Tuesday, 3 December 2013

Sup Bebola dan Beef Patty Jimat Masa

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Sudah lama rasanya saya tidak tampilkan tips-tips untuk menjimatkan masa. Jadi seperti kebiasaan, masa yang terluang sekejap ini saya manfaatkan untuk perkongsian di internet. Minggu ini agak meriah dengan Abdullah dan Lina yang masing-masing sudah pandai berperang merebut duduk di atas riba mahupun dipeluk Ummi. Abi yang ada pun mereka tidak mahu juga; Ummi pilihan nombor satu, jadi Abi usah berkecil hati.

Siaran televisyen yang pasti saya akan tonton jika berkelapangan ialah Man Versus Foods yang acapkali menampilkan burger-burger dan 'sandwich' yang ekstrim dengan pelbagai jenis kepingan daging segar diproses dengan pelbagai cara. Memanglah kecur liur dibuatnya kecualilah yang dipaparkan itu daging terlarang. Alhamdulillah di Malaysia, kita sudah punya pilihan untuk menikmati daging segar yang diproses menjadi 'patty' selain daripada menggoreng 'daging' burger yang rasanya tidak seperti daging itu.

Sebenarnya, saya lebih gemarkan burger 'berperisa' ayam kerana lidah dan tekak saya tidak boleh menerima burger 'daging'. Kenapa? Mungkin rasa itu disalahtafsirkan kerana terlampau banyak lemak daripada daging di dalam campurannya. Bukan tidak teringin, tetapi saya pendamkan sahaja kerana ia pasti akan keluar semula jika dimakan. Membazir.

Dua hari yang lalu saya keluar dengan Abdullah ke pasar sementara Abi berehat setelah keletihan operasi larut malam sambil temankan Lina tidur. Alhamdulillah, kami pulang dengan daging segar tempatan dan memang hasrat saya untuk buatkan bebola daging untuk Abdullah disamping simpan sedikit untuk daging burger saya. Maafkan saya, bukan hendak mengada-ngada memilih daging segar yang harganya agak tinggi berbanding daging kotak, tetapi bagi sesiapa yang tidak tahan bau dan rasa daging yang kuat, sebenarnya daging lembu tempatan adalah pilihan yang terbaik.

Jika untuk masakan yang banyak rempah dan lama tempoh masaknya, penggunaan daging kotak adalah amat bersesuaian. Saya telah cuba merasa 'beef patty' yang diproses daripada sumber daging kotak dan walaupun dagingnya boleh dikatakan majoriti daripada bahan yang lain, citarasa saya tetap menolaknya. Orang macam saya ini, lebih baik sediakan sendiri. Sebenarnya, menyediakan 'beef patty' tidak perlukan masa yang lama.

Jika tuan-tuan dan puan-puan mempunyai pemproses makanan, ianya amat membantu menjimatkan masa kerana daging segar ini perlu dipotong senipis mungkin untuk mengelakkan urat-uratnya melilit di sekeliling pisau blender biasa. Urat-urat daging ini boleh menyebabkan blender rosak malahan boleh mendatangkan renjatan elektrik kerana pisau di dalam blender tersangkut dan tidak boleh bergerak tetapi motor blender di bawah kuat berputar. Ianya amat berbahaya.

Perlu diingatkan, kepingan daging yang dipotong nipis itu hendaklah dicuci dan dibasuh sebersihnya sambil berselawat untuk mengeluarkan darah dan bau hanyir daging. Makanan suci juga membentuk hati yang suci, Insha Allah. Kemudian daging ini ditoskan supaya tidak berair setelah hancur nanti. Saya masukkan juga sedikit garam, bawang putih dan lada hitam untuk mempertingkatkan rasanya. Kemudian, bawang merah yang diracik halus digaul sehingga rata dan siap untuk pelbagai jenis masakan. Mudah bukan?

Sebenarnya, sementara menyediakan daging hancur, saya telah panaskan air hingga menggelegak dengan sedikit hirisan halia dan sayur-sayuran seperti lobak merah dan bunga kubis. Apabila air sudah cukup panas, saya masukkan bebola daging dan tunggu hingga terapung yang menandakan ianya sudahpun masak. Pucuk jagung dan lain-lain sayuran hijau juga sesuai dimasukkan ke dalam sup ini. Semua hidangan tengahari ini siap dalam tempoh 30 minit (Sup Bebola Daging, Nasi Putih, Ayam Goreng, Telur Dadar dan Milo Ais).

Apabila kita sudah mempunyai asas daging hancur di dalam peti sejuk ini, bukan sahaja Sup Bebola daging boleh disiapkan dalam tempoh 15 hingga 30minit, namun Spagetti Meatball, Burger Bakar buatan rumah pastinya lebih mudah kita hasilkan. Ternyata sangat menjimatkan masa. 2 per 3 daging ialah untuk sup hari ini dan selebihnya saya bentukkan seperti daging burger dan dibekukan di dalam peti. Jika hendak buat sup bebola di kemudian hari, tidak ada masalah, sekeping 'beef patty' boleh menghasilkan empat hingga lima biji bebola daging.
Maaf, ini sahaja yang tinggal dalam periuk untuk sesi bergammbar!

Beef Patty ini untuk disejuk-bekukan

Jika hendak makan burger daging, boleh terus bakar sahaja kepingan ini sehingga masak. Teringin melihat burger cheese lava, mudah sahaja, letakkan kepingan keju pilihan anda di antara dua keping daging, kemudian kelimkan bahagian tepi dan bakar hingga masak. Yang diperlukan ialah bersabar dan berhati-hati sebelum makan walaupun aromanya membuatkan anda hendak menerkam burger tersebut. kerana lelehan cheese ini pasti membuatkan lidah dan mulut anda melecur.

Akhir kata, makanan yang enak dan segar tidak semestinya mengambil masa yang lama untuk disediakan. Kalau Chef Jamie Oliver pun boleh memasak dalam tempoh 15 minit, kita juga mesti boleh!

Sekian.

Wassalam WBT

p/s: kalau malas, tempah sahaja dari Abdullah FOODS kan senang!

No comments:

Post a Comment