Wednesday, 20 November 2013

Kapal Terbang Kertas dari Abi- Bahagian I

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Apa khabar sekalian pembaca? Pagi ini dua-dua orang bayi bangun awal hantar Abi pergi kerja. Alang-alang sudah terjaga, saya terus mandikan dan suapkan makan kenyang-kenyang budak berdua itu dan si adik terus kenyang dan lena kembali; tunggu si abang sahaja main lontar-lontar bola ke sana-sini. Ummi jadi 'caddy' mengutip bola dan beri pada abang untuk dilontar berulang kali. Sambil-sambil itu asyik ulang tayang lagu Raihan 25 Rasul (abang Abdullah minat betul nasyid ini kerana video klipnya dalam bentuk karikatur). Seminggu ini asyik berebut laptop dengannya, pantang tengok saya pegang sahaja dia terus buat isyarat hendak menonton video klip ini. Jangan ditanya berapa kali saya klik butang 'Replay' untuk Abdullah kerana saya juga yang silap, kenapa tidak di'download' sahaja  video klip itu. 

Tadi Abi belikan kuih tiga bentuk beserta roti canai untuk Abdullah dan Ummi. Jumlah bentuk baru belajar hari ini ialah empat iaitu: Samosa (Segitiga), Cucur Badak (Bulat), Karipap (Ummi tidak tahu hendak cakap bentuk apa jadi cuma bagitahu Abdullah "Ini bentuk Bujur") dan Roti Canai Planta (Segiempat). Biasalah budak-budak baru yang sedang meneroka kebolehan makan dengan sendiri, habis kuih dipenyek-penyek, sekejap kuih dikeluarkan letak atas roti canai, sekejap dimasukkan semula ke dalam plastik, sekejap makan tangan kanan, sekejap makan tangan kiri, jenuh juga asyik betulkan tangan dia. Syukur Alhamdulillah sempat mengisi perut di awal pagi, Ini penting bagi saya kerana jikalau perut kosong, emosi cepat berubah dan saya tidak mahu marah-marah anak yang tidak tahu apa-apa ini.

Selesai makan sebotol lagi susu diminum, main-main sekejap kemudian jam 10.30 pagi lenalah anakanda bertuah yang seorang ini. Ummi ambil peluang tidur sekejap disebabkan mata terasa berat. Syukur dapat juga lelapkan mata dalam tempoh lebih kurang sejam kerana adik asyik terjaga hendak menyusu. Hati gembira hari ini kerana cadangnya hendak pergi ke Batu Maung melihat kapal terbang. Sengaja hendak beri Abdullah menyaksikan kapal terbang berlepas dan mendarat. Dahulu sewaktu kami kecil, emak dan ayah selalu juga bawa pergi meronda petang-petang tengok kapal terbang. Jadi ini seperti acara rasmi keluarga Abang Hashimlah. 

Waktu makan tengah hari Abi pulang sebentar untuk makan dan solat Zuhur tetapi hari ini lewat sedikit kerana ada rakan sekerja beliau hendak beli Chicken Chop Frozen ikut pulang sekali. Berborak sebentar sedar-sedar sudah hampir jam 1.00 petang barulah Abi berpeluang masuk ke dalam rumah. Bergilir tengokkan anak sementara saya solat dan bersihkan badan. Saya sangat beruntung kerana tempat kerja suami hanya dua minit dari rumah sewa kami jadi pada waktu-waktu kritikal seperti waktu Zuhur dan Magrib boleh saya bergilir-gilir dengannya. 

Waktu seperti ini jugalah Dina dan gengnya akan masuk bermain 'kuntau-kuntau' dengan Abdullah. Saya layankan tetapi sekejap sahaja kerana adik kecil mengamuk tidak tahan jeritan bernada tinggi. Kami tiga beranak tidak termasuk Abi bertelinga lintah, pantang bunyi sedikit pasti terjaga dari lena. Adik tidur kembali dan saya sambung temankan abangnya bermain. Tiba-tiba hujan turun dengan lebat sekali, patutlah bahang kepanasannya terasa benar hari ini. 

Punahlah harapan hendak pergi tengok kapal terbang. Untuk tidak  mengecewakan Abdullah, (Persoalannya, Abdullah yang kecewa atau Ummi? Gelak lagi.) Abi buatkan kapal terbang kertas! Kali terakhir saya buat origami kapal terbang ini ialah sewaktu emak mengasuh Hakimi, anak seorang ahli keluarga dari sebelah ayah. Puas Abi cuba buat, jadi yang biasa sahaja. Kedua-dua orang kami cuba buat lagi dan cuba hendak buatkan kapal terbang kertas jenis yang lebih lebar. 

Kata Abi jenis yang dia biasa buat itu namanya Kapal Terbang Bulat. Rasa-rasanya, kali terakhir suami saya buat kapal terbang kertas ini mungkin di zaman sekolah menengah beliau barangkali! Gelak besar yang tidak lebih tiga harakat sekejap. Geli hati sungguh, namun terbit perasaan kasihan melihat Abi begitu gigih mencuba itu dan ini, sekejap senget ke kiri, sekejap ke kanan, sekejap pusing depan alih-alih pergi layankan anak bermain bola kemudian kembali meneruskan usaha membuat kapal terbang bulat sambil terbangkan kapal terbang yang satu lagi dan kutip semula.

Kesudahannya Abi terpaksa buat rampasan seketika dari Abdullah yang mahu lagu 25 Rasul itu bermain di laptop bertali arus tanpa henti. Tengok Youtube-lah senang kata beliau. Sedar tidak sedar, Maghrib semakin hampir, Abi bersiap ke masjid dan sekembalinya dari Solat Magrib, saya cuba buat pula kapal terbang tersebut, namun kertas sudah lunyai dan Abdullah pun sudah lena keletihan. Tiga beranak ini kemudiannya lena hingga jam 9.30 malam. Tinggallah saya keseorangan menaip di bawah cahaya dari televisyen.

Alamak, si Abdullah sudah bangun! Insha Allah akan bersambung dalam Kapal Terbang Kertas dari Abi- Bahagian II.
Sekadar hiasan ehsan Google Image. Yang Abi bina sudah direnyuk Abdullah.


Sekian buat kali ini.

Wassalam WBT.

-----------------------------------------------<@

Buat lontaran pendapat dengan kami di:
Kelas Asas Blog dan Penulisan

atau mantapkan perniagaan anda di:
Kelas Asas Blog dan Fanpage
Kelas Belajar Beriklan di mudah.my

atau hasilkan karya kreatif anda di:
Pra-pendaftaran Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif (Kelas bermula Disember 2013)

Mari kembangkan idea anda dengan berkongsi di laman blog profesional milik anda sendiri. Coaching personal oleh guru-guru hebat di bawah pengasas Akademi Bekerja di Rumah.

PAKEJ KELAS ASAS BLOG BULAN NOVEMBER
Harga pakej sebenar RM155 (ebook) + RM130 (yuran kelas)= RM 285

Untuk PROMOSI November RM200 sahaja!


No comments:

Post a Comment