Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Bismillah
Assalamualaikum WBT
Dua tiga hari ini 'trending' di Facebook ialah Allahyarham As-Syahid Ahmad Ammar. Sempena Diari Masa saya yang ke-44, saya tuliskan sedikit sebagai tanda terkesannya saya dengan pemergian insan ini. Saya baru sahaja klik pada link video arwah dan membaca kisah yang ditulis sahabat baiknya. Walaupun As-Syahid tidak saya kenali, tetapi karamah yang Allah SWT berikan kepada beliau sebelum jasad disimpan di dalam pusara menandakan permulaan kehidupan abadi yang cemerlang. Masih melekat di fikiran wajah As-Syahid selepas siap dimandikan, Masya Allah, dengan rintik-rintik peluh membasahi kulit, matanya berkaca seolah-olah masih bernyawa dan sedang tidur. (Allahuakbar! Saya hanya lihat gambar video As-Syahid, yang melihat jasad beliau secara 'live' entah bagaimana perasaan mereka). Benarlah Firman Allah SWT:
Al-Baqarah Ayat 154: "Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: Orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dalam keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat meenyedarinya".
Ali-Imran Ayat 169: "Dan jangan sekali-kalli enkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki".
Jika ramai yang memperoleh manfaat ketika hidupnya insan yang dimuliakan Allah SWT, ramai lagi yang mendapat iktibar setelah ketiadaannya di dunia ini. Kata ayah, keranda orang yang baik-baik selalunya ringan dan mudah diuruskan. Subhanallah! Itu sahaja yang mampu saya katakan ketika melihat jamaah yang sama-sama bersolat jenazah beliau berpusu-pusu (malah berlari) untuk mendapatkan peluang mengusung keranda As-Syahid Ahmad Ammar. Memang ringan, kelihatan seperti terapung dan sepertinya mereka mengampu keranda tersebut dengan hujung jari sahaja.
Dua puluh tahun yang benar-benar bermakna. Walaupun ayahanda arwah berkata pasti ada orang lain yang mendidik puteranya, namun bagi saya itu merendah diri namanya. Tujuh tahun pertama pasti dibentuk penuh berkualiti mengikut nilai-nilai Islam. Sebagaimana ibubapanya tidak membuang masa, begitulah anaknya juga. Keperibadian ayahanda bonda Ahmad Ammar terserlah di setiap paparan video. Tenang dan redha malah gembira mendapat anakanda yang syahid sebelum mereka. Hati mana yang tidak rawan melihat satu-satunya putera pergi menghadap Rabbul 'Izzati sementara titik peluh dan catatan peribadinya masih ditagih di serata pelusuk dunia. Sekalung tahniah juga takziah buat seluruh ahli keluarga Şehıdımız Ahmad Ammar Ahmad Azam.
Bagi saya inilah contoh modal insan syumul yang ketandusan di bumi Malaysia. Pejuang muda yang intelektual, berpandangan jauh. Tidak alpa dengan dunia, malah berusaha tanpa membuang masa terus bertindak untuk mengembalikan syiar Islam. Tepat sekali dengan Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Muslim dan Ibnu Majah yang mana mafhumnya "Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih Allah cintai daripada Mukmin yang lemah". Inilah juga contoh manusia yang faham Kalam Allah dalam Surah An-Nisa Ayat ke-34 yang ditafsirkan oleh Ibnu Kathir, saya simpulkan bahawa lelaki adalah terkehadapan berbanding wanita. Terkehadapan dalam pelbagai urusan dan bertindak sebagai pemimpin. Maka, sahutlah seruan dakwah wahai syabab Malaysia. Masa muda, inilah gunanya. Masa; ya masa yang digunakan dengan penuh bermanfaat, alangkah beruntungnya.
Lihatlah, begitu hebat gelombang manusia di dunia; jutaan yang menghantar Ahmad Ammar Ahmad Azam pulang, entah bagaimana pula sambutan penduduk syurga. Begitu mulia sehingga tidak ada wanita yang pantas untuknya selain ibunya, bidadari di dunia dan bersiap untuk menyambutnya di sana bidadari-bidadari syurga. .Masha Allah, Subhanallah. Allahuakbar! Saya menampar diri sendiri kerana boleh menulis sebegini pun sudah berasa memberi sumbangan yang besar dan tujuan saya menulis entri berkaitan beliau ialah kerana rasa terpanggil bukan kerana kisahnya sedang meletup sekarang. Kerana persoalannya, mampukah saya mendidik Abdullah dan Lina untuk menjadi seperti Şehıdımız Ahmad Ammar Ahmad Azam?
Sekian,
Wassalam WBT
No comments:
Post a Comment