Thursday, 21 November 2013

Kapal Terbang Kertas dari Abi- Bahagian II

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Apa khabar pembaca sekalian? Entri ini ialah rentetan dari Kapal Terbang Kertas dari Abi- Bahagian I.

Masih bercerita mengenai kapal terbang, teringat saya kegigihan Abi mencuba itu dan ini dalam menambahbaikkan keadaan keluarga. Usaha beliau dimulakan sejak awal perkahwinan kami lagi di mana sewaktu itu kami belum mempunyai cahaya mata. Beliau juga minat berniaga dan lebih rajin dari saya. Mula-mula beliau cuba menternak ayam kampung, namun memelihara haiwan ternakan agak sukar dengan jadual kerja yang sering bertukar. Lantas beliau buat keputusan menjual seluar jeans tiruan tetapi saya yang kebimbangan; manakan tidaknya, berulang-alik keluar masuk ke Siam bertemankan bapa saudara yang berasal dari sana dan kadangkala bersendirian. Beliau beralih angin lagi, mencuba membuka gerai Nasi Ayam Budu tetapi terhenti begitu sahaja kerana pelanggan juga pening sekejap ada sekejap tidak ada. 

Siapa sangka, rezeki kami yang Allah SWT beri pada ketika ini tidak terduga dengan saya disahkan hamil. Beliau menitiskan air mata sewaktu mendengar keputusan ujian kehamilan di klinik. Beliau teruskan usaha menjual buku secara pos dan Alhamdulillah, waktu itu beliau sudah melanggan 'broadband' maka kami boleh lebih banyak membuat kajian di internet. Kemudian beliau ceburi bisnes internet, saya tidak berapa faham dengan bisnes tersebut namun saya tetap teruskan berdoa supaya beliau berjaya. Tidak berjaya juga. 

Beliau cuba lagi bisnes internet yang lain pula, namun beliau menyepi tidak katakan apa-apa dan saya faham isyarat itu. Beliau teruskan lagi dan kali ini Syukur Alhamdulillah nampak keberhasilannya dan dalam masa yang sama beliau lebih berhati-hati dan merangka pelan untuk menceburi perusahaan berdasarkan makanan. Abi galakkan saya hasilkan beg bimbit kecil bertangkai seperti yang pernah saya hadiahkan kepada sahabat baik saya, Shasha dan adik bongsu saya; cantik katanya. Untuk pengetahuan kalian, hanya dua buah beg itu yang saya buat sehingga kini, mulanya pada tahun 2003, kemudian pada tahun 2010 jika saya tidak tersilap ingatan. 

Saya tidak buat-buat juga tetapi saya menolong kakak mengambil upah menjahit manik dan menyudahkan jahitan kelim di hujung lengan dan bawah baju, namun tidak banyak yang boleh saya buat kerana alahan yang teruk. Alhamdulillah, rezeki di Bulan Ramadhan 2011, lumayan juga upah yang kakak beri kepada saya. Jikalau ada pelanggan tetap produk Hai-O mahu membuat belian, saya layankan juga setakat termampu pada waktu itu. 

Kini kapal terbang kertas Abi itu semakin baik lontarannya juga kelihatan sudah boleh melayang di udara sedikit demi sedikit biarpun kertas yang digunakan cuma kertas A4 seberat 70 gram dan jika dikategorikan ikut kelas-kelas kehidupan di dunia hanya termasuk dalam golongan rakyat marhaen. Intipatinya di sini bukan sekadar kapal terbang jenis biasa yang berjaya suami saya lipatkan semalam bahkan kertas yang digunakan tidak menjadi pertikaian buat saya. Tinggal lagi, memperhatikan Abi gigih membina origami hingga berpeluh-peluh memang menyedarkan saya bahawa beliau sedang berusaha dengan sebaik mungkin untuk kami anak-beranak gembira melihat kapal terbang yang melayang di udara biarpun kali ini hanya di ruang tamu rumah sewa. 

Kami sudah jumpa caranya hendak membuat Kapal Terbang Bulat yang kami sama-sama inginkan. Insha Allah selepas ini kami mahu mencuba origami kapal terbang kertas jenis yang lain pula.  Mungkin kapal terbang hasil kepakaran teknologi terkini Abi ini boleh di pandu uji di padang saujana mata memandang. Tempat yang luas, tidak tahu bagaimana angin bertiup nanti tetapi harapannya ia mampu melonjak ke udara. Kuasa Allah SWT siapa tahu?

Kapal terbang bulat idaman kami [Google Image]
Marilah kita bersyukur dengan nikmat kasih-sayang yang Allah SWT berikan. Sesungguhnya dengan kuasa kasih-sayang juga membuatkan kita cemerlang di dunia dan akhirat Insha Allah.

Sekian, 

Wassalam WBT



-----------------------------------------------<@

Buat lontaran pendapat dengan kami di:
Kelas Asas Blog dan Penulisan

atau mantapkan perniagaan anda di:
Kelas Asas Blog dan Fanpage
Kelas Belajar Beriklan di mudah.my


atau hasilkan karya kreatif anda di:
Pra-pendaftaran Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif (Kelas bermula Disember 2013)


Mari kembangkan idea anda dengan berkongsi di laman blog profesional milik anda sendiri. Coaching personal oleh guru-guru hebat di bawah pengasas Akademi Bekerja di Rumah.

PAKEJ KELAS ASAS BLOG BULAN NOVEMBER
Harga pakej sebenar RM155 (ebook) + RM130 (yuran kelas)= RM 285

Untuk PROMOSI November RM200 sahaja!


No comments:

Post a Comment