Monday, 18 November 2013

Belajar Berniaga Online dengan Upin dan Ipin

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Dua hari kebelakangan ini saya menulis lewat malam lantaran anak-anak sedikit menagih perhatian dan hendak berkepit sepanjang hari hingga makan pun suami yang masakkan. Mungkin baru hendak beradaptasi dan  biasakan diri dengan jadual kerja baru suami. Saya pun terasa hendak demam tetapi setakat ini Alhamdulillah, masih boleh dikawal.

Berinspirasikan entri-entri di blog Puan Masayu Ahmad, saya faham akan keperluan dan kebolehupayaan untuk bekerja dalam masa yang fleksibel amat penting dan saya perlu lebih tenang, usah kalut dan gelabah dalam menguruskan semuanya. Katapun hendak jadi surirumah super! (perli diri sendiri yang selalu kalut dan ribut). Terlampau kurang ilmu di dada ketika ini dan terasa amat rendah diri bila membaca blog rakan-rakan yang lain. Masing-masing punya kelebihan dan kehebatan tersendiri dan saya masih bertatih-tatih belajar berpesan-pesan.

Pun begitu saya bersyukur kerana Allah SWT mudahkan jalan saya untuk mempunyai blog sendiri dan belajar dengan guru-guru yang profesional. Saya tidak tahu selok-belok berniaga online kerana saya hanya mencuba berniaga secara konvensional; bertemu dan berjual-beli secara hakiki dengan pelanggan. Setelah disedarkan oleh guru-guru yang berjasa ini, baru saya nampak bahawa Facebook dan blog punya kaitan yang istimewa. Tanpa blog, fanpage saya seolah-olah bersawang di laman sesawang. Blog tanpa fanpage pula umpama cerita yang tiada kesudahannya. Yang lucunya, saya punyai kedua-duanya; fanpage yang bersawang dan blog yang tidak ketahuan punca yang akhirnya saya tamatkan sahaja riwayatnya kerana bahasa yang digunakan terlalu 'hippy'.

Menyepi tanpa haluan, saya cuba memasarkan produk kampung pula untuk digabungkan dengan idea Chicken Chop Frozen suami. Idea-idea semakin rancak dan kami bina fanpage baru dan dalam masa yang sama saya lihat pencapaian guru online saya Puan Khairunnisa Hamzah yang juga rakan sekolah lama; semakin hari semakin mengujakan. hari demi hari saya gagahkan diri menaip dan terus menaip untuk mengajar diri beristiqamah. Saya juga sayangkan perniagaan dan idea-idea canggih kami serta tidak rela melihatnya berkubur begitu sahaja.

Mana tidaknya, pengalaman menunggu masa yang sesuai mencuba idea baru amat menyiksakan. Sedar-sedar sudah ada yang laksanakan idea tersebut. Saya percaya yang Allah SWT tebarkan idea-idea dan ilham-ilham untuk membuka pintu 9 per 10 ini kepada ramai orang dalam masa yang sama, cuma keberanian bertindak itu tidak ramai. Sesiapa yang merebut nikmat pemberian ini, dialah yang merasainya, sesiapa yang tunggu dahulu-lah, tunggu waktu ideal-lah akan berakhir dengan menggigit jari. Bukan tidak boleh mengkaji; boleh. Namun apa ertinya kajian jika teorinya cuma berlegar di minda dan di hati serta mulut? Falsafah, idea, pemikiran yang tidak dicuba di lapangan yang sesuai umpama 'Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya'.

Sudahnya saya masih mencuba dan mencuba. Hasilan masih perlu dicantumkan dan perjalanan dan turutan berniaga online ini dipermudahkan apabila saya 'dikursuskan' secara intensif oleh si abang dengan melihat Upin dan Ipin berulang-kali. Kata emak, pandai sungguh orang yang menulis skrip Upin dan Ipin ini. Macam-macam boleh belajar. Memang benar, saya juga dapat ulangkaji belajar permulaan usahawan online dengan melihat episod Usahawan Muda siri kartun ini. Sidang pembaca boleh klik pada video atau ke link ini: http://www.youtube.com/watch?v=eIo5kEWHjfQ


Bagusnya mendedahkan anak-anak dengan dunia perniagaan supaya mereka kenal erti usaha, strategi, kreativiti, kebolehan, tawakkal dan lain-lain lagi. Bermula dengan melihat kejayaan Abang Sally, Upin, Ipin dan Si Mail Usahawan Dua Seringgit mula berminat hendak berniaga online. Kemudian mereka fikirkan produk hendak diniagakan. Upin dan Ipin positif mahu menjual layang-layang walaupun Tok Dalang mengatakan semua orang di Kampung Durian Runtuh pandai membuatnya. Mail pula melihat peluang apabila melihat betapa rancaknya rakan-rakannya bermain penutup botol.

Dengan nasihat daripada Abang Sally iaitu pemilik Jari-jemari Salleh, layang-layang dan penutup botol mereka ditambahbaikkan dengan hiasan atau lukisan yang tersendiri. Abang Sally hanya lukiskan bunga yang 'simple' pada penutup botol yang Mail bawa, tetapi kanak-kanak ini berusaha lebih lagi dengan melukis gambar yang lebih komplikated dan cantik seiring dengan penjenamaan semula yang membuktikan usaha mereka adalah unik berbeza dengan orang lain. Pasangan kembar tersebut menghasilkan dengan Layang-layang Upin dan Ipin beserta pembungkusan yang amat menarik manakala Mail pula dengan Ceper Mail.

Proses awal ini sangat penting kerana material untuk diletakkan di laman web perlu benar-benar ada untuk pelanggan maya melihatnya. Setelah beberapa ketika, masih belum ada yang membelinya. Abang Sally tanpa teragak-agak terus melaksanakan Langkah 'P' iaitu Promosi. Promosi yang dilakukan secara kreatif hasil usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila tempahan Ceper Mail mula meningkat dari 15 tempahan dan lebih mengejutkan, Layang-layang Upin dan Ipin mendapat 100 tempahan.

Tidak mahu bertangguh, produk dihasilkan dan siap untuk pengeposan. Sekali lagi Abang Sally berpesan, akaun mesti diperiksa supaya ada pembayaran dilakukan pembeli sebelum barang di poskan. Pesanan yang agak 'cliche' bagi peniaga-peniaga online berpengalaman; tetapi sikap terburu-buru boleh merugikan kita. Biar lambat asal selamat.

Kemudian Mail yang kaki berbisnes itu mahu mencuba menjual ayam gorengnya di alam maya. Abang Sally terus katakan tidak boleh kerana ada benarnya. Produk yang sudah tentu rosak semasa penghantaran jauh tidak sesuai dijual online. Tetapi manalah tahu, rezeki itu ditangan Allah SWT, mungkin ada pembeli yang sekampung mahupun sedaerah boleh datang mencari ayam goreng Mail di pasar malam setelah melihat iklannya di laman web!

Akhirnya, pendapatan yang diperoleh disimpan di dalam bank dan perbelanjaan dilakukan secara berhemah. Upin dan Ipin juga meraikan kejayaan mereka dengan menikmati aiskrim. Jika dilihat, kejayaan menjual kali pertama juga diraikan untuk memberi insentif kendiri. Insentif pada diri sendiri amat penting dalam mengekalkan motivasi dalam perniagaan biarpun dengan sebatang aiskrim untuk dinikmati.

Sekian,

Wassalam WBT

----------------------------------------------------<@
Mari kembangkan idea anda dengan berkongsi di laman blog profesional milik anda sendiri. Coaching personal oleh guru-guru hebat di bawah pengasas Akademi Bekerja di Rumah.
PAKEJ KELAS ASAS BLOG BULAN NOVEMBER
Harga pakej sebenar RM155 (ebook) + RM130 (yuran kelas)= RM 285
Untuk PROMOSI November RM200 sahaja!
Boleh terus menempah dari saya di http://sitinurulhusnahashim.blogspot.com/p/diari-ummi.html.


No comments:

Post a Comment