Friday, 22 November 2013

Sepuluh Kali 'Alarm' Berbunyi

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah
Assalamualaikum WBT

Hari ini sudah berapa Muharram ya? Hari Khamis yang lalu 10 Muharram (kira dengan jari), jadi sebelas, dua belas, satu, dua, tiga; Eh, macam mana boleh nombor satu selepas nombor dua belas. Nampak sangat bantal sedang memanggil-manggil. Kira semula. Hari ini 21 November bersamaan 17 Muharram. Menulis sekejap habiskan sisa bateri yang tinggal sebelum dicas semula. Abdullah telah lena di dalam buai. Kasihan anak bertuah ini demam panas pula. Jenuh juga Ummi berbagi kawasan untuk abang dan adik di atas riba. Abang tolak si adik dan si adiknya pula rimas tidak dapat bermanja dengan Ummi.

Cepatnya masa berlalu 7 hari seminggu; sekarang hari Khamis kembali. Ya Allah, adakah Engkau Berkati hari-hari kami yang berlalu? Kami mohon agar Engkau Pelihara dan Permudahkanlah kehidupan kami di hari-hari mendatang Ya Zaljalali wal Ikram. Amin. Topiknya mudah sahaja hari ini; bagaimana memudahkan diri untuk bangun Solat Subuh.

Alhamdulillah, sejak kecil kami adik-beradik emak dan ayah asuh dengan solat Subuh berjamaah dan bacaan Surah Yasin selepas selesai solat. Jikalau ada yang tidak kena, siaplah, ayah akan menyambung dengan 'kuliah' Subuh pula. Waktu itu saya masih anak remaja, mata pun berat, muka lagilah; kurang manis jadinya dek kuasa mengantuk yang amat 'super' itu. Entahlah, zaman persekolahan dahulu, saya rasakan amat mengantuk dan hanya mahu tidur sahaja jika pulang bercuti. Memang rumah emakayah sunyi kerana masing-masing khusyuk mengqadha tidur yang tidak kecukupan semasa di asrama. Zaman itu bolehlah saya menahan mata tidak tidur dan 'pulun' buat itu, buat ini sekaligus, kemudian tidur sekaligus. Sekarang jikalau diamalkan perkara yang sama, mahu tidaknya Abdullah cari makanan sendiri dalam peti ais! Nauzubillahi min zaalik. Bahaya dan bahaya. Sambung cerita.

Mari periksa diri kita adakah penggera telefon perlu kita tetapkan di nada ternyaring dengan sepuluh waktu berbeza, diulang-ulang pula setiap lima belas minit namun malangnya hanya jari yang bingkas menyepikan bunyi bising itu? Memang boleh merosakkan mood orang yang mendengarnya kerana kita tidak bangun-bangun juga walaupun puas dikejutkan secara manual mahupun dengan bantuan gajet. Saya sendiri pernah merasakan hari yang tidak produktif bahkan meleret-leret sebagaimana cara saya bangun dari tidur, meleret-leret dari bunyi 'alarm' yang pertama hinggalah yang terakhir.
Kalau guna jam ini, bunyi sekali tapi tak bangun, alamatnya memang terbabaslah. Lebih baik guna jam biologi untuk jimat bateri. [Imej Carian Google]

Selain daripada tidur awal dan tidur Qailullah, pesan ayah, sebelum tidur berwuduklah, baca Tiga Qul, Ayatul Kursi dan Bismillah 21 kali kemudian niatkan untuk bangun pukul berapa. Jikalau serius mahu berubah untuk bangun sepertiga malam paling tidak bangun Subuh tepat pada waktunya, pesanlah kepada Raqib dan 'Atid supaya bantu kejutkan kita. Insha Allah memang benar akan terbangun pada jam yang kita minta itu. Sisi keajaiban amalan ini saya rahsiakan kerana kalian perlu cuba sendiri. Amalan ini elok diamalkan dan lama kelamaan tidak perlu lagi gajet moden yang canggih-canggih untuk bantu kita bangun awal kerana gajet kurniaanNya sudah diaktifkan iaitu Jam Biologi. Insha Allah masa bangun yang panjang dan 'menyiksakan' juga dapat dijimatkan jika kita sudah mempunyai jam biologi yang berfungsi dengan baik.

Jikalau sudah terbangun pada waktu yang kita pinta, usahlah bermain-main pula, golekkan badan hingga jatuh dan tersedar, tutup penghawa dingin jikalau itu yang membuatkan kita menarik dan menyorok di bawah selimut, buka lampu biar cerah anak mata kita; buatlah apa sahaja untuk keluar dari kemanjaan yang sia-sia itu. Pernah dengar atau tidak, Sabda Nabi SAW mengenai orang yang menarik selimut setelah mendengar azan Subuh dikatakan bagai berselimut dengan kulit babi? Lihat betapa serius dan kritikalnya menyahut seruan Subuh ini. Waktu solat yang paling pendek dengan jumlah rakaat yang juga paling pendek. Kenapa Allah SWT tetapkannya 'di situ'? Pasti padanya terdapat kunci-kunci rahsia kehidupan dan beruntunglah bagi manusia yang berfikir.

Keheningan Subuh nan nyaman jika dimulakan dengan mencari ketenangan melalui Solat yang wajib itu pasti membuatkan seharian kita itu juga tenang. Melihat orang bersolat Subuhpun bisa membuatkan kita tenang inikan pula menunaikannya. Mari kita hayati dan rasai nikmat Subuh Kancil kerana kita manusia yang beruntung, setiap hari adalah lebih baik dari sebelumnya yang selama ini cukup-cukup makan sahaja dengan Subuh Gajah. Bila sudah gembira dengan Subuh di awal waktu, kita usahakan Subuh berjemaah pula. Buatlah sesuatu yang diluar adat kemelayuan kita iaitu isteri bangun kejutkan suami solat Subuh. Tidakkah kita terfikir bahawa sang suamilah yang dituntut berjamaah di masjid? Jadilah Raja yang mendahului dalam hal-hal yang wajib bukan hanya yang menagih hak seorang raja di meja makan sahaja.

Apa pun, semuanya berbalik kepada keazaman dan keikhlasan hati untuk beribadat. Mari kita sama-sama keluar dari kemunafikan dengan ikhlas bersolat Subuh. (Ada dua cara mengenal ciri-ciri munafik pada diri, yang pertama berat mengerjakan Solat Subuh. Yang kedua berat mengerjakan Solat 'Isya. Jikalau tidak solat lima waktu, usah banyak bicara kerana pemikiran waras sudah tiada). Jikalau benar-benar kuat, berani, buktikan, redah kesejukan air bila membasahi kulit dengan wudhuk!

Sekian, sekadar peringatan buat diri sendiri yang masih fakir ilmu dan amalan.

Wassalam WBT

-----------------------------------------------<@

Buat lontaran pendapat dengan kami di:
Kelas Asas Blog dan Penulisan

atau mantapkan perniagaan anda di:
Kelas Asas Blog dan Fanpage
Kelas Belajar Beriklan di mudah.my


atau hasilkan karya kreatif anda di:
Pra-pendaftaran Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif (Kelas bermula Disember 2013)


Mari kembangkan idea anda dengan berkongsi di laman blog profesional milik anda sendiri. Coaching personal oleh guru-guru hebat di bawah pengasas Akademi Bekerja di Rumah.

PAKEJ KELAS ASAS BLOG BULAN NOVEMBER
Harga pakej sebenar RM155 (ebook) + RM130 (yuran kelas)= RM 285

Untuk PROMOSI November RM200 sahaja!


2 comments:

  1. Panduan terbaik!. Tahniah dan terima kasih.

    ReplyDelete
  2. masih mentah lagi puan monalita :) terimakasih atas semangat dari puan!

    ReplyDelete