Sunday, 14 July 2013

Ramadhan di Pantai Timur - Hari Ketiga

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum W.B.T


Marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran dengan Izin dan Limpah KurniaNya dapat kita bersua lagi dalam cerita saya berpuasa di Pantai Timur yang telah masuk hari ketiga. Saya mengajak kawan-kawan bersama saya hayati kata-kata di bawah dari Imam Ghazali:

(Sumber: Facebook)

Di kesempatan kita berada dalam bulan 'Yang Lebih Baik Dari Seribu Bulan' ini, tidak rugi rasanya jika kita lakukan Solat Sunat Taubat memohon maghfirah dan keampunan dari dosa-dosa kecil mahupun besar yang telah kita lakukan. Waktu sahur kadang-kadang bersisa sementara menunggu Azan Subuh kan, makanya jom berusaha!

Kawan-kawan, hari ketiga berpuasa saya di rumah mertua tidak kemana-mana dari awal pagi kemudian menerima kunjungan dari ibu saudara membawa jemputan Walimah anak dan adik lelaki beliau. Kira kenduri dua mempelai serentaklah ni (khabarnya Insha Allah akan berlangsung tiga hari tiga malam, Subhanallah dahsyatnya!) Tahun ini giliran beraya Aidil Fitri di sebelah keluarga saya memandangan suami bertugas, kalau sempat Insha Allah kami pasti pulang dengan paling kurang Agar-agar Kering pelbagai varian keluaran Abdullah FOODS. Ada lagi ya zaman sekarang kenduri tiga hari tiga malam; saya belum pernah rasa pengalaman kenduri meriah-meriah begini. Teruja pon ada hati ni.

Sejurus ibu saudara beransur pulang, suami mengajak keluar ke bandar; nak cari hadiah buat orang baru katanya. Ibu saudara yang baru datang 'memanggil' tadi sebenarnya baru terima cucu kedua, jadi kami buat keputusan pergi melawat 'baby' sekejap lepas itu terus ke Bazar Ramadhan disebabkan suami teringin Ayam Golek, saya pula teringin Murtabak (teringin Murtabak Raja tapi bagitahu suami murtabak biasa sebab segan nak susahkan dia), Onde-onde dengan kuih Akok. Selalunya kejadian teringin macam-macam ni mak saya panggil 'Hawa puasa' kependekkan dari hawa-nafsu-di-bulan-puasa gamaknya!

Makanya dapatlah segerombolan beg plastik makanan (kecuali Akok) suami saya borong untuk bawa balik berbuka. Saya tunggu dalam kereta kerana cuaca masih terik di luar, kesian pula anak kami berpanas-panas nanti (taktik orang mengandung yang tak larat turun kereta). Dengar macam banyak sangat makanan, tapi tak mengapa disebabkan abang ipar dan biras dalam penerbangan pulang dan Insha Allah sempat berbuka bersama. Alhamdulillah, syukur dengan nikmat pemberianNya walaupun sudah tiga hari tak dapat kuih Akok, nantikan cerita saya keesokan harinya pula bagaimana ya.

Saya rasa setakat ini cerita yang menarik untuk hari ketiga Ramadhan di Pantai Timur, jumpa lagi ya dalam Ramadhan di Pantai Timur- Hari Keempat


Sekian dari saya yang kepingin kuih Akok, Ma'as Salamah wa Ilal Liqa'


Wassalam wbt

No comments:

Post a Comment