Assalamualaikum WBT
Alhamdulillah selesai sudah cabaran berpantang 44 hari, tinggal lagi cabaran 66 hari berpantang ala masyarakat Pantai Timur. Hari ini hujan dan perut pula sedikit meragam mungkin terkejut dengan menu yang sedikit berubah, jadi masih tidak kemana-mana.
Sambil-sambil membelek akaun facebook, sedar tidak sedar hampir lima puluh laman 'fanpage' kedai maya milik kawan-kawan yang sudah saya 'Like'. Insha Allah saya akan klik sahaja butang 'Like" jika dijemput dengan niat meraikan perniagaan yang baru ditubuhkan. Macam-macam yang diniagakan, tudung, agar-agar kering, coklat, produk jualan langsung, jamu, makanan, air minuman, buku, telekung, barangan bayi; kalau hendak disenaraikan boleh penuh entri ini dengan jenis-jenis perniagaan pula. Gelak sekejap.
Jauh di dasar hati, saya amat kagum dengan pertumbuhan perniagaan tidak mengira jenis apa pun di muka buku. Yang lebih mengagumkan seorang rakan sekolah lama saya yang baru sahaja pulang dari negara matahari terbit bersama ijazah kedoktoran juga dalam proses melancarkan rangkaian pakaian muslimah melalui internet! Walaupun saya masih mentah dalam arena bisnes online, saya merasakan kebenaran dan bersetuju disebalik sebuah perniagaan letaknya erti sembilan per sepuluh. Bagi individu yang berfikiran positif, sudah tentu sabda Nabi SAW ini membawa pengertian yang lebih besar dan lebih mendalam seumpama bersyukur dengan gelas yang separuh penuh.
Peniaga yang faham keperluan menjadi peniaga, bercita-cita tinggi dan kuat semangat juangnya jelas sekali berbeza dengan orang yang berniaga hanya memandang tukaran wang keluar masuk akaun dan memikir untung rugi sahaja. Cepat atau lambat mencapai 'kejayaan' adalah di atas skala ukur masing-masing dan tidak perlu melakukan sesuatu dengan kapasiti orang lain kerana ia membuatkan kita seperti memakai baju yang terlampau besar yang membuatkan penampilan nampak janggal. Biar meleret dan berdikit-dikit asalkan punya ketekalan dan mampu berlayar hingga ke cucu cicit.
Jika dilihat fenomena kedai fizikal yang baru dibuka terutama sekali bagi kaum Cina, pada hari pembukaan rasminya akan disertai dengan jambangan bunga daripada sahabat handai dan sanak-saudara dan yang paling manis ialah sepasu bunga dari kedai di kiri-kanannya juga! Yang menariknya, mereka tidak akan ketinggalan menghadiahkan ucapan kecemerlangan dan harapan yang baik-baik untuk pemilik kedai tersebut. Ini kerana, menurut buku Rahsia Perniagaan Orang Cina dari Ann Wan Seng, masyarakat Cina memandang tinggi kepada golongan peniaga, dan sesiapa yang merencana untuk menjalankan bisnes adalah petanda kematangan dalam kehidupan.
Lihat bagaimana permulaan bisnes yang menyemarakkan semangat hasil dokongan rakan-rakan dalam menyuntik modal motivasi dan tenaga positif membuatkan kaum Cina memonopoli kerjaya Sunnah Nabi SAW. Bagi saya, konsep yang sama boleh juga digunapakai di alam maya dengan 'Like' yang diberi kepada fanpage perniagaan kawan-kawan. Ia bermaksud kita 'memberi jambangan bunga' dan meraikan kedai maya mereka baik yang menjemput ataupun yang kita ketahui sendiri.
Dengan berniaga, semakin ramai semakin bagus. Jika ramai yang beriaga benda yang sama, maka bertambah kreatiflah pentas niaga dan penerangan produk jualan tidak perlu dilakukan dengan panjang berjela. Pelanggan juga banyak pilihan dan boleh memilih berurusniaga dengan peniaga yang mereka selesa. Banyak lagi kelebihan berniaga dan mulai hari ini (kempen untuk diri sendiri juga), hadiahkanlah jambangan bunga 'Like' buat perniagaan rakan kita dengan iringan doa semoga berjaya!
![]() |
| Ikebana Anggerik tanda hormat kepada rakan-rakan searena bisnes; contoh jambangan bunga di alam maya. [Sumber: Carian Google] |
Sekian,
Wassalam WBT

No comments:
Post a Comment