Friday, 3 January 2014

Aneka Salad Kegemaran Kami

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Hati berbunga-bunga kerana petang tadi sempat keluar belikan saguhati untuk peserta kelas belajar produk Abdullah FOODS. Saguhati biasa-biasa sahaja tetapi diharapkan dapat menyemarakkan semangat peserta ketika menimba ilmu nanti. Kedua-dua anak kecil sudah lena, seorang di pangkuan dan seorang lagi di dalam buai, manakala Abi sedang menyiapkan stok Chicken Chop Frozen di dalam kedai.

Seperti yang saya janjikan, saya ingin kongsikan serba sedikit mengenai salad orang kita atau lebih mesra dengan panggilan kerabu. Kerabu ini makanan kegemaran emak saya dan saya ketika tahun tiga universiti, Sewaktu itu timbul rasa ingin amalkan pemakanan yang sihat dan lidah gemarkan sayur-sayuran berbanding makanan yang berat-berat.

Saya sentiasa teruja jikalau emak ingin membuat kerabu kerana bagi saya gabungan rasa ulam-ulaman dan sayur-sayuran yang digunakan kena dan bersesuaian malah menghasilkan rasa yang autentik! Wah! Oleh kerana emak berasal dari Kedah dan berdarah Kelantan, kerabu mangga menjadi kesukaan emak. Tidak ketinggalan kerabu taugeh emak yang mengancam dengan jumlah udang dan kerang yang membuatkan saya boleh meratah hidangan sampingan sepinggan penuh tanpa perlu menjamah nasi.

Untuk kerabu mangga, emak selalu akan siapkan dahulu sambal belacan, kemudian emak akan tumbuk bersama sedikit kelapa berkulit coklat muda yang diparut, udang masin dan kemudian digaul dengan mangga muda dan bunga kantan yang dirincik halus. Mudah bukan?

Bagi kerabu taugeh, seperti biasa, sambal akan disiapkan terlebih dahulu kemudian emak akan mencelur atau melayukan taugeh dalam periuk panas kemudian digaul bersama halia, kucai, daun selom, daun kesum, sedikit cili yang dirincik halus dan dimasukkan kerang dan udang yang direbus.

Ayah pula penggemar buah nenas; semasa bulan puasa tahun lepas sempat saya buatkan ayah kerabu nenas. Memang mudah dan sekejap sahaja masa diambil. Nenas dibuang empulurnya dan dipotong segitiga mengikut ketebalan yang diingini, kemudian digaul bersama daun selom, cili merah yang dipotong halus dan kelapa muda parut yang disangai manja untuk keringkan airnya sahaja. Untuk perasanya, saya gunakan sedikit sos cili, gula, garam dan cuka, digaul rata dan siap untuk dihidang.

Antara kerabu yang menjadi kegilaan saya semasa belajar dahulu ialah kerabu taugeh; tiba-tiba kecur liur jadinya. Pun mudah juga untuk disediakan. Ikan cerut dilumur garam dan dibakar, dibuang tulang kemudian dihancurkan sedikit. Taugeh, bawang merah, sedikit halia dan bawang besar dikeringkan airnya di atas api kemudian disatukan di dalam mangkuk. Di dalam mangkuk yang berasingan, satukan sedikit gula, garam dan cuka kemudian digaul rata bersama bahan tadi. Akhir sekali tuangkan pati santan yang dipanaskan secukupnya. Gaul rata. Memang saya bolot seorang kerana suami tersayang ini tidak makan sayuran dan ulaman.

Saya selalu yakinkan emak bahawa menggunakan santan adalah lebih baik dari menggunakan susu. Bagi saya, santan lebih menyihatkan kerana ianya lelemak berasaskan tumbuhan yang mudah diurai berbanding susu yang berpunca daripada lelemak haiwan. Maaf, sesetengah fakta mungkin bercanggah dengan teori yang saya faham dan saya tidak mudah percaya dengan teori dari 'sana'.

Bahan-bahan yang saya tampilkan adalah ringkas dan Insha Allah dapat menambah mata hidangan sambil-sambil menjimatkan masa di dapur malahan boleh juga mengurangkan kos. Sesekali santap hidangan ringkas pasti membuatkan suami dan anak-anak tidak jemu. Wallahu'alam.

Sekian,

Wassalam WBT

=========================================

Anda mungkin seorang guru, seorang peniaga pasar malam, seorang jurutera, seorang pengurus rumahtangga atau mungkin seorang Ustaz. Siapapun anda, kongsikan wadah dengan khalayak yang dahagakan ilmu melalui blog. Makin ramai buat, makin meriah perkongsian di alam maya, semoga ilmu yang bermanfaat walaupun secebis kita kongsikan di sini dapat membuatkan pahala mengalir berterusan ke dalam liang lahad kita.

Saya tahu caranya, silakan anda bersama saya belajar dari Akademi Bekerja di Rumah sambil berfacebook! PM saya Snh Nurulhusna untuk pencerahan. Insha Allah.

2 comments:

  1. Wahhh...baca pun boleh terbayang-bayang bermacam-macam kerabu. Kalau ada gambar mahunya saya terkam screen ni. :)

    ReplyDelete
  2. nyeh2..saya akan usahakan gambarnya insha Allah Maria :)

    ReplyDelete