Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Bismillah
Assalamualaikum WBT
Apa khabar semua pembaca? Maafkan saya kerana lama tidak bersua. Hampir seminggu 'berkangkung-kangkungan' di mukabuku, kami sekeluarga demam selsema dan Alhamdulillah semakin sembuh. Lapang sedikit riba dan komputer riba ini kerana Abdullah sedang tidur. Senyum kambing. Kasihan anak-anak, pasti badan sengal-sengal kerana selsema; jadi dua0dua hendak bertenggek dan dipeluk dari sedar hingga lena semula.
Balik ke tujuan mengambil peluang isu semasa yang sedang panas dengan kata kuncinya KANGKUNG, saya teringat Sotong Kangkung yang dimasak oleh ayah. Ayah memang penggemar sotong kering. Kalau tidak dijadikan sambal sotong, beliau akan hasilkan juadah sotong kangkung.
Ala-ala pecal cuma juadah ini; yang paling ringkas terdiri daripada sotong kering dan kangkung yang dicelur kemudian dimakan dengan kuah sambal yang ditabur kacang goreng kisar. Lagi sedap jika ada kacang panjang yang dicelur dan kalau rajin bolehlah letakkan telur rebus barang separuh.
Kuah kacangnya lebih kurang kuah sate tetapi ayah buatkan masam sedikit tanpa kacang supaya kena dengan rasa sotong dan kangkungnya. Alasan kacang tidak dicampur sekali ke dalam kuah ialah supaya kacang tersebut masih rangup dan seronok waktu mengunyah nanti. Tambahan pula jika ditabur di atas kuah yang merah itu, kacang yang sedikit keperangan, sotong coklat keunguan, sayuran yang hijau menjadikan penampilan juadah tambah menarik.
Maafkan saya kerana gambarnya tiada kerana ini hanya penceritaan pengalaman. Insha Allah, jika ayah buatkan Sotong Kangkung nanti saya akan 'tempek'kan rupanya di sini. Sambil tulis sambil kecur air liur sambil hirup ais kacang dengan Abdullah menenggek di riba. (Sekejap sahaja tidurnya; Alhamdulillah siap juga entri ini dengan mengambil masa 8 hari untuk siap; penangan kangkung agaknya! Gurau sahaja, jangan marah ya!)
Sekian,
Wassalam.
No comments:
Post a Comment