Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Bismillah
Assalamualaikum WBT
Hampir empat minggu berlalu sewaktu itu saya sengaja mengambil kesempatan meronda dan singgah di kedai-kedai yang menjual makanan pagi dalam daerah Balik Pulau. Tujuan saya ke kedai-kedai berasingan ialah untuk membeli makanan yang berlainan jenis yang saya sekeluarga gemari.
Baiklah, entri ini akan lebih kepada laporan tidak rasmi tentang tinjauan yang telah saya lakukan. Tertinjau sebenarnya. Senyum kambing. Saya dapati Alhamdulillah kuih-muih yang dijual dengan pelbagai pilihan, namun saya agak kecewa kerana di atas meja yang menempatkan makanan siap berbungkus tersebut majoritinya ialah nasi lemak dengan lauk yang biasa kita temui; 'B' untuk ikan bilis, 'BT' untuk ikan bilis dan telur, 'T' untuk telur. 'GU' untuk gulai udang dan 'IM' untuk ikan masin. Kadang-kadang muncul juga lauk seperti sardin dan ikan. Selain itu terdapat juga bihun dan mi goreng, dan terselit di situ ialah nasi tomato, nasi lemuni dan pulut inti. Ini situasi di Gerai A. Tangan saya mencapai nasi lemuni yang berbaki dua bungkus itu.
Langsung saya ke Gerai B yang berdekatan yang menjual roti canai. Baiklah, roti planta istimewa di sini memang sedap. Ada kuih-muih tetapi sedikit berbeza dari Gerai A. Kek kukus coklat memang menarik perhatian saya, tahan hingga ke malam kek jenis ini. Kemudian saya ke Gerai C yang menawarkan pilihan kuih yang lebih banyak, sesuai dengan lokasinya di tengah-tengah pekan. Insha Allah jika ada rezeki, memang saya tidak akan terlepas peluang membeli Kuih Dangai yang enak itu. Kuih kegemaran saya sejak sekolah rendah hingga sekarang.
Cukuplah makanan dibeli pagi itu untuk kami tiga beranak makan. "Besok pula", kata saya di dalam hati. Udara pagi hari Sabtu dan Ahad memang nikmat bagi saya. Kenderaan kurang di jalanraya, persekitaran nampak tenang sahaja dengan angin yang bertiup ala-ala penghawa dingin. Sungguh bersih rasanya. Sambil menikmati makanan pagi yang dibeli sambil saya teringatkan Gerai D yang baru dibuka. Gerai inilah akan menjadi tempat saya membeli makanan pagi jika tidak memasak dan pada hari-hari suami saya bekerja. Menarik, kerana kakak ini menjual Donat yang sangat gebu, Samosa dan Kuih Pau.
Keesokan harinya, Abdullah bangun awal dan saya ambil peluang bawa Abdullah bersiar-siar. Hajat di hati hendak meninjau gerai-gerai lain pula. Boleh dikatakan pilihan utama makanan pagi ialah seperti yang tertulis dalam perenggan kedua tadi. Ronda dan ronda, sampailah ke kampung kelahiran saya. Jaraknya.tidaklah jauh sebenarnya, cuma lima hingga enam kilometer sahaja dari rumah sewa kami! Di sini saya dapatkan Tepung Bungkus kegemaran emak dan ayah dan Kuih Seri Puteri atau Kuih Puteri Ayu kegemaran saya. Saya panggil 'kuih hijau dengan nyok kat atas' dahulukala sewaktu meminta ayah belikan buat bekal ke sekolah.
Sesampainya saya di gerai ini. Mulut saya ringan sahaja bertanyakan kakak pemilik gerai yang comel dan bersih wajahnya itu, "Kak, kalau saya nak letak spageti dan nasi dagang macam mana ya?". Kakak tersebut terus katakan boleh kerana memang sarapan di sini tidak banyak pilihan. Nasi Dagang ada yang mencari, Spageti belum lagi katanya, namun boleh dicuba.
Maka bermulalah episod Abdullah FOODS menghantar jualan makanan pagi dengan pilihan Spageti Bolognese Ayam. Hari pertama bermula dengan dua gerai. dan kekal dua gerai dalam seminggu. Masih dalam fasa memperkenalkan makanan ala barat ini sebagai sarapan kepada penduduk di Balik Pulau di samping mempelbagaikan pilihan yang ada. Ramai yang terkejut tetapi gembira, sedikit yang curiga dengan harganya RM 1.50 sekotak. Sedapkah? Banyakkah? Boleh kenyangkah?
Alhamdulillah`kini Spageti Bolognese atau Carbonara dan Nasi Dagang boleh diperoleh di gerai-gerai dan kedai makan pagi di sekitar Balik Pulau Insha Allah 7 hari seminggu.
Jumpa lagi di lain masa dengan beberapa perkara yang saya ingin kongsikan tentang Bisnes Makan Pagi ini. Jikalau kalian ingin melakukan kajian sendiri dan perlu buku rujukan (bunyi macam nak 'exam' kan? ewah!), kalian bolehlah mendapatkan e-book 101 Idea Home Based Bisnes dari saya, Snh Nurulhusna di mukabuku.
Sekian
Wassalam WBT

No comments:
Post a Comment