODS

Bismillah
Assalamualaikum WBT

Syukur kita bernafas lagi. Aidil Fitri kelapan, dengan ini saya membuka kembali pesanan untuk rakan-rakan yang ingin menempah AgarVille, Serunding Daging Hitam Manis, Acar Limau Mak Teh dan juga Apple Tart.

Tahun ini stok kuih raya habih cepat kat emak saya. Senyum sahaja tanda kesyukuran. Puas hati kanak-kanak yang datang beraya semua menjamah kuih raya, yang paling penting ramai yang sukakan AgarVille dan Tat Gulung Epal.

Jika kalian berminat untuk menempah hasilan Abdullah FOODS tidak kiralah bagi apa jua keraian, jangan malu-malu terus WhatsApp ke nombor 0125466823 ya.

Di sini ada beberapa gambar koleksi Abdullah Foods yang sempat diambil sebelum sampai ke tangan pelanggan. yang mana sempat, omi 'snap'. yang tak sempat tu yang selalunya yang pelanggan datang ambil sendiri ataupun yang saya COD. sengih sahaja lah ya.

Acar Limau Mak Teh. Rasa sekali pasti nak lagi. Insha Allah.

Bekas AgarVille Assorted ni limited edition tau. Ada 4 jenis AgarVille di dalamnya.

Apple Tart atau Tat Gulung Epal. Bagi kalian yang tak boleh makan nenas.


Serunding Daging Hitam Manis (ini bukan daging dendeng ya, serunding ni)

Sekian,

Wassalam WBT

Resepi Basic Agar-Agar Kering (Agarville) Abdullah Foods

Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Imej: Galeri Abdullah FOODS

Bismillah
Assalamualaikum

Sebelum saya poskan resepi ini di mukabuku, ada saya tanyakan, tetapi cuma tujuh orang sahaja yang nak. Tak mengapa, kita bagi juga di sini resepi tercinta kita untuk dimanfaatkan. Sebab, masa pulang beraya itu hari ramai yang reeky resepi agar-agar kering. Maka, inilah resepinya dan mohon tolong doakan kesihatan saya sekeluarga sahaja, boleh kan? Amiinn amiinn
Resepi Basic Agar-Agar Kering
40g Agar-agar Tali
1 kilo gula pasir
1 1/2 cawan gula batu (Nak Manis boleh tambah, saya guna takat ni ja, manis tahap biasa sahaja)
12 cawan air.
Serbuk batu nasila. (Saya tak guna ni. Orang dulu-dulu guna)

Cara-cara
1. Bismillah
2. Bersihkan agar-agar. Tambah air. Tengok level air kat periuk tu takat mana. Hafal paras meniskus dia tau. Serius ni. Masak sampai larut semua agar-agar.
3. Masukkan gula batu. Bila dah larut semua baru masukkan gula pasir. Kalau nak buh serbuk batu nasila tu buh time ni. Fungsi dia nanti agar-agar crunchy insha Allah. Cek balik paras air mula-mula tadi ok.
4. Be creative. Masukkan perisa, colour apa-apa yang berkenan. Plain pun boleh.
5. Tuang dalam chocolate mould untuk dapat bentuk 3D. Kalau nak yang tradisi boleh tuang dalam tray. Nanti potong lah lawa-lawa.
6. Susun dalam talam. Kalau boleh talam food grade lah sahabat semua.
7. Jemur hingga kering. (Paling cepat 3-4 hari)
8. Balik-balikkan setiap keping penuh kasih sayang ok untuk bagi kering elok. (Tunggu dia ada lapisan gula kering sikit baru terbalikkan. Kalau tidak dia merekah dan hancuq orang utagha kata)
9. Selamat mencuba. Resepi ni boleh dapat lebih kurang dua balang kuih kalau kepingan-kepingan tu tak missing in action masa proses menterbalikkan setiap kepingan tadi tu. Huhu.
10. Alhamdulillah...siap. Yang penting kesabaran tu 
AgarVille™
@abdullah_foods
snurulhusnahashim@gmail.com

AgarVille jenis Pelangi Pagi dan Pelangi Senja Abdullah FOODS

---------------------------------
Alhamdulillah, tempahan AgarVille untuk sebarang majlis kembali dibuka. Insha Allah.

Saturday, 28 March 2015

Alhamdulillah, AgarVille Telah Kembali!

Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Imej: Galeri Abdullah FOODS

Bismillah
Assalamualaikum WBT

Dengan ini saya membuka kembali tempahan untuk produk AgarVille. Bagi sesiapa yang mahu boleh terus berhubung dengan saya.

Insha Allah.

FB: Abdullah FOODS





Wednesday, 30 April 2014

Tips Majlis Berseri dengan Aneka Agar-agar Kering




Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Imej: Galeri Abdullah FOODS

Bismillah
Assalamualaikum wbt

Apa khabar sidang pembaca sekaliannya? Diharapkan kalian semua menjaga kesihatan di kala cuaca yang tidak menentu ini. Anak-anak saya nan sepasang itu juga sedang pulih dari demam campak. Alhamdulillah Adik Lina mudah dipujuk jika merap. Maklumlah, demam campak pastinya sendi-sendi mereka terasa sengal dan berbisa. Kasihan anak-anak ummi, namun demam campak pasti kalian tempuhi juga.

Di penghujung April, jemputan kenduri-kendara sudah mulai rancak. Insha Allah, yang mana dekat akan kami usahakan sedaya upaya untuk bertandang. Yang melangkau negeri nampak gayanya, kami terpaksa mohon permisi untuk tidak hadir lantaran tempahan perlu disiapkan pada tarikhnya dan jadual kerja suami yang Subhanallah sibuk!

Sedih juga sebenarnya kerana selalu tidak berkesempatan berjumpa dengan sahabat handai di walimatul urus mereka. Namun apakan daya.

Baiklah, entri kali ini saya ingin terus sahaja mempromosi Agar-agar Kering Abdullah FOODS yang terdiri daripada beberapa variasi. Semuanya berwarna-warni menambat hati dan amat cocok dijadikan ole-ole menyambut tetamu mahupun sebagai hantaran. Dengan warnanya yang menarik perhatian ini, majlis yang kalian adakan pasti tambah berseri!

Inilah tradisi turun-temurun, tak lapuk dek panas, tak lekang dek hujan. Manis memang manis, kami perisakan sesetengah varian agar penggemar agar-agar kering dapat menikmatinya dengan pengalaman baru. Inilah tradisi dalam makanan yang kami cuba kontemporarikan, sebagai contoh varian Flavourita 3D, Pink-Blue Sakura, Fruity Crush juga Tulips de Organics.

Dijadikan cemil-cemilan, rasanya membuatkan kita tersenyum manis. Teringatkan atuk dan nenek yang pernah buatkan kita agar-agar kering menjelang hari raya. Minda melayang teringatkan emak yang acapkali menjemur agar-agar untuk diisi ke dalam balang kuih raya, namun 'selesai' sebelum tetamu sempat merasanya. Nakalnya kami adik-beradik zaman anak-anak dahulu.

Rasa geli hati bila teringatkan gigi susu adik yang rongak tapi dialah penggemar nombor satu agar-agar kering ini. Malas berus gigi itulah jadinya. Tetapi, itu baru kanak-kanak namanya bukan?

Sebelum saya melalut hingga ke laut, makanya bagi urusan menempah agar-agar kering ini, tempoh masa sekurang-kurangnya ialah dua minggu sebelum majlis. Ini ialah tempoh bertenang selari dengan cuaca yang tidak menentu lewat kini. Bagi tempahan hantaran, saya perlukan sebulan lebih awal dari tarikh penghantaran supaya semuanya dapat disiapkan sebelum waktunya. Insha Allah.

Berikut ialah beberapa keping gambar dan untuk maklumat lanjut, saudara dan saudari bolehlah berhubung terus di laman peminat mukabuku 'Abdullah FOODS'.







Sekian sahaja dari saya, sehingga ketemu lagi insha Allah. Terima kasih di atas kesetiaan kalian mengikuti perkembangan Abdullah FOODS di sini.

Wassalam wbt.

Tuesday, 8 April 2014

Suprise Party Planner


Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah
Assalamualaikum wbt

Anak-anak lena. Cuaca nyaman sekali kerana di luar hujan renyai-renyai. Saya mengetuk papan kekunci telefon bimbit ini kerana komputer riba punah kipas penyejuknya pula.

Abdullah bulan ini dah pandai minta umi mainkan video 'egg suprise'. Umi lap peluh di dahi.


Alamak, ulangtahun kelahiran suami hujung bulan ini. Tahun lepas buat kejutan ayam percik, nasi hujan panas dan puding karamel. Minta tolong abang dan kakak ipar belikan kek hari lahir dan kakak sulung datang membawa aiskrim.

Suami saya yang baru pulang awal pagi itu masih mamai ketika ahli keluarga berkumpul. Makin ramai dan ramai lagi. Beliau masih tidak perasan.

Pun beliau tidak tahu apa yang berlaku di dapur kerana saya perap ayam senyap-senyap sahaja. Rempah sudah saya kisar dari semalamnya. Barang basah pun saya beli siap-siap masukkan ke dalam peti. Begitu juga puding karamel. Malamnya sudah dibiarkan menyejuk dalam peti.

Tinggal lagi pagi itu untuk membuat jelatah timun, karot dan nenas serta memanggang ayam percik.

Terpancar keceriaan di wajah beliau. Alhamdulillah. Saya amat lega dan gembira parti mengejut ini berjalan lancar walaupun dengan bajet yang minima.

Bagi suami, isteri, ibu, ayah, kakak, adik atau sesiapa sahaja yang ingin membuat kejutan tidak kira hari lahir, hari ulangtahun pernikahan, majlis kesyukuran atau apa sahaja hari yang bermakna pada kalian tetapi masa tidak mengizinkannya, kalian boleh berhubung dengan saya untuk perbincangan lanjut.

Bayangkan kejutan yang ingin diberi kepada yang tersayang, mahu di taman, di pantai, di rumah atau di mana- mana yang sesuai, insha Allah, bersama Abdullah FOODS, kita boleh merealisasikannya.

Mahu fine dining di rumah, mahu perkelahan romantik melihat panorama pagi atau malam, mahu makanan berkhasiat dan menyeronokkan kanak-kanak, mahu rakam momen terindah dengan gambar yang profesional, Insha Allah semuanya boleh dibincangkan.

Jom beri kejutan terindah buat insan istimewa di hati kita!

Sekian

Wassalam wbt