Monday, 25 November 2013

Perihal Bisnes- Jaga 'Ong'

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah
Assalamualaikum WBT

Seronoknya hari ini pulang keletihan makan kenduri adik kakak ipar di Kepala Batas. Besar sungguh majlisnya; iyalah namapun kenduri anak bongsu Makcik Fatimah dan Pakcik Ismail, mestilah hendak buat besar-besar. Mereka ini keluarga berada, tetapi tidak kedekut langsung. Kami bertolak pergi ikut jalan bukit baru ( Jalan Tun Sardon, Paya Terubong) dan pulang ikut jalan bukit lama melalui Bayan Lepas, Teluk Kumbar dan sebagainya. Jadi sempatlah Abi membelok sekejap pergi mengintai kapal terbang dari pagar luar. Seronok sungguh riadah ala 'old-school' ini! Ternganga Abdullah melihat kapal terbang mendarat turun dalam kiraan saat sahaja.

Menyentuh perihal bisnes, saya pernah berbual panjang dengan mama kakak ipar saya ini tentang bagaimana beliau mula berniaga. Asalnya menjual kerepek pisang dan berdikit-dikit. Masih beranak kecil ketika itu mereka menunggang dengan cara anak diletakkan di antara belakang abah dan dada mamanya yang dihimpitkan ke hadapan bertujuan supaya anak dapat dikepit dengan elok lantaran kedua-dua belah tangan penuh disangkut pisang mentah. Bayangkan pisang raja yang besar-besar itu diikat dan disauk dengan kesepuluh jari yang ada. Ruang hadapan motosikal usah ditanya kerana kiri kanan pemegang motosikal juga penuh dengan pisang; pendek kata semua ruang digunakan sepenuhnya untuk memuatkan pisang sebanyak mungkin.

Itu tekad sepasang abah dan mama dalam mengaut rezeki untuk keselesaan anak-anak. Kini, mereka tauke kuih raya yang diminati ramai tidak kira apa jua jenis perayaan pun. Kegigihan dan ketekalan mereka berniaga memberikan pengajaran kepada saya. Tidak seharusnya setiap perniagaan bermula dengan modal yang besar sahaja yang boleh berjaya. Natijahnya di sini ialah semangat, usaha yang istiqamah dan berbekalkan keyakinan terhadap pemilik rezeki adalah punca kejayaan.

Dalam perniagaan, bagi kaum Cina komponen yang utama ialah usaha, usaha dan 'ong' atau tuah. Pelbagai cara dilakukan untuk menjaga nasib yang baik; membetulkan feng-shui, menggunakan perhiasan untuk menarik tuah juga berdoa dengan cara mereka sendiri. Tilik nasib juga salah satu cara untuk mereka membuat sesuatu keputusan. Mereka juga bangun 'pagi-pagi buta' dan saya perhatikan, mereka akan menyembah tokong mereka sebelum matahari terbit, kemudian sekitar jam 8 hingga 10 pagi, tengahari, waktu senja dan malam sebelum tidur. Begitu juga dengan kaum India yang sempat saya selidik dari rakan sekuliah saya, mereka 'bersembahyang' setidak-tidaknya lima kali sehari dan sekali sembahyang mungkin mengambil masa palling kurang 30 minit.

Tersengih saya sambil terpisat-pisat keseorangan sambil terdetik, alangkah malunya orang Islam yang hanya perlu kurang lima minit untuk selesaikan solat dua rakaat dan lebih kurang dua minit bagi mereka yang menyandang juara pecut dalam solat. Alangkah ruginya kita kerana mereka memanfaat dan memaksimakan aliran tenaga yang baik dengan mempergunakan sebaiknya waktu-waktu solat seperti kita juga termasuk waktu Dhuha yang dituntut oleh Nabi SAW untuk kita bersolat sunat paling tidak dua rakaat.

Bagaimana pula orang Mukmin mahu menjaga 'ong' dalam bisnes? Akan bersambung.

Sekian,

Wassalam WBT


No comments:

Post a Comment