Showing posts with label Makanan Kering Pilihan Jimat Masa. Show all posts
Showing posts with label Makanan Kering Pilihan Jimat Masa. Show all posts

Thursday, 14 July 2016

Pesanan AgarVille dan Apple Tart Hari Raya Aidil Fitri (Throwback 1)

Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Imej: Milik Abdullah FOODS

Bismillah
Assalamualaikum
Alhamdulillah oder kawan-kawan untuk Aidil Fitri 2016 sudah siap. Cepat-cepat saya bungkuskan setelah 'snap' sekeping gambar kenangan. ada kuih Tat Gulung Epal, ada AgarVille pelbagai jenis. 
siap bungkus sahaja, terus memecut ke kurier-kurier yang masih buka untuk pengeposan. Alhamdulillah jumpa dengan Skynet dan Nationwide. Pos barang di situ. Cuma agak sedih bagi kuih tat yang sahabat saya terima remuk rendam biarpun sudah ditampal dengan sticker 'fragile' nya. frust juga, tapi Omi takkan berputus asa. pengajaran buat Omi lah lepas ni cari kurier yang bertanggungjawab dan ikhlas mengepos barang-barang customer.
Semoga Hari Raya kawan-kawan sahabat handai semua tambah berseri dengan kehadiran kuih muih dan sedikit cenderamata berupa sampul duit raya 'cute' dari Abdullah Foods.

Maka, Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin untuk kalian semua, 
Semoga Tahun ini kita kembali insaf dengan letak duduk kita di dunia ni hanya hamba Allah dan cuma sementara. Kepuasan akhirat yang lebih utama.
Terima kasih kepada kalian yang menempah kerana sudi bertolak ansur dengan omi Abdullah dan Lina yang tak berapa sihat ni.
Kalau sedap bagitau rakan. Tak sedap kalian jangan segan-segan beritahu saya ya. 
----------------
Order kembali dibuka untuk sebarang majlis dan Hari Raya Haji yang bakal menjelma.

Alhamdulillah, Abdullah FOODS kembali beroperasi.


Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Imej: Galeri Abdullah FOODS

Bismillah
Assalamualaikum WBT

Syukur kita bernafas lagi. Aidil Fitri kelapan, dengan ini saya membuka kembali pesanan untuk rakan-rakan yang ingin menempah AgarVille, Serunding Daging Hitam Manis, Acar Limau Mak Teh dan juga Apple Tart.

Tahun ini stok kuih raya habih cepat kat emak saya. Senyum sahaja tanda kesyukuran. Puas hati kanak-kanak yang datang beraya semua menjamah kuih raya, yang paling penting ramai yang sukakan AgarVille dan Tat Gulung Epal.

Jika kalian berminat untuk menempah hasilan Abdullah FOODS tidak kiralah bagi apa jua keraian, jangan malu-malu terus WhatsApp ke nombor 0125466823 ya.

Di sini ada beberapa gambar koleksi Abdullah Foods yang sempat diambil sebelum sampai ke tangan pelanggan. yang mana sempat, omi 'snap'. yang tak sempat tu yang selalunya yang pelanggan datang ambil sendiri ataupun yang saya COD. sengih sahaja lah ya.

Acar Limau Mak Teh. Rasa sekali pasti nak lagi. Insha Allah.

Bekas AgarVille Assorted ni limited edition tau. Ada 4 jenis AgarVille di dalamnya.

Apple Tart atau Tat Gulung Epal. Bagi kalian yang tak boleh makan nenas.


Serunding Daging Hitam Manis (ini bukan daging dendeng ya, serunding ni)

Sekian,

Wassalam WBT

Resepi Basic Agar-Agar Kering (Agarville) Abdullah Foods

Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Imej: Galeri Abdullah FOODS

Bismillah
Assalamualaikum

Sebelum saya poskan resepi ini di mukabuku, ada saya tanyakan, tetapi cuma tujuh orang sahaja yang nak. Tak mengapa, kita bagi juga di sini resepi tercinta kita untuk dimanfaatkan. Sebab, masa pulang beraya itu hari ramai yang reeky resepi agar-agar kering. Maka, inilah resepinya dan mohon tolong doakan kesihatan saya sekeluarga sahaja, boleh kan? Amiinn amiinn
Resepi Basic Agar-Agar Kering
40g Agar-agar Tali
1 kilo gula pasir
1 1/2 cawan gula batu (Nak Manis boleh tambah, saya guna takat ni ja, manis tahap biasa sahaja)
12 cawan air.
Serbuk batu nasila. (Saya tak guna ni. Orang dulu-dulu guna)

Cara-cara
1. Bismillah
2. Bersihkan agar-agar. Tambah air. Tengok level air kat periuk tu takat mana. Hafal paras meniskus dia tau. Serius ni. Masak sampai larut semua agar-agar.
3. Masukkan gula batu. Bila dah larut semua baru masukkan gula pasir. Kalau nak buh serbuk batu nasila tu buh time ni. Fungsi dia nanti agar-agar crunchy insha Allah. Cek balik paras air mula-mula tadi ok.
4. Be creative. Masukkan perisa, colour apa-apa yang berkenan. Plain pun boleh.
5. Tuang dalam chocolate mould untuk dapat bentuk 3D. Kalau nak yang tradisi boleh tuang dalam tray. Nanti potong lah lawa-lawa.
6. Susun dalam talam. Kalau boleh talam food grade lah sahabat semua.
7. Jemur hingga kering. (Paling cepat 3-4 hari)
8. Balik-balikkan setiap keping penuh kasih sayang ok untuk bagi kering elok. (Tunggu dia ada lapisan gula kering sikit baru terbalikkan. Kalau tidak dia merekah dan hancuq orang utagha kata)
9. Selamat mencuba. Resepi ni boleh dapat lebih kurang dua balang kuih kalau kepingan-kepingan tu tak missing in action masa proses menterbalikkan setiap kepingan tadi tu. Huhu.
10. Alhamdulillah...siap. Yang penting kesabaran tu 
AgarVille™
@abdullah_foods
snurulhusnahashim@gmail.com

AgarVille jenis Pelangi Pagi dan Pelangi Senja Abdullah FOODS

---------------------------------
Alhamdulillah, tempahan AgarVille untuk sebarang majlis kembali dibuka. Insha Allah.

Saturday, 28 March 2015

Alhamdulillah, AgarVille Telah Kembali!

Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Imej: Galeri Abdullah FOODS

Bismillah
Assalamualaikum WBT

Dengan ini saya membuka kembali tempahan untuk produk AgarVille. Bagi sesiapa yang mahu boleh terus berhubung dengan saya.

Insha Allah.

FB: Abdullah FOODS





Monday, 2 June 2014

AgarVille; Ringkas dan Manis

Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Imej: Galeri Abdullah FOODS

Bismillah

Assalamualaikum wbt

Sekian lama tidak bersua, hari ini hari sangat ceria bagi kami sekeluarga. Keluar menghantar produk kampung yang ditempah sahabat handai, sambil itu ambil kesempatan  meronda sekejap. Seronoknya Abi bawa kami naik jambatan kedua!

Setelah sekian lama tidak menghebahkan tentang agar-agar kering keluaran Abdullah FOODS, kini kami tampil dengan label AgarVille (R) yang memberi tujuh jenis pilihan kepada para pelanggan yang dikasihi Allah SWT sekalian.

Selain itu, kami juga sudi membungkus agar-agar ini mengikut kehendak khusus kalian; contohnya untuk hantaran, 'doorgift', hamper mini, 'assorted' mahupun hadiah yang tampil menawan seperti isinya Insha Allah.

Ini bekas jenis 'Assorted'. Ada Warisan, Flavourita 3D dan juga Fruity Crush. RM 25.00 sebekas.

Ini contoh pakej Hadiah ataupun Hantaran yang ringkas. RM 50.00 satu set.

Ini contoh Doorgift, RM1.30 sebekas untuk minimum order 50 bekas.

Doorgift siap untuk penghantaran.

Bagi kalian yang ingin menempah bolehlah berurusan di Mukabuku di Laman Abdullah FOODS ataupun Snh Nurulhusna ataupun melalui WhatsApp saya di 0179453559. Insha Allah.

Oh ya, untuk tempahan AgarVille, sila beri tempoh bertenang sekurang-kurangnya tiga minggu, dan untuk tempahan hantaran juga doorgift, sila sahkan order tuan-tuan dan puan-puan dua bulan sebelum majlis. 

Semoga dengan kehadiran AgarVille di dalam sebarang majlis kalian, dapat lagi menambahkan keserian dan kemeriahannya Insha Allah.

Sekian

Wassalam WBT


Wednesday, 30 April 2014

Tips Majlis Berseri dengan Aneka Agar-agar Kering




Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Imej: Galeri Abdullah FOODS

Bismillah
Assalamualaikum wbt

Apa khabar sidang pembaca sekaliannya? Diharapkan kalian semua menjaga kesihatan di kala cuaca yang tidak menentu ini. Anak-anak saya nan sepasang itu juga sedang pulih dari demam campak. Alhamdulillah Adik Lina mudah dipujuk jika merap. Maklumlah, demam campak pastinya sendi-sendi mereka terasa sengal dan berbisa. Kasihan anak-anak ummi, namun demam campak pasti kalian tempuhi juga.

Di penghujung April, jemputan kenduri-kendara sudah mulai rancak. Insha Allah, yang mana dekat akan kami usahakan sedaya upaya untuk bertandang. Yang melangkau negeri nampak gayanya, kami terpaksa mohon permisi untuk tidak hadir lantaran tempahan perlu disiapkan pada tarikhnya dan jadual kerja suami yang Subhanallah sibuk!

Sedih juga sebenarnya kerana selalu tidak berkesempatan berjumpa dengan sahabat handai di walimatul urus mereka. Namun apakan daya.

Baiklah, entri kali ini saya ingin terus sahaja mempromosi Agar-agar Kering Abdullah FOODS yang terdiri daripada beberapa variasi. Semuanya berwarna-warni menambat hati dan amat cocok dijadikan ole-ole menyambut tetamu mahupun sebagai hantaran. Dengan warnanya yang menarik perhatian ini, majlis yang kalian adakan pasti tambah berseri!

Inilah tradisi turun-temurun, tak lapuk dek panas, tak lekang dek hujan. Manis memang manis, kami perisakan sesetengah varian agar penggemar agar-agar kering dapat menikmatinya dengan pengalaman baru. Inilah tradisi dalam makanan yang kami cuba kontemporarikan, sebagai contoh varian Flavourita 3D, Pink-Blue Sakura, Fruity Crush juga Tulips de Organics.

Dijadikan cemil-cemilan, rasanya membuatkan kita tersenyum manis. Teringatkan atuk dan nenek yang pernah buatkan kita agar-agar kering menjelang hari raya. Minda melayang teringatkan emak yang acapkali menjemur agar-agar untuk diisi ke dalam balang kuih raya, namun 'selesai' sebelum tetamu sempat merasanya. Nakalnya kami adik-beradik zaman anak-anak dahulu.

Rasa geli hati bila teringatkan gigi susu adik yang rongak tapi dialah penggemar nombor satu agar-agar kering ini. Malas berus gigi itulah jadinya. Tetapi, itu baru kanak-kanak namanya bukan?

Sebelum saya melalut hingga ke laut, makanya bagi urusan menempah agar-agar kering ini, tempoh masa sekurang-kurangnya ialah dua minggu sebelum majlis. Ini ialah tempoh bertenang selari dengan cuaca yang tidak menentu lewat kini. Bagi tempahan hantaran, saya perlukan sebulan lebih awal dari tarikh penghantaran supaya semuanya dapat disiapkan sebelum waktunya. Insha Allah.

Berikut ialah beberapa keping gambar dan untuk maklumat lanjut, saudara dan saudari bolehlah berhubung terus di laman peminat mukabuku 'Abdullah FOODS'.







Sekian sahaja dari saya, sehingga ketemu lagi insha Allah. Terima kasih di atas kesetiaan kalian mengikuti perkembangan Abdullah FOODS di sini.

Wassalam wbt.

Sunday, 23 March 2014

Ramadhan Al-Mubarak 99 Hari Lagi

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Imej: Carian Google

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Saya baru pulang dari menghadiri walimatul urus sepupu. Alhamdulillah, semua berjalan lancar walaupun cuaca garing dan terik. Cepat-cepat biasakan diri dan tidak lupa memohon keampunan kepada hati-hati yang pernah kita sakiti terutama sekali kepada Allah SWT.

Selagimana matahari belum terbit dari barat, maka selagi itu pintu taubat masih terbuka. Usah kita menangguhkan taubat dan ayuh bertahan dengan cabaran dan selesaikan dengan berlapang dada. Dua golongan yang patut bimbang kata ustaz ialah golongan yang timbul kesedaran untuk bertaubat setelah melihat matahari naik dari barat dan yang patut lebih bimbang golongan yang selalu bertaubat, namun taubatnya belum diangkat sehingga matahari naik dari barat. Aduh!

Mari kita berdoa agar Allah SWT berbelas kasihan kepada kita dan memilih seluruh umat Islam untuk diterima taubatnya. Apa yang kita boleh buat kata ustaz ialah dengan berbaik sangka dengan Allah SWT kerana Allah SWT Maha Menerima Taubat dan tidak akan sekali-kali menaniaya hambanya selain diri manusia itu sendiri yang suka menganiaya dirinya. Astagfirullahal'azim. Laa ila hailla anta subhanakainni kuntu minadz zholimiin.

Berbalik kepada entri hari ini, apa yang ingin saya kongsikan ialah Ramadhan Mubarak semakin hampir dan hanya tinggal 99 hari sahaja lagi. Baju raya perlu ditempah awal kerana saya mahu Ramadhan kali ini lebih berkualiti dan saya ingin maksimakan untuk beri pengalaman baru kepada anak-anak saya. Insha Allah. Jadi tahun ini saya hanya fokuskan kepada tempahan makanan kering dan kuih muih yang dipesan pelanggan sahaja.

Bagi kaum-kaum ibu yang masih mencari idea untuk berniaga sesuatu menjelang Ramadhan Al-Mubarak tetapi tidak mahu merugikan masa beribadah, bolehlah bekerjasama dengan Abdullah FOODS ataupun BELAJAR dari Abdullah FOODS. Keluarkan produk hasilan sendiri dan jual. Insha Allah, saya akan kongsikan cara ringkas dan cepat dan produk yang dihasilkan ini juga boleh dibuat sambil-sambil para ibu beribadah dan menguruskan anak-anak syurga di rumah.

Kerepek Tempe, Kacang Balut dan juga Serunding Daging Hitam Manis adalah makanan yang berpotensi untuk dikomersialkan jika puan-puan dan tuan-tuan mempunyai minat dan kesungguhan. Insha Allah.

Bagi yang sudah ada perniagaan, pesan mentor dan sahabat-sahabat yang berjaya dalam perniagaan masing-masing ialah FOKUS. Saya simpulkan formula-formula yang diberi dengan perkataan manja iaitu FOKUSH; gabungan perkataan FOKUS dan USAHA.

Ucapan dari Abdullah FOODS, Selamat Merangka Pelan Ibadah dan Pendapatan kepada pembaca di luar sana!



Sekian,

Wassalam wbt

Thursday, 20 March 2014

Kerepek Tempe Atas Talian

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Imej: Koleksi Abdullah FOODS

Bismillah

Assalamualaikum wbt

Sesungguhnya Allah itu Maha Memberi. Minta sahaja pasti diberi, tidak minta juga diberi, maka apa lagi yang kita mahu sebagai manusia jika ingkar suruhanNya. Astagfirullahal 'azim.

Kerepek tempe sedang ditambah stoknya di kedai sambil-sambil mengisi permintaan sahabat handai yang memesannya atas talian. Alhamdulillah.





Gambar di atas ialah buat Novelis Kabus Rindu iaitu Puan Monalita. Dipek mengikut permintaan beliau supaya mudah dihadiahkan menandatangan novel di sesi bertemu peminat. Wah, seronoknya!

Bagi kalian yang mencari kelainan dalam mengisi 'sisa' atau beg buah tangan untuk sebarang majlis perkahwinan, aqiqah, doa selamat mahupun hari lahir, boleh berbincang dengan saya untuk pemilihan bekas dan bajet masing-masing.

Berita baiknya, Insha Allah produk-produk kering Abdullah FOODS boleh dipek kecil-kecil dan diisi dalam bekas yang comel-comel mengikut pesanan pelanggan.

Sekian

Wassalam WBT

Monday, 17 March 2014

Kelas Kerepek Tempe 16 Mac 2014

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah pagi Ahad ini sempat juga menyelit sebentar dengan menjalankan Kelas Belajar Buat Kerepek Tempe di Abdullah FOODS. Sekejap saja. Insha Allah tiga jam sudah boleh siap. Ada trik dan tips dan petua A petua B petua C siap dengan konsultasi sumber dan 'marketing' saya berikan kepada peserta.

Peserta tunggal hari ini ialah Puan Rahila bersama dua orang anak beliau. Saya benarkan beliau bawa anak bersama kerana ingin mudahkan beliau datang menuntut ilmu. Alhamdulillah, perjalanan kelas lancar. Bukankah tugas kita meminta dan TugasNya Yang Ar-Rahman Lagi Ar-Rahim; MEMBERI.

Puan Rahila pulang dengan bersemangat waja hendak mempraktikkan ilmu, hendak mencuba hasilkan sendiri dan hantar 'QC' ke Abdullah FOODS kemudian apabila sudah 'approve' baru mahu jalankan jualan katanya. Insha Allah, Amiinn. Amiinn. Usaha Tangga Kejayaan.

Sepertiga malam untuk kerja hampir tamat hari ini. Masih buntu mahu mula berniaga apa?

Bagi tuan atau puan yang berminat dalam penghasilan makanan berkonsepkan jimat masa, Abdullah FOODS membuka pra-pendaftaran untuk kelas ONLINE.

Bagi kelas HANDS ON juga boleh terus berhubung dengan saya SMS 0179453559 Snh Nurulhusna

Antara modul kelas ialah
1 Kacang Balut
2 Serunding Daging Hitam Manis
3 Kerepek Tempe
4 Kacang Balut Empat Jenis

Cantiklah belajar sekarang. Dah dapat ilmu nanti terus gerak untuk bisnes bermusim dan bisnes sepanjang tahun.

Di bawah ialah gambar-gambar sekitar kelas berlangsung






Sekian

Wassalam wbt

Monday, 23 December 2013

Sambal/ Serunding Daging Hitam Manis

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Sudah lama tidak bersua, saya tenggelam timbul kerana sibuk dengan kenduri-kendara tetapi ini semua dalam rencana Dia juga bilamasa dan berapa kerap kita boleh bertemu bukan? Senyum kemaafan kepada semua. Baiklah, kali ini saya ingin kenalkan produk Abdullah FOODS iatu Serunding Daging Hitam Manis.

Serunding ini rasanya manis-manis sedikit berempah dan memang sesuai untuk anak-anak makan dan bagi orang dewasa yang tidak boleh makan pedas. Pertama kali saya merasa sambal atau serunding jenis ini ialah ketika saya Darjah Tiga. Waktu itu emak dan ayah hendak pergi menunaikan Haji, ada saudara jiran yang datang berziarah membawanya untuk bekalan emak dan ayah di Tanah Suci. Bayangkan dua puluh tahun sudah berlalu, terngiang-ngiang lagi 'rasa'nya. Saya mencuba mencari resipinya di internet tetapi tidak ketemu hingga akhirnya saya cuba hasilkan kembali rasanya dengan gabungan pelbagai resepi.

Sambal atau Serunding Daging Hitam Manis ini berbeza dengan Sambal Hitam rakyat Pahang kerana Sambal Hitam orang Pahang menggunakan Belimbing Buluh dan ikan bilis sebagai asasnya. Jikalau dicari di carian Google mahupun mana-mana enjin carian nescaya Sambal Hitam yang terbit ialah sambal hitam dari negeri Tok Gajah.

Apa yang menarik, selain enak dimakan bersama nasi, ia juga sedap dimakan bersama roti. Saya telah mencubanya dengan roti telur. memang terangkat! Sambal ini dikacau hampir setengah hari dan agak kering, Insha Allah tahan lama dan jikalau bimbang skil nyahkuman belum cukup mahir lagi, bolehlah disimpan di dalam peti (Alamak, saya bergurau sahaja!). Seperti konsep makanan Abdullah FOODS, ini adalah makanan yang pantas dan sesuai dijadikan stok untuk pelbagai tujuan.

Hitam menawan, hitam manis!

Abdullah FOODS menawarkan kelas khusus untuk produk ini. 


Sekian,

Wassalam WBT



Thursday, 5 December 2013

Kacang Balut Abdullah FOODS

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Kacang Balut boleh saya kategorikan kerepek atau jajan orang Melayu. Rangup kerana berkacang dan di balut diluar pula. Setiap biji dihasilkan dengan penuh ketekunan supaya hasilnya cantik, sekata dan sudah semestinya enak dimakan. Warnanya sedikit putih dan keperangan. Rasanya pelbagai dan jikalau yang berperisa toffee, kata Mat Salleh, ianya seperti bunga api di dalam mulut kerana meriahnya lidah merasa.

Kerepek-kerepek juga, ramuannya semua mempunyai khasiat yang tersendiri. Biar sedap dan ada kebaikan menjamahnya. Sememangnya nikmat dan sesuai dengan tekak orang Malaysia. Kanak-kanak juga orang dewasa semua boleh menikmatinya. Setelah iklan Kelas Belajar Buat Kacang Balut, mesti kalian tertanya-tanya bagaimana rupanya kacang balut keluaran Abdullah FOODS? Jadi inilah rupanya Kacang Balut kami:


Kenapa perlu belajar buat Kacang Balut ini dengan kami?

Ini kerana, kacang balut ini mempunyai resepi, teknik balutan dan masakan yang khusus. Penyediaannya mudah namun 'tricky'. Jika tersalah langkah kacang balut kurang menjadi oleh itu usah penat-penat berfikir, daftar kelas dengan kami dan belajar tanpa rahsia. Kami mengamalkan konsep jimat masa yang praktikal dalam penyediaan makanan kering ini dan amat sesuai sekiranya peserta ingin mengembangkan produk ini.

Di bengkel, semua peserta akan belajar sehingga produk siap, tinggal bawa balik untuk makan sahaja. Bahan-bahan dan peralatan memasak akan disediakan Abdullah FOODS. Setiap sesi, kami menerima 5 hingga 6 orang pelajar sahaja kerana tidak mahu yang ketinggalan semasa sesi pengajaran. Jadi lebih mudah juga untuk pengajar fokus kepada peserta.

Oleh itu, bagi kalian yang berminat saya paparkan iklan di bawah dan boleh bertindak sebelum terlambat!
Masih ada kekosongan untuk pendaftaran kelas ini. 


Sekian,

Wassalam WBT.

Tuesday, 22 October 2013

Musim Hujan - Penghasilan Agar-agar Kering Dihentikan Seketika

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Kebelakangan ini asyik hujan setiap hari. Ya tak ya juga kerana kita sudahpun di penghujung September dan akan masuk ke bulan Oktober. Bagi saya dan penduduk setempat di Balik Pulau, memang kami kerap juga menerima hujan kerana faktor geografi kawasan ini berhadapan dengan laut dan berdekatan dengan bukit. Dalam daerah yang kecil, ada kampung yang hujan dan ada yang tidak. Dari Kampung A kita tempuhi hujan yang lebat dan sesampai di Kampung B kering-kontang walau jaraknya kadang-kadang tidak sampai satu kilometer.

Dipendekkan cerita, saya di sini memohon maaf kepada para pelanggan setia Abdullah FOODS yang menempah Agar-agar kering kami kerana tidak dapat menunaikan permintaan kalian buat masa sekarang. Saya sedang menanti kelahiran dan cuaca pon tidak menentu menghalang proses pengeringan agar-agar dengan baik. Insha Allah saya akan kembali memprosesnya setelah tamat berpantang di pertengahan November nanti. (Rasa bersalah yang teramat sangat terutama sekali kepada Cik Puan Biras tersayang di Kuala Lumpur: Maafkan saya ya..) Pun begitu, kami hanya akan memproses jenis agar-agar kering tertentu sahaja, kerana kami bercadang untuk menjadi pengedar kepada Agar-agar Kering Adamshoppe yang lebih berpengalaman dalam pemprosesan agar-agar kering ini. Diharapkan segalanya dipermudahkanNya.

Akan tetapi produk sejukbeku tetap dijual seperti biasa dan sesiapa yang berminat untuk mencuba rangkaian makanan sejukbeku kami seperti Chicken Chop dan Lamb Chop (pelbagai perisa dan sos) bolehlah menghubungi En.Hilmi 0129866819.

Sekian,

Dari Muslim untuk Muslim..


Wassalam WBT

Wednesday, 17 July 2013

Membajak Pahala

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum W.B.T

Hari ini 8 Ramadhan, pantasnya masa berlalu. Alhamdulillah untuk waktu yang tidak kita sia-siakan dan semoga Allah SWT memberkati dan meredhai masa yang telah kita lalui dan akan kita lalui. Berpuasa di hari kelapan, saya dan suami bersahur awal sedikit kerana makanan sudah ada. Tunggu dipanaskan sahaja. Kalau boleh saya tak mahu membazir makanan langsung di Bulan Rahmat dan Bulan Utama ini. Kalau ada juadah yang berlebihan dari berbuka semalam, saya simpan dalam peti kemudian panaskan semula pagi esoknya.

Sebenarnya kita tak tahu dimana letaknya keberkatan pada rezeki yang kita makan itu. Entah di butir nasi pertama yang kita suap ataupun yang terakhir; tidakpun di pertengahan. Ini kata-kata guru disiplin saya masa sekolah rendah dahulu. Saya masih ingat lagi hingga sekarang. Walaupun saya pernah digelar Majlis Perbandaran  Pulau Pinang kerana makanan yang orang lain tak mampu habiskan saya habiskan, saya tak kisah. Akan tetapi, seorang rakan seperjuangan semasa menuntut di salah sebuah universiti dahulu benar-benar menginsafkan saya kerana beliau lebih lagi hebat.

Beliau sangat merendah diri sehinggakan air kotak yang tidak habis diminum pun akan dihabiskan. Selalunya selesai majlis makan-makan atau jamuan kelas, makanan yang diambil dari hidangan jenis buffet jarang sekali dihabiskan. termasuklah minuman. Rakan saya ini akan berpindah dari meja ke meja untuk menghadap makanan dari satu pinggan ke satu pinggan yang lain hingga tinggal tulang! Orangnya kecil molek namun bukanlah dia kebuluran malah bukan dari kalangan orang susah pun. Keluarganya menetap di salah satu tanah rancangan FELDA di Johor. Orang kaya, silap haribulan anak jutawan! Lama juga masa saya ambil untuk menyedari tabiat beliau. Kenapa begitu sekali? Saya dengar dari mulutnya sendiri, kata ibunya jangan membazir rezeki, orang lain ada yang sampai tak makan berhari-hari. Cari keberkatan yang mungkin ada dalam makanan yang bersisa. Ayat yang mudah tapi begitu dalam penghayatannya.

Hebat kan? Begitu sekali beliau bertawakkal dan rendah hati hingga kami kawan-kawan yang selalu dengannya jadi malu alah. bercakap pasal keberkatan, benar kita tidak layak menilainya namun apa yang saya perhatikan, dalam hal pelajaran, memang beliau tersangatlah makan angin. Siap boleh tidur dalam kelas. Tetapi bila waktu solat tiba, beliau akan tergesa-gesa menggelabah nak pergi bersolat. Namun 'pointer' beliau seingat saya 4.0 dan bila ditanya prestasinya semasa di universiti terdahulu, jawapannya seingat saya tak pernah keluar dari kategori '1st-Class'. Mungkin sifat tawadduk beliau Allah SWT beri ganjaran begitu. Itu yang boleh dilihat; yang tak boleh dilihat, Wallahu 'alamu bissowab. Apa yang perlu, ialah cuba mencontohi sifat yang terpuji yang Tuhan paparkan kepada kita.

Menyentuh perihal solat, ini intipati tazkirah selepas solat sunat tarawikh malam ke-7, kata ustaz, jikalau solat kita tak jaga, perkara lain pun kita tak akan jaga. Sebab Solat 5 waktu itu tiang agama, kalau tiangnya tak ada habis runtuh semuanya, runtuh semua urusan yang lainnya. Jika kita jaga Solat 5 waktu, lebih mudah untuk kita tingkatkan diri dari Nafsu Ammarah kepada Nafsu Lawwamah. Nafsu Ammarah ni nafsu yang bersifat sinonim dengan sifat yang digemari syaitan manakala Nafsu Lawwamah nafsu yang sukakan kebaikan dan bencikan kejahatan, Jadi alang-alang kita sudahpun menjejakkan kaki ke dalam Madrasah Ramadhan yang mulia, marilah kita ambil kesempatan melakukan peningkatan diri bermula dari fasa yang pertama ini. Kata ustaz, masuk sahaja semester pertama dalam Madrasah Ramadhan, pecutan mesti dilakukan agar kita mudah-mudahan berjaya dengan cemerlang hingga ke semester ketiga. Apa itu fasa / semester dalam Madrasah Ramadhan ya?

Begini kawan-kawan, seperti yang Allah SWT janjikan, Permulaan Sepertiga Ramadhan adalah Rahmah, Pertengahan Sepertiga Ramadhan adalah Maghfirah atau Keampunan dan Pengakhiran Sepertiga Ramadhan adalah Bebas Dari Api Neraka. Oleh itu Sijil Madrasah Ramadhan ini penting sebagai bekal untuk menepis Nafsu Ammarah dan mengekalkan Nafsu Lawwamah bagi 11 bulan yang akan datang; sekiranya kita berusaha untuk dapatkan 'sijil' yang cemerlang, Insha Allah yang mendatang juga cemerlang, begitu juga sebaliknya. Disamping itu, tanggungjawab terhadap keluarga dan orang-orang sekeliling kita perlulah kita jagai jangan sampai terbiar. Ibadah ini mudah kata ustaz, niatkan kerana Allah pun sudah jadi ibadah. Tidak semestinya kita keluar rumah hendak membajak pahala. Menolong dan memudahkan urusan pasangan atau ahli keluarga di rumah pun boleh jadi bank pahala yang lumayan!

Sudah banyak saya berceloteh, tiba masa saya hendak menyambung siapkan Serunding Daging untuk dihantar ke kedai-kedai. Serunding ni siapa tak tahu, sambal segera, tahan lama, makan dengan roti boleh, dengan nasi panas-panas lagi lah! Siap menambah lagi. Agak-agak kesuntukan, keluarkan sikit, dah jadi lauk bersahur. Insha Allah, nanti saya kemaskinikan gambar yang dah cantik-cantik dipekkan. Hingga berjumpa lagi dalam Diari Masa yang lain. Mana tahu ada lagi yang ingin saya kongsikan sambil saya buat laporan apa kegiatan saya sehari-harian kepada anda semua. Semua yang baik dariNya yang terkhilaf adalah dari saya yang serba kekurangan.


Sekian,


Wassalam wbt

Ni Kuih Ape Ye Dik?

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Sedar tak sedar sudah seminggu kita berpuasa, kawan-kawan macam mana? Mesti masing-masing ada rencana baik untuk fasa kedua Ramadhan. Bulan-bulan puasa ni, buatkan kita mengenang nasib insan-insan yang kurang bernasib baik dari kita. Marilah kita bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang dan dengan bersyukur kita akan lebih gigih bekerja untuk berjaya dalam apa jua bidang yang kita usahakan. Moga kejayaan kita nanti jadi sumbangan untuk orang-orang yang memerlukan, Insha Allah.

Kawan-kawan, entri kali ini saya terus ke ceritanya saja boleh ya disebabkan kisahnya ringkas sahaja. Selalunya kalau hari panas memang saya akan keluar mengangkut talam-talam berisi agar-agar kering untuk dijemur. Memang makanan tradisi rumit sikit, tapi agar-agar kering ni Insha Allah boleh disiapkan sambil-sambil kita buat kerja lain walaupun ambil masa berhari-hari untuk kering dengan elok. Satu hari tu, kebetulan adik kepada jiran saya ada; sedang belek-belek kereta beliau. Beliau datang jenguk langsung bertanya apa namanya kuih yang saya buat ni (hari sebelumnya saya kirim sebekas suruh anak saudaranya bawa balik, tapi saya tak lekat label pun). Banyak dan berwarna-warni pula katanya.

Ini Agar-agar Kering; atau senang cakap 'Malay Candy' kata saya. Sempat juga beliau merisik-risik harga 'kuih' ini dan bertanya laman Facebook Abdullah FOODS. Adik ni, walaupun beliau panggil saya 'dik' tapi saya tahu beliau lagi muda, biasalah orang beradab memang begitu. Sejuk perut ibunya mengandung, rupa-rupanya lulusan Ijazah Perhutanan, tapi minat berniaga, baguslah muda-muda dah ada kecenderungan yang baik. Orang muda yang berjiwa besar patutlah nampak matang sahaja tapi kami tak bercakap lama memandangkan beliau nak balik kampung di Selatan tanahair.Saya doakan semoga adik tu berjaya dengan cita-cita murni beliau, Amiinn.

Nak tengok rupa 'Malay Candy'? Silakanlah, jangan malu jangan segan;

Inilah rupa Agar-agar Kering tradisi. Warna asasnya putih, kuning, merah, jingga dan hijau manakala rasanya manis.

Zaman berubah, agar-agar kering kemudian dimodenkan sedikit dengan gubahan warna campuran tetapi rasa aslinya masih dikekalkan.
Zaman beransur moden, usahawan makin kreatif, agar-agar kering ditempa dengan acuan. Ada juga yang ditekap dengan rasa dikekalkan atau ditambah perasa berlainan. Di Abdullah FOODS, kami menawarkan sembilan jenis perasa yang berlainan bagi agar-agar kering jenis ini yang diberi nama Flavourita 3D (ditempa) dan Flavourita 2D (ditekap).
Demi menawarkan pilihan yang lebih kontemporari, Abdullah FOODS memperkenalkan Flavourita Fusion; gabungan dua perasa dalam lapisan yang berlainan. Ada tujuh varian perasa dalam jenis ini, semuanya khas untuk anda hanya dari kami! 
Lagi pilihan agar-agar kering istimewa hanya dari Abdullah FOODS; siri PinkBlue Sakura Dreams Ltd. Ed.. Sangat sesuai dijadikan hantaran atau 'door-gift' kepada jemputan. Memang terangkat sebab cantik sangat, nak makan terasa sayang, tapi makan juga akhirnya sebab tak tahan.  

Kami tidak kekeringan idea di Abdullah FOODS kerana banyak kajian telah dilakukan. Maka hasilnya agar-agar kering berperisa buah-buahan iaitu Fruity Crush. Bentuknya lurus bendul tapi padat dengan pengisian buah-buahan. Jadi tak rugi mencubanya!

Baiklah, saya rasa maklumat tentang kuih yang menjadi persoalan pada sesetengah di luar sana telah saya kongsikan. Ramai yang tahu tapi ada juga yang tak tahu sebenarnya; terutama generasi muda di bandar-bandar ataupun bukan bandar. Di Abdullah FOODS, Insha Allah produk-produk akan sentiasa ditambahbaikkan demi kepuasan pelanggan. Jikalau ada yang berminat untuk menjadi pengedar, silalah hubungi saya ya!

Sekian sahaja dari saya, semoga dipanjangkan usia kita untuk kita bersua kembali, Insha Allah.

Wassalam wbt



Saturday, 13 July 2013

Ramadhan di Pantai Timur - Hari Kedua

Teks: Siti Nurulhusna binti Hashim

Assalamualaikum W.B.T

Bertemu lagi kita untuk menatap kisah saya berpuasa di Pantai Timur. Saya harap kalian kekalkan kesegaran dan stamina untuk kita jalani ibadah puasa di hari-hari mendatang dengan penuh pengisian. Entri kali ini saya cerita apa yang saya buat pada hari kedua Ramadhan di tempat suami.

Pada 2 Ramadhan, seawal jam empat pagi saya lihat ibu mertua sudah bangun menanak nasi dan memanaskan lauk yang dimasak semalam iaitu Sup Ketam. Aduhai, saya memang sukakan ketam, tetapi saya akan mengambil masa dua jam atau lebih untuk menghabiskan seekor ketam dengan kuah-kuahnya sekali (ini kalau banyak masa terluang). Apakan daya, saya hanya memandang ketam tersebut sambil memikirkan anak yang sedang tidur di atas katil berseorangan, saya menjamah lauk yang mudah dan cepat dimakan bimbang dia terjatuh dari katil. Selesai bersahur saya terus melakukan urusan saya denganNya sambil-sambil menunggu Azan Subuh. Sudah dijangka si kecil ini akan terjaga dengan mata terbuka dan merangkak hendak turun dari katil. Saya hulurkan botol ke mulut si anak dan matanya pejam kembali kemudian terjaga lagi sejurus mendengar Azan Subuh. Semangat betul si bulat ini tak mahu lelapkan mata. Kebetulan suami pun baru sahaja masuk ke bilik, jadi sempatlah kami bergilir bersolat sementara beliau dodoikan anak. Manja sungguh anak ini; tidur mahu rasa dipeluk-peluk.

Saya tanyakan pada suami jika tiada rancangan saya mahu ajak ke Terengganu menghantar Kerepek Tempe keluaran Abdullah FOODS yang dipesan adik saya. Beliau setuju untuk pergi selepas anak bangun dari tidur. Dipendekkan cerita saya bersiap untuk bertolak bersama-sama bekalan pakaian, makanan dan susu anak seperti biasa. Sungguh gembira Si Abdullah bila hendak naik kereta macam tahu-tahu sahaja kami menuju ke Terengganu; pertama kali buat dirinya. Kerepek Tempe memang sudah ada dalam kereta siap diletakkan di dalam kotak untuk penghantaran istimewa kepada pelanggan istimewa.

Tak sabar lagi dah Abdullah nak buat Kerepek Tempe Special Delivery!

Perjalanan memakan masa dua jam dan kami gunakan laluan pantai, bukan sahaja untuk mengambil angin tetapi juga menjimatkan masa kerana laluan pantai lebih dekat untuk ke Kuala Terengganu. Seronoklah anak saya (saya dengan suami pun seronok juga, bahkan terlebih seronok melihat gelagat si kecil pertama kali melihat pantai, entah apa yang di fikirannya kami pun tak tahu :D ). Kami singgah di Kedai Sukaramai membeli sedikit keropok lekor untuk adik dan selebihnya untuk dibawa pulang. Keropok lekor juga makanan yang sihat yang elok dijadikan stok makanan di rumah. Cadangannya hendak ke Bukit Tok Beng memburu keropok lekor yang saya dan suami sangat gemari, namun sudah tertulis bukan rezeki kami, kedainya tutup.
Pertama kali sedar kewujudan pantai. Suka tak, suka tak, suka tak? (tanya macam Chef Ammar TV Al-Hijrah)

Di sinilah tempat kejadian.
Keropok lekor Sukaramai
Sesampainya di rumah sewa adik, kami masuk untuk solat Zuhur dan berehat sebentar sementara menunggu untuk mandikan anak. Penting untuk kita wahai para sekalian pembaca memandikan anak terutamanya dalam cuaca yang agak panas untuk mengelakkan mereka daripada demam. Tetapi seeloknya tunggu sebentar untuk beri peluang menyejukkan badan sejurus turun dari kereta. Galakkan mereka minum banyak air masak untuk mencegah hidrasi atau kekeringan air. Sekiranya mampu, sediakan tuala lembap di dalam kereta, kerana penghawa dingin juga boleh mempercepatkan kehilangan air dari badan kita. (Ilmu ini saya belajar dalam Kursus Kecantikan).


Siap dimandikan (oleh Achik) yang kerinduan. 

Mengimbas kembali kenapa adik saya mahukan stok Kerepek Tempe ini; jawabnya bila disoal ialah kerana dia kesuntukkan masa untuk memasak. Jadi dia perlu sesuatu yang tahan lama dan mengenyangkan lagi cepat, sihat dan sedap. Alhamdulillah, tiada sokongan yang lebih penting melainkan dari keluarga sendiri. Saya bersyukur adik saya boleh memahami tujuan penubuhan Abdullah FOODS dan boleh mengambil faedah darinya juga. Dipesannya lebih untuk dihadiahkan kepada insan-insan yang banyak membantu kerja-kerja kajian Ijazah Sarjananya. Maka, misi penghantaran selesai dan dan kami menuju pulang ke rumah mertua. Dalam perjalanan pulang suami teringin hendak berbuka dengan Manisan Lompat Tikam, kebetulan ada deretan gerai sepanjang jalan menjual juadah dan kuih-muih berbuka, kami singgah dan buat keputusan untuk tidak ke Bazar Ramadhan untuk menjimatkan tenaga dan masa. Yang diperlukan sudahpun dijumpai, kami pulang membantu persediaan berbuka di rumah.

Kami akhiri hari kedua dengan amalan tarawikh seperti biasa tetapi malam ketiga tarawikh suami kerjakan di rumah sahaja dek penangan Abdullah yang giat bersukan. Hampir pengsan saya dibuatnya tetapi saya bersyukur suami bertolak ansur dengan menemani kami di rumah, Setelah berjaya menidurkan bayi aktif dan lasak ini, kami teruskan dengan perjumpaan denganNya demi mencari kemanisan hidup.

Apa aktiviti kalian Ramadhan kali ini, sudi-sudikanlah tinggalkan komen untuk saya ya! Hingga berjumpa lagi dalam siri Ramadhan di Pantai Timur- Hari Ketiga. Sekian,


Wassalam wbt





Friday, 12 July 2013

Ramadhan di Pantai Timur- Hari Pertama

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum W.B.T


Apa khabar semua pembaca? Bagaimana dengan awal Ramadhan kalian ya? Jikalau Bulan Sya'aban dipenuhi dengan kegiatan gotong-royong di masjid-masjid dan tanah-tanah perkuburan, masuk sahaja Bulan Ramadhan kegiatan makin rancak tak kiralah kegiatan masyarakat mahupun urusan persendirian. Di celah-celah amalan Sunat Tarawikh, Qiamullail, Majlis Berbuka dan Majlis Amal, tak kurang juga yang sibuk membeli-belah untuk bekalan sebulan berpuasa ini, ada yang balik kampung, ada yang baru siap ubahsuai rumah, ada yang baru selesai siapkan baju raya; pendek kata macam-macam senario yang dapat kita lihat di luar sana. Yang pastinya masing-masing inginkan yang terbaik untuk puasa tahun ini. Harapan saya semoga kalian jaga diri dan kesihatan supaya sebulan ini boleh kita penuhi dengan sesempurna mungkin. Insha Allah.

Apa pula kisah saya ya? Begini pula perkongsian tentang awal Ramadhan keluarga kecil saya untuk santapan pembaca yang dikasihi. Malam pertama Sunat Tarawikh saya dan suami selesaikan di Pulau Pinang; suami ke masjid, saya bertarawikh di rumah setelah suami pulang. Sehabis Tarawikh sedikit masa untuk kerja mengemas beg dilakukan oleh suami memandangkan baju-baju sudah siap dilipat kemudian keesokan paginya kami bersahur bergilir-gilir memandangkan si kecil masih lagi nyenyak tidur. Siap sahaja beg dan bakul anak dimasukkan ke dalam kereta, kami bertolak awal pagi 1 Ramadhan menuju ke Pantai Timur.

Baru sahaja kereta bergerak saya dapati bonet tidak boleh ditutup, suami berhentikan kereta dan saya turun selaraskan kunci bonet, Alhamdulillah boleh ditutup dan perjalanan diteruskan. Kami berhenti setelah mata terasa berat dan si kecil perlu dimandikan memandangkan kami bertolak tadi agak awal pagi dan hujan renyai-renyai, kasihan pula nak mandikan dia. Bonet tidak boleh dibuka! Alarm dan kunci dan tidak berfungsi, mujurlah ada beg kecil barang-barang dan baju si kecil, maka bolehlah saya mandikan anak dahulu. Kami teruskan perjalanan masuk sekejap ke Pekan Lunas sambil perhatikan di tepi-tepi jalan untuk mencari kedai baiki kereta. Setelah beberapa kedai ditanya nampaknya tidak ada yang boleh baiki, Kami buat keputusan teruskan perjalanan,  Alhamdulillah ada kedai baiki kereta dibuka dan kami terus bertanya kepada pemiliknya dan akhirnya, kunci bonet boleh dibaiki tanpa perlu ketuk kereta dan rosakkan lubang kunci bonet! (Saya rasa sangat-sangat bersyukur kerana sebelum itu beberapa mekanik sarankan kami pergi kedai ketuk untuk buka kunci :) ) Ini semua pertolongan dariNya, masa jimat, wang pun jimat kerana pemilik kedai terakhir yang kami jumpa itu sangat cekap dan upahnya sangat berpatutan. Ingin saya kongsikan, biarlah kita habis sedikit masa untuk membuat pertimbangan dan perkiraan, asalkan kita dapat penyelesaian yang terbaik dan tidak menimbulkan masalah yang baru.

Perjalanan diteruskan sambil-sambil itu saya mendodoikan anak dengan Burdah Ya Hanana, Nasyid Aa Ba Ta, Asmaullahil Husna dan juga Nasyid 25 Rasul yang digemarinya. Kalau anak lapar atau mahu susu, suami perlahankan kereta berhenti sekejap tak sampai 2 minit kami teruskan semula tetapi bukanlah disebabkan tergesa-gesa, ini kerana saya sudah siapkan bekal anak dalam pek yang kecil-kecil yang mudah dicapai dan hanya perlu ditambah air panas sahaja. Saya sediakan juga tuala kecil lembab untuk mengelap mulut anak (saya tidak guna tisu basah, kerana kulit si kecil saya ini agak sensitif). Bila berhenti untuk jangkamasa yang lebih panjang, saya atau suami akan basuh semua bekas makanan dan botol-botol susu dan masukkan air panas siap-siap dalam botol dan disimpan dalam beg tahan panas bersaiz kecil juga untuk tujuan mudah dicapai dan dikendali di ruangan sempit seperti di dalam kereta. Tambahan pula saya agak sukar bergerak dengan usia kandungan kini mencecah tujuh bulan. Manalah tahu anak mahu susu dan susah pula cari tempat berhenti. Saya juga sediakan pilihan makan yang mengenyangkan seperti biskut oat, biskut sayur-sayuran kek buah-buahan tidak ketinggalan beberapa jenis kerepek keluaran Abdullah FOODS seperti Kerepek Tempe, Serunding dan roti kosong.

Sementelahan kembara balik kampung kami di bulan puasa, jadi sebekas kecil kurma saya masukkan ke dalam bakul makanan. Makanan tidaklahlah terlalu berat tetapi Insha Allah amat sesuai dan bertepatan dengan perjalanan kami yang selalunya mengambil masa enam hingga tujuh jam. Kami juga akan mengisi semula botol-botol air dengan air paip dan air masak sebagai persediaan menukar lampin anak di saat-saat tandas sukar didapati. Beg plastik yang kecil-kecil akan menjadi tong sampah sementara saya, juga akan dibuang ke dalam tong sampah sekiranya kami berhenti di mana-mana. Semua ini persediaan ringkas yang kami amalkan sekiranya hendak berkelana kerana kami pernah tersangkut berjam-jam hingga awal pagi  di beberapa kilometer selepas hentian Titiwangsa dek kerana lori kontena terbalik merentangi jalan. Mujurlah anak masih menyusu badan pada ketika itu namun dari sebonet durian Balik Pulau ole-ole untuk keluarga mertua terpaksa kami 'kendurikan' sebiji-dua kerana kelaparan.

Hujan renyai-renyai bila kami sampai di kawasan Jeli. Saya senantiasa ingatkan suami supaya patuhi had laju maklumlah keretapun baru sahaja diservis dengan minyak enjin berkualiti. Memang selesa memandu hingga tak sedar rupa-rupanya semakin memecut. Malang sebenarnya tidak berbau terutamanya disaat hati kita semakin melonjak-lonjak ingin bertemu orang tua tercinta. Kami singgah di Bukit Bunga untuk membeli buah pauh yang dipesan adik ipar dan meneruskan perjalanan. Alhamdulillah kami selamat sampai ke destinasi petang itu dan sempat menikmati juadah berbuka yang pertama. Ada Ayam Percik, Sup Daging, Onde-onde, Butir Nangka, Daging Goreng Kunyit dan lain-lain lagi, Semuanya ibu mertua saya beli di kantin sekolah kecuali Sup Daging memandangkan beliau selalu sampai di rumah jam 4 petang. Hendak singgah di Bazar Ramadhan, badan pun sudah keletihan. Terdetik kesal di hati kecil saya kerana tidak bawa pulang produk sejuk-beku Abdullah FOODS untuk menjimatkan masa dan tenaga beliau di dapur setelah pulang dari sekolah. Maafkan saya ye Ummi, Insha Allah lain kali saya bawa balik produk Abdullah FOODS untuk membantu Ummi.

Malam itu suami dan ahli keluarga yang lain ke masjid untuk bertarawikh dan saya menunggu giliran menunaikan tarawikh di rumah setelah suami pulang. Akhir kata, saya yakin para pembaca masing-masing mempunyai cara tersendiri menyiapkan bekalan untuk perjalanan yang jauh tetapi sudi-sudikanlah mencuba gaya penjimatan masa dan wang cara saya yang saya yakini lebih sihat kerana tidak melibatkan jajan dan makanan segera yang ber'MSG'. Jika mahu mencuba rangkaian makanan dari Abdullah FOODS? Sudi-sudikanlah ke pautan Facebook yang saya sediakan ataupun tuan-tuan dan puan-puan bolehlah membuat tempahan disini.


Sekian, hingga bertemu dalam entri berikutnya, Awal Puasa di Pantai Timur - Hari Kedua.


Wassalam